PERUBAHAN DAN DINAMIKS BUDAYA MELAYU

Wan Abdul Kadir Wan Yusoff
Akademi Pengajian Melayu
Universiti Malaya

Pemerintah kolonial membangunkan bandar-bandar moden di negara ini sebagai pusat kegiatan ekonomi. Malahan, campur tangan pemerintah kolonial dalam politik kerajaan Melayu adalah atas kepentingan ekonomi. Bandar-bandar yang dibangunkan oleh pemerintah kolonial menumpukan perhatian kepada pembangunan ekonomi. Pembangunan bandar-bandar itu, misalnya pembinaan kemduahan-kemudahan asas ialah sebagai usaha pelaburan dalam membangunkan ekonomi. Pusat-pusat pelabuhan yang dahulunya di bawah kawalan raja-raja Melayu telah diambil alih oleh pemerintah kolonial dengan kepentingan kuasa pemerintahan kolonial itu.

Pemerintah kolonial menggunakan ilmu pengetahuan sebaiknya untuk membolehkan mereka menguasai orang Melayu dari segi politiknya. Pegawai-pegawai Inggeris berusaha melakukan penyelidikan tentang orang Melayu yang kemudian membolehkan mereka memahami dan menguasai orang Melayu. Mereka menyedari bahawa dengan menguasai ilmu pengetahuan tentang orang Melayu adalah paling berkesan dalam mengembangkan pengaruh mereka kepada penduduk tempatan.

Kolonial British berusaha membangunkan bandar-bandar moden sebagai pusat kegiatan ekonomi mereka di rantau ini. Asas pembangunan bandar-bandar moden itu amat menekankan tentang kepentingan ekonomi sehingga kepentingan orang Melayu tidak diberikan perhatian sewajarnya. Kepentingan ekonomi itu selalu dilihat sebagai matlamat utama yang mempengaruhi kegiatan British itu di negara ini. Seterusnya, mereka berusaha mengawal pembangunan bandar-bandar moden itu secara langsung. Raja-raja Melayu yang semakin berkurang kuasa mereka tidak dapat memainkan peranan dalam mempengaruhi pembangunan bandar-bandar moden itu. Untuk meningkatkan pembangunan bandar-bandar moden itu, kemasukan kumpulan-kumpulan ethnik Cina dan India kemudian memainkan peranan penting. Sedangkan orang-orang Melayu dominan dalam sektor tani di luar bandar.

Secara umumnya, bandar-bandar moden itu menyatakan sifat kosmopolitannya. Dalam keadaan ini pemerintah kolonial British kurang memberikan tumpuan dalam menentukan pembangunan budaya bandaran bersesuaian dengan penduduk bandar yang sedang pesat membangun itu. Malahan, pengawasan utama dalam pembangunan bandar-bandar itu ialah dari segi keselamtan politiknya. Dalam keadaan ini pembangunan bandar-bandar moden itu berbeza daripada pusat-pusat pelabuhan yang dibangunkan oleh kerajaan Melayu dahulu. Budaya bandaran yang dibangunkan oleh pemerintah kolonial itu tidak menyatakan identiti Melayu sebagai penduduk utama di negara ini.

Dalam usaha membina penyatuan berbagai-bagai kumpulan ethnik di bandar, pemerintah kolonial, berusaha membina budaya kolonial. Memupuk nilai-nilai baru, iaitu membina konsep moden yang merujuk kepada tamadun barat didapati sangat berkesan dalam mempengaruhi budaya penduduk tempatan. Gaya hidup barat menjadi impian penduduk tempatan. Melalui pemupukan nilai-nilai ini, pemerintahan kolonial berjaya menyalurkan konsep kemodenan melalui budaya barat itu kepada penduduk negara ini yang terdiri daripada berbagai-bagai kumpulan ethnik. Penyaluran unsur-unsur budaya yang dianggap moden itu sangat berkesan di kalangan penduduk bandar yang terdiri daripada berbagai-bagai kumpulan ethnik.

Budaya kolonial didapati mudah mempengaruhi dalam pembangunan bandar-bandar moden di negara ini. Selain itu, melalui pendidikan moden yang berkembang pesat di bandar-bandar, khususnya sekolah-sekolah Inggeris, nilai-nilai sosial memandang tinggi terhadap kemajuan barat dapat dipupuk dan disalurkan dengan berkesan. Malahan golongan elit Melayu yang dilahirkan melalui pendidikan Inggeris sangat terpengaruh dengan kemodenan dan kemajuan barat. Pemikiran mereka juga menyatakan kesan-kesan kekuatan pengaruh barat itu.

Barat dianggap sebagai model kemajuan dan kemodenan, terutama dalam bidang pendidikan dan kemajuan sains dan teknologi. Dengan teknologi moden yang dibawa oleh pemerintah kolonial ke negara ini memperkukuhkan lagi keyakinan penduduk tempatan terhadap kemajuan yang dicapai oleh barat itu. Namun, kesan kemodenan dan kemajuan itu meliputi juga bidang budaya atau gaya hidup. Budaya barat, serta gaya hidup orang-orang barat itu lebih mudah mempengaruhi kehidupan penduduk tempatan. Kemodenan dan kemajuan barat cuba dinyatakan melalui perlakuan dan tindakan penduduk bandar yang sedang pesat membangun itu.

Pembangunan bandar-bandar moden selalu diperkatakan kurang melibatkan orang-orang Melayu. Peluang terbuka luas kepada orang-orang bukan Melayu untuk turut melibatkan diri dengan pembangunan bandar-bandar moden oleh pemerintah kolonial itu. Orang Melayu, terutama rakyat jelata adalah dominan di luar bandar dan terlibat dalam kegiatan ekonomi tani secara kecil-kecilan sebagaimana mereka warisi sejak zaman berzaman. Mereka kurang berminar dengan pembangunan bandar-bandar moden. Malahan, mereka sudah merasakan berpuas hati dengan ekonomi secukup hidup itu.

Orang Melayu yang tinggal di bandar-bandar moden itu kecil bilangannya berbanding dengan kumpulan-kumpulan ethnik yang mendatang. Golongan elit, bangsawan tradisional yang terlibat dalam kegiatan ekonomi maritim di pusat-pusat pelabuhan tradisi tidak lagi aktif dalam bidang perdagangan apabila kedatangan pemerintah kolonial. Mereka ini diberi elaun oleh pentadbiran British. Anak-anak golongan elit itu pula dididik melalui pendidikan moden Inggeris. Mereka itu kemudian memegang jawatan-jawatan tertentu dalam jentera pentadbiran British sebagai pegawai kerajaan. Mereka ini mempunyai pemikiran yang dipengaruhi dengan ideologi pemerintah kolonial. Mereka memuji dan memandang tinggi barat. Malahan, gaya hidup mereka adalah sangat terpengaruh dan mudah meniru gaya hidup orang-orang barat. Kemodenan itu tertumpu terhadap kemajuan yang ditunjukkan oleh orang-orang barat.

Pembangunan bandar-bandar moden itu membina budaya baru yang bersesuaian dengan perkembangan penduduk yang berbilang kumpulan ethnik. Bandar-bandar moden itu sebagai pusat kegiatan ekonomi, juga merupakan pusat perubahan budaya. Tradisi budaya Melayu tidak dapat dipupuk dan dipertahankan di bandar-bandar moden itu. Pemerintah kolonial berusaha menyalurkan nilai-nilai barat, terutama budaya barat itu dianggap moden dan maju. Budaya barat yang mudah mempengaruhi penduduk bandar itu merupakan faktor penting dalam membina integrasi berbagai-bagai kumpulan ethnik. Masing-masing dapat menerima budaya barat sebagai moden dan maju bersesuaian dengan perkembangan semasa.

Kedudukan bandar-bandar moden itu terletak di luar kawalan raja-raja Melayu. Perkembangan budaya di bandar-bandar moden itu kurang menekankan kepentingan tradisi budaya Melayu dan Islam. Pemerintah kolonial mempunyai ukuran mereka tersendiri dalam menentukan perkembangan bandar-bandar moden itu. Dalam keadaan ini, perkembangan ekonomi kapitalis itu juga mempengaruhi perkembangan budaya bandaran itu.

Di bandar-bandar itu juga pesatnya berkembang kegitan yang dianggap bercanggah dan tidak bersesuaian dengan nilai-nilai Islam dan tradisi budaya Melayu. Misalnya pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, pelacuran, perjudian dan minuman keras serta menghisap candu. Melalui penghasilan kesusasteraan Melayu waktu itu, gambaran tentang bandar-bandar moden itu adalah sebagai pusat kegiatan maksiat. Bandar sebagai pusat pembangunan budaya moden selalu dikaitkan dengan maksiat dan adalah tidak sesuai dengan orang-orang Melayu. Melalui pernyataan hasil sastera Melayu, bandar-bandar moden itu dilihat sebagai pusat perkembangan budaya semata-mata. Bandar tidak pernah dilihat sebagai pusat pembangunan ekonomi.

Orang Melayu selalu melihat bandar itu berbeza sekali dengan kampung. Perbezaan itu selalu dinilai dari segi sosio-budaya. Misalnya, bandar sebagai pusat maksiat sedangkan kampung menyatakan kemurnian, kesucian dan harmoni. Oleh itu hidup di kampung lebih “selamat”, tenang dan menyatakan kekuatan amalan keagamaan. Kesempurnaan hidup itu hanyalah di kampung. Sedangkan hidup di bandar itu dianggap sentiasa terdedah kepada maksiat yang boleh membawa kekacauan, “kotor” dan merenggangkan seseorang itu dengan ikatan keagamaan. Nilai-nilai yang dibina dan dipupuk demikian kurang mendorongkan orang Melayu untuk berpindah ke bandar. Mereka lebih selesa dan senang hidup di kampung walaupun mereka menghadapi tekanan ekonomi. Di kampung mereka dapat meneruskan amalan tradisi, sedangkan tidak lagi terdapat di bandar. Gaya hidup orang bandar berbeza sama sekali dengan gaya hidup orang kampung. Kehidupan di kampung berusaha mempertahankan tradisi, sedangkan gaya hidup orang bandar lebih banyak meniru gaya hidup orang-orang barat. Gambaran kehidupan di kampung dan di bandar yang berbeza itu mempengaruhi nilai dan world-view orang Melayu umumnya.

Dalam kehidupan orang Melayu di bandar yang sangat menekankan tentang gaya hidup moden dan maju berlandaskan gaya hidup orang-orang barat didapati amat mempengaruhi nilai dan world-view mereka. Bagi menyesuaiakan dengan nilai-nilai yang dianggap moden dan maju itu, didapati adakala orang Melayu kurang menimbangkan tentang nilai-nilai Islam dan tradisi budaya Melayu. Mereka sanggup menerima dan meniru perlakuan yang dianggap moden dan maju itu walaupun bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Perkembangan pendidikan sekular, terutama sekolah-sekolah Inggeris memperkukuhkan lagi dalam memberikan anggapan kemajuan dan kemodenan itu berasaskan tamadun barat. Orang-orang bandar berusaha meniru budaya barat sebagai perkembangan budaya bandar.

Budaya bandaran menyatakan perubahan yang dilalui penduduknya. Perkembangan budaya bandaran sangat membimbangkan orang-orang Melayu. Kesannya bukan sahaja boleh melemahkan tradisi budaya Melayu, tetapi boleh mempengaruhi orang-orang muda yang mudah terikut-ikut dengan unsur-unsur budaya yang tidak bersesuaian dengan nilai-nilai Islam dan tradisi budaya Melayu. Kebimbangan mereka itu disuarakan dalam akhbar-akhbar tempatan, tentang berbagai-bagai isu yang dianggap boleh membawa kesan-kesan buruk kepada orang-orang Melayu. Antara kebimbangan yang disuarakan itu termasuklah persoalan pakaian dan perhiasan diri yang terpengaruh dengan budaya barat tanpa menimbangkan tradisi budaya Melayu. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa batasan boleh membawa kesan-kesan sosial yang sangat membimbangkan. Tempat-tempat hiburan yang menjadi pusat kegiatan maksiat semakin bertambah di bandar-bandar dan perkara ini juga menjadi kebimbangan kepada orang-orang Melayu.

Melihat kepada pertumbuhan budaya bandaran yang semakin mempengaruhi orang-orang Melayu itu sehingga kurang mengambil perhatian tentang tradisi budaya Melayu dan Islam merupakan sebahagian daripada kesedaran yang berkaitan dengan semangat kebangsaan orang Melayu. Orang Melayu merasa bimbang tentang kedudukan budaya Melayu dan Islam yang semakin diketepikan oleh pemerintah kolonial. Pembangunan bandar-bandar moden tidak memberikan perhatian kepada budaya Melayu dan Islam. Perkembangan seperti ini membawa kesan yang kurang baik kepada orang-orang Melayu. Kedudukan Melayu di negara ini dirasakan semakin kurang diberikan perhatian oleh pemerintah kolonial.

Dalam perkembangan bandar-bandar moden itu, sebagai pusat kegiatan ekonomi dan pemerintahan kolonial, meletakkan kedudukan orang Melayu hanya di peringkat kampung yang terlibat dengan kegiatan tani. Suasana ini seterusnya membina image Melayu dan identiti Melayu itu hanya dengan kampung dan budaya tradisi. Mereka tidak terlibat dengan pembangunan dan kemodenan. Seterusnya usaha membangunkan orang-orang Melayu tidak pernah mendapat perhatian pemerintah kolonial. Pemerintah kolonial ingin membina masyarakat negara ini berasaskan kumpulan-kumpulan ethnik yang terpisah antara satu kelompok dengan satu kelompok yang lain.

Dalam keadaan yang terbatas itu, orang Melayu tidak mempunyai peluang untuk turut terlibat dalam pembangunan bandar-bandar moden yang seterusnya dapat memberi peluang mereka memperbaiki diri dalam berbagai-bagai bidang lain, seperti pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Mereka dipupuk dengan nilai-nilai tradisi, mempertahankan tradisi tanpa mengambil perhatian tentang pembangunan negara dan perubahan yang dilalui masyarakat-masyarakat lain di bandar-bandar moden yang dibangunkan oleh pemerintah kolonial. Berikutan dengan ini orang-orang Melayu menyedari kedudukan mereka yang lemah dalam berbagai-bagai bidang berbanding dengan kumpulan-kumpulan ethnik lain. Kesedaran ini dianggap penting dalam mempengaruhi orang Melayu dalam menghadapi pembangunan dan kemodenan kemudian.

Memahami kelemahan yang dihadapi orang Melayu, dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan negara, mereka mempunyai harapan dan hasrat yang tinggi untuk meningkatkan kedudukan Melayu dalam negara yang merdeka. Bagi mengisi kemerdekaan, orang Melayu memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negra ini. Dalam bidang pembangunan ekonomi pula, kerajaan menumpukan usaha untuk memperbaiki kedudukan orang-orang Melayu di kawasan luar bandar. Berikutan dengan orang Melayu dominan dalam sektor tani, tumpuan pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan itu juga ialah untuk meningkatkan kegiatan tani di kalangan orang Melayu. Berbagai-bagai kemudahan asas disediakan. Walau bagaimanapun pembangunan pendidikan adalah dianggap penting bagi membawa orang-orang Melayu mengalami perubahan. Dalam rancangan pembangunan itu, kesan penting ialah perubahan nilai dan pemikiran orang Melayu itu sendiri. Mereka menghadapi tekanan persaingan yang semakin ketara, terutama dalam mereka menghadapi proses urbanisasi dan modenisasi. Melalui nilai-nilai baru yang dipupuk dapat membawakan mereka kepada suasana perubahan yang jelas.

Kesan pemerintahan kolonial dalam pembangunan bandar-bandar moden adalah berpanjangan dan tidak mudah untuk dirancang bersesuaian dengan hasrat dan harapan orang-orang Melayu. Budaya bandaran yang telah sekian lama dibina mempunyai sifat-sifatnya tersendiri yang berbeza daripada tradisi budaya Melayu yang terdapat di kampung-kampung. Penduduk tempatan terus memandang tinggi dan menghormati segala unsur budaya yang dibawa dari negara-negara maju. Nilai-nilai yang dipupuk semasa pemerintahan kolonial itu terus memainkan peranan penting dalam menentukan perkembangan budaya tempatan. Bandar-bandar moden yang berperanan sebagai pusat perubahan budaya, sentiasa melakukan perubahan dan penyesuaian mengikuti perkembangan dan perubahan yang berlaku di pusat-pusat kemajuan dan pembangunan kemodenan. Proses peniruan dan penyesuaian budaya barat dengan keperluan penduduk tempatan terus berlaku. Generasi muda yang berusaha menentukan jatidiri mereka, terdedah dengan kemajuan dan kemodenan yang didatangkan dari barat selalunya amat peka dengan perubahan yang berlaku itu. Golongan ini juga yang mudah meniru dan terpengaruh dengan perkembangan budaya yang dibawa dari negara-negara maju itu.

Barat sebagai negara maju merupakan pusat perkembangan industri budaya. Unsur-unsur budaya telah berubah menjadi bahan-bahan budaya yang dikeluarkan oleh industri budaya secara besar-besaran, misalnya dalam bidang hiburan, seperti muzik dan filem. Industri budaya mereka dapat berkembang dengan baik kerana pasarannya yang luas. Bahan-bahan budaya yang dikeluarkan di pusat-pusat bandar di barat itu dapat tersebar luas. Malahan negara-negara yang sedang membangun juga merupakan pasaran bahan-bahan budaya barat. Nilai-nilai yang memandang tinggi kemodenan dan kemajuan yang dilihat dalam konteks budaya, yang dipupuk sejak zaman kolonial dahulu tetap mempengaruhi penduduk tempatan. Bahan-bahan budaya barat itu dipandang tinggi dan dihormati. Perkembangan budaya popular yang menjadi tumpuan industri budaya di barat itu merupakan model atau contoh yang penting kepada perkembangan industri budaya tempatan. Perkembangan budaya popular tempatan berlandaskan ciri-ciri sebagaimana budaya popular barat.

Budaya popular Melayu yang ikut berkembang pesat, terutama apabila terdapat kemudahan teknologi yang turut membantu meningkatkan penyebaran budaya popular itu. Bandar merupakan pusat perkembangan budaya popular Melayu. Sedangkan budaya popular itu membawa nilai-nilai kemodenan yang berasaskan kepada budaya bandaran. Penyebaran budaya popular itu amat meluas. Dalam keadaan ini penyebaran budaya popular itu turut memainkan peranan penting dalam membawa proses urbanisasi dan modenisasi itu secara meluas.

Kini, dengan pesatnya pembangunan di peringkat luar bandar, hubungan luar bandar dengan bandar semakin dekat, dan penyebaran teknologi moden yang semakin meningkat, maka kampung juga mengalami proses urbanisasi dan modenisasi. Jika dahulu kampung memainkan peranan penting dalam mempertahankan tradisi budaya Melayu, maka kini kampung tidak lagi mampu untuk memainkan peranan dalam mempertahankan tradisi sebagaimana masa lalu. Dalam keadaan perubahan dan pembangunan yang pesat, sedikit demi sedikit tradisi budaya Melayu di peringkat kampung mengalami penyesuaian dengan keperluan semasa.

Di peringkat yang lebih luas, dengan meningkatnya kemajuan teknologi moden, sistem perhubungan semakin meningkat maju. Dalam keadaan ini dikatakan proses globalisasi memainkan peranan penting. Dunia menjadi semakin kecil. Dalam perkembangan ekonomi dan budaya menyatakan tiada batasan yang dapat menghalang antara satu negara dengan satu negara yang lain, dalam mempengaruhi perkembangan ekonomi negara. Proses globalisasi yang semakin ketara kini menjadikan dunia semakin sempit. Tetapi dalam proses globalisasi ini negara-negara maju tetap memainkan peranan penting, terutama dalam penguasaan eknomi. Negara-negara maju, khususnya barat menguasai ekonomi, dan barat juga sebagai pusat industri budaya moden dan maju memainkan peranan penting dalam mempengaruhi negara-negara lain yang sedang membangun. Sebagaimana anggapan antara negara pusat dan negara pinggir, negara-negara maju menguasai ekonomi dan seterusnya dapat mempengaruhi negara-negara sedang membangun. Dalam proses globalisasi itu umumnya peranan negara-negara maju terus dapat mengekalkan kedudukan, dan negara-negara yang sedang membangun sebagai pinggiran negara-negara maju itu.

Perkembangan budaya bandaran semasa pemerintahan kolonial sebagai asas perubahan dalam tradisi budaya di negara ini, terus menyatakan perubahan yang dilalui kemudian. Orang-orang Melayu merasai bimbang dengan kadar perkembangan budaya barat yang amat pesat mempengaruhi kehidupan mereka. Kesan-kesan perubahan dan perkembangan yang berlaku di bandar-bandar itu juga membawa penyebarannya ke luar bandar. Perkembangan budaya bandaran yang tidak mempunyai batasan dan mempengaruhi kehidupan orang-orang Melayu secara meluas, dengan kadar perubahan yang dilalui itu boleh menghilangkan identiti dan kepentingan orang Melayu. Sebagaimana yang telah dinyatakan dahulu, kebimbangan orang Melayu itu juga yang memperkukuhkan lagi semangat kebangsaan Melayu. Mereka menyuarakan kebimbangan mereka melalui akhbar-akhbar tempatan. Mereka juga berusaha menentang unsur-unsur budaya yang bercanggah dan bertentangan dengan kehendak-kehendak Islam. Melalui penyebaran suara tentangan itu turut mempengaruhi orang ramai dalam mengawal dan mengurangkan pengaruh budaya yang dianggap keterlaluan. Orang Melayu, terutama golongan dewasa berusaha mengawal dan mengenakan tekanan sosial terhadap unsur-unsur budaya yang dianggap keterlaluan dan tidak sesuai dengan suasana tempatan.

Pesatnya pembangunan negara dalam berbagai-bagai bidang dan meluasnya proses globalisasi ekonomi dan budaya, maka dengan itu budaya Melayu turut mengalami perubahan dan penyesuaian sewajarnya. Dengan itu menyatakan bahawa budaya Melayu itu semakin dinamiks selaras dengan kemajuan yang dilalui anggota-anggota masyarakat. Dalam proses globalisasi budaya itu, didapati masyarakat-masyarakat tempatan menyedari pentingnya lambang jati diri, khususnya dari segi tradisi budaya masing-masing. Masyarakat Melayu juga menyedari tentang pentingnya mempertahankan tradisi budaya yang mereka warisi sekian lama agar tidak lenyap atau dilupai begitu sahaja dalam arus pesatnya proses globalisasi itu.

Masyarakat Melayu mempunyai kekuatannya dalam mempertahankan tradisi budaya mereka apabila mereka meletakkan Islam sebagai teras budaya itu. Tradisi budaya yang mereka pertahankan selama ini adalah selaras dengan kehendak dan kepentingan Islam itu. Orang Melayu itu Islam, yang mereka memahami kepentingan mempertahankan tradisi budaya yang berasaskan kepda Islam. Nilai-nilai sosial yang berteraskan kepada Islam memainkan peranan penting bagi orang Melayu mempertahankan jati diri.

Walau bagaimanapun, terdapat pula berbagai-bagai perkara yang berupa warisan tradisi, tetapi dianggap tidak sesuai dengan keadaan semasa. Dalam keadaan itu, mereka tidak lagi bersusah payah mempertahankannya, kecuali atas kepentingan Islam, misalnya untuk mengawal mutu budaya Melayu itu. Dalam realiti didapati kesan pengaruh budaya yang dibawa dari proses globalisasi itu amat pesat, terutama yang mempengaruhi golongan muda. Tetapi golongan muda itu apabila mereka meningkat dewasa, maka mereka dengan sendirinya lebih matang dan kuat dipengaruhi budaya dominan. Mereka turut berusaha untuk mempertahankan dan meningkatkan tradisi budaya sendiri. Namun budaya Melayu itu terus mengalami perubahan, dinamiks menyesuaikan dengan perkembangan semasa.

Rujukan

Gullick, J.M. 1987, Malay society in the late 19th century, the beginning of change, Singapore: Oxford University Press.

Mohd. Taib Osman, 1984, Bunga Rampai : Aspects of Malay Culture, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tham Seong Chee, 1977, Malays and Modernization, Singapore University Press.

Yahaya Ibrahim, 1995, Perbandaran dan Kejiranan, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: