Pakatan Rakyat diramal berpecah

Oleh S Anad Kumar
anad@bharian.com.my

Pembangkang sukar bekerjasama kerana ada kepentingan politik masing-masing

KUALA LUMPUR: Kalangan bekas pemimpin dan veteran politik percaya Pakatan Rakyat akan berpecah dan membawa haluan masing-masing dalam tempoh terdekat kerana parti pembangkang kini mula meragui di antara satu sama lain.

Naib Pengerusi Veteran Umno, Datuk Jaafar Hamzah mendakwa bukan saja Pas mula mencurigai perjuangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah DAP juga tidak sehaluan dengan parti pembangkang lain.

Beliau berkata, penubuhan Pakatan Rakyat sebenarnya hanya gimik politik kerana setiap parti pembangkang mempunyai kepentingan politik yang tersendiri dan amat mustahil untuk mereka bekerjasama.

“Rakyat mula keliru dengan penubuhan serta perjuangan sebenar Pakatan Rakyat kerana kini kelihatan setiap parti pembangkang hanya mempertahankan kepemimpinan tertinggi masing-masing, manakala soal rakyat semakin dilupakan.

“Saya melihat Pakatan Rakyat tidak bertahan lama apatah lagi kini Pas mula mencurigai dan mempersoalkan perjuangan Anwar,” katanya, semalam.

Semalam, beberapa perwakilan pada Muktamar Dewan Pemuda Pas di Ipoh secara terbuka mengingatkan kepemimpinan serta ahli politik parti itu supaya jangan terlalu kagum dengan Anwar sebaliknya mengambil sikap berhati-hati dengan pemimpin tertinggi PKR itu.

Veteran Umno, Tan Sri Aziz Tapa berkata, amat mustahil untuk Pakatan Rakyat membentuk kerajaan Pusat kerana beliau melihat pakatan semakin lemah dan berlaku pelbagai masalah di kalangan parti pembangkang.

“Bagi saya, amat sukar untuk pembangkang bekerjasama di antara satu sama lain kerana masing-masing mempunyai hala tuju tersendiri. Sebagai contoh, PKR mahu Anwar jadi Perdana Menteri, Pas pula mahu pemimpinnya jadi Perdana Menteri, bagaimana dengan DAP.

“Di sini kita dapat melihat kerjasama antara mereka tidak wujud malah amat susah untuk Pakatan Rakyat menumbangkan BN,” katanya.

Bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohamad Ezam Mohd Nor pula mendakwa Anwar sering memperkecilkan Pas sejak dulu tetapi kini seolah-olah menghormati parti Islam berkenaan.

“Apabila berada dalam Umno, Anwar lantang mengkritik Pas kerana bagi beliau (Anwar), pemimpin Pas bukannya ahli politik yang bijak dan sering menganggap Pas sebagai parti yang memperjuangkan isu berkaitan Islam saja.

“Sebenarnya sudah lama pemimpin Pas mencurigai perjuangan Anwar. Sebagai pemimpin, Penasihat PKR itu perlu jujur dan jangan menutup atau cuba menyembunyikan kelemahannya,” katanya.

Bekas Naib Yang Dipertua Pas, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berkata, kepimpinan tertinggi parti Islam itu perlu peka dengan teguran akar umbi bagi mengelak perpecahan dalam Pas.

Beliau berkata, ahli-ahli Pas sudah mula keliru dengan perjuangan sebenar Pakatan Rakyat kerana risau perjuangan sebenar parti itu akan dilupakan jika terus berada dalam pakatan.

“Pas ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib orang Islam manakala saya melihat PKR tidak mempunyai apa-apa hala tuju. Amat mustahil untuk Pas dan DAP pula bekerjasama kerana perjuangan politik mereka tidak sehaluan.

“Apa yang jelas, ahli-ahli Pas mahukan parti mereka kembali ke perjuangan asal dan risau perjuangan mereka akan tersasar jika terus berada dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: