Archive for October, 2009

Kes liwat antara punca Badrul keluar

Posted in MEDIA on 29 October 2009 by zanas

ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah berkata kes liwat yang membabitkan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara sebab beliau keluar PKR.

Bercakap dalam satu sidang akhbar petang ini, Badrul berkata beliau menjadi lebih syak terhadap Anwar yang menurutnya sengaja melengah-lengahkanperbicaraan dan enggan pula menjelaskan perkara itu kepada ahli-ahli parti.

Sebagai seorang Muslim yamg berpegang teguh kepada prinsip Islam, katanya, moral seseorang pemimpin itu amat penting untuk mendapatkan sokongannya.

Beliau juga mendakwa bahawa presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar, juga enggan untuk menjelaskan mengenai dakwaan liwat tersebut.

Katanya, ia merupakan sebab utama beliau membuat keputusan keluar PKR kerana beliau tidak boleh berkompromi dengan isu-isu moral seperti yang dihadapi oleh pemimpin PKR.

Ditanya mengapa beliau menunggu hingga sekarang untuk menimbulkan isu liwat itu, Badrul tidak memberi jawapan secara langsung dan berkata “saya tidak boleh berkompromi dengan pemimpin yang mempunyai cerita begini”. Badrul hari ini mengumumkan bahawa beliau keluar PKR dan menjadi ADUN bebas yang ‘mesra’ BN.  Dakwa dianak tiri

Beliau membuat keputusan itu beberapa jam selepas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan kepada PKR supaya meminta Badrul meletak jawatan kerana didakwa gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Dalam kenyataan yang dibacanya, Hisham juga mendakwa beliau telah dianaktirikan oleh kerajaan Selangor yang diterajui PKR yang didakwanya telah menahan peruntukan kepadanya sejak bulan Mac. Beliau mendakwa, kerajaan negeri enggan menyelaraskan dengan beliau pemberian peruntukan tetapi sebaliknya, bertindak membuka pusat perkhidmatan yang berasingan di Pandamaran Indah untuk berurusan dengan pengundi di situ.

Tindakan itu, katanya, seolah-olah menganaktirikan dirinya berbanding dengan ADUN yang lain.  Badrul juga menyifatkan tindakan itu sebagai satu percubaan untuk meminggirkannya sebagai wakil rakyat kawasan tersebut. Bila ditanya teorinya mengapa beliau ‘dianaktirikan’, Badrul menjawab: “Tanyalah menteri besar”.

Awal tahun ini, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa setiausaha politiknya, Nik Nazmi Nik Ahmad telah mengambil alih tugas Badrul yang didakwanya gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Nik Nazmi juga merupakan ADUN Seri Setia.

Dakwa peruntukan ditahan

Ditanya mengenai dakwaan beliau tidak menunjukkan prestasi yang baik, Badrul berkata, ia kerana peruntukan tidak disalurkan kepadanya tetapi diambil alih oleh setiausaha menteri besar, di samping wujudnya dua pusat perkhidmatan di kawasan.

Oleh itu, katanya, bagaimanakah beliau hendak memberi perkhidmatan kepada rakyat, sementelah pula beliau juga bukan exco kerajaan negeri.

“Saya masih keluar jumpa rakyat. Saya orang yang tak suka diraikan, berkompang kompang, bunga mangga. Saya tak suka. Saya keluar dengan pemandu saya untuk tengok keadaan di kawasan saya,” katanya.

Sejak kerajaan Pakatan Rakyat di Perak digulingkan Februari lalu, khabar angin bertiup kencang bahawa Badrul akan keluar parti untuk menyertai Umno. Khabar angin itu bertambah kencang apabila beliau tidak menghadiri sidang DUN dan jarang dilihat di khalayak ramai.

Bagaimanapun, Badrul ketika itu mengeluarkan kenyataan menegaskan komitmennya bersama PKR.  Kesetiaan pada parti. Bagaimanapun, khabar angin itu timbul semula awal bulan ini, ekoran kehadiran Badrul di rumah terbuka Hari Raya Ketua Umno Klang Datuk Mazlynoor Abd Latif dan sekaligus menimbulkan persoalan mengenai kesetiaannya terhadap parti.

Dalam sidang akhbar tersebut, Badrul duduk di sebelah bekas setiausaha PKR Selangor, Nizam Rosli, yang dilihat  erbisik kepada Badrul sebelum ADUN Pelabuhan Klang itu menjawab hampir setiap soalan dari wartawan. Nizam dikenali sebagai rakan karib bekas ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor, yang meninggal parti itu dan menyertai Umno selepas tidak sehaluan lagi dengan Anwar.

Bercakap kepada Malaysiakini kemudiannya, Nizam berkata Badrul meminta bantuannya untuk menyelaraskan sidang akhbar tersebut. Beberapa orang penyokong Ezam juga kelihatan di sidang akhbar tersebut.

Advertisements

DUN Perak:Drama auta pembangkang hampir ke penghujung…

Posted in MEDIA on 29 October 2009 by zanas

DUN-2

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu sekali lagi jadi ‘sarkas’ Adun pembangkang memperlihatkan mereka mencemarkan dewan yang mulia itu dengan sikap buruk yang tidak sepatutnya ada bagi seorang wakil rakyat apatah lagi ada antara mereka bergelar Datuk Seri.

Mereka masuk ke dewan dengan terjerit-jerit cuba menganggu Speaker Datuk R.Ganesan dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membentangkan Bajet 2010.

Malah, wakil-wakil rakyat pembangkang turut mengadakan sidang haram di pengerusikan bekas speaker S.Sivakumar serta meluluskan tiga usul. Jelas mereka terdesak kerana di luar Bangunan Perak Darul Ridzuan tidak ramai lagi penyokong DAP, PKR mahupun PAS berkumpul seperti sidang pada 7 Mei lalu untuk memberi sokongan kepada Adun pembangkang.

Bagi menarik perhatian dan simpati, Sivakumar sibuk menjaja cerita kononnya beliau hampir dibunuh oleh angota polis yang mencekiknya beramai-ramai kerana mahu beliau menyerahkan jubah speaker. Bagaimanapun, Ketua Polis Perak Datuk Zulkefli Mohamad menafikan polis bertindak kasar terhadap wakil rakyat pembangkang sebaliknya mengarahkan mereka mematuhi peraturan pemeriksaan keselamatan seperti orang lain.

Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming pula sibuk cerita pasal ‘anunya’ turut kena pukul dengan polis. Cerita itu kemudiannya jadi bahan lawak wartawan dan bloggers apabila mereka sengaja bertanya ‘siapa yang lebam telor’ apabila Adun pembangkang yang selesai adakan sidang media melintas kumpulan wartawan berkenaan.  Kekecohan di perkarangan bangunan kerajaan negeri itu berterusan di tingkat dua pintu masuk Adun ke dewan apabila wakil rakyat pembangkang diketuai Datuk Seri Nizar Jamaluddin memarahi pegawai serta anggota polis yang mahu memeriksa mereka sebelum memasuki dewan.

Mereka memaki hamun polis yang turut tidak membenarkan mereka membawa kamera ke dalam dewan. Semua insiden ini hanyalah untuk menarik perhatian media bagi menunjukkan kepada rakyat kononnya mereka dihalang memasuki dewan selain tindakan kasar pasukan keselamatan terhadap mereka.

Seperti dijelaskan Zambry, wakil rakyat pembangkang terpaksa ‘mendramakan’ kejadian hari ini untuk tunjuk mereka hadir supaya tidak dikenakan tindakan. Mengikut peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, mana-mana Adun yang tidak hadirsekali mesyuarat atau persidangan Dewan tanpa sebab, mereka akan hilang kelayakkan.

“Sebab itu mereka masuk ke Dewan ketika sidang ditangguhkan selama satu jam. Selepas sidang disambung semula, mereka terus di Dewan. Ini bagi halang tindakan atas alasan tidak hadir. Secara tidak langsung, tindakan ini menunjukkan mereka iktiraf sidang DUN dan speaker…mereka juga tandatangani kehadiran,” ujarnya. Tambah Zambry, “ Lihatlah bagaimana autanya (penipu) mereka bila masuk dewan dan timbulkan kekecohan nak tunjuk dan harap mereka dikasari tapi Adun kita (BN) beradab,”.

Menurutnya, semua Adun pembangkang mahu menunjukkan drama baru seolah-olah mereka dihalang beberapa kali oleh polis untuk masuk ke Dewan. Bercakap dalam sidang media selepas sidang Dewan itu ditangguhkan, Zambry berkata, beliau mahu proses persidangan Dewan Undangan Negeri berjalan lancar ikut sistem demokrasi. “Saya mahu persidangan yang sihat, berhujah, tukar pandangan dengan akal terbuka bukannya emosi mahupun memaki hamun atau menjerit-jerit,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pembangkang, wakil rakyat Barisan Nasional pun ada had kesabaran dan akan mengambil tindakan berlandaskan undang-undang yang ada jika kekecohan ini berterusan. Beliau menyifatkan tindakan Adun pembangkang sebagai tidak bertanggungjawab kerana tidak mengikuti pembentangan bajet serta perbahasan dalam Dewan.

Katanya, pembentangan Bajet 2010 itu ikut prosedur walaupun persidangan berlangsung separuh hari. Di akhir sidang media itu, sambil berseloroh Zambry berkata, “ Kita tunggu enam bulan lagi (sidang DUN akan datang) tengok apa pula mereka nak buat,”. Namun, dengan mengambil kira pembangkang yang dilihat macam sudah hilang taring dan bisa pada persidangan kali ini, mereka mungkin kena cari idea lebih baik pada sidang akan datang jika mahu menarik perhatian rakyat ataupun menunjukkan mereka masih dapat sokongan.  Seandainya gagal, ini bermakna pembangkang di Perak sudah bersedia untuk ditalkinkan.-28/10/2009


DUN Perak: Bajet lulus…pembangkang buat aksi sarkas

Sidang DUN Perak berlangsung tepat jam 10 pagi Rabu. Berdasarkan tinjauan awal, suasana di luar bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan DUN Perak tenang sahaja. Pihak polis meningkatkan kawalan keselamatan di perkarangan bangunan berkenaan.

Sejurus loceng mesyuarat dibunyikan, sidang bermula dengan aturcara oertama bacaan doa. Speaker DUN Datuk Ganesan kemudiannya memulakan mesyuarat dengan membacakan beberap peraturan yang perlu dipatuhi oleh ADUN.

Antaranya beliau melarang penggunaan kamera dan telefon bimbit di dalam dewan. Beliau turut mengumumkan penambahan bilangan bentara dan petugas DUN bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Ganesan turut merakamkan ucapan takziah DUN Perak kepada keluarga mangsa jambatan runtuh di Kuala Dipang, Kampar dan Dewan turut bertafakur selama satu minit.

Aturan mesyuarat kemudiannya diteruskan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membentangkan Bajet Negeri Perak 2010.

Sementara itu, di luar Dewan, kekcohan mula berlaku apabila polis tidak membenarkan bekas Speaker yang juga ADUN Tronoh masuk ke dalam Dewan selagi beliau tidak menanggalkan jubah Speaker. Pembangkang mendesak polis untuk membenarkan Sivakumar masuk dan turut mempertikaikan larangan membawa kamera masuk ke dalam Dewan.

Namun setelah kekecohan reda sedikit, pembangkang mula memasuki Dewan. Ganesan kemudiannya menangguhkan sidang DUN fdi tengah-tengah pembentangan Bajet oleh Dr Zambry bagi membolehkan ADUN pembangkang masuk ke dalam Dewan.

Setelah memasuki Dewan, pembangkang ingin memulakan mesyuarat mereka dengan meminta doa dibacakan. Ganesan kemudiannya memberitahu, sidang telah ditangguhkan.  Ekoran itu mereka mula membuat bising dan mempertaikaikan kedudukan Ganesan sebagai Speaker. Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Nizar Jamaluddin kemudiannya cuba membentangkan ‘bajet’ mereka tetapi tidak dilayan kerana pada masa itu sidang sedang berehat.

Berikut adalah urutan perjalanan sidang DUN Perak:

11.55 pagi: Setelah urusan pembentangan bajet selesai, sidang Dewan diteruskan dengan pembentangan beberapa rang undang-undang lain termasuk pindaan Enekmen Pentadbiran Majlis Agama Islam Perak. ADUN pembangkang tidak menunjukkan minat dan keluar Dewan.

11.50 pagi: Urusan paling penting sidang DUN Perak kali ini selesai. Bajet negeri telah lulus sekalipun berdepan provokasi dan aksi sarkas ADUN pembangkang. Dalam undian yang dijalankan, lebih suara yang bersetuju meluluskan Bajet 2010 berbanding suara pembangkang yang mengundi tidak setuju.

11.40 pagi: Suasana dalam dewan kini riuh. ADUN pembangkang terus cuba ganggu sidang. Speaker Ganesan tak peduli dan meneruskan sidang termasuk undian untuk meluluskan bajet 2010.

11.25 pagi: Betul-betul merapu. ADUN pembangkang buat sidang haram dalam DUN tapi tadi ada antaranya relaks ikut ADUN BN rehat di luar. Sidang rasmi disambung semula.

10.45 pagi: Lucu. Pembangkang yang masuk Dewan mahu mulakan sidang dengan bacaan doa. Speaker Ganesan memberitahu Dewan telah ditangguh. Pembangkang terus buat kecoh.

10.40 pagi: Mula kecoh dalam Dewan. Walau sidang ditangguh satu jam, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan ADUN pembangkang cuba buat kecoh. Speaker Ganesan masih duduk di tempatnya.

10.35 pagi: Beberapa ADUN pembangkang sudah mula memasuki Dewan

10.20 pagi: Speaker Datuk Ganesan menangguhkan sidang selama satu jam di tengah-tengah Dr Zambry membentangkan Bajet 2010.

10.10 pagi: Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mula membentangkan Bajet Negeri Perak 2010. Di luar suasana kecoh dan tegang sedikit apabila ADUN pembangkang membantah tindakan polis menghalang Sivakumar masuk ke dalam Dewan selagi tidak menanggalkan jubah Speaker. Ekoran itu berlaku kekecohan di pintu masuk Dewan apabila ADUN pembangkang tetap mendesak Sivakumar dibenarkan masuk dengan memakai jubah Speaker. Mereka turut pertikai larangan bawa kamera dalam Dewan.

10.00 pagi: Sidang DUN bermula dengan bacaan doa. Speaker Dattuk Ganesan memulakan urusan mesyuarat dengan membacakan beberapa peraturan termasuk larangan menggunakan kamera di dalam Dewan. Dewan juga turut merakamkan takziah kepada keluarga mangsa jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang dan bertafakur. Semua ADUN pembangkang tidak masuk ke dalam Dewan.

EGM: MMustahil Hadi mahu ikut arahan Nik Aziz ‘hantuk kepala ke dinding’…

Posted in MEDIA on 27 October 2009 by zanas

Oleh: ROSLAN BIAN

pas3-mus

Sidang media Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pagi Isnin untuk memberitahu satu mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat PAS akan diadakan Rabu ini ekoran saranan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya diadakan Muktamar Agung Luar Biasa (EGM) tidak memberi petunjuk jelas mengapa Musyridul Am PAS itu ‘ meletup’.

Malah, diasak kiri kanan oleh media dalam majlis lebih setengah jam itu di ibupejabat PAS di Kuala Lumpur,Mustafa menolak dakwaan kononnya PAS mulai pecah atau retak akibat perbezaan pendapat antara Nik Aziz dengan pemimpin lain termasuk beliau sendiri selain Timbalan Presiden PAS , Nasaruddin Mat Isa dan Persuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohd Ali.

Beliau mengakui tidak tahu hujung pangkal kenapa Menteri Besar Kelantan itu membangkitkan perkara tersebut seperti ditulisnya dalam blog tokguru.com.“Itu kena tanya tok guru,” katanya.

Jawapan sama juga bagi soalan apakah pihak lain yang menulis di blog tersebut termasuk kemungkinan Mursyidul Am PAS itu mahu mengalih isu dakwaan kononnya Exco Kelantan Datuk Husam Musa menumbuk seorang tetamu di jamuan hari raya parti itu di Taman Melewar baru-baru ini.

“Setahu saya tidak ada masalah ( dalaman PAS). Anda tanya tok guru kenapa bangkit soalan itu,” beberapa kali Mustafa memberi jawapan bagi mengelak media cuba ‘mengorek’ kemungkinan PAS di ambang perpecahan ekoran perbezaan pendapat antara Nik Aziz dengan kumpulan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mustafa menjelaskan, perkara itu tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat. Beliau turut enggan menjawab soalan apabila ditanya perasaaan serta pendirian beliau kerana turut dikecam Nik Aziz yang mengaitkan ‘dua tiga kerat pemimpin’ PAS dengan isu kerjasama bersama UMNO.

“Saya tak mahu jawab mengenai peribadi saya. Hanya soal mesyuarat khas yang akan diadakan nanti,” katanya. Mustafa memanggil sidang media bagi memaklumkan parti itu akan mengadakan mesyuarat khas jawatankuasa yang turut disertai pesuruhjaya PAS negeri-negeri.

Mesyuarat berkenaan diadakan Rabu ini bagi membincangkan cadangan Nik Aziz sama ada perlu EGM atau sebaliknya dalam menyelesaikan isu tersebut. Beliau mengakui Nik Aziz tiada kuasa memanggil EGM berdasarkan peruntukkan perlembagaan PAS.

Fasal 16 (1)(b) antara lain menyatakan EGM boleh iadakan berulang kali dalam setahun jika arahan presiden atau disokong satu pertiga Jawatankuasa PAS Pusat seramai 37 orang ataupun permintaan bertulis oleh satu pertiga daripada 170 PAS Kawasan.

Mustafa berkata, pihaknya berharap Nik Aziz hadir dalam mesyuarat itu atas kedudukannya sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan.

“Kita harap tok guru hadir walaupun ketika ini ada sidang Dewan Undangan Negeri. Bagaimanapun, beliau sudah amanatkan pada (Naib Presiden) Salahuddin (Ayob). Kita akan berpandukan apa yang beliau sudah maklumkan pada Salahuddin,” katanya.

Pada sidang media itu, Mustafa sekali lagi menjelaskan pendirian PAS mengenai kerjasama dengan UMNO sudah ‘tutup pintu’ kecuali kerjasama kerajaan antara kerajaan dengan kerajaan Pusat dan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat. Persoalannya, tanpa kehadiran Nik Aziz dalam mesyuarat khas Rabu ini, apakah keputusan Jawatankuasa PAS Pusat itu nanti?

Mustafa memberitahu, mesyuarat itu diputuskan oleh Hadi dengan mengambil kira pelbagai pandangan sejak itu itu dibangkitkan beberapa hari lalu. Dengan Hadi, Nasaruddin dan Mustafa yang jadi tunjang utama mesyuarat itu Rabu nanti, jawapannya sudah boleh diduga. Adalah selamat untuk mengandaikan Mustahil Hadi atau ‘beberapa kerat pemimpin lain’ mahu menerima cadangan itu yang boleh diibaratkan seperti Nik Aziz mengarahkan mereka menghantuk kepala ke dinding.

Apapun, ada pihak menduga akan berlaku pengundian ketika mesyuarat itu kelak dalam menentukan sama ada EGM ini perlu atau tidak. Menariknya seperti kata Mustafa, tidak pernah ada pengundian dalam membuat keputusan ketika mesyuarat jawatankuasa selain bermusyawarah atau konsesnsus. Selain itu, jika idea Nik Aziz ini dipengaruhi kumpulan Erdogan yang pro Datuk Seri Anwar Ibrahim, geng tersebut juga tidak boleh memang jika pengundian kerana mereka hanya ada beberapa kerat dalam barisan jawatankuasa itu.

Ada juga kalangan ahli PAS yang berpendapat sebenarnya yang ‘beberapa kerat’ ini perlu disingkir oleh parti kerana mereka dilihat lebih memihak pemimpin Pakatan Rakyat daripada menghormati Hadi mahupun Nasaruddin yang dipilih secara demokrasi dalam Muktamar Agung parti itu Jun lalu.

Menurut mereka nampak macam isu sebenarnya bukan soal kerjasama PAS-UMNO hingga memaksa Nik Aziz mahu menghukum Nasaruddin, Mustafa mahupun Dr Hasan tetapi mereka ini dilihat kurang senang tidur sebantal dengan PKR dan DAP kerana masing-masing mempunyai mimpi berbeza.

Nik Aziz rupa-rupanya mahu menebang pokok bukannya dahan tempat kumpulan pro Anwar bergayut sedangkan dahan-dahan ini yang sudah dihinggapi dedalu api. Dedalu api ini adalah tumbuhan parasit yang hidupnya menumpang pokok atau dahan lain dengan memakan segala makanan yang dicari akar pokok yang ditumpang sampaikan pokok itu mati. Mungkinkah PAS akan mati jika hanya cakap Nik Aziz sahaja perlu didengar?

___________________________________________________________________________________________

TENANG-TENANG… Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub sedang rancak berbual dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom dan Ahli Parlimen BN Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah di bilik rehat Ahli Parlimen di bangunan Parlimen.Gambar ini dirakam tidak lama selepas selesai sidang akhbar Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali di ibu pejabat PAS,Kuala Lumpur pagi Isnin.Duduk disebelah mereka,tidak kelihatan dalam gambar ialah Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Muktamar khas PAS pecat Hadi?

Posted in MEDIA on 23 October 2009 by zanas

Mursyidul Am PAS mencadangkan parti itu mengadakan muktamar khas bagi membincangkan isu “dua tiga kerat pemimpin bermasalah”, termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Desakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dibuat ekoran kemarahannya terhadap beberapa lagi pemimpin parti, antaranya Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali berhubung isu kerajaan perpaduan.

“Bila mesyuarat agung (Jun lalu) tidak mahu tukar presiden (Abdul Hadi), misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah.

“Begitu juga dengan isu-isu di sekitar Hassan atau Mustafa yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan perpaduan atau UG (unity government).

“Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ini?” tulis menteri besar Kelantan dalam blognya malam tadi. Mengulas perkembangan beberapa mesyuarat agung khas yang dikendalikan oleh PKR, Umno dan MCA tahun ini, Nik Aziz berkata:

“Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan mesyuarat agung khas dan MCA pun boleh mengadakan EGM-nya sehingga sempat menggugurkan presiden dan timbalan presidennya.”Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan perlembagaannya melalui  kongres khas mereka.  Maka kita? “Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang (presiden MIC Datuk Seri S) Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain.

“Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya, mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu.”  Tokoh popular PAS itu berkata, muktamar tersebut penting bagi mengelakkan “ghok-ghak” atau kekacauaan dalam parti Islam itu sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Orang boleh terima atau tidak boleh terima, bawa ke muktamar khaslah, senang cerita. Biar tentu sah, hendak ikut yang mana. Kita hendak kekal yang mana dan buang yang mana,” kata Nik Aziz lagi.

“Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS di peringkat pusat.”

Beliau mengulas analisis ahli akademik Universiti Islam Malaysia (UIA) Dr Aziz Bari yang mengaitkan kemerosotan undi PAS di Bagan Pinang baru-baru ini dengan kekecohan di Selangor – dipercayai, antaranya, kontroversi melibatkan Hassan berhubung isu jualan alkohol dan isu siasatan awal jawatankuasa khas DUN negeri itu.

Malah, profesor undang-undang terkenal itu juga mengkritik Abdul Hadi yang tidak membuat sebarang kenyataan terhadap isu melibatkan Hassan itu sehingga menyimpulkan sikap sedemikian dengan perwatakan negatif bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menulis di Sinar Harian awal minggu ini, Dr Aziz berpendapat, sudah sampai masanya PAS “membuat langkah drastik dengan mendisiplinkan atau menyingkirkan Hassan” daripada parti itu. Bagaimanapun, tambah pensyarah itu lagi, usaha itu sukar kerana Hassan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Abdul Hadi dan timbalannya Nasharuddin Mat Isa.

Menulis di blog Tok Guru.com, Nik Aziz juga berkata, beliau bersetuju dengan sebahagian kritikan keras Dr Aziz itu Dalam muktamar khas yang dicadangkan itu, Nik Aziz menekankan keperluan kepada proses pemilihan yang ringkas, telus, dan melindungi kerahsiaan undi. Muktamar tersebut boleh mengambil masa sehari atau dua hari, tambahnya.  Nik Aziz berkata, walaupun beliau “jarang tidak sedap hari sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam”, teguran terpaksa disuarakan “kerana dalam keadaan-keadaan tertentu, ia bersifat wajib”.

“Hati saya pernah bergolak di zaman bekas presiden PAS yang mahsyur, allahyarham Datuk Mohamad Asri. “Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya, sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjudul Kemuncup dalam Perjuangan,” katanya.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Mustafa enggan mengulas kenyataan tokoh PAS ini.

Bajet makmurkan rakyat

Posted in MEDIA on 23 October 2009 by zanas

Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my


NAJIB menunjukkan beg berisi teks ucapannya mengenai Bajet 2010 di Kementerian Kewangan, malam tadi.

Tingkat kecekapan ekonomi, kesejahteraan semua kaum

KUALA LUMPUR: Bajet sulung Datuk Seri Najib Razak yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, dijangka menggariskan beberapa strategi baru bagi meningkatkan kecekapan ekonomi negara dan meneruskan agenda memelihara kesejahteraan rakyat semua kaum selaras konsep 1Malaysia.

Bajet 2010 itu dikatakan akan terus memberi keutamaan terhadap usaha memperkasa agenda sosial, termasuk program perumahan, membasmi kemiskinan, pendidikan dan latihan kemahiran, penyediaan kemudahan awam di luar bandar, pembangunan wanita, pengurangan kadar jenayah dan rasuah serta peningkatan kecekapan pengangkutan awam.

Ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran enam Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) yang diperincikan Perdana Menteri pada 27 Julai lalu. Walaupun bajet kali ini dijangka membabitkan pengurangan peruntukan perbelanjaan awam, ia akan diimbangi langkah strategik bagi memastikan momentum pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara dapat diperkukuhkan.

Sehubungan itu, Bajet 2010 dijangka lebih bertumpu kepada usaha meningkatkan kecekapan menerusi kebijaksanaan mengurangkan kos operasi sektor awam dan pengurusan perbelanjaan pembangunan yang lebih berhemat.

Sumber memberitahu Berita Harian, Najib yang juga Menteri Kewangan, dijangka mengumumkan terbitan bon Islam dalam kategori Sukuk Simpanan Rakyat bagi membuka peluang kepada rakyat berbilang kaum menabung dan meraih pulangan yang berdaya saing. Bon yang diterbitkan Kementerian Kewangan itu, dikatakan mampu menawarkan kadar pulangan yang kompetitif dengan purata yang lebih tinggi berbanding yang diraih menerusi simpanan tetap ketika ini.

Dari segi pembangunan, Bajet 2010 dijangka terus bersifat mengembang bagi meneruskan kesinambungan program pembangunan yang dirancang mengikut Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) berjumlah RM230 bilion yang akan berakhir tahun depan.

Sebagai bajet yang menjadi asas pembentukan model ekonomi baru dan pembentukan kerangka Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), Perdana Menteri dijangka mengumumkan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menerusi usaha memperkukuh sumbangan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan.

Seorang ahli ekonomi di sebuah firma penyelidikan, berkata sebahagian masyarakat global kini ingin melihat kebijaksanaan kerajaan dalam mengurangkan defisit setelah melaksanakan pelbagai suntikan fiskal untuk pembangunan.

Katanya, pelaksanaan pakej dua suntikan kecemasan berjumlah RM67 bilion untuk meminimumkan kesan kegawatan global kepada rakyat negara ini, telah melonjakkan kadar defisit kepada 7.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Langkah itu ternyata menampakkan kejayaan, kehidupan rakyat dan komuniti perniagaan negara ini tidak terjejas teruk ekoran kegawatan seperti yang dialami beberapa negara lain. “Kini, komuniti global ingin melihat keupayaan Malaysia mengurangkan semula lebihan perbelanjaan. Sebahagian besar pelabur kini menjangka kadar defisit pada tahun depan adalah sekitar 7.0-7.5 peratus.

“Jika mampu diturunkan lebih rendah daripada itu, maka ia menggambarkan komitmen kerajaan yang mengambil serius perkara itu di sebalik jangkaan penguncupan hasil cukai lebih tujuh peratus,” katanya.

Katanya, kadar defisit yang tinggi akan menggugat penarafan kewangan negara di peringkat antarabangsa, sekali gus menjejas nilai mata wang, perdagangan dan taraf pendapatan rakyat hingga boleh mengekang usaha transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi.

Seorang ahli ekonomi lain pula menjangka cukai korporat secara keseluruhannya tidak turunkan, sebaliknya kerajaan akan memberi insentif pengecualian cukai khusus kepada industri dan pelaburan berimpak tinggi bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Menurut beliau, cukai pendapatan juga dijangka tidak dikurangkan, tetapi mungkin terdapat insentif cukai bagi golongan berpendapatan sederhana yang memiliki anak ramai.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerajaan menaikkan cukai rokok dan perjudian dalam usaha menggalakkan amalan hidup sihat.

Mengenai unjuran ekonomi, beliau, berkata, kerajaan mungkin menyemak semula jangkaan kadar pertumbuhan KDNK tahun ini susulan prestasi pemulihan ekonomi negara yang di luar jangkaan pada separuh kedua tahun ini.

“Unjuran rasmi awal adalah antara -4.0 hingga 5.0 peratus bagi 2009. Bagaimanapun, kerajaan mungkin menyemak semula kepada penguncupan yang lebih rendah. Pada tahun depan, kami menjangka ekonomi berupaya untuk kembali mencatat pertumbuhan positif iaitu lebih 1.5 peratus,” katanya.

Gigit polis:Mahukah Anwar korbankan Tian Chua ?

Posted in MEDIA on 23 October 2009 by zanas

Oleh: ROSLAN BIAN

TIAN440

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua muncul di lobi parlimen tengahari Khamis, kira-kira dua jam selepas Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara enam bulan serta denda RM3,000. Di wajahnya tidak nampak riak bersalah mahupun menyesal setelah majistret Mohd Faizi Che Abu memutuskan hukuman itu selepas beliau didapati bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan dengan mengigit seorang konstabel polis dalam perhimpunan haram di pekarangan Parlimen, dua tahun lalu.

Malah pemimpin PKR itu tersenyum dan melambai-lambai tangan sebaik sahaja wartawan dan jurugambar menyerbunya. Seperti diduga, Tian Chua mengekalkan pendiriannya bahawa beliau tidak bersalah dan menganggap ia adalah kes fitnah. “Hukuman itu adalah enam bulan penjara dan denda RM3,000. Ini bermaksud jika dilaksanakan (saya) akan hilang kelayakkan ahli parlimen. Bagaimanapun, saya akan failkan rayuan ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari,” katanya. Baginya, hukuman itu tidak adil dan sebab itu beliau akan merayu.

“Dalam pengadilan yang dibacakan, hakim mengakui pendakwaraya tidak membekalkan saksi yang melihat insiden itu dan hukuman berdasarkan bukti mengikut keadaan,” katanya. Dalam masa sama beliau menegaskan akan terus berkhidmat sebagai ahli parlimen dan bertugas memberi jasa kepada penduduk dan pengundi-pengundi di kawasan Batu. Sebabnya beliau mahu membina masyarakat yang adil dan institusi kerajaan yang menyakinkan rakyat bahawa ada perlaksanaan undang-undang yang adil.

Itulah kehebatan pemimpin PKR ini apabila bercakap. Sebab itu, beliau pernah dilantik Ketua Penerangan PKR – parti yang dinasihati Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau bertegaskan kononnya mahu memperjuangkan perlaksanaan undang-undang yang adil tetapi apabila dijatuhi hukuman yang boleh menyebabkan kedudukannya sebagai ahli parlimen ‘melayang, hukuman itu dikatakan tidak adil.’

Begitulah pembangkang di negara ini selepas tsunami politik pada pilihan raya umum Mac tahun lalu. Keputusan mahkamah yang memihak kepada mereka dikatakan adil dan sebaliknya. Malah kenyataan ini terbukti apabila dua lagi kes mahkamah pada Khamis memihak kepada pemimpin pembangkang. Kes pertama membabitkan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar, dan enam lagi yang diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Perak.

Sivakumar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang, Chen Fook Chye, Tai Singh Ng dan A Sivanesan, serta tiga pengundi, Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai (Jelapang) diberi kebenaran mengemukakan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan SPR itu.

Sebelum ini, SPR mengambil keputusan tidak mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang apabila wakil rakyat kerusi berkenaan menjadi Adun Bebas. Sementara itu, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) menolak permohonan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, agar perintah penggantungannya daripada Dewan Rakyat selama setahun mulai awal tahun ini, ditarik balik.

Bagaimanapun, Hakim Mohd Ariff Md Yusof, membuat keputusan bahawa wakil rakyat DAP itu berhak menerima ganjaran termasuk semua elaun dan manfaat sebagai seorang Ahli Parlimen. Beliau mengarahkan agar Gobind Singh dibayar faedah 8 peratus bagi elaunnya. Sudah pasti keputusan ini mengembirakan pemimpin pembangkang terbabit kecuali Tian Chua.

Beliau mungkin kehilangan jawatan sebagai ahli parlimen memandangkan dalam Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seorang ahli parlimen yang dikenakan hukuman penjara lebih dari setahun atau denda melebihi RM2,000 akan digugurkan dari jawatannya.

Tian Chua pasti akan merayu ke Mahkamah Persekutuan dan terakhir Mahkamah Rayuan jika Mahkamah Tinggi menolak rayuan beliau dan mengekalkan hukuman tersebut. Siapa tahu beliau akan mengikut jejak Anwar yang berdepan kes dakwaan meliwat apabila kes itu belum dibicarakan dengan pelbagai rayuan. Bayangkanlah jika kes seumpama itu berlaku pada pemimpin Barisan Nasional (BN) maka pembangkang akan bising dan mendesak pemimpin terbabit meletakkan jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil.

Namun, pembangkang di negara ini tidak sanggup menerima hakikat dijatuhi hukuman bersalah apatah lagi akan hilang kerusi sebagai wakil rakyat. Kebetulan tidak lama selepas jam selepas tersebar berita Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman keatas Tian Chua ,kelibat Ketua UMNO Bahagian Batu Yahaya Ghani kelihatan di lobi parlimen.

Beliau bergegas ke Parlimen untuk mendapat khabar terkini mengenai kesan hukuman dari kalangan rakan-rakan Ahli Parlimen Barisan Nasional yang hadir pada sidang Dewan Rakyat. Mungkin juga beliau ingin jenguk gelagat Tian Chua yang dikenali selalu ‘tunjuk aksi hero’ semasa demonstrasi anjuran pembangkang selepas dikenakan hukuman itu.  Sekalipun sedar proses rayuan dari Mahkamah Majistret ke mahkamah yang lebih tinggi mungkin memakan masa yang panjang namun Yahaya yang baru mengetuai UMNO Bahagian Batu nampaknya seperti tidak mahu ambil mudah.

“Dalam politik semua perlu diambil kira,”katanya kepada Agendadaily selepas hampir setengah jam berbual serius dengan Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian di satu sudut bilik rehat Ahli Parlimen.  Baginya kes Tian Chua adalah kes jenayah dan dari segi moralnya beliau sepatutnya terus melepaskan kerusi itu agar rakyat di Batu pula dapat ‘ buat penghakiman’.

“Kalau dia anak jantan sangat…lepas jawatan biar BN dapat bertarung balik dengan pakatan pembangkang di situ,”kata Yahaya. Jika katakan proses itu tidak selesai sehingga Mac 2011 maka sekalipun beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen tetapi pilihanraya kecil tidak perlu diadakan. Ini kerana adanya peraturan dimana pilihanraya kecil tidak perlu diadakan jika kekosongan berlaku dalam tempoh dua tahun menjelang habis penggal parlimen kali ini iaitu Mac 2013.

Sebagai rekod kawasan parlimen Batu yang terletak di Kuala Lumpur sekian lama menjadi kubu BN.Hanya pada pilihanraya umum Mac 2008 saja ia terlepas ke tangan pembangkang.Di pihak BN kerusi itu sejak dulu ditandingi oleh calon dari parti Gerakan. Tian Chua menewaskan Lim Si Pin,anak kepada bekas Presiden Gerakan Tan Sri Lim Kheng Yaik. Kawasan itu mempunyai 70,544 pengundi.Tian Chua dapat 29,785 manakala lim 20,330. Majoriti PKR 9.455. “ Bayangkan masa kemuncak reformasi tahun 1999 pun BN boleh mempertahankan kerusi Batu.Cuma pada tahun 2008 ada sikit masalah mood dan soal calon membuatkan BN tewas,”kata Yahaya.

Pada pilihanraya umum 2004 BN mempertahankan kerusi Batu menerusi calon Gerakan Ng Lip Yong yang dapat 28,718 menewaskan calon Keadilan Chua Tian Chang 17,201.Majoriti BN ialah 11,517 undi. Beliau yakin BN mampu merampas balik kerusi parlimen Batu berdasarkan mood semasa orangramai kawasan itu yang semakin hilang keyakinan pada pembangkang.

Ahmad Maslan menegaskan ahli parlimen Batu itu sepatutnya akur keputusan mahkamah itu.“Kalau kena ahli parlimen atau ADUN BN, bukan main lagi mereka mendesak (letak jawatan). Kalau libatkan mereka, macam-macam mereka katakan. Kes mengigit polis ini sesuatu yang pelik tetapi benar,” katanya. Beliau berharap Tian Chua sedar kesalahan itu manakala pengundi di parlimen Batu menilai hukuman yang sudah diputuskan pada wakil rakyat mereka. Ahmad memberitahu BN bersedia jika ada pilihanraya kecil di kawasan itu berdasarkan hukuman tersebut.

“Kita sebenarnya menghormati keputusan mahkamah dan memahami hakikat jika tiada rayuan atau rayuan ditolak akan ada pilihan raya kecil. Saya sudah jumpa Ketua UMNO Batu bertanya khabar apa berlaku dan bertanya pandangan beliau. Kita kena bersedia jika ada kemungkinan pilihanraya kecil,” katanya. Bagaimanapun, ramai yang mengandaikan bukan sesuatu yang mudah bagi pembangkang melepaskan kerusi parlimen Batu begitu sahaja kecualilah jika Anwar mahu ‘ korbankan’ Tian Chua menguji kekuatan pakatan pembangkang atau mengekalkan momentum selepas PAS tewas di Bagan Pinang baru-baru ini.

____________________________________________________________________________________________

Gigitan yang membawa padah

Ahli Parlimen PKR kawasan Batu, Tian Chua dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari Khamis kerana didapati bersalah mencederakan seorang konstabel polis dengan menggigit tangan polis berkenaan pada satu perhimpunan haram dua tahun lalu di luar kawasan Parlimen. Hukuman diputuskan Majistret Mohd Faizi Che Abu yang memerintahkan hukuman berkenaan dilaksanakan berkuatkuasa hari ini.

Tian Chua bagaimanapun memohon penangguhan hukuman tersebut dan akan membuat rayuan terhadap keputusan yang dijatuhkan ke atasnya itu.  Mengikut undang-undang dengan hukuman yang diterima, keanggotan Tian Chua sebagai Ahli Parlimen gugur dan pilihan raya kecil perlu diadakan di kawasan Parlimen Batu.  Bagaimanapun pilihan raya kecil tidak boleh diadakan sehingga proses rayuan selesai. Jika hukuman ke atas Tian Chua dikekalkan hingga semua proses rayuan diselesaikan, barulah pilihan raya kecil akan diadakan.Mohd Faizi embenarkan kedua-dua hukuman itu ditangguhkan, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

“Dalam menjatuhkan hukuman mahkamah tidak memandang sebarang keistimewaan terhadap beliau yang merupakan Ahli Parlimen dan beliau bakal kehilangan kerusi sebagai Ahli Parlimen,” katanya, yang membuat keputusan selepas pihak pembelaan yang diketuai peguam bela Harjit Singh gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Anggota Parlimen itu.

Perkara 48 (1)(e) menyebut seorang itu hilang kelayakan menjadi Anggota Parlimen jika dia disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.

Dalam penghakimannya, Mohd Faizi berkata mahkamah lebih mempercayai dan mengambil kira keterangan saksi pendakwaan kedua iaitu Konstabel Mohd Rosyaidi Anuar, 22, yang juga mangsa, bahawa beliau telah dicederakan oleh tertuduh.  Keterangan tertuduh dalam prosiding membela dirinya tidak konsisten dan bercanggah menyebabkan mahkamah tidak boleh mempercayainya, kata Mohd Faizi.  Katanya tayangan video yang diambil ketika kejadian itu jelas menunjukkan polis menjalankan tugas mengikut bidang kuasanya, dan ia adalah di luar bidang mahkamah.

“Pihak pembelaan telah menunjukkan tayangan mengenai video yang diambil ketika kejadian ketika prosiding membela diri tetapi klip video itu lebih memihak kepada pihak pendakwaan,” kata Mohd Faizi.  Mahkamah tidak dapat menerima keterangan Chua yang menyatakan penahanannya oleh polis adalah salah ketika kejadian itu berdasarkan tayangan video itu jelas menunjukkan keengganan tertuduh untuk menyerahkan kad pengenalan dan arahan polis untuk memberhentikan kereta.

“Keterangan tertuduh yang enggan keluar dari keretanya akan menyebabkan semua orang di situ mengerumuninya di mana dakwaannya orang awam akan beranggapan bahawa dia yang mencetus perhimpunan haram juga tidak boleh diterima oleh mahkamah,” katanya.  Ketika hujahan mitigasi, peguam bela Harjit Singh berhujah bahawa jika mahkamah mengenakan hukuman penjara, masyarakat akan berdepan dengan pilihan raya kecil baru, yang akan menyukarkan keadaan.

“Tertuduh yang merupakan Ahli Parlimen telah menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin dan pertuduhan ke atas anak guam saya adalah mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, ini jelas menunjukkan mahkamah boleh mengenakan hukuman antara pilihan itu,” kata Harjit Singh.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanafiah Zakaria bagaimanapun membantah dengan menyatakan mahkamah perlu memberikan keutamaan terhadap kepentingan awam ketika itu di samping ia juga melibatkan sikap individu berkenaan terhadap pematuhan undang-undang negara. “Tertuduh sepatutnya menghormati dan mematuhi arahan mahkamah dan polis ketika itu supaya memberi kerjasama dan kejadian itu jelas menunjukkan tertuduh memandang remeh dan mahkamah harus mengenakan hukuman berat.

“Permintaan polis hanya meminta tertuduh mengemukakan kad pegenalan dan keluar dari kereta tetapi (tertuduh) tidak mengendahkannya dan ini menyukarkan polis menjalankan tugas,” katanya.-22/10/2009

Sumber : Agenda Daily

Ketua UMNO Bahagian bukan jaminan jadi calon pilihanraya

Posted in MEDIA on 17 October 2009 by zanas

  ucapan-perasmian-UMNO-053XX
Menjunjung Tradisi Menzahir Perubahan menjadi tema ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada Perhimpunan Agung UMNO 2009 hari Khamis. Sebagai ucapan dasar sulung beliau selaku Presiden UMNO, beliau memberikan tumpuan sepenuhnya menyentuh mengenai UMNO sahaja. Beliau menggariskan dengan jelas usaha yang perlu diambil bagi memperkasakan UMNO dan memastikan UMNO terus relevan sesuai dengan agenda pembaharuan dan perubahan yang hendak dibawa.

Malah secara tegas, ucapan dasar itu mengimbas asas penubuhan UMNO, jasa dan bijaksananya UMNO mentadbir negara, tingginya toleransi orang Melayu sebagai pembuktian Melayu bukanlah rasis, terbukanya UMNO yang menjadi lembayung kepada semua golongan masyarakat, tingginya tahap pengorbanan ahli-ahli terdahulu hinggalah kepada cabaran yang perlu ditangani serta perubahan yang wajib dilaksanakan.

Menurut Najib, UMNO perlu meneruskan proses islah dan menzahirkan perubahan-perubahan yang sesuai dengan masa.

“Kita mesti dikenali sebagai parti yang bukan sekadar mampu melakar perubahan tetapi berupaya pula menzahirkan perubahan itu,” katanya.

Sebagai pembuktian kepada perubahan itu, beliau menegaskan pindaan perlembagaan UMNO bukanlah satu usaha tempelan tetapi pembuktian suburnya demokrasi dalam parti itu malah “nyatanya tidak ada mana-mana politik di Malaysia yang berani bertindak sedemikian rupa”.

ucapan-perasmian-UMNO-020XX

Justeru sebagai pembuktian kepada kesungguhhan UMNO melakukan perubahan dengan mengutamakan rakyat, ia bukan sahaja akan mempertingkatkan usaha dan meneruskan tradisi membela mereka akan tetapi kriteria memilih calon bagi mewakili parti itu pada pilihan raya juga akan diubah.

Menurut Najib, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) termustahak bagi sesebuah parti politik ialah memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

“Dalam memenuhi maksud ini, kita perlu mencari calon yang betul. Untuk itu, kita akan mengubah kriteria menentukan calon. Maknanya, dalam memilih calon, individu itu perlulah seseorang yang diterima masyrakat tempatan di samping mempunyai kualiti untuk berkhidmat kepada tiga peringkat penting yakni peringkat rakyat, peringkat parti dan peringkat negara.

“Pada analisa akhir, inilah calon yang dikehendaki rakyat dan akan memenangi pilihan raya,” katanya.

Seterusnya, Najib mengulangi perlunya UMNO bersifat inklusif dan bukannya insular atau terpulau dengan memperbanyakkan program yang capaiannya bukan sahaja di kalangan ahli UMNO semata-mata tetapi seluruh orang Melayu dan bukan Melayu.

Menurut beliau, UMNO perlu dilihat, dirasai serta diyakini sepenuhnya sebagai sebuah parti inklusif yang mendahulukan rakyat dan bukannya mendahulukan diri sendiri.

ucapan-perasmian-UMNO-047XX

“Maka persepsi UMNO sebagai parti untuk cari makan mesti dibuang jauh-jauh, mesti ditinggalkan,” ujar beliau lagi.

Menjelaskan betapa inklusifnya UMNO, Najib berkata, UMNO adalah parti siasah yang semesta dengan semua pihak mempunyai tempat dan peranan di bawah lembayung parti berkenaan.

“Semenjak penubuhannya lebih enam puluh tahun yang lalu, UMNO telah dianggotai mereka yang berfahaman kiri dan kanan, golongan nasionalis mahupun agamawan. Termasuk jugalah golongan pemikir dan pedagang, pendidik, pejuang serta pelbagai latar sosio ekonomi. Semuanya dialu-alukan dalam UMNO.

“Tuan-tuan dan puan-puan inilah kekuatan UMNO, inilah lambang kebitaraan perjuangan UMNO yang sebenar, sebagai sebuah parti tercinta yang menjiwai keluh kesah, denyut nadi dan nurani semua golongan masyarakat,” tambah beliau.

Menggariskan keterbukaan UMNO dan orang Melayu, Najib menempelak pihak-pihak tertentu yang dengan sewenang-wenangnya menuduh UMNO sebagai sebuah parti perakuman dan meminta mereka mencermin diri mereka secara ikhlas.

“Jika betullah orang Melayu rasis bagai didakwa, tidak mungkin kita bersifat amat bertolak ansur terhadap budaya etnik-etnik lain seperti yang diamalkan, tak mungkin juga kita benarkan sekolah-sekolah aliran kebangsaan diwujudkan, bahkan mustahil pula untuk bekerjasama dengan begitu akrab bersama-sama parti komponen lain dalam Barisan Nasional sejak berdekad lamanya.

“Oleh itu, kepada pihak-pihak tertentu, janganlah angkuh mengaku bahawa mereka kononnya sebuah parti pelbagai kaum yang mempunyai keabsahan moral dan keikhlasan intelektual untuk memimpin rakyat di negara ini,” kata beliau sambil menambah, pihak berkenaan harus sedar akan realiti komposisi kaum dalam parti mereka sendiri adakah ia benar-benar melambangkan keterbukaan yang mereka jerit dan laung-laungkan.

__________________________________________________________

Amaran Najib kepada ahli Umno

Datuk Seri Najib Razak memberi amaran supaya tidak ada pihak dalam Umno yang cuba merosakkan sistem baru yang bakal dilaksanakan untuk memulihkan sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.

“Jangan sesekali nak rosakkan sistem baru ini. Kita serius kali ini, minta maaf, kalau cuba (merosakkannya) akan tanggung (akibatnya),” kata presiden Umno ketika menggulung perbahasan di perhimpunan agung ke-60, petang ini.

Beliau mengingatkan bahawa apa yang rakyat mahu melihat ialah imej Umno bersih dan benar-benar mahu membantu mereka dan menjadi juara rakyat.

Oleh itu, Najib mahu semua peringkat ahli dan pemimpin parti itu supaya mengambil semangat baru bagi memperkukuhkan parti dan mengikis sikap-sikap lama dan negatif yang boleh menjejaskan parti.

Sehubungan itu, katanya, Umno akan kembali kepada matlamat asal penubuhannya sebagai sebuah parti pergerakan massa.

Dahulunya, katanya, Umno jadi kuat kerana ia merupakan parti pergerakan massa, bukan parti golongan elitis atau golongan bangsawan.

Sebaliknya, Umno adalah satu perhimpunan segala pimpinan Umno dari segala peringkat latarbelakang dan bergerak satu pergerakan yang mencerminkan hati nurani orang Melayu.

Sempena perlembagaan baru, kita buang fe’el (kelakuan) lama. Kita lakukan perubahan dalam Umno bukan setakat (pindaan) perlembagaan sahaja, (tetapi) budaya kita, sikap kita. Jadi kita bersikap inklusif,” katanya .

Menurut Najib lagi, pindaan perlembagaan juga memberi kedudukan istimewa kepada Wanita dengan diberi tambahan perwakilan di peringkat bahagian.

Katanya, ini kerana Wanita menjadi nadi dan penggerak kepada Umno, termasuk dalam menggerakkan jentera pilihanraya.

Najib juga menyifatkan perhimpunan agung ke-60 ini sebagai yang terbaik pernah dihadirinya sejak tahun 1976.

“Selama satu tahun saya merasa begitu agak gusar, agak gundah gulani hati saya melihat  sama ada anggota parti kita sudah pulih dari segi semangat, sudah boleh bangkit semula atau tidak, sudah sedar atau tidak, sudah insaf atau pun tidak.

“Hari ini, bila saya berdiri di depan tuan-tuan, segala kesangsian itu telah luput sama sekali. Saya berani katakan dan cukup yakin bahawa Umno pada saat ini bersedia untuk bangun sebagai satu kekuatan baru,” katanya.

__________________________________________________________

Perubahan perlu lalui ‘tempoh sakit’

Timbalan presiden Umno menggesa anggota parti itu supaya menghadapi tempoh ‘sakit’ yang perlu ditahan sebelum perubahan dapat dirasai.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses perubahan yang sering disebut oleh tokoh-tokoh dunia juga memakan masa dan perubahan itu perlu melalui ‘tempoh sakit’.

“Kerana apa yang dikehendaki orang Melayu, khususnya yang dapat dilihat pada keputusan pilihanraya dulu, kita sedar di hadapan kita ada perkara amat kritikal,” katanya ketika menggulung perbahasan di perhimpinan agung parti itu petang ini.

Katanya lagi, beliau dapat memerhatikan ramai perwakilan yang telah menyatakan kesanggupan dan kesediaan untuk berubah dan ini harus dilakukan dengan pantas.

“Kita sedar kalau kita tidak buat (dengan) pantas, masa tidak menyebelahi kita, dan kita tidak akan dilihat sudah mula berubah,” katanya.

Katanya lagi, ucapan dasar oleh presiden telah menyuntik semangat baru di kalangan perwakilan yang hadir.

“Ini beri dorongan yang kuat untuk bekerja keras untuk pikul amanah yang lebih besar bagi pastikan kelangsungan umno dan teras di tanah air,” katanya lagi.

Ubah kelakuan

Tambahnya, beliau akan bertemu pemimpin parti itu di semua peringkat untuk melihat komitmen yang telah dijalankan oleh di setiap negeri.

Jelasnya lagi, kejayaan yang diraih calon BN dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang hujung minggu lalu juga menunjukkan kesan bahawa sokongan ke atas parti itu telah meningkat..

“Ada kawasan peti undi yang dulunya hitam legam (penyokong pembangkang) dan kawasan ladang yang hitam legam menjadi putih melepak (penyokong BN), semuanya kita menang,” katanya.

Katanya lagi, usaha-usaha untuk perubahan di kalangan Umno tidak akan berjaya sekiranya anggota-anggota parti itu masih berbalah sesama sendiri.

“Perubahan tidak akan berlaku kalau kita berbalah, kalau ada masih di kalangan kita puak-puak, team-team, dan usaha-usaha yang tidak membantu perpaduan.

“Tapi bersediakah kita untuk tinggalkan feel (kelakuan) yang buruk-buruk ini. Fe’el lama yang mengongkong kita inilah yang menghalang kita berubah,” tambahnya.

Katanya lagi, kerja-kerja parti perlu ditumpukan untuk mengenalpasti titik-titik sentuhan dalam masyarakat untuk mengenalpasti kesan tindakan parti itu ke atas masyarakat.

“(Perlu tahu) apakah kesan yang dirasakan masyarakat. Mungkin (ianya perkara) kecil tapi ada kesan besar kepada masyarakat,” tambahnya.

Dalam ucapan itu, Muhyiddin juga berkata Umno telah bersetuju untuk memberikan peruntukan (kepada bahagian-bahagian) bagi mengadakan aktiviti-aktiviti parti, mengikut program-program yang dirancangkan.

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.