Permatang Pauh: Satu lagi langkah desperado Anwar

Bashir Ahmad
1 Ogos 2008

KENAPA Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh yang secara tiba-tiba sahaja dikosongkan oleh isterinya Datin Seri Dr. Wan Azizah?

Pertama kita perlu menjawab kenapa Anwar mahu bertanding dan kedua, mengapa di Permatang Pauh? Oleh kerana Anwar tidak akan memberikan jawapan yang ada dalam hatinya, kita kenalah membuat andaian sendiri.

Andaian bagi soalan pertama ada kait mengait dengan kes tuduhan liwat Mohd Saiful yang dihadapinya sekarang. Jika kita menyorot kembali daripada awal sejak Saiful membuat laporan kepada polis, ada-ada sahaja tindakan yang Anwar lakukan untuk menyeret persepsi umum supaya mempercayai bahawa beliau adalah mangsa konspirasi.

Konspirasi siapa? Konspirasi mereka yang mahu menyekat kemaraan politiknya. Orang bodoh pun boleh membuat kesimpulan bahawa yang beliau sasarkan ialah UMNO dan Barisan Nasional, musuh politik Pakatan Rakyat pimpinannya.

Dalam usahanya untuk meyakinkan bahawa kes ini adalah satu konspirasi politik, Anwar turut menyeret nama Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai orang-orang yang tidak boleh dipercayai kerana kononnya telah memutarbelitkan siasatan kes rasuah dan liwat terhadapnya pada 1998.

Anwar membuat aduan polis terhadap Gani dan Musa. Lalu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak membenarkan mereka campur tangan dalam kes terbaru ini walaupun mereka sepatutnya ambil tahu selaku ketua.

Tidak perlulah kita menyenaraikan semula satu persatu langkah-langkah seterusnya yang Anwar lakukan untuk memperkukuh hujahnya bahawa kes tuduhan liwat adalah konspirasi politik, tapi cukuplah untuk menyatakan bahawa beliau adalah pakar dalam strategi perang saraf dan muslihat untuk meyakinkan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa bahawa beliau adalah mangsa konspirasi politik.

Jadi apa kaitan dengan pengumuman beliau mahu bertanding pilihan raya kecil di Permatang Pauh? Pengumuman itu dibuat setelah tersebar luas spekulasi kononnya Anwar akan ditangkap dalam masa terdekat berhubung kes aduan Saiful. Semua orang tahu bahawa polis telah menyiapkan siasatan dan kertas siasatan berada di atas meja Peguam Cara Negara.

Pengumuman ini dibuat sebagai taktik untuk mengeruhkan lagi suasana ekoran kemungkinan beliau akan ditangkap. Apabila Wan Azizah mengumumkan beliau melepaskan kerusi Permatang Pauh dan Anwar akan bertanding, berita mengenainya segera disebar oleh media. Kini seluruh dunia tahu Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil. Bayangkan jika tiba-tiba Anwar ditangkap. Tentulah media antarabangsa akan menyebut bahawa “Anwar ditangkap ketika beliau sedang bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh.”  Anwar mengharapkan tekanan antarabangsa terhadap Malaysia akan bertambah.

Semua orang tahu bahawa Anwar berhasrat untuk menjadi ahli Parlimen untuk membolehkannya menjadi Perdana Menteri Malaysia. Ini beliau telah canangkan sejak lama dulu. Juga diumumkan bahawa salah seorang ahli Parlimen PKR akan mengosongkan kerusi untuk membolehkan beliau bertanding.

Antara kerusi yang menjadi sebutan kebelakangan ini ialah Bandar Tun Razak yang turut dipegang oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Sebuah lagi kerusi ialah Kulim yang menghadapi satu kes petisyen pilihan raya.

Tapi Anwar memilih Permatang Pauh kerana beliau tidak yakin lagi akan menang di lain-lain kerusi Parlimen. Permatang Pauh adalah kubu kuatnya yang dipegang sejak beliau mula bertanding atas tiket BN dan kemudian dipegang secara proksi oleh Wan Azizah setelah Anwar dipenjara.

Anwar tidak yakin boleh menang kerana beliau mulai melihat bahawa rakyat Malaysia sedikit demi sedikit hilang kepercayaan terhadapnya. Para pemimpin Pas tidak lagi seakrab dulu dengannya. Kes tuduhan liwat Mohd Saiful yang dihadapinya benar-benar menjadi badi terhadap dirinya. Sebab itulah beliau memilih Permatang Pauh kerana inilah tempat yang dirasakannya paling selamat.

Beliau juga memilih untuk bertanding sekarang kerana ini adalah langkah politik yang  beliau fikirkan paling sesuai ketika dia mempercayai polis akan menangkapnya pada bila-bila masa, Beliau tahu apa jua tindakan terhadap Anwar Ibrahim sekarang akan menjadi bahan berita hangat bukan sahaja dalam negeri, tapi juga di peringkat antarabangsa. Beliau mahu memperkuatkan teori konspirasi politik di sebalik kes tuduhan liwat terhadapnya.

Malah pada hari ini, Herald Tribune, akhbar antarabangsa milik syarikat AS telah melaporkan berita Anwar akan bertanding dengan menyebut bahawa BN akan menghadapi pertandingan yang sukar.

Akhbar itu juga memetik laporan Bernama yang menyebut Pak Lah berkata bahawa pihak berkuasa akan tetap mengambil tindakan terhadap Anwar jika ada kes terhadapnya.

Andainya Anwar ditangkap, kita sama-sama tunggu apa episod-episod seterusnya.

Secara kebetulan, agak menarik akhbar theSun pada 31 Julai 2008 telah menyiarkan satu interbiu dengan Faisal Tehrani, sasterawan muda Malaysia yang sedang mengukir nama. Faisal, 34, lulusan ijazah pengajian Islam antara lain ditanya dua soalan mengenai Anwar. Berikut disiarkan terjemahan bab interbiu mengenai Anwar:

Apa pandangan anda mengenai Anwar Ibrahim?

Saya pernah berjumpanya sekali selepas beliau dibebaskan dari penjara. Secara peribadi saya suka beliau. Kelihatan dia seorang yang baik. Tetapi A. Samad (Said) dan Shahnon Ahmad selalu memberitahu saya, ‘sebagai penulis, kita kena menganalisa orang lain… menganalisa isu … jika anda mahu menulis mengenainya.’ Saya mulai menganalisa beliau dan saya dapati ada perkara-perkara yang bertentangan. Itu sahaja yang boleh saya cakap.

Ada orang berpendapat Anwar boleh menjadi perdana menteri yang hebat. Apa pendapat anda?

Ini perkara yang subjektif. Kenapa Anwar mesti jadi perdana menteri? Kenapa perlu beri tanggung jawab kepadanya sahaja? Adakah kita ketandusan pemimpin? Kenapa tidak beri jawatan perdana menteri kepada kalangan angkatan muda? Ada generasi muda dalam  PKR, Pas, DAP dan UMNO, yang mempunyai idea-idea baru. Mereka patut diberi peluang.

Apa kata Nurul Izzah (anak Anwar)? Lebih segar. Tentu dia mempunyai idea-idea baru. PAS mempunyai tokoh-tokoh baru yang liberal dan sesuai dengan zaman. Lim Guan Eng dari DAP nampaknya bagus. Dia bergambar dengan  Ning Baizura (penyanyi) dan naik kapal terbang kelas ekonomi.

Pemimpin-pemimpin lama … mereka mempunyai episod-episod drama dalam kehidupan lalu yang boleh menjadi isu. Kita patut beri peluang kepada generasi baru.

Lihat presiden Rusia. Dia orang muda. (Dmitry Anatolyevich Medvedev. Umur: 43) Lihat di Amerika… mereka mungkin memilih (Barrack) Obama. Dia muda. (Umur: 47). Seluruh dunia sedang berubah mengikut perspektif orang muda dan idea baru. Saya fikir Malaysia juga patut mengikut jejak yang sama.

Cakap Faisal mungkin mewakili pandangan angkatan muda terutama orang Melayu. Mungkin juga kebanyakan orang Melayu dan sebilangan bukan Melayu yang lebih dewasa turut berkongsi pandangan ini. Malaysia sepatutnya sudah letih dengan kemelut Anwar yang tidak membawa negara ke mana-mana kecuali ke keadaan yang semakin tidak menentu.

Apakah Malaysia tidak boleh mara ke depan tanpa Anwar? Bangsat sangatkah Malaysia tanpa Anwar? Atau mungkin lebih baik tanpanya. – malaysiaaktif.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: