Mencari platform bela Melayu

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
(WARTAWAN UTUSAN)

Sebahagian peserta tekun mendengar pembentangan kertas kerja pada Kongres Permuafakatan Melayu yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, semalam.



BANYAK pihak yang tidak faham apabila penganjur Kongres Permuafakatan Melayu nekad untuk mengetepikan peranan parti politik Melayu dalam satu perbincangan untuk mencari jawapan mengenai kedudukan bangsa Melayu terutamanya dari sudut kebulatan hati orang Melayu untuk mengembalikan martabat bangsa.

Mereka yang tidak bersetuju dengan pendekatan tersebut percaya hanya parti politik Melayu mampu menjadi platform untuk mengangkat kedudukan bangsa Melayu dan memperjuangkan hak-hak orang Melayu. Me- reka tidak nampak jalan lain kecuali parti politik yang mampu berbuat demikian.

Namun bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung di bawah usaha Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), kepercayaan kepada parti politik untuk berfungsi sebagai hero perjuangan Melayu semakin luntur malah kepudarannya amat terserlah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, baru-baru ini.

Lantas mereka bersepakat untuk berhenti menggantung harapan kepada parti politik dan membentuk permuafakatan sebagai wadah alternatif ke arah menggerakkan misi me- ngembalikan perjuangan Melayu serta memastikan bangsa Melayu tidak dipinggirkan di negara sendiri.

Sebab itu kongres yang bermula semalam tidak membariskan ahli-ahli politik sebagai pembicara kongres biar pun mereka petah berbicara serta bijak menawarkan janji-janji. Semalam bermulalah usaha memperkatakan tentang nasib bangsa di kalangan mereka yang berlatar belakangkan akademik, budayawan, sejarahwan malah sasterawan tidak ketinggalan tokoh-tokoh ekonomi yang amat prihatin tentang nasib Melayu berikutan perkembangan mutakhir ini.

Mereka membentuk muafakat untuk mencari berkat perjuangan Melayu yang diyakini telah diabaikan sejak sekian lama oleh parti- parti politik Melayu yang terlalu asyik memperjuangkan agenda sahsiah sehingga secara ‘tidak sengaja’ mengabaikan nasib bangsa sendiri.

Dewan Tanjung Puteri Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor yang dibanjiri wakil daripada 195 NGO Melayu memulakan perbincangan perihal Kedaulatan Politik Melayu untuk menjawab persoalan siapa sebenarnya yang boleh menjadi benteng serta penggerak usaha mengangkat martabat berikutan kepercayaan terhadap parti politik Melayu yang semakin meluntur.

Begitu juga dengan persoalan benarkan ke- daulatan Melayu tercabar atau kuasa politik Melayu yang tercabar mengambil kira kesan pilihan raya umum baru-baru ini.

Bagi Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff jawapannya mudah dan ringkas. Jika satu masa dulu UMNO sebagai parti politik Melayu dilihat sebagais satu-satunya wadah atau kenderaan untuk mempertahankan kedaulatan politik Melayu, sekarang ia tidak lagi berperanan begitu.

Beliau secara berterus terang menegaskan bahawa perkembangan terkini membentuk persepsi dan juga realiti bahawa UMNO bukan sahaja lemah malah tidak boleh jadi tempat bergantung atau menaruh harapan. Ini kerana UMNO memerlukan rawatan dalaman untuk membetulkan pelbagai kelemahan yang telah merosakkan parti itu tanpa disedari selain membina semula imejnya yang kini tercalar akibat keputusan pilihan raya Mac lalu.

Mohammad Agus melihat betapa UMNO mesti merapatkan jurang pemikiran antara rakyat dan pemimpin yang semakin jauh sehingga akar umbi percaya bahawa pemimpin mereka adalah golongan elit yang semacam jelek untuk turun mendekati masyarakat bawahan dan membuat dasar serta pengumuman dari singgahsana tanpa mengetahui apa sebenarnya penderitaan rakyat.

“UMNO perlu mengizinkan perbezaan politik, mendemokrasikan parti, menghapuskan pembodek, pengampu dan perasuah dalam parti. UMNO mesti kembali memaksikan perjuangannya kepada memartabatkan bangsa, agama dan negara bukannya mementingkan peribadi dan individu, mendengar sanubari rakyat yang bersuara serta mencari pendekatan lain yang lebih kreatif bagi memacukan parti ke depan,” katanya.

Hakikatnya, kata-kata Muhammad Agus itu merujuk kepada kemelut yang membelenggu UMNO selama ini sehingga menjadi punca parti itu gagal berfungsi untuk memartabatkan bangsa jauh sekali mengangkat kedudukan orang Melayu ke satu paras yang sepatutnya biar pun mereka melaung-laungkan kononnya telah berbuat demikian.

Muhammad Agus yang sering menyorot perkembangan politik tanah air berkata, oleh kerana UMNO dilihat telah gagal menjalankan fungsi serta peranannya dan jika peluang untuk memperbaiki diri tidak dimanfaatkan sepenuhnya maka bangsa Melayu terpaksa mencari alternatif untuk memastikan ia tidak merempat di negara sendiri dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain.

Katanya, data pilihan raya jelas menunjukkan bahawa sokongan orang Melayu kepada politik UMNO amat jauh berubah begitu juga dengan sokongan mereka kepada politik Barisan Nasional (BN).

Beliau menggariskan beberapa persoalan serta huraian tentang siri kesilapan UMNO dalam mendaulatkan martabat Melayu antara lain sejauh mana usaha UMNO selama 50 tahun memerintah negara untuk memperkasakan Dasar Ekonomi Baru agar lebih telus dan terbuka sehingga dasar yang dimanfaatkan oleh kelompok kecil Melayu itu dilihat oleh bangsa-bangsa lain sebagai ketidakadilan kepada mereka.

Begitu juga dengan soal-soal pendidikan, pindaan Perlembagaan yang mengurangkan kuasa raja-raja Melayu, serta tindakan mengalibabakan projek-projek yang menurut Muhammad Agus dipelopori oleh UMNO sendiri. Justeru anak kelahiran Kelantan itu membuat kesimpulan ini: ”Kita tidak fikir kedaulatan politik Melayu akan terhakis dengan merosotnya UMNO. Ini kerana pada hari ini UMNO telah jauh dengan rakyat.”

Beliau menyambung, jika dahulu kita diberitahu supaya menganggap UMNO adalah hak kita, tetapi kita adalah hak UMNO sebagai garis perjuangan utama Melayu yang di- terima oleh majoriti Melayu. Malangnya, menurut beliau, yang bercakap tentang ketuanan Melayu adalah orang yang telah kaya, yang mempunyai wang berjuta dan paling penting orang yang bercakap itu mempunyai hubungan yang amat longgar dengan rakyat biasa.

Beliau juga melihat UMNO sebagai gagal untuk membina institusi Melayu yang dapat membela Melayu tidak seperti 30 tahun lalu di mana pada waktu itu UMNO menubuhkan Tabung Haji, Majlis Amanah Rakyat dan Agensi Pembangunan Bandar.

“Yang kita dengar pada hari ini ialah UMNO membina banyak projek mega yang keuntungannya dikaut oleh kroni,” katanya.

Bekas Pengerusi Penerbangan Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman pula melihat kelemahan UMNO sebagai kesempatan untuk bangsa-bangsa lain menegakkan agenda mereka sehingga ke satu peringkat yang amat menduga maruah bangsa Melayu terutama dari sudut Perlembagaan negara.

Ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Kedaulatan Perlembagaan Malaysia, beliau membangkitkan lima perkara utama yang sering dihujahkan oleh kaum-kaum lain yang melihat bangsa Melayu terlalu mendapat keistimewaan di negara ini.

Katanya, bangsa-bangsa lain percaya bahawa orang Melayu berpegang kepada prinsip ketuanan Melayu dan menganggap mereka le- bih berkuasa dalam urusan negara. Mereka berpendapat bahawa sekiranya orang Melayu terus berpegang pada prinsip itu ada kemungkinan cita-cita kerajaan untuk mewujudkan perpaduan antara kaum tidak akan tercapai lantas suasana politik juga menjadi tidak stabil.

Menurut Abdul Aziz, bangsa-bangsa lain juga semakin kerap mengetengahkan pendapat bahawa mereka adalah warganegara yang berhak mendapat layanan adil di bawah Perlembagaan dan tidak sepatutnya ada diskriminasi selain tanggapan bahawa mereka juga menempuh banyak rintangan seperti tidak mendapat biasiswa serta sukar melanjutkan pengajian di universiti awam.

Paling menyakitkan apabila orang bukan Melayu menganggap bahawa keistimewaan yang dinikmati oleh Melayu di bawah Perlembagaan ada bersifat sementara dan bertentangan dengan hak asasi manusia, oleh itu selepas 50 tahun merdeka peruntukan tersebut patut dihapuskan.

Orang bukan Melayu juga mendakwa bahawa mereka telah menyumbang dengan banyaknya untuk membangunkan negara dan Malaysia maju hasil usaha mereka – sepatutnya mereka diberi hak yang sama.

Abdul Aziz menarik perhatian di sebalik dakwaan dan tanggapan oleh kaum-kaum lain itu, hakikat paling nyata ialah sumbangan orang Melayu terhadap pembangunan negara mereka amat tertinggal dari sudut ekonomi dan terpinggir di negara sendiri sehingga menduduki tangga ke bawah dalam catatan pertumbuhan ekonomi, pekerjaan, pendapatan, paras kemiskinan dan kepunyaan harta.

Oleh itu, beliau melihat orang Melayu sebagai tidak mempunyai pilihan sebaliknya bersedia untuk mempertahankan hak istimewa mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, mempertahankan ketuanan Melayu dengan berpandu pada sejarah, mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu yang tunggal sebagai bahasa rasmi serta mempertahankan juga kesucian agama Islam dan ke- dudukannya. Hakikatnya peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Negeri mesti dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengembalikan kedaulatan Melayu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: