Teori konspirasi ciri politik Malaysia

ImageNEGARA kita Malaysia tidak syak lagi adalah antara negara di dunia yang mempunyai suasana politik yang paling cergas, kompleks dan sensasi. Bercakaplah dengan mana-mana diplomat, pelabur, penyelidik dan wartawan asing mereka pasti mengakui hakikat ini.

Ada yang mengatakan ini merugikan dan tidak kurang pula berkata ia adalah contoh demokrasi yang sihat.Apa pun kebenarannya, hakikat bahawa Malaysia berdiri teguh sebagai salah sebuah negara bekas tanah jajahan yang paling berjaya adalah hasil daripada suasana ini.

Tentunyalah dalam suasana politik yang cergas, kompleks dan sensasi ini wujud aspek-aspek yang kurang sihat dan kurang produktif. Justeru itu ada yang mengatakan kita menghabiskan terlalu banyak masa berpolitik.

Antara ciri yang kurang sihat itu, pada pendapat sesetengah pihak, adalah keterdedahan politik kita kepada teori konspirasi (conspiracy theory) atau teori persekongkolan.Teori konspirasi ditakrifkan sebagai teori yang diajukan untuk memerangkan sesuatu kes atau perkara sebagai satu plot atau percubaan oleh kumpulan atau pakatan sulit.

(A theory seeking to explain a disputed case or matter as a plot by a secret group or alliance rather than an individual or isolated act.)

Maka tidak hairanlah jika wujud begitu banyak teori konspirasi mengenai pelbagai kejadian dan perkembangan semasa yang sedang berlaku dalam arena politik Malaysia.Yang terbaru dan paling sensasi adalah mengenai Surat Akuan Bersumpah (Statutory Declaration) Raja Petra Kamaruddin dan aduan liwat terhadap Anwar Ibrahim.

Dalam ketaasuban membentuk dan mempopularkan teori persekongkolan ini, fakta dan realiti sering dilupakan atau sengaja diketepikan. Yang menjadi pertimbangan bukan isu polok tetapi siapa yang terbabit mengembang gemburkannya.

Antara teori konspirasi yang popular mengenai dua kes ini adalah:-

1. RPK tidak bertindak berseorangan. Dia bersekongkol dengan individu atau kumpulan tertentu. Matlamatnya adalah untuk menjatuhkan atau setidak-tidaknya menyekat kemaraan Mohd Najib Abdul Razak;

2. Mohd Saiful Bukhari b Azlan tidak bertindak berseorangan. Dia bersekongkol dengan individu atau kumpulan tertentu. Matlamatnya adalah untuk menjatuhkan atau setidak-tidaknya menyekat kemaraan Anwar; dan

3. Bahawa semua ini sengaja diada-adakan bagi menutup kelemahan kerajaan dalam menangani kenaikan kos sara hidup dan kegagalan Anwar memujuk Ahli Parlimen Barisan Nasional berpaling tadah.

Dalam kes surat akuan bersumpah RPK, antara pihak yang didakwa berpakat adalah Anwar atau kumpulannya kerana RPK adalah antara penyokong paling lantang Anwar ketika gerakan Reformasi tahun 1999.

Teori ini berlandasan hujah bahawa musuh politik utama Anwar bukanlah Abdullah Ahmad Badawi tetapi Mohd Najib. Jadi, menjatuhkan Mohd Najib adalah antara matlamat utama Anwar dalam usahanya untuk kembali berkuasa.

Mengapa tidak Abdullah sedangkan dialah Perdana Menteri dan Presiden Umno?

Pertama Anwar jarang sekali menyerang Abdullah secara peribadi. Kedua Anwar menganggap Abdullah sebagai sudah berada di pintu keluar bagi kedua-dua jawatan itu.

Ketiga Anwar mempunyai perasaan kasihan terhadap Abdullah sebagai orang se negeri (Pulau Pinang). Keempat dia berasa terhutang budi kepada Abdullah kerana pembebasannya daripada penjara dan tuduhan liwat berlaku sebaik sahaja Abdullah menjadi Perdana Menteri.

Dan kelima kerana Abdullah dan menantunya, Khairy Jamaluddin, telah memudahkan pemergiannya ke luar negara (Jerman) untuk rawatan perubatan sebaik sahaja dibebaskan pada tahun 2004.

Hakikat bahawa RPK mungkin memperjuangkan kebenaran dan keadilan nampaknya tidak begitu penting kepada pencipta teori konspirasi ini. Yang penting adalah implikasi politik akuan bersumpah beliau terhadap Mohd Najib.

Malah lebih sensasi daripada itu adalah hakikat bahawa para pencipta teori konspirasi tidak menolak kemungkinan berlaku persekongkolan antara RPK dengan Kem Abdullah.

Ini adalah kerana Mohd Najib dilihat sebagai pencabar paling berwibawa kepada Abdullah untuk jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Mohd Najib, walaupun nampak tidak yakin dan sering berdolak-dalik mengenai kesetiaannya kepada Abdullah, sebenarnya berada di ambang pintu untuk mengumumkan kesediaannya bertanding jawatan Presiden Umno Disember ini.

Hakikat bahawa RPK adalah pengkritik utama dan paling keras Pentadbiran Abdullah melalui portal berita Malaysia-Todaynya tidak diambil endah oleh para pencipta teori konspirasi.

Malah ada yang mengatakan ini adalah cara PRK berlaku adil kepada semua pihak. Ada pemerhati melihat RPK sebagai jelmaan atau gabungan antara seorang pejuang kebenaran dan keadilan dengan seorang anarkis (anarchist) yang matlamatnya memporak-perandakan keadaan.

Semua pihak yang didakwa oleh RPK dalam Surat Akuan Bersumpahnya telah menafikan pembabitan mereka. Dua daripada mereka iaitu pasangan suami isteri Lt. Kol. Abdul Aziz Bin Buyong dan Lt. Kol. Norhayati Hassan telah mengemukakan saman malu ke atas beliau manakala Rosmah Mansor, isteri Mohd Najib, telah menafikannya dalam kenyataan kepada polis.

Promoter teori konspirasi mengenai tuduhan liwat terhadap Anwar pula melihatnya sebagai ada ubi ada batas, ada hari boleh balas.

Mereka menggunakan maklumat domain awam seperti laporan blog, gambar dan cakap-cakap kedai kopi untuk mengemukakan teori bahawa laporan liwat itu ada kaitan dengan Mohd Najib atau pihak-pihak yang bersangkutan dengannya.

Ia dilihat sebagai tindak balas kepada Surat Akuan Bersumpah RPK.

Bagi mereka, gambar-gambar blog yang menunjukkan Saiful Bukhari beraksi di ruang legar Pejabat TPM dengan bertemankan pegawai khas Mohd Najib yang dikenali sebagai Khairil Anas adalah “gospel truth” – kebenaran mutlak – bahawa sesuatu yang rahsia telah berlaku.

Mengapa tidak? Adalah luar biasa bagi seorang pemuda kacak yang nampak begitu intim dengan para pembesar Umno tiba-tiba menjadi pembantu khas Anwar ketika pilihan raya umum lalu.

Bunyi seakan-akan plot dan watak dalam novel-novel perisikan dan konspirasi John le Carré (aka David John Moore Cornwell).

Antara soalan yang perlu dijawab di arena politik, kepolisan dan kehakiman untuk mematikan pelbagai teori konspirasi ini adalah:

1. Adakah pihak-pihak tertentu di Pejabat Abdullah, Pejabat Mohd Najib, Umno, PDRM dan Kamar Peguam Negara mempunyai maklumat awal sebelum Saiful Bukhari membuat laporan polis?;

2. Apakah kaitan antara Saiful Bukhari dengan Khairil Anas sekadar bergambar kenang-kenangan di ruang legar Pejabat Timbalan Perdana Menteri?;

3. Bagaimana seorang muda berusia 23 tahun dan berupa pemimpin pelajar Universiti Tenaga Nasional merelakan dirinya dicabul berulang kali sebelum membuat laporan polis?;

4. Apakah relevannya tarikh-tarikh tertentu dalam time-line dakwaan liwat itu serta individu-individu yang dikatakan terbabit? (Dalam proses siasatan, Saiful Bukhari pasti akan disoal mengenai siapa yang ditemuinya sebelum dan selepas membuat laporan itu.); dan

5. Adakah peranan beberapa nama yang turut disebut-sebut sebagai “the players” dalam drama ini seperti Ezam, Rohaimi dan Khairil?

Memecah dan menafikan teori-teori konspirasi ini adalah penting bagi mempertahankan kewibawaan dan integriti apa jua tindakan undang-undang yang akan diambil berkaitan akuan bersumpah PKR dan laporan liwat terhadap Anwar.

Bukan tugas mahkamah mengadili teori konspirasi atau apa jua teori. Tugas mahkamah adalah mengadili sama ada apa yang didakwa itu berlaku “tanpa sebarang keraguan” atau tidak.

A.Kadir Jasin

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: