Pemuda PAS gempur BN demi Anwar

Aug 13, 08 11:02pm

malaysiakini

Ketua Pemuda PAS mengarahkan anggota-anggota dewan itu “menggempur” BN bagi memastikan kemenangan tokoh utama PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Membentangkan ucapan utamanya di perasminan muktamar Dewan Pemuda PAS malam ini, Salahuddin Ayub berkata pembabitan serius parti itu dalam pilihanraya ini sangat penting untuk membuktikan ia masih setia bersama Pakatan Rakyat.

Penglibatan itu penting, tambahnya, setelah PAS diberikan imej ingin bekerjasama dengan Umno dan BN dalam isu rundingan tertutup dengan presidennya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

“Pilihanraya ini amat penting bagi kita setelah minda rakyat terperangkap dalam permainan kotor BN dalam isu muzakarah baru-baru ini.

“Setelah PAS membuat keputusan tegas untuk menolak sebarang bentuk kerjasama politik dengan BN, inilah peluang terbaik untuk PAS membuktikan bahawa kita masih setia dengan Pakatan Rakyat,” kata Salahuddin di penghujung ucapannya di majlis itu yang diadakan di stadium tertutup Indera Mulia, Ipoh.

“Saya dengan ini mengarahkan seluruh jentera Pemuda PAS di semua peringkat supaya turun menggempur Permatang Pauh bagi melenyapkan keangkuhan BN.”

Tambahnya, Pemuda PAS akan membuka markas besar untuk menggerakkan jentera pilihanrayanya dan menggesa pergerakan itu “bekerja sepenuh hati untuk memastikan Anwar mencatatkan kemenangan besar” dan sekali gus merapatkan semula jentera Pakatan dalam menghadapi BN.

Salahuddin, yang juga ahli parlimen Kubang Kerian, mencadangkan kepemimpinan ulama yang diperkenalkan sejak 1982 dinilai semula agar kumpulan itu tidak “berada dalam zon selesa”, “lebih relevan dalam dunia kontemporari” dan “lebih proaktif dalam meneliti fenomena masa kini, menangani kerencaman isu dan masalah moden.”

“Dewan Pemuda PAS tidak mahu melihat ulama berada dalam zon selesa dalam gagasan kepimpinan ulama, sehingga sebahagian ulama mengambil sikap reaktif kepada isu atau fenomena yang berlaku dan tidak membuat persediaan lebih rapi untuk menangani perkara mendatang,” katanya.

Beliau berkata Pemuda PAS merancang satu Seminar Kepimpinan Ulama: Satu Penilaian Semula yang, antara lain, bertujuan meneliti keberkesanan gagasan kepemimpinan ulama sepanjang 25 tahun lalu.

Selain pertemuan ini, beliau juga mencadangkan Seminar Pendekatan Siyasah Syar’iyyah untuk merumuskan pendekatan Islam yang serasi dengan konteks Malaysia.

Untuk mencapai hasrat itu, tambah Salahuddin, golongan ulama dalam PAS harus bersifat lebih terbuka meneroka rumusan-rumusan baru agama yang sejajar dengan pendekatan ala Malaysia.

“Para ulama kita perlu berfikiran terbuka untuk memberikan tafsiran-tafsiran hukum berasaskan manhaj Malizi (pendekatan Malaysia) yang kontemporari, tetapi tidak lari dari orbit al-Quran dan al-Sunnah sebagai piawaiannya,” katanya.

Beliau bagaimanapun menyedari kelemahan pemikiran golongan agama dalam PAS, termasuk dalam pergerakan Pemuda.

“Ahli-ahli Pemuda mesti sentiasa memperdalami ilmu dalam pelbagai bidang, tidak terhenti dengan kemahiran agama yang menjadi fardu ain sahaja, sebaliknya kemahiran keduniaan yang menjadi fardu kifayah juga dipertingkatkan,” katanya lagi.

“Pada hari ini, ahli-ahli PAS diperakui kerana kecemerlangan akhlak dan kebolehan agamanya, tetapi kita tidak diyakini dalam aspek keupayaan menguruskan negara.”

Ketua Pemuda PAS juga berikrar untuk terus mengkritik termasuk mengambil pendekatan berkonfrontasi dengan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat jika dilihat mengambil mudah isu-isu Islam

“Kita bersedia untuk menegur secara diplomatik dan kita juga sanggup untuk mengambil pendekatan konfran (berkonfrontasi) jika teguran-teguran kita tidak dilayan,” katanya.

Beliau mengambil contoh sikap Dewan Pemuda PAS Selangor yang  berani membantah penganjuran konsert Ella dan Mas Idayu bersempena sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di negeri itu, dan juga isu penyalahgunaan kuasa pegawai kanan menteri besarnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Salahuddin juga mahu melaksanakan konsep “parti menguasai kerajaan” dan keputusan PAS harus dihormati oleh barisan kepemimpinan exco negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

“Kita tidak mahu pimpinan negeri diberikan kebebasan penuh atau autonomi dalam menentukan dasar-dasar pentadbiran, sehingga pimpinan Pusat tidak dihormati keputusan mereka,” katanya.

Majlis perasmian persidangan dewan itu ke-49 disempurnakan oleh timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa.

Dalam ucapannya, beliau mempertahankan tindakannya mengadakan rundingan dengan Umno dan menyifatkan bantahan ahli-ahli PAS terhadap pertemuan PAS-Umno sebagai perlanggaran disiplin parti.

Isu ini dijangka memanaskan perbahasan perwakilan Pemuda PAS sepanjang hari esok sebelum penggulungan Salahuddin di sebelah petang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: