Jangan berkecil hati dengan Nik Aziz

Bashir Ahmad
23 Julai 2008

INGIN diminta penjelasan lanjut daripada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berkata, jika muzakarah Pas-UMNO tidak dihentikan segera,  PAS bakal menghadapi perpecahan.

Mursyidul Am Pas itu dari awal lagi menyatakan keberatannya terhadap muzakarah tersebut. Adakah beliau bermaksud perpecahan akan berlaku kerana beliau dan pengikut-pengikutnya menentang?

Menurut maklumat yang boleh dipercayai, keinginan untuk bermuzakarah itu datangnya dari kalangan muda dalam Pas yang menyalurkan suara mereka melalui Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Dari sudut kepartian, muzakarah dengan UMNO itu telah pun dipersetujui Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama. Maka tiada sebab bagi Nik Aziz untuk menentang sehingga mengeluarkan kenyataan yang begitu keras secara terbuka. Dalam demokrasi, jika sesuatu pendapat atau keputusan atau tindakan itu dibuat atas persetujuan majoriti, maka ia hendaklah diterima oleh semua pihak.

Dalam kes ini ternyata keputusan untuk bermuzakarah dengan UMNO itu telah dibuat oleh majoriti barisan kepimpinan Pas, kecuali Nik Aziz yang berjawatan Mursyidul Am atau penasihat tertinggi yang dilantik oleh kepimpinan parti, bukannya dipilih oleh ahli-ahli parti. Oleh kerana kapasiti Nik Aziz hanyalah sekadar penasihat, pandangan beliau tidak sepatutnya menjadi kata dua kepada parti.

Namun cara Nik Aziz bercakap seolah-olah beliau memberikan kata dua.

Nik Aziz mengaitkan pengalaman Pas masuk Barisan Nasional dan disingkir pada 70-an sebagai natijah peringatan kepada parti itu supaya sama sekali tidak mempercayai UMNO. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan pendirian Nik Aziz itu harus memahami kenapa beliau bersikap demikian dan kenapa tidak lain-lain pemimpin tinggi Pas.

Nik Aziz adalah golongan tua dalam Pas. Ketika Pas menyertai BN, Haji Hadi Awang masih menuntut atau baru keluar dari Universiti Al-Azhar dan Nasaruddin pula masih di sekolah rendah. Perbezaan usia dan pengalaman inilah mebataskan persamaan dalam cara mereka berfikir. Nik Aziz orang tua, Haji Hadi angkatan pertengahan dan Nasharudin orang muda.

Nik Aziz mungkin melihat muzakarah ini dari perspektif orang lama yang karier politiknya sudah berada di penghujung jalan. Pemikirannya sentiasa dibauri oleh pengalaman sama ada pahit atau manis.

Haji Hadi pula berada di tengah-tengah perjalanan karier. Jika beliau bercita-cita mahu memimpin sepenggal dua lagi, beliau perlu mendapat sokongan orang muda yang merupakan suara majoriti dalam mana-mana organisasi. Jika beliau tidak mahu mendengar suara orang muda, beliau berkemungkinan menongkah arus dan kehilangan sokongan orang muda. Ini yang beliau perlu ambil kira dalam menangani isu muzakarah ini.

Sebagai pemimpin muda, Nasharudin pula perlu melihat kedudukan Pas dalam jangka panjang jika beliau mahu terus menjadi pemimpin. Sebagai Timbalan Presiden, beliau tentulah bercita-cita untuk menjadi Presiden Pas suatu hari nanti. Kualiti kepimpinannya sedang diperhati dan diuji mulai sekarang.

Penulis percaya bahawa Nasharudin bersetuju untuk bermuzakarah dengan mengambil kira kedudukan Pas dalam jangka panjang. Kita boleh membaca fikirannya dengan menjawab beberapa soalan.

Pertama, adakah Pas selesa dengan muafakat politik yang dijalin dengan PKR dan DAP sekarang? Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat yang dilangsungkan di Stadium Kelana Jaya pada 6 Julai lalu menyerlahkan betapa berbezanya budaya tiga parti yang membentuk Pakatan Rakyat itu.

Adakah Pas selesa dengan DAP yang sangat anti-Islam? Adakah Pas selesa dengan PKR yang menampilkan persembahan `Jilat jubur korporat’ pada Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat itu? Adakah Pas selesa dengan Anwar Ibrahim dan PKR yang menolak ketuanan Melayu dan lebih liberal daripada UMNO dari segi politik perkauman? Dan adakah Pas selesa dengan Anwar yang terus dihantui dengan isu-isu peribadi?

Nasharudin adalah wajah angkatan baru dalam Pas yang suatu masa dulu terlalu berimej `sekolah pondok.’ Beliau selesa memakai kot berbanding Haji Hadi dan Nik Aziz yang kekal dengan jubah dan serban. Beliau boleh bertutur fasih dalam banyak bahasa, termasuk bahasa Inggeris yang menjadi bahasa global sekarang.

Nasharudin juga boleh dilihat sebagai orang profesional, walaupun beliau mempunyai pengetahuan dan kelulusan dalam bidang agama. Secara jujur kita boleh melontarkan imej baru yang diwakili Nasharudin ini sebagai cabaran serius kepada UMNO pada masa akan datang.

Jika UMNO berjaya menghadapi Pas dulu kerana imejnya yang konservatif dan ekstrem pendekatan agama mereka, bayangkan Pas akan datang yang akan dipimpin oleh orang-orang seperti Nasharudin yang profesional dan kuat pegangan agamanya. Para penyokong Nasharudin adalah profesional termasuk doktor, jurutera dan peguam yang sangat memahami selok-belok urusan pentadbiran dan pembangunan negara.

Atas senario inilah Nasharudin dan angkatan muda dalam Pas bersedia untuk bermuzakarah dengan UMNO. Mereka melihat bahawa muzakarah itu akan memberikan kebaikan kepada Pas, terutama dari segi pengaruh di kalangan orang Melayu yang menjadi tujang Islam di Malaysia. Jika mereka menolak muzakarah ini, ada kemungkinan orang Melayu akan membenci mereka kerana mengutamakan pakatan dengan PKR dan DAP lebih daripada kepentingan Melayu dan Islam.

Pas tidak boleh menafikan bahawa sokongan kepada mereka adalah sokongan Melayu. Berapa ramai sangatkah penganut Islam bukan Melayu di negara ini?

Barangkali angkatan muda Pas juga dapat melihat realiti politik sekarang yang dalam jangka panjang boleh merugikan Melayu dan Islam. PKR pimpinan Anwar tidak boleh dipercayai sangat kerana ideologi politiknya sangat kabur, sekabur masa depan Anwar.

Bagi Nasharudin dan para penyokongnya, bemuzakarah dengan UMNO bukan bererti menyerahkan diri mereka untuk diperdaya sebagai mana yang Nik Aziz takuti. Pas sekarang sebenarnya berada dalam kedudukan pihak yang boleh mendapat lebih keuntungan (upper-hand) dalam muzakarah ini.

Sekalipun orang berkata ada kemungkinan muzakarah itu akan menyatukan Pas dan UMNO dalam satu barisan, Pas berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menentukan penyatuan itu lebih mengikut kepada acuan dan kehendaknya. Ini kerana UMNO yang lebih berharap kepada muzakarah ini dalam kedudukannya yang tidak menentu berbanding dulu.

Kasihan Nik Aziz kerana tidak memahami keadaan. Namun janganlah sesiapa berkecil hati dengannya kerana itulah fikiran orang yang sudah sampai ke hujung perjalanan hidup dan karier politiknya. Sekalipun pandangannya tidak mahu didengari lagi, beliau perlu terus dihormati. – malaysiaaktif.com

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PENAPIS AIR CUKCOO

CUCKOO - PENAPIS AIR MINERAL BERALKALI RINGAN

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.