Peringatan sebelum UMNO ditalkinkan…

     
Friday, 12 September 2008

ImagePERJUANGAN UMNO adalah perjuangan legasi yang perlu diteruskan. UMNO selama ini adalah wadah perjuangan Melayu dan merupakan satu-satunya wadah yang membela agama, nasib bangsa dan negara. UMNO bertapak sewaktu Melayu gersang mencari wadah, sewaktu Melayu terpisah dan sewaktu Melayu dan Tanah Melayu ini digugat kedaulatannya.

UMNO lahir dalam kesedaran, UMNO lahir dengan pengorbanan orang Melayu dan UMNO lahir menjadi benteng menyelamatkan negara ini dari diragut kedaulatannya dan bangsa ini dari terus menjadi  melukut di tepian gantang. UMNO lahir dari kepimpinan UMNO tak kala itu bertanggung jawab menyatukan kita , memperkuatkan kesatuan ini demi untuk mempertahankan bangsa.

Atas alasan inilah UMNO adalah parti yang paling berjasa kepada orang Melayu dan Tanah Melayu ini. Tidak ada siapa yang dapat menafikan hakikat ini dan hakikat inilah yang menjadikan semangat kita lebih utuh dalam mempertahankan UMNO dan seterusnya memastikan UMNO adalah roh kepada Melayu di muka bumi ini.

UMNO tidak pernah menolak partisipasi bangsa lain. Perjuangan Melayu untuk memartabatkan Melayu tidak pernah dibuat dengan mendiskriminasikan kepentingan bangsa lain. Perjuangan Melayu adalah untuk membangunkan bangsa itu separa dengan bangsa lain.

Atas semangat inilah UMNO dan Barisan Nasional bertindak bersama-sama untuk menentukan bukan sahaja Melayu terbela tetapi semua bangsa, di bawah langit yang kita junjung dan bumi yang kita pijak terbela dan menikmati hidup dalam keharmonian. ?

Inilah di UMNO di dalam Barisan Nasional. Usaha dan perjuangan adalah untuk Malaysia bergerak sejajar dengan pembangunan negara- negara lain serantau ini. Kita mahu memastikan kejayaan negara ini adalah kejayaan bersama semua bangsa, semua keturunan. Ini adalah prinsip dan ini adalah hakikat kehadiran UMNO.

Namun hari-hari yang dilalui kini semakin mencabar. Senario dan landskap politik semakin berubah. Pembangunan dan kemodenan yang UMNO dan Barisan Nasional perjuangkan hari ini sudah melekakan kita orang Melayu. Kita seakan terlena sehingga lupa bahawa perjuangan kita ini perlu diteruskan. Kita lena dalam buaian kejayaan dan baru-baru ini kita disedarkan akan cabaran yang perlu kita tangani. ?

UMNO hari ini dicabar. UMNO hari ini seakan diketepikan dan UMNO hari ini seakan ketinggalan. Barisan Nasional dan UMNO bagai dilanda ribut dan PRU 12 menjadi pengajaran untuk UMNO supaya tidak leka dan tidak mengambil mudah. UMNO hari ini perlu terus memperbaiki luka-luka yang ada untuk survival parti ini. Langkah-langkah perlu diambil untuk menyedarkan orang Melayu khususnya bahawa UMNO harus terus relevan dan harus terus disokong demi kepentingan agama dan bangsa. UMNO perlu hari ini sedar bahawa senario kemodenan telah banyak mengubah masyarakat kita.

Melayu hari ini harus sedar dari lena dalam arus pembangunan pesat sehingga kesedaran mengenai sejarah perjuangan kepimpinan dan mereka yang menyertai UMNO dilupakan. UMNO seakan tersisih dari segi idealisme dan perjuangan. Orang Melayu hari ini seakan menghadapi krisis keyakinan terhadap UMNO dan ini perlu diperbetulkan sebelum UMNO hilang dalam lipatan sejarah.

Perubahan dalam UMNO perlu dilakukan sealiran dengan perkembangan kemasyarakatan orang Melayu. UMNO perlu dilihat bukan sahaja relevan tetapi mampu menyempurnakan kehendak dan tuntutan semasa sesuai dengan pemikiran baru Melayu hari ini. Kemampuan inilah yang perlu di tunjukkan oleh UMNO agar UMNO terus berdaya dalam merealisasikan harapan orang Melayu zaman ini. UMNO perlu sealiran dalam tuntutan semasa, era globalisasi dan era kemodenan negara ini.

UMNO adalah parti yang senantiasa menyempurnakan harapan dan cita-cita Melayu. UMNO selama ini tidak pernah mengabaikan tuntutan orang Melayu, memastikan agar kehidupan orang Melayu senatiasa meningkat dan senatiasa membangun. Ini adalah idealisme UMNO dan inilah inti pati penubuhan UMNO. Namun dalam merealisasikan cita-cita dan matlamat perjuangan yang tidak pernah diabaikan.

 UMNO berhadapan dengan serangan bentuk baru, serangan definisi yang mempengaruhi minda, serangan yang berbentuk pengisian minda yang tidak konklusif dan akhirnya menghakis nilai kemelayuan. Serangan ini mendefinisikan bentuk-bentuk baru demokrasi, mendefinisikan semula hak kemanusiaan serta mencorakkan kehidupan yang hanya mahu memanfaatkan cita-cita politik sesetengah pihak. ?

Melayu sendiri terpengaruh dengan dakyah kebebasan mutlak, demokrasi total dan nilai yang terlampau terbuka tanpa batasan. Serangan berbentuk baru inilah yang sedang kita hadapi dan kita perlu berdepan dengan nada dan cara yang berbeza. Kita perlu berdepan dengan serangan bentuk baru,serangan minda dengan kekuatan baru yang perlu kita bentuk. Kita perlu selangkah ke hadapan dalam antisipasi bentuk-bentuk serangan yang akan dibuat.

Serangan bentuk ini memerlukan ahli UMNO bersiap sedia, penuh dengan ilmu dan pengetahuan untuk memulakan bukan sahaja bentuk-bentuk jawapan defensif tetapi bentuk-bentuk penerangan yang ofensif. Ahli UMNO perlu bersedia,perlu melengkapi diri untuk bertembung dengan serangan minda, serangan tuntutan bentuk demokrasi total yang dilaungkan oleh mereka serta serangan berbentuk melonggarkan pegangan Melayu sebagai bumiputera di negara ini.?

Laungan seperti Ketuanan Rakyat sebenarnya adalah bentuk-bentuk penjualan hak yang selama ini kita perjuangkan dan kita peroleh dari pengorbanan perjuangan ahli UMNO yang terdahulu dari kita. Kita perlu mempertahankan agar keadilan dapat di tegakkan dan diayah penipuan yang menuntut kesamarataan sedangkan kita masih ketinggalan di bumi kita ini.

Kita harus berani berdepan dengan serangan konon-kononnya UMNO mengamalkan budaya rasis kerana serangan ini adalah seperti melihat kuman di seberang sedangkan mereka sendiri adalah Pakatan yang terpisah dengan batasan rasis. ?

Tuntutan demokrasi total yang sebenarnya menolak bentuk-bentuk hak keistimewaan sebenarnya lebih merugikan kaum Melayu. Kaum Melayu adalah kaum yang tertinggal dan perlu bantuan. Kerajaan Barisan Nasional tidak membuat konsentrasi kepada kaum Melayu sahaja tetapi di label oleh pembangkang sebagai parti rasis yang memperjuangkan hanya Melayu. ?

Serangan ini tidak seharusnya diambil mudah. Baru-baru ini Majlis Peguam Negara telah mengadakan forum mengenai Sosial Kontrak yang dikatakan hanya satu ilusi oleh orang Melayu dan kepimpinan Melayu hari ini dan sebelum ini. Mereka mengatakan bahawa Kontrak Sosial tidak pernah ada dan ada antara panel yang hadir mengatakan bahawa ilusi Kontrak Sosial ini adalah untuk menghalang kaum lain dari mendapat kongsi kuasa.

Ini adalah bentuk sadis perjuangan mereka untuk terus menipu dan terus menipu. Kita perlu bangkit dan mempertahankan perkara-perkara sedemikian dengan tegas tetapi harus perlu ada penjelasan. Kita perlu menghadapi serangan intelektual ini dengan cara yang intelektual.

Kita harus sedarkan bahawa Kontrak Sosial adalah perundingan sihat antara semua kaum di waktu itu dengan mengambil sensitiviti dan pengorbanan orang Melayu dengan memberi peluang mereka menghirup dan berteduh di bawah langit Tanah Melayu.

Serangan ini bukan di adakah oleh semua yang berbangsa lain di Malaysia. Serangan ini adalah serangan bermotif, motif utama adalah untuk memperoleh kuasa. Ini bukan soal keadilan tetapi ini adalah soal menghasut untuk mendapat sokongan dan untuk terus menjajah minda kita orang Melayu. Malangnya serangnya semakin membesar dan kita sehingga hari ini belum berjaya menangkis serangan berbentuk penjajahan minda ini. ?

UMNO patut mengorak langkah. Kita seharusnya hari ini melihat serangan besar ini dengan lebih serius dan mendahulukan perjuangan ini sebelum perjuangan tempat untuk diri sendiri. Kita perlu yakin bahawa kita mampu mengubah senario UMNO agar lebih kukuh dan lebih kental untuk menawarkan diri dalam barisan kepimpinan dan ahli pula perlu arif dalam mendahulukan kepentingan perjuangan dari hanya perjuangan memastikan tempat.

Kita akan berdepan dengan keadaan bila mana kita memilih kepimpinan yang akan menentukan arah perjuangan kita, kita harus bersedia menolak kepentingan lain selain dari kepentingan memilih kepimpinan yang mampu berdepan dengan serangan alaf baru.

Kita perlu memilih kepimpinan yang mampu membebaskan Melayu dari dijajah minda. Kita harus memilih kepimpinan yang sedar keperluan untuk UMNO berubah seiringan dengan kehendak semasa dan seiringan dengan kehendak Melayu hari ini.

Kita perlu memastikan kepimpinan itu dipilih tanpa mengorbankan erti kita hidup sekeluarga, erti hidup kita dalam UMNO dan erti kesatuan kita sebagai Parti Melayu unggul di Malaysia.

Kita perlu faham bahawa demokrasi tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan diri. Kita tidak mahu memberi interpretasi yang salah kepada demokrasi. Kita perlu sedar bahawa demokrasi yang ada adalah sistem untuk memastikan keadilan dan bukan untuk memporak-perandakan apa yang ada hari ini.

Demokrasi tidak boleh disalahertikan untuk meruntuhkan institusi yang ada semata-mata untuk menyempurnakan cita-cita orang-orang tertentu.

Kita perlu sedar bahawa hak kemanusiaan perlu diperjuangkan dalam kerangka mengharmonikan sistem kemasyarakatan yang ada. Kita tidak mahu atas nama hak kemanusiaan maka nilai moral seperti yang digariskan dalam agama kita menjadi rujukan nombor 2.

Kita tidak mahu perjuangan hak kemanusiaan digunakan untuk keuntungan pihak-pihak tertentu. Kita perlu berdepan dengan demokrasi dan perjuangan hak kemanusiaan bersesuaian dengan tuntutan keadilan dan keharmonian yang ada sekarang ini.

Kegemilangan pemerintahan UMNO perlu ada semula. Melayu perlu disedarkan bahawa usaha menjajah minda mereka sedang luas dilaksanakan. Kita perlu kuatkan kesatuan kita dan kita harus elakkan dari meruntuhkan apa yang selama ini ada. Kita harus pertahankan idealisme kita sebagai ahli UMNO dan kita perlu melangkah ke hadapan dengan kekuatan dan ketahanan yang dinamik dan proaktif. Kita tidak mahu Melayu dilabel sebagai lembik dan pemalas. Kita Melayu harus progresif.

UMNO perlu menentukan kekuatan ahli dalaman, keutuhan semangat kekeluargaan oleh kita dalam UMNO dan membina kekuatan minda kalangan ahli kita. Ini perlu untuk kita memulakan langkah untuk mempertahankan UMNO kerana UMNO adalah nadi kepada Melayu.

UMNO adalah parti yang memperjuangkan Melayu dan ini perlu disedarkan. Kita harus memastikan agar kita terus terikat dalam ikatan kekeluargaan yang mementingkan perjuangan agama, bangsa dan negara.

Dengan iltizam yang akan kita bina, dengan kepercayaan kita kepada perjuangan UMNO dan dengan kasih dan sayang kita pada bangsa kita, kita mulakan langkah kita hari ini, kita satukan dan kita perjuangkan. Kita laungkan slogan MAJU Melayu agar Melayu bukan sahaja untuk hidup malah menikmati kemajuan yang kita perjuangkan bersama.?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: