Membina Melayu Berilmu

DI DALAM cerita-cerita epik Melayu, pencarian ilmu sentiasa diletakkan di tempat yang istimewa. Ia menjadi kemestian dalam hampir semua cerita seumpama itu. Cara ilmu itu dicari sahaja yang berbeza. Ada ketikanya melalui pengembaraan dan pada waktu-waktu yang lain pula melalui perguruan dengan petapa-petapa di perut gua. Tidak kurang juga kisah-kisah yang menyebut tentang bagaimana guru-guru dijemput mengajar di istana.

Apa yang tergambar melalui kisah-kisah epik itu ialah, orang Melayu sejak dahulu menyintai ilmu. Walaupun si penglipur lara dan tukang cerita mungkin tidak tahu menulis atau membaca, namun keadaan itu tidak pernah menghalang mereka daripada menanam minat untuk belajar di kalangan audien masing-masing.

Dalam konteks kehidupan Melayu moden, seruan-seruan supaya mencintai ilmu sudah wujud sejak zaman Tun Seri Lanang dan kemudiannya Munsyi Abdullah. Pada awal abad 20, kita menyaksikan kemunculan tokoh-tokoh Melayu, terutama yang berpendidikan agama, tidak mengenal jemu berusaha menanamkan kesedaran tentang kepentingan ilmu di lubuk hati anak bangsanya. Tulisan al-Syaikh al-Adib Ahmad Zain al-Fatani dalam Hadiqat ul-Azhar Wa I-Rayajin misalnya, amat menekankan tentang perlunya umat Melayu mengambil berat terhadap kemajuan sains dan teknologi.

Anehnya, bagaimanakah bangsa yang begitu gemar mencari ilmu boleh tercicir di dalam bidang pendidikan? Kenapa anak cucu bangsa yang menyintai ilmu itu selalu dianggap terkebelakang dalam hal-hal yang membabitkan bidang ilmu tertentu?

Soalan itu sebenarnya telah lama terjawab. Semua pihak, daripada penjajah hinggalah orang bukan-Melayu dan orang Melayu sendiri, sama-sama menyedari bahawa keciciran itu mempunyai pertalian dengan tahap ekonomi orang Melayu. Di mana-mana negara pun, bangsa yang lemah penguasaan ekonominya dengan sendiri akan terkebelakang dalam bidang bidang sosial lain. Hukum yang sama meliputi bidang pendidikan.

Di Malaysia, masalah itu telah berjaya diatasi dengan cara yang agak drastik. Selepas sahaja negara ini mencapai kemerdekaan, orang Melayu yang sejak dari awal menyedari peri pentingnya pendidikan, telah menggunakan kuasa politik yang dimiliki untuk memastikan anak bangsa mereka tidak lagi tercicir. Tumpuan habis-habisan diberikan pada bidang pendidikan sehinggakan dalam banyak keadaan, kelihatan bidang itu diberi lebih keutamaan daripada bidang ekonomi. Di mana-mana sahaja, keluarga Melayu lebih suka bercakap tentang di mana dan bagaimana anak mereka belajar daripada berbincang perkara-perkara yang membabitkan pencarian wang ringgit.

Hasil kesedaran luar biasa itu dapat dilihat sekarang. Sikap pro aktif Melayu dalam isu-isu pendidikan jelas membantu menjayakan dasar-dasar pendidikan, yang digubal sejajar dengan hasrat Perlembagaan untuk memartabatkan Melayu sebagai bangsa yang maju dan berilmu.

Pemimpin-pemimpin Melayu pula tidak pernah leka dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mencapai hasrat tersebut. Penyata-penyata yang berkaitan dengan pendidikan, daripada Penyata Razak (1956) membawa kepada Penyata Rahman Talib (1960) dan Penyata Mahathir (1979) semuanya sentiasa diberi perhatian teliti dan dijadikan panduan untuk meningkatkan sistem pendidikan negara, sekaligus meningkatkan taraf pendidikan Melayu. Di kalangan ilmuan Melayu, muncul orang-orang seperti Allahyarham Aminuddin Baki dan Profesor Fatimah Hamidon, yang meneruskan kesinambungan perjuangan Pendita Zaaba dan tokoh-tokoh terdahulu yang tidak pernah jemu meniupkan semangat cintakan ilmu di jiwa orang Melayu.

Walaupun sekarang ini pencapaian Melayu dalam bidang pendidikan sudah dibanggakan, namun ia masih amat tidak cukup untuk membolehkan kita berpuas hati. Penguasaan kita di bidang-bidang pendidikan tertentu masih tercicir jauh. Keupayaan anak-anak kita dalam bidang-bidang yang sedia kita kuasai pun masih tidak sempurna. Telah banyak muncul kes pelajar-pelajar bukan-Melayu mengatasi kemampuan pelajar Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, dan kes-kes begitu selalunya tidak pernah menguncup.

Ada suara-suara sumbang mendakwa, tahap pencapaian anak Melayu di bidang pendidikan akan menjadi lebih buruk kalau bukan kerana adanya Hak Keistimewaan Bumiputera yang mereka nikmati. Hak keistimewaan itu telah menyebabkan Melayu memperolehi kuota yang lebih tinggi, dengan syarat-syarat yang lebih longgar, untuk memasuki institusi-institusi pengajian tinggi awam.

Asas pada dakwaan-dakwaan itu tidaklah cukup kukuh. Ia lebih digerakkan oleh unsur-unsur prejudis, di samping keengganan memahami keadaan sebenar.

Isu ini tidak perlu diulas dan dikupas lagi. Ia sudah terlalu kerap disebut, dibincang dan diperkatakan. Dakwa dakwi mengenainya sudah tidak perlu dilayan.

Namun begitu perlu ditegaskan bahawa tanpa bertupang pada hak keistimewaan itu pun, Melayu tidak menghadapi masalah untuk bersaing dalam bidang pendidikan. Hak keistimewaan itu memberikan mereka kelebihan, tetapi tanpanya tidaklah bermakna mereka seratus peratus kekurangan.

Setakat ini telah terbukti banyak pelajar Melayu yang cemerlang di institusi-institusi pengajian luar negara yang tidak mengenal langsung erti Hak Keistimewaan Melayu. Setiap tahun beribu pelajar Melayu berangkat ke luar negara untuk bersaing ‘at par’ dengan orang lain, dan setiap tahun beribu lagi yang kembali bersama kejayaan.

Masalahnya, kesempatan untuk anak-anak Melayu ikut bersaing agak terhad. Langkah mereka sentiasa menjadi pendek kerana dibelenggu oleh kepincangan ekonomi yang diwarisi oleh ibu bapa, nenek moyang dan rumpun keturunan mereka.

Tanpa menafikan wujudnya pelbagai skim dan program yang bertujuan membantu membiayai para pelajar Melayu yang berpotensi, kita tetap tertakluk pada kenyataan bahawa kes pelajar Melayu tidak dapat meneruskan pelajaran kerana tidak cukup wang masih lagi berlaku.

Tahun-tahun kebelakangan ini, yang menyaksikan pertumbuhan begitu banyak institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia, turut menyaksikan bagaimana anak-anak Melayu melalui proses ‘peminggiran’ sekali lagi.

Secara umumnya, kewujudan institusi-institusi tersebut memang baik kerana ia membantu menggandakan proses pengembangan ilmu. Jumlah wang yang sangat banyak juga dapat diselamatkan daripada mengalir keluar negara.

Tetapi dalam konteks kehidupan orang Melayu, kebaikan-kebaikan itu tenggelam dalam pelbagai kesan sampingan yang datang bersama kewujudan institusi institusi pengajian tersebut. Antara kesan yang paling nyata ialah, institusi-institusi itu telah mengecilkan saiz penguasaan mereka dalam bidang pendidikan dan membuka ruang persaingan yang lebih besar dalam bidang pekerjaan.

Dengan wujudnya institusi-institusi seperti itu, kos pembiayaan akan menjadi lebih rendah. Ibu bapa tidak perlu lagi berhempas pulas untuk mencari wang untuk menghantar anak-anak, terutama yang gagal memasuki institusi pengajian tinggi awam tempatan, ke luar negara. Keadaan ini menyediakan kesempatan yang cukup baik kepada kaum bukan-Melayu yang telah kukuh kedudukan ekonominya. Mereka boleh menggunakan wang yang dijimatkan itu bagi menambahkan bilangan anak yang dihantar belajar di peringkat pengajian tinggi. Paling tidak pun, wang yang sama boleh digunakan untuk menyediakan pelbagai bentuk sokongan material bagi kegunaan dan kemudahan pembelajaran si anak.

Orang Melayu? Dengan kedudukan ekonomi yang goyah, kemampuan mereka untuk membiayai pendidikan anak tetap terhad. Kesannya, ruang yang disediakan oleh institusi-institusi pengajian tinggi swasta itu akan dikuasai oleh bukan-Melayu. Kesan lanjutannya ialah jumlah tenaga terpelajar bukan-Melayu akan terus berada jauh di hadapan. Nisbahnya pula sudah tentu akan menjadi bertambah besar dari semasa ke semasa.

Tidak memadai dengan masalah itu, Melayu juga turut dihimpit oleh masalah lain yang tidak kurang buruknya. Adalah satu perkara yang diketahui umum bahawa ketika sekumpulan anak-anak Melayu terkial-kial berusaha untuk menaikkan maruah bangsa dengan cara menimba ilmu, ada kumpulan anak-anak Melayu lain sedang dihambat oleh pelbagai gejala kebejatan yang boleh meruntuhkan bangsa.

Dengan dukacita, kita perlu mengaku bahawa anak-anak Melayu sentiasa mendahului senarai remaja bermasalah. Namakan apa sahaja gejala; penyalahgunaan dadah, lepak, lumba haram, seks bebas, ponteng sekolah, peras ugut, pukul guru, bakar sekolah dan entah apa lagi, kita pasti menemui anak bangsa kita yang terbabit sama. Dan dalam kebanyakan segmen gejala-gejala itu, anak-anak bangsa kita juga berada jauh di hadapan remaja-remaja bukan-Melayu. Statistik yang ada cukup menggerunkan. Dalam rencana yang dipadankan daripada ucapan Rais Yatim, yang tersiar di Mingguan Malaysia 1 Oktober, 2000, ada dinyatakan, Melayu mewakili 54 peratus daripada jumlah semua jenis jenayah kecil dan besar, manakala daripada 92,000 sampel kes penagihan dadah, 72 peratus daripadanya adalah Melayu. Di kalangan tahanan reman juvana, Melayu berada pada paras 71 peratus.

Bukanlah satu rahsia lagi bahawa remaja Melayu menyediakan ruang yang cukup luas untuk memudahkan pergerakan apa-apa juga anasir dan elemen yang boleh merosakkan bangsa. Kelebihan nenek moyang mereka sebagai manusia yang mudah menerima dan mempraktik nilai-nilai baru telah disalahguna dengan begitu rupa. Hasilnya, mereka menjadi mudah, dan amat suka pula meniru apa sahaja nilai baru, termasuk yang merosakkan.

Tidak ada sesiapa patut berasa hairan kalau masalah begini berlaku pada kumpulan manusia yang longgar institusi kekeluargaan dan longgar pula pegangan agamanya. Tetapi manusia Melayu tidak begitu. Kekeluargaan sentiasa menjadi urat nadi orang Melayu sehingga sukar dicari suatu bangsa lain yang mempunyai begitu banyak senarai ‘pangkat’ dalam hiraki kaum kerabat. Bagi kebanyakan bangsa, pertalian keluarga akan mula longgar pada generasi ketiga, tetapi bagi orang Melayu, ia mampu bertahan sehingga tujuh atau lapan generasi. Kita mungkin tidak mampu tinggal sebumbung sehingga tiga atau empat generasi sebagaimana yang sering berlaku dalam tradisi kekeluargaan Cina, tetapi kita mampu meneruskan kesinambungan pertalian kekeluargaan itu dengan cara kita sendiri.

Tradisi kekeluargaan yang erat itu secara langsung membentuk sistem kehidupan masyarakat yang akrab. Ajaran Islam yang memberi penekanan menyeluruh terhadap segala nilai baik, termasuk hidup bermasyarakat, dengan sendiri menyebabkan keakraban yang terbina itu menjadi lebih kuat. Dengan keakraban itu, orang Melayu biasanya berhati-hati untuk berbuat salah. Mereka takut malu pada masyarakat. Di satu pihak lain pula, masyarakat lazimnya tidak akan membenarkan mereka berbuat salah kerana pada prinsipnya kesilapan seorang akan mencacatkan semua.

Seiring dengan tradisi itu, umat Melayu umumnya komited dengan ajaran Islam. Kalaupun tidak 100 peratus, sekurang-kurangnya 99.9 peratus anak Melayu dibekalkan dengan ajaran Islam pada peringkat yang paling asas, iaitu membezakan antara yang baik dengan yang tidak, yang salah dengan yang betul dan yang halal dengan yang haram.

Di dalam sistem pendidikan kita, anak-anak Melayu mempelajari ilmu agama seawal peringkat pra-sekolahnya. Tidak memadai dengan apa yang diajar di sekolah pada sessi pengajian biasa, mereka dikehendaki menghadiri kelas-kelas agama di luar waktu sekolah.

Dengan himpunan kesemua itu, tradisi kekeluargaan dan masyarakat yang akrab serta pendidikan agama daripada peringkat awal usia, anak-anak Melayu mempunyai bekalan yang cukup untuk menghindar daripada terjebak dengan gejala-gejala buruk. Kalaupun semua yang disebutkan tadi tidak cukup untuk menjadikan mereka remaja yang baik, ia tetap lebih daripada mencukupi untuk mengelakkan mereka daripada menjadi remaja yang tidak baik.

Amat malang, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dari setahun ke setahun bilangan remaja Melayu yang sakit dan menyakitkan bangsa ini bertambah dengan banyaknya. Lingkungan kebejatan mereka juga menjadi semakin luas hingga ada kalanya kita merasakan ‘ghetto’ paling liar di Brooklyn atau ‘chicano’ paling nakaldi Bronx juga kagum kepada mereka.

Mengapa ini berlaku?

Di mana silapnya kita?

Banyak pihak berminat mengaitkan gejala sosial ini dengan arus pembangunan yang melanda negara. Pendapat yang konvensyenal ini tidaklah boleh dianggap salah. Pembangunan memang sentiasa meninggalkan dosanya ke atas setiap manusia. Suatu ketika dahulu kawasan yang merentang dari Mauritania hingga ke Pakistan, merentasi kawasan kawasan berbudaya Arab, Iran dan Turki, kebanyakannya dikuasai oleh model keluarga besar yang berkahwin dalam batasan kelompoknya sahaja. Sistem kekeluargaan mereka bersifat ‘yang tua berkuasa’, dengan institusi sosial yang berpengaruh serta hiraki yang terjalin erat.

Bagaimanapun pada penggal kedua abad ke-19, apabila komuniti-komuniti itu mula menerima angin pembangunan dari Eropah melalui skim penjajahan yang berterusan, segala nilai yang sedia ada itu mula longgar. Komuniti-komuniti itu mengalami kejutan sosial dan ekonomi yang teruk. Hasilnya, mereka mula berhadapan dengan masalah-masalah baru, bermula daripada pelanggaran adat perkahwinan di luar lingkungan keluarga hinggalah ke masalah kelahiran tanpa perkahwinan.

Keadaan yang serupa berlaku di mana-mana. Apabila mula menjadi besar dan maju, Tamadun Greek Purba terus dicemari oleh masalah-masalah sosial yang buruk sehingga rumah pelacuran berada di hampir setiap penjuru jalan. Pada era gemilangnya, Tamadun Mohenjo-Daro di Lembah Indus dipenuhi oleh sundal dan pemadat.

Alasan yang sama memang boleh digunakan dalam memperkatakan gejala kekalutan sosial di kalangan remaja Melayu. Kita memang boleh menyalahkan pembangunan.

Memang benar sewaktu negara belum bergerak maju, remaja Melayu tidak terancam sebegitu rupa. Mereka jarang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral. Kenakalan mereka masih berbatas.

Bagaimanapun apabila negara pesat berkembang, nilai nilai buruk yang tersembunyi di dalam diri mereka mula menampakkan wajahnya. Akibatnya, semakin maju negara, semakin teruk keadaan mereka; semakin tinggi tamadun bangsa, semakin mundur peribadi mereka.

Tetapi jangan salahkan kemajuan semata-mata. Ada banyak bangsa lain yang boleh maju dan pada masa yang sama berupaya meminimumkan kebejatan sosialnya. Di China, sebagai contoh, kadar kebejatannya masih rendah kalau dibandingkan dengan penduduknya yang berjumlah lebih 1.2 billion itu. Singapura juga setakat ini masih mampu bertahan dengan rekod yang tidak seburuk kita. Kalaupun ada, bohsia dan bohjannya masih tidak dapat mengatasi keberanian bohsia dan bohjan kita.

Jika contoh-contoh itu terlalu jauh, bagaimana pula dengan contoh yang ada di depan mata? Orang Cina dan India di Malaysia berada dalam situasi yang serupa dengan kita. Jika kita maju, mereka juga sama-sama maju. Jika kita diancam oleh gejala sosial yang datang bersama kemajuan itu, mereka juga tidak terkecuali. Tetapi kenapa kadar remaja mereka yang bermasalah jauh lebih rendah? Masakan jawapannya, kerana mereka lebih alim daripada kita?

Kemajuan sepatutnya dimanfaatkan. Peningkatan taraf ekonomi, keupayaan untuk hidup selesa dan kemampuan menyediakan asas pendidikan sempurna, yang turut datang bersama-sama kemajuan, seharusnya dijadikan perisai bagi menangkis ancaman-ancaman yang menggugat moral itu.

Tetapi semua itu sekadar menjadi impian yang indah. Kemajuan yang kian berkembang biak, kesempatan menimba ilmu yang semakin bertambah besar, asas pendidikan agama yang tidak pernah berkurangan, semuanya seakan gagal menyelamatkan sebahagian remaja Melayu daripada menjadi tidak senonoh.

Memang ada benarnya kenyataan bahawa kemajuan telah menghuru-harakan institusi kekeluargaan dan sistem masyarakat, lalu mengakibatkan tercetusnya pelbagai bentuk kecelaruan. Tidak dinafikan bahawa memang banyak remaja yang menjadi mangsa keghairahan ibu bapa mereka untuk maju. Kegilaan kepada kemajuan menyebabkan pertalian antara keluarga menjadi renggang dan hubungan sesama anggota masyarakat pula bertambah longgar. Masing-masing lebih senang membawa rasmi enau di dalam belukar yang cita-citanya cuma mahu melepaskan pucuk masing-masing. Mereka tidak begitu mempedulikan lagi apa yang terjadi hatta pada anak cucu sendiri.

Persoalannya ialah, kenapa sampai jadi begitu? Bukankah sama seperti anak-anak mereka, setiap ibu bapa Melayu telah diasuh untuk memilih nilai baik dan buruk sejak masih di dalam kandungan lagi? Tidakkah mereka dilahir dan dibesarkan dalam kumpulan masyarakat yang sentiasa mengutamakan norma-norma yang berteraskan kebaikan? Tidakkah ajaran Islam yang mereka miliki lebih daripada cukup untuk dijadikan panduan bagi mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang tidak elok, termasuk mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat?

Lagi sekali jawapannya mempunyai kaitan dengan sikap enggan menjengah pada perdu sendiri. Sekiranya setiap Melayu meluangkan masa merenung kembali akar budaya mereka, masing-masing pasti akan menyedari bagaimana besarnya pengabdian nenek moyang mereka terhadap nilai dan resam yang baik. Kata-kata ‘biar mati anak, jangan mati adat’ misalnya, sudah memadai untuk menggambarkan betapa komitednya orang Melayu dalam hal mempertahankan norma-norma yang mereka warisi. Semestinyalah norma-norma itu baik dan sejajar dengan tuntutan agama.

Jika setiap Melayu melapangkan masa, sebagaimana mereka melapangkan masa untuk berbual kosong di kedai kopi atau menghadap skrin televisyen untuk menonton gusti atau cerita Hindi, lalu meneliti setiap baris perkara-perkara yang menjadi suruhan dan larangan agama Islam yang mereka anuti, dengan sendiri kecelaruan yang menyerkupi mereka akan terurai. Mereka pasti akan segera sedar bahawa dilahirkan sebagai Islam itu sebenarnya adalah rahmat yang amat besar,dan ianya sudah memadai untuk menyelamatkan mereka daripada menjadi yang bukan-bukan.

Malang sekali, Melayu terlalu sibuk memandang ke hadapan sehingga melupakan tuntutan untuk menoleh ke belakang. Mereka terkejar-kejar untuk menjadi orang lain sehingga terlupa untuk menjadi diri sendiri. Mereka juga terlupa bahawa bangsa mereka sendiri mempunyai segala asas, yang jika dicerna betul-betul akan membolehkan mereka menjadi seribu kali lebih baik daripada orang lain.

Tidak ada sesiapa di dunia ini yang gembira melihat bangunan-bangunan tinggi yang dibina oleh kemajuan bangsanya menjadi tempat anak-anak muda bangsa itu mensiasiakan hidup dengan perilaku yang mencacatkan peradaban. Melayu tidak harus membenarkan kebejatan itu dilindungi oleh kilau kemilau bangunan-bangunan tersebut.

Tuntutan untuk merawat keadaan ini sebahagian besarnya terpikul di bahu semua pihak. Tetapi yang paling berat memikul bebannya pastilah pemerintah. Dalam apa juga keadaan, pemerintah tidak boleh lepas tangan begitu sahaja.

Menyalahkan golongan remaja Melayu kerana kerapuhan peribadinya adalah satu perkara. Mengungkit-ungkit kegagalan mereka menggali nilai-nilai baik daripada budaya bangsa dan agama mereka juga merupakan satu lagi perkara. Tetapi membiarkan mereka terus begitu adalah satu perkara yang lain.

Kemajuan tidak memadai dengan menyediakan segala nikmat yang bersifat material. Ia harus seimbang dengan keperluan-keperluan rohani yang bersesuaian. Tanggungjawab pemerintah untuk menyediakan keperluan rohani itu sama beratnya dengan tanggungjawab memberikan kemajuan material kepada rakyat.

Setakat manakah tanggungjawab itu telah dipenuhi?

Kita sering mendengar pemimpin-pemimpin kerajaan bercakap tentang matlamat untuk membentuk masyarakat yang stabil, lahiriah dan batiniah. Kita sering mendengar mereka menyeru supaya rakyat – dalam konteks ini, Melayu – berusaha untuk menjadi insan yang sempurna, yang mampu berjaya tanpa mencacatkan nilai-nilai moral dan kemanusiaannya. Dari situ telah timbul pelbagai istilah, umat berwawasan, insan cemerlang, masyarakat madani dan bermacam-macam lagi.

Tetapi cukupkah dengan itu?

Adakah apa yang disuarakan itu bertepatan dengan langkah-langkah yang diambil atau sebaliknya ia sekadar menjadi retorik politik semata-mata? Kita membelanjakan jumlah yang banyak untuk tujuan pembangunan. Kita persiapkan pelbagai kemudahan untuk menarik pelaburan asing. Tetapi berapakah jumlah yang diperuntukkan untuk menangani gejala sosial? Berapa banyak prasarana yang kita sediakan bagi kemudahan menangani gejala-gejala itu. Balik-balik kita cuma bergantung pada seruan pemimpin, kerja keras polis dan pencegah maksiat. Pendekatan yang digunakan terus-menerus bersifat konvensyenal, tidak seimbang langsung dengan elemen-elemen perosak yang saban hari bertambah canggih. Sudahlah begitu, usaha-usaha melaksanakan pendekatan itu pun masih kita lakukan secara sambil lewa.

Setakat sekarang, berapa keratkah pemimpin yang sedar bahawa tanggungjawab merawat bangsanya yang sakit itu lebih besar daripada kewajipan menyuapkan sudu emas ke mulut mereka? Mereka beria-ia hendak menjadi jaguh hak asasi manusia, menjadi juara di peringkat antarabangsa, menjadi hero dalam isu-isu yang membabitkan kepentingan bangsa dan umat lain di seberang laut. Mereka lupa pada kudis di kelopak mata.

Banyak remaja Melayu sedang sakit. Banyak juga ibu bapa mereka yang sedang tenat. Kita mengaku mereka mungkin silap sebab gagal membina jati diri sehingga menjadi begitu lemah dan mudah kalah pada asakan-asakan luar yang merosakkan.

Tetapi mereka berada dalam keadaan tidak sedar. Kalau sedar mereka mungkin tidak akan melakukannya. Apakah yang telah kita lakukan untuk menyedarkan mereka?

Setiap kali timbul isu yang membabitkan gejala buruk di kalangan remaja Melayu, akan kedengaranlah di sana sini suara yang bercakap mengenainya. Akan muncullah sekerat dua pemimpin yang cuba menyelesaikannya. Apa yang kita lakukan untuk menyambut usaha mereka? Setakat mana sokongan yang diberikan? Berterima kasih pun tidak. Yang sering terjadi ialah kita menjuihkan bibir sehingga akhirnya si pemimpin itu malu sendiri dan menghilangkan diri.

Kita juga kerap mendengar penubuhan jawatankuasa itu dan jawatankuasa ini, badan itu dan badan ini, yang kononnya bertujuan menangani masalah sosial di kalangan remaja Melayu. Apakah kesudahannya? Setakat mana kejayaannya? Adakah cukup setakat menggelengkan kepala apabila membaca berita remaja Melayu membuang anak di dalam tandas atau di tepi jalan?

Dalam hubungan ini perlu rasanya ditanya, tidak bolehkah organisasi-organisasi yang membabitkan Melayu, sama ada NGO atau bukan, parti pemerintah atau pembangkang, melupakan apa sahaja perbezaan antara mereka dan kemudian duduk semeja untuk mencari jalan menangani isu yang kronik ini? Berat sangatkah untuk berbuat begitu? Besar sangatkah dosanya? Adakah ketidak serasian fahaman antara organisasi itu lebih penting dan lebih mulia dipertahankan daripada kehormatan bangsa sendiri?

Masalah ini membabitkan semua Melayu, jadi penyelesaiannya juga harus melibatkan semua Melayu. Selagi tidak ada kerjasama padu ke arah itu, jangan haraplah ianya akan dapat diselesaikan. Paling lebih, usaha-usaha mengatasinya hanya akan menjadi bahan cemuhan, bukan daripada kalangan bukan-Melayu, tetapi daripada Melayu-Melayu lain yang tidak terlibat dengan usaha tersebut.

Perspektif dan pradigma kita terhadap soal ini memerlukan perubahan yang total. Ia tidak boleh lagi dianggap isu iseng-isengan yang peranannya cuma setakat untuk mempopularkan seorang dua tokoh. Kita perlukan komitmen yang lebih daripada itu.

Kita telah pernah melancarkan perang untuk membasmi kemiskinan. Alhamdulillah, kita boleh dikatakan berjaya, walaupun banyak lagi yang perlu dilakukan.

Langkah yang sama perlu untuk mengatasi masalah masalah sosial yang membabitkan remaja Melayu. Kita patut berjihad ke arah itu. Patut berganding bahu. Patut bersatu. Tetapi ini tidaklah bermakna kita perlu menangkap dan menghukum semata-mata. Tidak juga bererti kita mesti mengharamkan yang itu dan yang ini. Tanggungjawab kita lebih besar daripada itu.

Remaja Melayu, seperti ibu bapanya juga, berada dalam keadaan sedang terkejut. Kemajuan dan kesenangan mendadak menyebabkan mereka terkapa-kapa. Dalam keadaan bingung begitu mereka tidak mampu membuat keputusan. Mereka akan bertindak melakukan apa sahaja yang difikirkan betul.

Kejutan besar itu telah melekakan mereka. Kejutan itu menyebabkan mereka lupa pada perisai dan benteng yang mereka ada.

Mereka tidak patut dihukum dengan membiarkan masing masing terus hanyut dalam kemelut itu. Mereka perlu dibantu. Perlu disokong. Perlu disedarkan.

Pada masa-masa akan datang pemerintah sepatutnya lebih berhati-hati dalam merangka dan melaksanakan sesuatu projek pembangunan. Jangan berikan tumpuan pada kepentingannya terhadap sektor ekonomi sahaja. Kajian menyeluruh juga harus dibuat terhadap kesan sosial yang mungkin dicetuskannya. Tidak ada salahnya berbelanja lebih sedikit untuk tujuan itu. Jangan sekadar memikirkan berapa banyak peluang pekerjaan yang bakal disediakan oleh projek itu, tetapi fikirkan juga berapa banyak anak Melayu yang akan jahanam kerananya.

Persiapan untuk memantau harus dibuat lebih awal. Janganlah menanti sehingga terhantuk. Ambil sahaja kes kewujudan arked-arked video haram, dan arked berlesen yang menjalankan aktiviti perjudian. Keseronokan mengutip wang lesen yang tidak seberapa menyebabkan kita membiarkan pusat-pusat aktiviti tidak sihat itu merosakkan remaja kita untuk tempoh yang cukup lama. Selepas semuanya menjadi barah, baru kita bertindak. Hasilnya? Kita diketawakan.

Dalam keghairahan melaksanakan projek-projek yang telah dan sedang dirangka, perhatian besar harus diberi pada aspek pembinaan rohani anak-anak Melayu. Mereka perlu dipupuk supaya mempunyai kekuatan mental. Mereka perlu diasuh supaya berani berkata tidak kepada apa sahaja pengaruh yang tidak elok.

Kita tidak bermaksud mengatakan ada projek-projek pembangunan yang dilaksanakan setakat ini membawa kesan buruk pada struktur sosial orang Melayu. Secara positif kita menganggap apa sahaja yang dilakukan adalah baik.Bagaimanapun nilai kebaikan itu harus ditambah dengan menutup sama sekali ruang-ruang yang dianggap boleh membawa elemen buruk.

Kita sedar bahawa dengan kecanggihan teknologi sekarang, pengaruh buruk itu mempunyai seribu juta jalan untuk menyerang manusia. Untuk menjadi rosak, remaja kini tidak perlu keluar berkeliaran di pusat karaoke atau pusat snooker. Mereka boleh menjadi rosak hanya dengan menekan punat televisyen atau papan kekunci komputer.

Kesimpulannya, biar jalan mana pun yang ditutup, akan ada jalan lain yang boleh dibolosi oleh pengaruh-pengaruh tersebut. Tetapi kekhuatiran terhadap kemungkinan berlakunya pembolosan-pembolosan itu tidak bererti kita harus menghentikan usaha menutup laluan-laluan berkenaan.

Kecanggihan teknologi juga tidak mengizinkan lagi kita menjalankan sistem pemantauan secara bermusim. Ianya perlu dilakukan setiap hari dan sepanjang masa. Pendekatan pendekatan yang ada harus sentiasa dikaji kesesuaiannya dengan arus perdana. Apa yang kelihatan amat sesuai lima tahun dahulu barangkali sekarang ini sudah menjadi amat lapuk dan ketinggalan.

Program, projek dan dasar yang sedia ada banyak yang perlu dijenguk semula. Keberkesanan dasar pendidikan misalnya, tidak harus diukur daripada segi pencapaian lahiriah semata-mata. Roh Falsafah Pendidikan Negara perlu diambil kira. Kita perlu bertanya sehingga kini setakat mana falsafah tersebut berjaya menyumbang ke arah pembentukan generasi yang boleh dipertanggungjawabkan?

Kira-kira tujuh tahun lalu kita melancarkan Program Rakan Muda. Dan program itu tidak pernah mati. Nasibnya sahaja agak kurang baik dan akibatnya ia sering tenggelam timbul mengikut arus.

Tujuh tahun dahulu, idea mewujudkan program seperti itu memang canggih. Tetapi apabila berlaku pertukaran menteri, projek itu menjadi hilang serinya. Gahnya hilang. Kehebatannya pudar. Pelaksanaannya selepas itu menjadi seperti melepaskan batuk di tangga.

Ini juga satu lagi penyakit. Tradisi menazakkan, atau memendekkan nyawa projek-projek yang baik selepas berlaku pertukaran pemimpin patut dihentikan. Ia tidak menyumbang apa-apa selain daripada membazirkan hak rakyat, di samping menjadikan fikiran mereka bertambah bercelaru.

Kebelakangan ini, mungkin selepas melihat begitu banyak gejala buruk menyerang remaja, timbullah usaha untuk memberikan nafas baru kepada Program Rakan Muda itu.

Usaha itu patut dihargai. Tetapi selepas tujuh tahun masihkah program itu relevan? Adakah kajian terperinci dibuat untuk menentukan kesesuaiannya dengan kehendak remaja sekarang? Pernahkah kita bertanya, bagaimana keberkesanannya dalam penggal pertamanya dahulu? Apakah ia benar-benar mampu membantu menangani masalah remaja, atau sebaliknya membawa hasil yang cuma ala-kadar?

Perkara-perkara beginilah yang perlu dititik beratkan. R & D tidak boleh dijadikan momokan untuk mencantikkan kertas kerja. Ia perlukan keikhlasan. Ia juga menuntut ketelusan. Masa untuk kita melakukan percubaan, dan kemudian kesalahan, telah berlalu. Masalah yang kita hadapai sekarang ini terlalu besar dan tidak membenarkan kita membuang masa memperbaiki kesalahan yang sama secara berulang-ulang.

Kejayaan anak-anak Melayu dalam pelbagai lapangan ilmu seperti yang ditegaskan pada bahagian awal bab ini tidak boleh dijadikan sebab untuk terus mendabik dada. Nisbah pencapaian mereka masih kecil jika dibandingkan dengan bukan-Melayu. Di samping berbangga dengan kejayaan kejayaan yang sedikit itu pula, kita harus melihatnya dengan skop yang lebih besar. Dengan perkataan lain, dalam meratapi anak-anak Melayu yang pincang, kita perlu juga bertanya, bagaimana wajah sebenar anak-anak Melayu yang berjaya? Kukuhkah peribadi mereka?

Sebahagian besar daripada anak-anak Melayu yang berjaya ini akan menyertai kumpulan iktisas. Mereka akan bertanggungjawab menjadi penggerak dan pemacu bangsa ke arah yang lebih baik. Mampukah mereka melakukannya? Bolehkah mereka dipercayai? Amanahkah mereka? Bersihkah mereka? Atau apakah kecemerlangan mereka cuma di atas kertas, sedangkan realitinya mereka gagal menjadi Melayu yang dituntut?

Dengan melupakan sekejap kisah pemimpin Melayu yang korup dan tidak boleh diharap, kita juga telah cukup mual dengan cerita profesional yang boleh dijual beli, pegawai yang korup, petugas yang bermuka masam, karenah birokrasi yang bukan-bukan dan beranika kisah buruk yang lain. Ia tidak menjadi persoalan besar jika membabitkan orang lain. Tetapi apabila ianya membabitkan Melayu, kita berhak menganggap ada sesuatu yang masih tidak kena. Sekaligus kita berhak bertanya, apakah kejayaan-kejayaan yang dicapai sehingga membolehkan mereka berada pada kedudukan-kedudukan itu, telah melunturkan segala nilai Melayu dan Islam yang mereka warisi, yang jika diamalkan dengan sempurna pasti menjamin bentuk kehidupan yang teratur, licin, bersih dan murni.

Jika masalah ini berlaku pada anak-anak Melayu yang kurang berilmu, tidak sukar untuk kita memahaminya. Tetapi apabila ia terjadi pada kumpulan yang berpendidikan tinggi, tanda tanya mengenainya sudah tentu akan menjadi sangat besar.

Dan apabila Melayu-Melayu yang hebat ini tidak berupaya memberikan contoh yang baik, bagaimanakah kita boleh mengharapkan Melayu yang terpinggir boleh menjadi cemerlang? Setelah mereka tidak lagi boleh mencontohi bangsa sendiri, salahkah jika mereka mencontohi orang lain?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: