TIRAI KEMERDEKAAN NEGARA

IMBASAN SEJARAH

1957 – 1959

PENGISYTIHARAN KEMERDEKAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU

Tarikh peristiwa : 31 Ogos 1957

Tanah Melayu telah menerima pengisytiharan kemerdekaannya tepat pada detik pertama pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, bagi menandakan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia. Laungan “MERDEKA” telah dilaksanakan oleh Tunku Abdul Rahman,Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama keesokan harinya tepat 9.30 pagi di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

1903-1990

PERDANA MENTERI PERTAMA
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Shah

BAPA KEMERDEKAAN

Tarikh peristiwa : 31 Ogos 1957

Perdana Menteri Malaysia pertama dari 31 Ogos 1957 hingga 21 September 1970. Laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bergema di seluruh pelusuk Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Negara tidak dijajah lagi. Bermulalah demokrasi berparlimen di mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Rahman dilantik sebagai Agong yang pertama. Gabungan parti politik yang mewakili tiga bangsa majoriti negara; Melayu, Cina dan India di bawah Parti Perikatan berjaya membawa perubahan dan menjadi asas perpaduan hingga ke hari ini. 16 September 1963, Malaysia ditubuhkan dan perancangan pembangunan negara bermula demi kesejahteraan rakyat.

PENUBUHAN ARKIB NEGARA MALAYSIA


Tarikh peristiwa : 1 Desember 1957

Pejabat Rekod Awam atau dikenali sekarang ini dengan nama Arkib Negara Malaysia telah ditubuhkan dengan rasminya. Penubuhan ini adalah hasil dari laporan Jawatankuasa Mengenai Pemeliharaan dan Pemusnahan Rekod Rasmi dan syor-syor yang diberikan oleh seorang pakar arkib dari Public Record Office, London.

PEMILIHAN LAGU KEBANGSAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU.

Tarikh peristiwa : 5 Ogos 1957

Lagu Terang Bulan, lagu kebangsaan negeri Perak telah dipilih menjadi lagu kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Pemilihan ini dibuat oleh jemaah hakim yang diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra.Upacara pemilihan lagu kebangsaan ini berlangsung di Dewan Polis Depoh, Kuala Lumpur. Sebanyak 4 buah lagu telah diperdengarkan oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja. Walau bagaimanapun lagu Terang Bulan telah terpilih kerana ia mempunyai unsur kemelayuan.Keputusan jemaah hakim ini kemudian telah dikemukakan kepada Majlis Raja-raja Melayu. Setelah dipersetujui, kerajaan telah mengeluarkan tawaran RM1 000 kepada pengubah untuk mencipta seni katanya. Tawaran ini telah dimenangi oleh Encik Saiful Bahri dan lagu kebangsaan ‘NegaraKu’ gubahan beliau terdapat dalam 3 versi

PENYERAHAN KUASA TENTERA LAUT DIRAJA MALAYA

Tarikh peristiwa: 12/7/1958
Berkibarlah dengan megahnya bendera Tentera Laut Diraja Malaya menandakan berakhirnya kekuasaan Kerajaan British ke atas perairan Persekutuan Tanah Melayu. Pada hari itu Kerajaan Singapura yang telah diwakili oleh Gabenor Sir William Goode dan Ketua Menteri Encik Lim Yew Hock dengan rasminya telah menyerahkan seluruh pentadbiran Tentera Laut Diraja Malaya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Penyerahan kuasa ini telah diterima oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman. Turut hadir dalam upacara penyerahan kuasa itu ialah Timbalan Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Dato’ Abdul Razak Hussein.

PEMBENTUKAN KABINET YANG PERTAMA SELEPAS MERDEKA

Tarikh peristiwa: 23/8/1959

Tunku Abdul Rahman selaku pemimpin Kebangsaan Parti Perikatan iaitu Parti UMNO, MCA, MIC, telah membentuk kabinetnya yang pertama selepas Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Tunku telah mengangkat sumpah pada 22bh Ogos, 1959 mengambil alih semula jawatan Perdana Menteri daripada Dato Abdul Razak bin Hussein yang telah menyandang jawatan itu semasa beliau bercuti selama tiga bulan untuk menjalankan kempen pilihanraya. Pembentukan kabinet pertama ini adalah hasil kemenangan Parti Perikatan dalam pilihanraya pada 19hb Ogos, 1959.

PEMBUKAAN PENGKALAN FERI PULAU PINANG

Tarikh peristiwa: 23/9/1959

Dua pengkalan feri yang terletak di Pulau Pinang dan Butterworth telah dibuka dengan rasminya oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu. Pengkalan ini telah diberi nama Pengkalan Raja Tun Uda di Pulau Pinang dan Pengkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth.

PEMBUKAAN RASMI BANK NEGARA

Tarikh peristiwa: 24/1/1959

D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah membuka dengan rasminya Bank Negara Tanah Melayu. Baginda menyifatkan upacara itu sebagai peristiwa yang terpenting semenjak merdeka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: