Rafidah lepas jawatan Jun 2009

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my


SEPAKAT: Rafidah bersama Shahrizat pada majlis Wanita Bersama Pemimpin di PWTC, semalam.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Rafidah Aziz semalam mengumumkan akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti Disember ini sebelum menyerahkan kepemimpinan pergerakan itu kepada Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, selewat-lewatnya Jun tahun depan.

Sehubungan itu, Rafidah, 64, mencadangkan supaya dua jawatan tertinggi Wanita Umno tidak dipertandingkan bagi memastikan formula peralihan kepemimpinan pergerakan berkenaan berjalan lancar.

“Saya akan mencapai usia 65 tahun tidak lama lagi dan sudah 42 tahun dalam Umno. Walaupun masih kuat dan aktif dalam semua erti kata, saya lebih cenderung pergerakan ini diketuai wanita lebih muda.

“Oleh itu, pilihan ini akan mengelakkan perpecahan dan memastikan berlaku perubahan kepemimpinan dengan lancar, malah Wanita Umno juga tidak akan dibelenggu soal calon atau mencalonkan pemimpin.

“Cadangan ini juga untuk menjamin pergerakan ini sepakat dalam memastikan Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Razak akan menang tanpa bertanding,” katanya pada majlis Wanita Bersama Pemimpin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Rafidah menjadi Ketua Wanita Umno sejak 1984 selepas mengalahkan Tan Sri Zaleha Ismail. Beliau bagaimanapun gagal mempertahankan jawatan itu pada 1996 apabila dikalahkan timbalannya, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman sebelum merampas kembali jawatan itu pada 2000.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, berkata cadangannya itu, yang memerlukan kata sepakat semua pihak, adalah satu daripada dua pilihan yang harus beliau pertimbangkan.

“Jika saya memilih tidak bertanding dalam pemilihan jawatan Ketua Wanita Umno kali ini, ia bererti akan berlaku pertandingan untuk kedua-dua jawatan tertinggi dan mengikut tradisi, pertandingan akan menyebabkan berlaku fitnah memfitnah, berpuak-puak dan perpaduan akan tercabar.

“Tetapi jangan pula ada yang bertanya, betul ke Rafidah nak lepas jawatan pertengahan 2009? Boleh percaya ke? Saya adalah orang yang kata dikota. Saya tak pandai bermuka-muka.

“Mungkin juga ada yang tanya mengapa tak ikut tarikh peralihan kuasa antara Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri iaitu 2010? Antara mereka ialah peralihan kuasa Perdana Menteri, tetapi dalam Wanita Umno cuma serah jawatan ketua saja, tidak ada kuasa apa-apa sekarang, tidak lagi diberi tempat dalam Kabinet,” katanya.

Beliau juga meminta semua ahli Wanita menyokong penuh kepimpinan Shahrizat yang akan mengambil alih jawatannya nanti untuk mengelak perpecahan dalam pergerakan itu.

“Inilah orangnya yang akan menggantikan saya. Sebab itu saya cadangkan formula tidak bertanding dan pada Jun tahun depan Shahrizat akan mengambil alih atau mungkin lebih awal lagi,” katanya sambil menunjukkan ke arah Shahrizat di sebelahnya.

“Saya tidak sedih sebab saya akan kekal sebagai ahli wanita Umno dan saya akan rasa lega jika akar umbi terima keputusan ini dan Wanita Umno akan terus kukuh dan dapat menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: