Pemuda UMNO: Mengembalikan Keyakinan dalam Fenomena Baru & Generasi Baru

ImageMELIHAT kepada suasana politik yang ada, kita dapat jangkakan memang akan ada arus perubahan rakyat dalam pola dan ‘trend’ pengundian dalam Pilihanraya yang ke-12 tempoh hari. Cuma yang perlu kita tegaskan bahawa pola pengundian yang begini akan kekal bagi 5 tahun akan datang dan tahun-tahun berikut yang berlaku pilihan raya jika UMNO yang ada pada hari ini kekal dengan sifat dan kedudukan lemahnya dalam memahami dan mendepani cabaran.

UMNO perlu lebih berani mengetengahkan cadangan penyelesaikan yang mampu menguntungkan agama, bangsa dan negara.

Jika memantapkan parti dengan mengekalkan kepimpinan sedia ada adalah yang terbaik buat rakyat, maka dialu-alukan pengekalan tersebut. Namun jika yang lebih pasti untuk membaiki UMNO dengan melakukan penolakan drastik terhadap kepimpinan tertentu,maka ini juga tindakan yang perlu tidak dapat tidak dilaksanakan oleh UMNO. UMNO pada hari ini lebih perlu melihat kepada suara rakyat yang mahukan perubahan ‘total’ dalam UMNO itu sendiri.

Kejelasan serta pengamatan daya politik yang lebih menyeluruh dan matang perlu dibina dan disegarkan semula dalam kepimpinan UMNO. Sudah pasti platform kepemudaan UMNO perlu kepada ‘re-enginering’ dengan memasukkan suntikan peranan ‘check & balance’ pemuda UMNO yang lebih berkesan. Hari ini Pemuda UMNO tidak ubah umpama pasukan sorak atau ‘pom-pom boy’ yang dilihat tidak mampu untuk mencetuskan minat dikalangan anak muda generasi muda untuk terlibat di dalam Pergerakan Pemuda UMNO.

Pergerakan Pemuda UMNO tidak lagi dapat bergerak atas kapasiti lantang dan matang dalam memulihkan keyakinan dan sedikit sebanyak menentukan halatuju yang lebih dinamik buat UMNO. Dinamika masyarakat Melayu yang pada hari ini sudah mula lebih banyak terdedah kepada pengamalan Islam secara hikmah sudah melihat kehilangan tokoh dalam UMNO yang mampu memberikan sedikit keyakinan atas asas yang mampu untuk menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara.

Hari ini UMNO atau mana-mana parti yang bercita-cita mahu memimpin dalam kapasiti yang mampu untuk meraih sokongan rakyat adalah perlu dengan seberapa segera untuk membina barisan kepimpinan pelapis yang punyai jiwa dan halatuju perjuangan. Golongan anak muda intelek dari universiti adalah antara barisan generasi baru yang bakal untuk mengisi ruang kemasyarakatan yang ada dan mereka ini telah pun menterjemahkan undi mereka dalam PRU-12.

Analisis corak pola pengundian mereka akan kita ketahui pada bulan September ini dan apakah mereka ini punca kegagalan BN untuk memerintah dengan majoriti 2/3 dan hilang 4 negeri baru. Sama-sama kita nantikan apakah yang akan berlaku di seluruh kampus tanah air setelah berlangsungnya pilihan raya kampus pada September nanti. Kita sudah dapat membaca ‘trend’ pengundian mahasiswa di kampus di saat-saat sebelum berlangsungnya pilihan raya umum adalah suatu bentuk ‘trend’ yang ada signifikannya.

Kuasa kepimpinan mahasiswa yang sudah bergelumang dengan politik kampus akan mempengaruhi anak-anak buah mereka bagi menjuruskan pemilihan kepimpinan kepada wadah politik yang mereka mampu untuk berikan keyakinan.

Antara agenda penting mana-mana kepimpinan terutamanya sayap-sayap kepemudaan parti ialah perlu ada suatu bentuk inisiatif yang strategik dalam memperkasakan sayap kepemudaan masing-masing. Parti dan kepimpinan politik akan mampu untuk diperkasakan bagi mendepani cabaran dan seterusnya mengembalikan keyakinan apabila ruang dalam kepimpinan parti di buka dengan cara yang ikhlas dalam mendidik generasi baru.

Kita perlu sedar bahawa generasi pemuda yang berumur 15-20 tahun ketika laungan merdeka oleh Tunku Abdul Rahman adalah mereka yang telah berusia 65-70 tahun pada saat ini. Kebanyakkan mereka sudah tidak mempunyai upaya untuk mengundi mungkin barangkali sudah meninggal dunia ataupun tidak keluar mengundi. Pengundi agresif yang keluar mengundi adalah di kalangan mereka yang berusia 20an ke atas dan kebanyakkan mereka ini adalah yang lahir selepas daripada 1970.

Golongan ini tidak merasa sentimen yang begitu kuat terhadap UMNO dalam isu perjuangan kemerdekaan, tetapi yang dilihat oleh golongan generasi baru ini ialah Krisis UMNO pada tahun 1987 sehingga membawa kepada pengharamannya dan juga Reformasi 1998 yang juga bermula dengan krisis kepimpinan dalaman UMNO antara Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim.

Laungan slogan kerajan bersih, kerajaan beramanah, kerajaan adil dan kerajaan yang memberikan kebebasan bersuara dan berhimpun adalah antara slogan-slogan yang cucuk dengan jiwa generasi baru. Keperluan kepimpinan yang memerintah adalah perlu dengan sedaya upaya untuk menunjukkan kebersihan kepimpinan, amanah, adil dan memberikan kebebasan yang tepat pada definisi masyarakat generasi baru yang ada.

UMNO atau BN perlu mengembalikan keyakinan rakyat jika punyai cita-cata mahu mengembalikan sokongan rakyat terhadap mereka. Keyakinan rakyat generasi baru akan hadir dalam erti kata keperluan kemasyarakatan yang telah berubah pada hari ini dipenuhi. Kepentingan kualiti kepimpinan sudah mula diukur bukan pada tahap material dan kekuatan untuk melakukan pembangunan fizikal semata-mata.

Dalam komitmen mahu melakukan perubahan, UMNO perlu untuk membawa suara Pergerakan Pemuda mereka kembali bertaring seperti zaman tokoh-tokoh pemuda UMNO yang telah membawa perubahan yang meyakinkan rakyat terhadap halatuju perjuangan mereka.

Adakah hari ini UMNO tidak cemburu kepada parti-parti lain yang sentiasa masih subur dan sedang giat untuk terus memperkasakan sayap pemuda sebagai antara platform yang boleh menunjukkan arah masa depan kepimpinan parti. UMNO wajar merenung sejarahnya, UMNO telah mengembangkan pengaruhnya ke setiap pelosok kampung, mukim, daerah dan negeri dengan cara menubuhkan cawangan-cawangan baru.

Setiap orang Melayu di harap menjadi anggota UMNO dan tenaga yang amat perlu diberi perhatian ialah golongan remaja dan anak-anak muda Melayu.

Merenung kata-kata Dato’ Onn Jaafar,” Tujuan utama penubuhan Pemuda ialah untuk menyediakan golongan muda hari ini dan masa akan datang dengan peluang-peluang yang terbuka luas bagi membolehkan mereka melengkapkan diri untuk memainkan peranan yang aktif dan sentiasa mengambil tahu terhadap hal ehwal yang berlaku di dalam negara dan juga luar negara”.

Atas kesedaran dan penuh keinsafan ini, Pemuda UMNO perlu bergerak melepasi sempadan sekadar hanya menjadi pasukan sorak dalam institusi parti itu. Pemuda UMNO perlu bangkit dengan jiwa dan semangat perjuangan yang tulen demi agama, bangsa dan negara. Rujukan zaman kepemudaan Tun Sardon Zubir, En. Senu Abdul Rahman, Dato’ Harun Idris, Haji Suhaimi dan Anwar Ibrahim adalah antara jangaka masa gemilang yang mampu untuk menarik minat golongan muda.

Dalam kesedaran ini, kita melihat bahawa gerakan ‘Revolusi Mental’ yang bertujuan untuk “memberi kesedaran kepada pemuda-pemuda khasnya dan anggota-anggota UMNO amnya akan peri mustahaknya perubahan fikiran yang cepat sesuai dengan perubahan-perubahan pembangunan yang telah sedia dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional. Kita perlu akur bahawa keperluan masyarakat sudah berubah.

Adalah harus terus menerus dan dengan cekap bagi UMNO untuk memastikan parti itu tetap segera untuk beradaptasi dengan perubahan-perubahan yang berlaku yang juga dalam lingkungan percaturan kepimpinan mereka. Jika hari ini ada parti lain yang lebih cepat untuk menyerap dalam perubahan, maka tidak menjadi salahnya jika parti itu yang diberikan mandat oleh rakyat dalam pilihan raya tempoh hari.

Jika menelusuri sejarah, pemilihan Dato’ Abdul Razak sebagai Ketua Perikatan Pemuda pada Ogos 1955 adalah kerana pertimbangan dua faktor. Faktor yang pertama ialah sikap feudal yang sedia ada pada orang Melayu pada ketika itu. Dato’ Abdul Razak adalah seorang aristokrat Melayu pada ketika itu dan mempunyai ciri-ciri kebangsawanan yang menepati ciatarasa feudal masyarakat Melayu. Faktor kedua ialah beliau merupakan seorang birokrat Melayu yang sudah pun mencapai kedudukan tinggi dalam pentadbiran.

Namun kita menginsafi bahawa kedua-dua faktor ini bukanlah suatu faktor yang terus menerus akan relevan dalam struktur kepimpinan UMNO. Kegagalan pemecahan sistem kepimpinan feudal dengan hanya menjadikan UMNO parti kerabat eksklusif akan menyebabkan UMNO tidak lagi menjadi parti rakyat yang bertakhta dalam landskap politik tanah air. Untuk itu, perubahan untuk mengembalikan keyakinan adalah amat wajar untuk dimulakan dalam sayap pemuda.

Pemuda perlu diberi nafas baru, pemuda perlu diberi keyakinan baru dan pemuda perlu mencorak fenomena baru dengan membawa generasi baru. Buat parti lain yang mampu untuk menterjemahkan perkara ini, untungnya akan hadir dalam kantung politik masing-masing.

Pemuda perlu bertindak seumpama ‘kumpulan halia’ (ginger group) bagi membawa memberi imej bahawa Pemuda UMNO akan terus menjadi golongan pendesak tetapi teguran-teguran akan dikemukakan secara halus dan dapat diterima oleh pucuk pimpinan. Pemuda UMNO perlu menjelmakan imej antara konservervatif dan radikal.

Kebijakan untuk berwasatiah dalam perjuangan serta pendekatan politik yang menguntungkan agama, bangsa dan negara akan membawa parti itu ke arah suatu kuasa kepimpinan yang mampu mencorakkan tamadun yang bermakna buat rakyat. Pemuda UMNO perlu memikirkan persoalan ‘Revolusi Minda’ dalam mengembalikan keyakinan generasi baru dalam fenomena baru politik tanah air.

Mohd Nazree Mohd Yunus

Pengerusi Jaringan Pemikir Anak Muda

Institut Kajian Asas Kemasyarakatan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: