Shahidan sedia serah jawatan pada Muhyiddin


Bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mengesyorkan agar Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi pengerusi badan perhubungan Umno Perlis bagi menyelesaikan kemelut Umno di negeri itu.

Merujuk kepada cadangan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya menteri besar dan ketua menteri dilantik menjadi pengerusi badan perhubungan Umno di negeri, Shahidan berkata ia bukannya penyelesaian yang baik.

shahidan kassim 02Shahidan, yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Perlis, berkata jika beliau tidak lagi diperlukan lagi, maka adalah lebih sesuai jika Muhyiddin – selaku timbalan presiden Umno – mengambil alih jawatan itu, lapor Bernama.

Merujuk kenyataan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, menyokong cadangan Mohd Ali, beliau berkata: “Kalau dia kata semua menteri besar dan ketua menteri layak jadi pengerusi badan perhubungan Umno negeri, saya pula beranggapan bahawa semua pengerusi badan perhubungan Umno negeri, layak jadi menteri besar.”

Shahidan berkata beliau merasa malu kerana terdapat masalah politik dalam sebuah negeri kecil sedangkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Mengenai kenyataannya bahawa beliau terkilan kerana tiada wakil dari Perlis dilantik menganggotai barisan kabinet yang dibentuk oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak, Shahidan berkata, perasaan itu hanya terasa untuk seminggu sahaja.

“Saya menyokong kabinet baru itu tetapi saya tetap akan merayu supaya akan ada wakil dari Perlis menganggotai kabinet selepas ini,” katanya.

Beliau berkata Perlis adalah negeri yang menang besar pada pilihanraya umum lalu dan wajar ada wakil daripada negeri itu.

Zainol Abidin muncul di majlis PKR


Seorang pemimpin Umno di Pulau Pinang – Zainol Abidin Hashim – yang bertindak mengoyak poster Presiden Gerakan sewaktu tercetusnya kontroversi membabitkan Ketua Umno Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail tahun lalu – dilihat menghadiri majlis anjuran PKR semalam.

Berikutan itu, tercetus spekulasi mengenai kemungkinan Zainol, yang juga timbalan pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Pulau Pinang ‘menyeberang’ menyertai PKR.

Gambar bekas ahli badan perhubungan Umno Pulau Pinang itu sewaktu menghadiri majlis tersebut disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Cina – Sin Chew Daily hari ini.

zainol abidin penang 120409Akhbar itu menyiarkan gambar Zainol yang dilihat bertegur sapa dan berbual-bual dengan penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Manakala di bahagian bawah berita tersebut, disiarkan juga gambar Zainol mengoyak poster Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sewaktu tercetus kontroversi tersebut.

Zainol merupakan penyokong kuat Ahmad yang digantung keahlian tiga tahun dan digugurkan hak-haknya dalam parti oleh Majlis Tertinggi Umno, selepas membuat kenyataan bahawa kaum Cina ‘menumpang’ di negara ini, sewaktu kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Zainol menyifatkan spekulasi terhadapnya sebagai “tidak benar”.

“(Program) di mana-mana pun saya masuk. Semua jenis saya masuk. Saya hendak tahu perkembangan.

‘Ajak-ajak ayam’

“Kita orang politik tidak boleh duduk sebelah (parti) sahaja kalau hendak tahu secara tepat,” katanya, sambil menambah “semua orang” tahu sikapnya itu.

Zainol berkata beliau menghadiri majlis PKR semalam dan bertegur sapa dengan pemimpin utama Pakatan Rakyat, khususnya Anwar, kerana memang saling kenal-mengenali.

Malah, tambah beliau, Awar sempat bertanya kepadanya: “Non (Zainol), hang bila nak masuk (PKR), dok tunggu apa lagi?”

Bagaimanapun, menurut Zainol, mereka berdua faham pendirian masing-masing dan tahu bahawa pelawaan itu merupakan “ajak-ajak ayam” sahaja.

Ditanya mengenai hubungan semasa Umno dan Gerakan yang kurang memuaskan di negeri itu, Zainol berkata: “Tak boleh pi (serasi), jangan bohonglah. Dia (Gerakan) belum minta maaf (pada Umno).”

Sementara Setiausaha PKR Pulau Pinang, Mustafa Kamal Mohd Yusoff ketika dihubungi, juga menafikan spekulasi Zainol mungkin menyertai PKR.

“Beliau memang macam itu. Semua program (parti) beliau pergi. Kalau beliau masuk (PKR), mesti saya tahu dulu,” katanya yang juga teman rapat Zainol.

Selepas pilihanraya kecil Permatang Pauh Ogos tahun lalu, tercetus juga kontroversi bahawa Arif Shah Omar Shah – yang tewas di tangan Anwar – akan menyertai PKR, tetapi beliau menafikannya.

‘Cina, India bukan peminta sedekah’


Pengundi bukan Melayu “tidak mahu dilayan seumpama pengemis” – apabila menjelang pilihanraya, mereka ditaburkan pelbagai projek pembangunan dengan harapan mereka memilih calon BN, kata jurucakap rasmi MCA.

“Bukan Melayu tidak suka dilayan seperti peminta sedekah, hanya ketika pilihanraya kecil, lebih banyak penaikan taraf jalan dilakukan, peruntukan kepada sekolah, NGO dan badan amal meningkat,” kata ahli jawatankuasa pusat parti itu Lee Wei Kiat.

“Walaupun bantuan dalam apa jua bentuk kepada sesuatu masyarakat sentiasa dialu-alukan, pengundi ingin melihat ketekalan dalam peruntukan dan pengagihan kerajaan dan bukannya memuncak sewaktu pilihanraya kecil.”

Beliau mengulas wawancara Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang melihat ketewasan besar BN di parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau sebagai sikap tidak kenang budi pengundi bukan Melayu terhadap kerajaan.

Ditanya Mingguan Malaysia “bukankah setiap kali pilihanraya kecil, permintaan kaum bukan Melayu dipenuhi, malah di Bukit Gantang walaupun peruntukan RM1 juta diberikan tetapi kaum Cina tidak juga menyokong BN”, timbalan presiden Umno berkata:

“Ya, kadang-kadang kita berasa terpedaya juga kerana zahirnya nampak macam ‘OK’, sambutan dengan tepukan gemuruh tetapi mungkin sudah ada tertanam dalam hati iaitu sesuatu tidak mudah hendak berubah, pokoknya masalah isu Perak terutamanya di kalangan masyarakat Cina yang mungkin telah dipengaruhi dengan sentimen simpati kepada Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin, kononnya dia ‘dijatuhkan’, lepas itu kononnya dasar memberi pegangan tanah selama 99 tahun dilihat dasar yang menguntungkan.
muhyiddin yassin interview 100309 01“Ini yang mungkin menyebabkan sukar BN mendapat sokongan walaupun kita fikir bila mereka hendak sekolah Cina dibantu, kita bantu, sepatutnya mereka membalas budi.

“Pada waktu itu, kita pun tidak berharap sokongan kaum Cina akan meningkat 40 peratus dan sebagainya cuma kita berharap ada peningkatan sedikit tetapi apa yang berlaku ia mencatatkan penurunan, macam tidak ada penghargaan terhadap apa yang kita lakukan.”

Wawancara pertama dengan Muhyiddin – selepas dilantik pemimpin nombor dua negara – mendapat liputan meluas akhbar-akhbar utama berbahasa Cina hari ini yang semuanya menonjolkan wawancara tersebut yang dianggap negatif kepada pengundi bukan Melayu.

Sin Chew Daily melaporkan “Muhyiddin – Cina tidak bersyukur kepada BN”, Nanyang Siang Pau “Cina kenakan BN. Muhyiddin – Dapat manfaat tetapi tidak beri undi” dan China Press pula “BN rasa tertipu. Muhyiddin – Penuhi tuntutan Cina tapi masih tiada sokongan”.

Selain MCA, Gerakan dan DAP juga membidas analisis Muhyiddin itu yang mendakwa pengundi Cina dan India kini menganggap diri mereka “kuasa penentu” kekuasaan selepas lima negeri, termasuk Kelantan, jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

“Persoalannya apakah mereka melihat dalam konteks senario politik baru ini, selepas kerajaan BN tumbang di lima buah negeri, mereka sudah menjadi kuasa penentu? Orang Cina rasa sekarang, walaupun mereka kumpulan minoriti, merekalah menentukan kerana kelompok masyarakat Melayu sudah berpecah tiga kumpulan.

“Masyarakat Cina tidak berpecah, mereka bersatu, setidak-tidaknya dari segi semangat apabila bersama-sama membuat sesuatu keputusan.

“Dalam keadaan ini, mereka boleh menentukan keputusan sesuatu pilihanraya dan apabila kesan itu dapat dilihat dalam pilihanraya umum lalu dan beberapa pilihanraya kecil, mereka fikir sekarang mereka lebih ada kuasa penentu, bukan sahaja Cina, malah masyarakat India pun begitu, apatah lagi apabila mendapat kedudukan dalam kerajaan yang ditubuhkan pakatan pembangkang dengan menjadi timbalan ketua menteri, speaker dan exco kerajaan negeri, jadi ini bagi mereka seolah-olah tawaran yang diberikan oleh pihak sana lebih baik daripada kita pernah tawarkan dalam konteks BN, jadi ini kita harus teliti,” Muhyiddin dipetik berkata dalam wawancara tersebut.

“Kebimbangan saya orang yang tidak menjadi penentu sudah menjadi penentu, orang Melayu yang majoriti sepatutnya menjadi penentu sudah tidak menjadi penentu.

“Justeru bagi kita kalau boleh sebaik mungkin mereka bernaung di bawah sayap Umno, tetapi Umno yang relevan dan memahami cita rasa rakyat, Umno yang adil, Umno yang lebih bersedia untuk melihat dengan lebih saksama, ini kita kena fikirkanlah.”

Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Yuan berkata pengundi Cina di dua kawasan tersebut sukar mengaitkan diri mereka dengan BN kerana ia tidak lagi menegakkan yang terbaik di Malaysia.”

“Amalan biasa (BN) menaburkan peruntukan tidak lagi membawa kesan kerana ramai yang melihatnya sebagai cubaan tidak bijak untuk meraih undi. Masalah mereka mesti ditangani berterusan dan menyalurkan peruntukan sewaktu pilihanraya kecil, tidak lagi berkesan dan meyakinkan,” katanya.

“Isu-isu yang lebih pokok seperti rasuah, penyalahguanaan kuasa dan kesaksamaan dalam kepemimpinan nasional dan sistem penyampaian kerajaan harus ditangani dahulu, barulah pengundi yang lari daripada BN pada 3 Mac 2008 akan bersedia kembali (bersama BN).”

Chang sebaliknya mencadangkan idea “Satu Malaysia. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” yang dipromosikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak haruslah diberikan lebih penekananan kerana ia boleh memberi makna sebenar perjuangan BN.

Selain mencadangkan kempen bersama antara pemimpin Melayu dan bukan Melayu untuk semua kaum, Chang menambah, ramai pengundi kini terpengaruh dengan slogan keadilan dan kesaksamaan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat

Sementara tokoh DAP Lim Kit Siang menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu sebagai “pengesahan” bahawa BN mengaku bersalah mengamalkan politik wang ketika pilihanraya, menggunakan dana awam khususnya dalam bentuk projek pembangunan sebagai umpan untuk meraih sokongan pengundi.

Mengulas wawancara dengan ahli parlimen Pagoh bertajuk ‘Kuasa penentu Melayu hilang jika terus berpecah’, Lim menafikan pengundi Cina dan India ingin menjadi “kuasa penentu” politik dengan menyisihkan Melayu dalam lanskap baru politik.

Beliau menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu “jelas sekali tidak sesuai, paling mengejutkan dan menyinggung perasaan” sebagai timbalan perdana menteri yang baru dan bertanya “apakah ini yang dimaksudkan oleh ‘Satu Malaysia’ Najib?”

“Tugas pertama jemaah menteri Najib pada mesyuarat pertama Rabu ini ialah menakrifkan maksud slogan ‘Satu Malaysia’ bagi memastikan ia menjadi motto perpaduan dan bukan perpecahan,” kata Lim.

Dalam kenyataan sama, Lee menambah pengundi Bukit Gantang menolak BN berdasarkan beberapa faktor, termasuk isu tanah milik sementara (TOL) dan rungutan nelayan di Kuala Sepetang yang belum berjaya diselesaikan.

Isu-isu nasional yang dipertikaikan pengundi bukan Melayu termasuklah pengagihan tidak sama rata biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), diskriminasi untuk masuk ke pusat pengajian tinggi, kegagalan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan hak kebebasan berpolitik yang terhad.

Lee turut mengungkit sumbangan kaum Cina sejak sebelum 1957, menghantar perwakilan negara untuk berunding kemerdekaan di London sehinggalah menentang Indonesia pada era Konfrontasi 1960-an.

“Oleh itu, untuk memenangi semula hati masyarakat Cina, BN mesti melakukan lebih daripada sekadar menyumbang RM1 juta pada pilihanraya kecil,” katanya.

PENAPIS AIR CUKCOO

CUCKOO - PENAPIS AIR MINERAL BERALKALI RINGAN

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.