Formula Keramat: Satu Kekeliruan

ADALAH agak kurang tepat kalau dikatakan orang Melayu telah melakukan pengorbanan besar apabila mereka bersedia berkongsi negeri ini dengan kumpulan pendatang. Apa yang sebenarnya berlaku ialah semua pihak telah sama-sama berkorban.

Tanpa aktiviti ekonomi imigran-imigran asing itu, Tanah Melayu mungkin mempunyai wajah yang sangat berbeza. Kemakmurannya mungkin tidak sampai ke mana-mana. Orang Melayu pula mungkin masih lena di bawah ketiak penjajah tanpa menyedari potensi besar yang tersembunyi di sebalik bumi yang mereka duduki.

Kesediaan orang-orang bukan Melayu untuk mengiktiraf Melayu sebagai Bumiputera dengan segala hak keistimewaannya haruslah dilihat sebagai kesediaan mereka untuk berkongsi kekayaan dan kejayaan, dengan orang-orang Melayu. Nilainya hampir sama, kalaupun tidak seratus peratus sama, dengan kesediaan orang Melayu untuk berkongsi kuasa dengan mereka.

Gabungan kesediaan kedua-dua pihak itulah yang meletakkan Malaysia di atas paksi yang unik seperti sekarang. Di kebanyakan tempat lain, apabila dua atau lebih kumpulan mempunyai kekuatan yang hampir sama, mereka biasanya akan bertarung untuk menentukan siapa yang lebih kuat. Masing-masing akan berusaha menyingkirkan pihak yang satu lagi demi mendapatkan kuasa mutlak.

Di Tanah Melayu, perkara yang sebaliknya terjadi. Kuasa-kuasa yang sama kuat itu bergabung untuk satu pakatan yang lebih kuat. Realiti itu menyebabkan formula yang digunakan untuk membina Tanah Melayu merdeka menjadi satu formula keramat. Walau siapa pun yang mengemukakan formula itu, dia sememangnya manusia hebat.

Pakatan itu, yang secara politiknya dinamakan Perikatan, telah berjaya menggabungkan tiga bangsa yang menjadi urat nadi Tanah Melayu dengan begitu ampuh. Organisasi itu menjadi tempat pertama bagi orang Melayu, Cina dan India duduk semeja dalam erti kata sebenar. Sebelumnya perkara begitu tidak berlaku. Biasanya bangsa-bangsa itu bergerak dalam kelompok dan kepompong masing-masing dengan matlamat yang lebih menjurus pada kepentingan sendiri bukannya kepentingan tanahair.

Di atas kertas, persefahaman yang terbina itu kelihatan seperti tidak dapat digugat oleh sesiapa. Ia serasi benar dengan pola kependudukan Tanah Melayu. Melayu, berpadanan dengan kedudukannya sebagai warga pribumi dan pemilik kuasa politik yang dominan, diletakkan sebagai teraju utama. Orang-orang Cina, yang kurang kuasa politik tetapi mempunyai kelebihan di bidang ekonomi menjadi kelompok yang kedua pentingnya, manakala orang-orang India, yang kurang daripada segi peratusannya diberi peranan sebagai rakan kongsi ketiga. Tidakkah ianya sesuatu yang cukup baik?

Tetapi seperti yang ditekankan berulangkali oleh Mahathir di dalam ‘Dilema Melayu’ ada banyak bezanya antara persefahaman dengan ‘terpaksa memahami’.Dan Mahathir tidaklah tersilap.

Apa yang dikatakan persefahaman pada peringkat awal penubuhan kerajaan yang merdeka di Tanah Melayu mempunyai banyak ruang untuk diragui. Ia, dalam banyak keadaan, bukan terhasil daripada hasrat dan keinginan bersama. Titik temunya bukan di situ. Sebaliknya yang menjadi titik temu ialah ‘kebimbangan bersama’.

Perlu diakui bahawa salah satu sifat orang Melayu yang agak aneh, tetapi baik, ialah kesangsiannya. Kebanyakan Melayu mudah merasa sangsi dan curiga pada apa sahaja, lebih-lebih lagi jika sesuatu itu tidak mempunyai kaitan dengan Melayu dan Islam. Berkenaan hal ini Frank Swettenham pernah menulis, ‘…Sesiapa yang hendak mengenali orang Melayu, dia mestilah bermastautin di negerinya, bertutur dalam bahasanya, menghormati agamanya, menunjukkan minat atas segala kegemarannya, memahami kecurigaannya…’ (Malay Sketches:1895)

Jika dilihat secara lebih mendalam, ada kemungkinan perasaan mudah sangsi di hati orang Melayu itu ada kaitan dengan sifat kurang yakin pada diri sendiri yang mereka miliki secara leluasa. Di samping itu ia juga mungkin mempunyai perkaitan dengan pengaruh ajaran agama. Kekeliruan terhadap ajaran yang diterima, kurangnya pengetahuan dan kurangnya sumber untuk mendapat ilmu sering menghantui orang Melayu, yang pada masa yang sama mahu menjadi seorang Islam yang baik. Kedangkalan ilmu itu menyebabkan banyak orang Melayu Islam hidup dalam keraguan. Dalam keadaan-keadaan tertentu mereka begitu tertekan sebab tidak tahu yang mana patut diikut dan yang mana patut ditinggalkan. Apabila kekeliruan itu menjadi darah daging, maka dengan sendiri ia menyulitkan mereka untuk memutuskan antara yang patut dengan yang tidak, yang betul dengan yang salah. Atas sebab yang samalah, akhirnya, kita sering mendapati orang Melayu melakukan keduaduanya sekali.

Dalam kes orang-orang China, kesangsian orang Melayu terhadap imigran berkulit putih kuning itu mungkin bertunas sejak hari pertama lelaki China yang pertama menjejakkan kakinya di Tanah Melayu, iaitu beratus-ratus tahun sebelum bermulanya gelombang kemasukan orang-orang China ke mari.

Seandainya orang-orang China itu beragama Islam, situasinya pasti berbeza. Mereka mungkin akan disambut dan dirai sebagaimana pedagang-pedagang Arab daripada Hadhramaut atau mamak-mamak Islam dari Malabar. Mereka akan diterima sebagai saudara tanpa sebarang kesangsian dan curiga. Mereka tidak hanya diajak masuk ke dapur, malah juga ke bilik tidur.

Malangnya orang China bukan penganut Islam. Walaupun istilah kafir bagi orang Melayu-Islam pada masa lalu lebih tertumpu pada orang Inggeris yang beragama Kristian, namun status pendatang China yang bukan beragama Islam itu sudah cukup untuk mencetuskan kecurigaan di hati orang Melayu. Kecurigaan itulah menyebabkan golongan pendatang tersebut tidak mendapat tempat dalam erti kata sebenar di jiwa kebanyakan Melayu. Kecurigaan itulah yang menjadikan mereka dilayan sebagai tetamu, bukannya diterima sebagai saudara.

Apabila orang-orang China menjadi kuat dan kaya, sementara orang Melayu pula tinggal dalam balutan kemiskinannya, kecurigaan itu dengan sendirinya akan menjadi bertambah tebal. Tidak sukar untuk memahami kenapa ini terjadi. Di mana-mana pun, orang miskin sentiasa memandang serong pada yang kaya.

Hubungan baik, atau lebih tepat lagi terlalu baik, antara imigran-imigran China itu dengan penjajah Inggeris juga menjadi satu faktor yang membesarkan prasangka orang Melayu. Sebagai tuan rumah yang tercicir sewajarnya pun mereka berasa begitu.

Sikap orang Melayu terhadap pendatang-pendatang India pula agak berbeza. Jumlah mereka yang kecil dan status ekonomi mereka yang tidak begitu mantap dengan sendirinya menyebabkan kesangsian orang Melayu terhadap mereka tidak begitu menonjol. Lagipun pentalian antara Melayu dan Hindu yang wujud sejak lama dahulu banyak membantu menipiskan kecurigaan itu. Orang India secara umumnya bukan lagi asing bagi kehidupan orang Melayu. Mereka telah datang ke mari sejak lama dahulu. Suatu ketika mereka pernah berkongsi kepencayaan yang sama dengan nenek moyang orang-orang Melayu. Sampai kini masih banyak adat resam mereka diguna pakai oleh orang Melayu.

Kecurigaan orang-orang Melayu terhadap imigran-imigran China tidak pernah susut sehinggalah saat-saat menjelang kemerdekaan. Keghairahan Bintang Tiga untuk memerintah menjadi faktor yang tidak membantu. Begitu juga dengan sikap yang ditunjukkan oleh kebanyakan orang-orang China dalam usaha para nasionalis Melayu untuk menuntut kemerdekaan.

Adalah satu perkara yang telah diterima sebagai sejarah bahawa perjuangan untuk menuntut kemerdekaan lebih merupakan penjuangan orang Melayu. Sekalipun mereka tidak menghalangnya, orang-orang China, pada peningkat awal,tidaklah boleh dianggap sebagai penyokong kuat terhadap perjuangan itu. Malah terdapat keadaan-keadaan tertentu di mana jika diberi pilihan, kumpulan pendatang itu menampakkan tanda-tanda yang mereka lebih berminat untuk terus berada di bawah pemerintahan Inggeris daripada bernaung di bawah payung Tanah Melayu yang merdeka.

Perbezaan sikap ini juga boleh dilihat daripada asas penubuhan parti-parti utama yang mewakili kumpulan imigran itu. Sementara UMNO ditubuhkan oleh orang Melayu bagi memperjuangkan kemerdekaan, MCA dan MIC ditubuhkan bukan untuk maksud yang sama. Sebaliknya, kedua-dua parti itu dibentuk demi untuk mempertahan dan melindungi hak orang-orang Cina dan India. Ertinya, pada peringkat itu sudah terbukti bahawa ketiga-tiga parti, yang kemudiannya bergabung di bawah payung Perikatan itu, mempunyai mimpi yang berbeza walaupun berkongsi bantal yang sama. Menyedari akan perbezaan mimpi itulah, rasa cuak orang Melayu menjadi bertambah tebal. Perbezaan mimpi itulah menyebabkan orang Melayu menganggap golongan pendatang lebih mengutamakan kepentingan diri dan kelompoknya sahaja, serta meletakkan kepentingan-kepentingan itu melebihi kepentingan tanahair.

Kecurigaan juga wujud di kalangan kumpulan pendatang. Mereka sedar, sebagai tuan rumah, orang Melayu mempunyai banyak kelebihan-kelebihan yang tidak dimiliki oleh mereka. Paling tidak, Melayu mempunyai kuasa yang hampir mutlak di segi politik. Imigran-imigran asing itu sedar bahawa pada bila-bila masa orang Melayu boleh menggunakan kuasa politik itu untuk menyusahkan mereka.

Selama berada di bawah naungan Inggeris, kumpulan pendatang itu boleh tidur dengan nyenyak. Mereka tidak perlu berasa takut kerana Inggeris pasti akan memastikan kepentingan mereka terjamin sebab mereka sendiri begitu penting untuk Inggeris.

Bagaimanapun apabila Inggeris telah tiada, banyak kemungkinan boleh berlaku. Orang Melayu mungkin tidak berdiam diri lagi. Orang Melayu mungkin marah dan cemburu terhadap kedudukan mereka yang lebih kaya dan berjaya. Orang Melayu mungkin akan cuba menggunakan kuasanya yang ada untuk merampas kembali apa yang mereka anggap sebagai hak mereka. Orang Melayu mungkin begitu dan orang Melayu mungkin begini.

Semakin hampir dengan kemerdekaan dan semakin hampir orang Melayu mempunyai pemerintahan sendiri, semakin teballah pula rasa curiga di hati orang-orang asing itu. Dengan perkataan lain, sementara orang Melayu berasa semakin selamat sebab hendak merdeka, kumpulan itu pula berasa sebaliknya. Mereka bimbang. Dan sekali lagi mereka pun berbeza daripada kita!

Kecurigaan itulah akhirnya yang mempertemukan orang Melayu dengan orang-orang Cina dan India. Kebimbangan itulah yang meletakkan mereka di dalam tempurung yang sama. Kedua-duanya, kecurigaan dan kebimbangan itu, menyebabkan mereka sama-sama duduk semeja untuk mencari jalan terbaik bagi memastikan pihak masing-masing terlindung dan terpelihara daripada sebarang kekarutan yang mungkin ditimbulkan oleh mana-mana pihak di kalangan mereka. Dengan perkataan lain, mereka bermuafakat bukan untuk menghadapi ancaman yang mungkin datang dan luar, sebaliknya untuk mengelak daripada ancaman yang mungkin datang daripada sesama mereka.

Dalam setiap kerjasama yang berasaskan situasi di atas, peranan setiap pihak amatlah berat. Tanggungjawab mereka tidak setakat menjaga kepentingan sendiri, tetapi juga menjaga perasaan pihak yang satu lagi. Malah di antara kedua-duanya, peranan menjaga pihak lain itulah yang lebih penting. Sebarang kegagalan berbuat demikian bererti akan menghidupkan semula bara kecurigaan yang mereka sama-sama cuba padamkan.

Untuk suatu tempoh yang lama ketiga-tiga kaum utama di Tanah Melayu berjaya melepasi pra-syarat itu. Mereka seakan mampu melupakan prasangka dan prejudis masing-masing. Tetapi ‘seakan-akan’ bukanlah bermakna ‘telah benar-benar’. Perbezaan antara kedua-dua perkataan itu sesungguhnya terlalu besar.

Dalam hal ini kita perlu mengakui bahawa semenjak merdeka sehingga sekarang, kecurigaan orang-orang Melayu terhadap bukan-Melayu masih belum terhakis sepenuhnya. Kebimbangan orang bukan-Melayu terhadap orang Melayu juga masih wujud walaupun dalam kerangka yang sedikit berbeza. Bagaimanapun, sekali lagi kecurigaan dan kebimbangan itu jugalah yang menyelamatkan kesemua pihak. Kerananya masing masing menjadi cukup berhati-hati.

Sebagaimana telah ditegaskan, pengancam besar pada persefahaman yang agak goyah ini bukanlah pihak lain, tetapi pihak-pihak yang terbabit dengan persefahaman itu sendiri. Anasir-anasir anti-nasional memang menyedari kelemahan persefahaman tersebut. Musuh-musuh luar juga begitu. Mereka tahu bahawa untuk meretakkan persefahaman itu mereka cuma perlu mencuit kembali api kecurigaan dan bara kebimbangan yang menyalut hati sanubari pihak-pihak yang terbabit. Mereka hanya perlu menghidupkan semula perasaan-perasaan itu dan kemudian menukarnya menjadi kemarahan dan kebencian.

Dan itulah yang dilakukan oleh mereka lewat peristiwaperistiwa yang membawa pada meletusnya tragedi 13 Mei, 1969.

Banyak keburukan yang dicetuskan oleh tragedi berdarah itu. Ia tidak setakat memakan korban, malah meluluhkan maruah sebuah pakatan. Perikatan yang dibangga-banggakan akhirnya terbukti gagal menjadi kuasa yang dihormati. Semangat persefahaman yang terbina di dalam pakatan itu lebur oleh desakan-desakan kecurigaan dan kebimbangan yang melampaui batas.

Tetapi musibah itu mempunyai hikmahnya. Ia membawa pradigma baru dalam akal fikiran semua bangsa utama di Malaysia. Ia tidak sahaja mengajak mereka yang di dalam Perikatan melihat kembali sejauh mana berkesannya kerjasama sesama mereka, sebaliknya turut mendorong semua pihak lain menilai erti kehidupan sebenar di dalam sebuah negara merdeka. Sekaligus ia mengajar mereka tentang mahalnya erti keamanan serta hubungkaitnya dengan kemakmuran.

Tidak ada sesiapa pun yang waras mengharapkan tragedi seperti 13 Mei itu berulang. Malah mengenangnya pun mungkin tiada yang mahu.

Kejayaan penubuhan Barisan Nasional tidak lama selepas tragedi itu adalah bukti jelas bahawa semua pihak di Malaysia sebenarnya tidak ingin kejadian seumpama itu terjadi lagi. Penubuhan Barisan Alternatif, dan sebelumnya Angkatan Perpaduan Ummah juga memberi gambaran yang sama – bahawa semua bangsa di Malaysia bersedia mengorbankan kepentingan masing-masing demi membolehkan mereka duduk semeja untuk mencapai persefahaman baru dengan bangsa atau pihak-pihak lain. Dengan perkataan lain, mereka bersedia melupakan perbezaan bangsa, agama dan dogma dalam usaha membentuk satu pakatan yang benar-benar berwajah Malaysia. Tujuannya pastilah kerana masing-masing tidak mahu terperangkap dalam pertelagahan yang merugikan sebagaimana yang terjadi lebih tiga dekad lalu.

Begitu pun kita sekali lagi perlu mengaku bahawa pengorbanan untuk membina persefahaman itu masih dibentuk atas asas yang sama; kecurigaan dan kebimbangan. Sebab itulah sekali sekala kita masih dapat mendengar suara-suara sumbang yang mengungkit perkara-perkara yang sepatutnya telah lama dilupakan seperti soal kesetiaan bukan-Melayu kepada negara ini dan soal hak keistimewaan orang Melayu sebagai warga pribumi.

Soalnya sekarang ialah, sampai bila suara-suara seperti itu akan terus kedengaran?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: