Archive for December, 2012

TEKNOLOGI MELAYU MEREMPUH BADAI

Posted in Uncategorized on 17 December 2012 by zanas

 
Replika kapal Borobodur.
Sejak Abdullah Munsyi seorang kerani Melayu keturunan mamak dan Arab menulis mengenai bangsa ini, besar sungguh inferiority complex yang dialami mereka. Bangsa ini dicemuh sebagai sebuah bangsa yang pemalas dan tak kenal dek untung. Sehingga kini kita tidak mengetahui apakah niat sebenar Abdullah Munsyi membuka pekung didada yang mungkin tidak wujud atau hanya wujud dalam sebahagian kecil masyarakat Melayu sahaja. Ada pihak berpendapat mereka melontarkan tohmahan dan cabaran bertujuan sebagai kritikan membina, namun pada pendapat saya ianya langsung tidak dapat membina keperibadian bagi masyarakat Melayu kemudiannya malah melemahkannya sehingga ke tahap- yang paling dasar. Mungkin Abdullah merasa lebih superior kerana mendapat tempat didalam masyarakat penjajah kolonial dan menjadi orang kepercayaan mereka. Mungkin juga kerana beliau tidak pernah mengaggap diri beliau sebagai Melayu sebabnya dia bukan keturunan Melayu tulin dan hanya menjadi Melayu kerana tinggal dikawasan orang Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.
Pendapat yang mengatakan bahawa ianya hanyalah kritikan atau motivasi yang membangun, bagi saya adalah sesuatu yang kurang berasas. Jika bangsa-bangsa lain sebagai contohnya bangsa cina, mereka tidak akan sesekali merendah-rendahkan martabat dan cara hidup bangsa mereka di hadapan bangsa lain apatah lagi bangsa barat yang dianggap mereka sebagai orang gasar yang kurang bertamadun tidak seperti orang-orang timur. Begitu juga dengan bangsa India, Jepun dan Korea. Mereka seboleh-bolehnya mahu menonjolkan semua unsur-unsur positif sahaja mengenai bangsa mereka kepada bangsa lain dan menutup segala kelemahan walaupun ianya ternyata wujud. Semangat patriotism seperti inilah yang telah membangkitkan alter bagi bangsa-bangsa mereka sehinggakan bangsa mereka boleh menjadi salah satu bangsa yang disegani dunia sehingga sekarang.
Ada juga pihak yang menuduh bangsa yang satu ini adalah bangsa yang penakut dan tidak sukakan cabaran! Apa?…PENAKUT? oh tidak, tidak sama sekali! Bangsa Melayu ini sejak ribuan tahun adalah diantara bangsa yang sangat pemberani sifatnya. Sifat kebenarian orang Melayu boleh dilihat sepanjang lembaran sejarahnya. Sejak kemasukan Islam ke Nusantara orang Melayu telah diperkenalkan dengan konsep kehidupan akhirat yang kekal abadi dan mati shahid, maka sifat berani untuk mati itu menjadi semakin tebal dalam masyarakat Melayu. Orang Melayu berani mati namun bukan mati sia-sia atau mati katak sebaliknya mati dalam keadilan dan mati yang bermanfaat. Hal ini dapat dilihat dengan memerhatikan adat orang dulu-dulu yang suka menghantar anak-anak mereka belajar silat. Apabila anak itu diserahkan kepada guru silat akan disertakan sekali dengan kain putih sehelai yang melambangkan kain kafannya, sintok dan limau nipis untuk memandikan jasadnya dan ayam putih untk kenduri arwahnya. Orang tua dahulu tahu risikonya amat besar apabila menyerahkan anak untuk belajar silat pada zaman dahulu kerana dahulu silat tidak diajar secara olok-olok dan senjatanya juga adalah senjata tajam yang betul.
Semangat keberanian orang Melayu jugalah yang telah menyebabkan mereka bisa menyebar keseluruh kepulauan Nusantara dan membina tamadun yang gah suatu ketika dahulu. Sejarah telah mencatatkan bahawa kegiatan perdagangan yang ulung di rantau ini telah bermula sejak 200 tahun sebelum masihi lagi iaitu dimasa kegemilangan empayar Rom di Barat dan Dinasti Han di China. Pada peringkat awalnya kapal-kapal dagang cina dan India tidak mampu menempuh badai lautan yang begitu hebat bagi mereka. Mereka hanya mengemudi kapal-kapal mereka di pesisran pantai mengelilingi benua-benua sehingga sampai ke destinasi. Mereka juga tidak berani menempuh laut cina selatan yang sentiasa bergelora dan juga takut untuk merentasi Temasik dan selat Melaka. Sesetengah ahli sejarah berpendapat mereka pada awalnya amat takut untuk melepasi selat Melaka untuk terus ke India kerana kuatir diserang lanun-lanun Melayu yang amat banyak ketika itu. Jadi mereka hanya membataskan jalan perdagangan mereka di Vietnam, Thailand dan segenting kra sahaja. Namun alasan yang lebih munasabah ialah mereka takut untuk menempuhi geloran di musim-musim monsoon dan tambahan lagi mereka pada ketika itu masih tidak mempunyai teknologi perkapalan yang dapat mengatasi masalah tersebut.
Kedudukan ini mula berubah apabila para pedagang Melayu mula memasuki era perdagangan antarabangsa pada zaman kegemilangan empayar Funan sekitar abad ke 4 masihi. Para pedagang Melayu ini mempunyai sejenis kapal layar yang dipanggil Jong dan membawa muatan rempah ratus yang belum pernah dimiliki oleh bangsa-bangsa lain di dunia. Rempah tersebut adalah seperti buah pelaga, cengkih, bunga lawang dan buah pala. Selain itu orang Melayu juga memperkenalkan kapur barus dan kayu gaharu yang sangat tinggi nilainya. Disinilah teknologi maritim orang Melayu telah membawa kemakmuran terhadap bangsanya sehingga terdirinya empayar Srivijaya dan seterusnya empayar Melaka.
Pelayar-pelayar Melayu disebut oleh ahli-ahli sejarah sebagai skilled navigators yang mampu merentas lautan tanpa menggunakan kompas dan peta. Mereka hanya menggunakan angin dan bintang sebagai panduan. Mereka membaca cuaca dengan meneliti bentuk awan dan warna langit, air dan alun serta riak ombak. Melalui pemerhatian terhadap burung dan alun laut mereka dikatakan dapat mengetahui kedudukan sesebuah daratan dari jarak 30 batu dari laut! Jong-jong Melayu pula diperbuat daripada kayu keras dan tidak menggunakan paku. Papan dan kayu diikat menggunakan penyambung kayu dan jika perlu rotan dan akar yang tahan akan digunakan. Jong-jong ini dilengkapi dengan empat layar dan dua kemudi. Setiap jong juga boleh memuatkan barangan seberat 500 hingga 1000 tan melebihi keupayaan mana-mana kapal layar pada masa itu. Menurut Tome Pires dari segi efisiensi jong Melayu adalah lebih baik daripada mana-mana kapal yang wujud pada abad ke 15. Keunikan jong Melayu yang membezakannya dengan kapal-kapal lain ialah semenjak beberapa abad sebelum masihi sehingga 4 masihi adalah kebolehannya meredah angin dan justeru itu meneroka lautan yang luas dan dalam.
Setelah melihat kehebatan jong-jong Melayu ini selama berabad-abad berniaga, bangsa-bangsa pedagang lain seperti India, china, Arab sehingga sepanyol dan portugis mula meniru teknologi yang dipakai oleh orang Melayu. Teknologi unik yang membolehkan orang Melayu meredah badai ini adalah layar yang berbentuk empat segi yang dipasang satu didepan dan satu di buritan jong. Layar ini dicondongkan ke bawah dan boleh pula dipusing-pusingkan ke kiri atau ke kanan. Layar istimewa ini membolehkan jong Melayu meredah dan menentang badai dengan mudah dengan cara menghadapkannya di bahagian hadapan kepada tiupan angin secara menyerang. Layar empat segi di belakang dipusingkan untuk memerangkap angin tadi supaya ianya bertiup secara terlencong ke hadapan menolak layar-layar di tengah melawan badai. Justeru jong dapat bergerak kehadapan secara menyerong. Dengan memanipulasikan layar empat segi secara menggilirkan pusingannya maka jong dapat berlayar terus menerkam menentang tupan angina dan badai mengikut laluan zig-zag. Dengan menggunakan layar ini para pelayar Melayu mempunyai banyak competitive advantage untuk berdepan dengan pedagang lain. Mereka boleh ke China, India, yaman, malahan mungkin Madagaskar dan Mesir pada bila-bila masa mereka suka tanpa menunggu tiupan angin yang sesuai.
Pebggunaan teknologi ini bertahan ditangan orang Melayu sehingga abad ke 1 sebelum masihi dimana para pelayar Arab yang berdagang sekitar lautan Hindi mula menirunya. Pada abad ketiga selepas masihi pelayar Arab mula menggunakannya di lautan meditranien. Iainya kemudian ditiru oleh pelayar portugis pada abad ke 15 masihi. Dengan menggunakan teknologi inilah kapal-kapal portugis dapat berlayar merentas badai sehingga ke Melaka dan kemudian menemui New World di Amerika. Satu lagi teknologi ciptaan Melayu ialah outrigger yang menjadi pengimbang untuk menstabilkan perahu induk. Dengan perahu yang menggunakan outrigger ini orang Melayu berhijrah 3000 batu ke barat menduduki pulau madagaskar dan berbelas batu ke selatan menduduki pulau-pulau pasifik semenjak millenium sebelum masihi. Pendek kata sifat berani orang Melayu telah wujud sejak 5000 tahun sebelum masihi lagi!
Menurut catatan fa xian iaitu seorang sami buddha dari China yang berjalan ke India menggunakan jalan daratan gunung dan balik semula ke China menggunakan jalan laut dengan mengguanakan kapal Melayu. Beliau menyatakan bahawa orang-orang yang boleh menerkam badai adalah lebih hebat daripada org yang mendaki puncak gunung. Pada tahun 399 masihi fa xian yang berumur 65 tahun berangkat dari Changan menuju ke utara India untuk bertapa dan menuntut ilmu. Beliau memilih jalan darat yang membawanya merempuh padang pasir, memanjat gunung karakoram, meniti lerengan setinggi 8000 kaki dimana udaranya kurang oksigen dan menyusahkan usaha menngangkat kaki. Selepas bertapa dan berguru di India selama 15 tahun akhirnya beliau kembali ke China pada tahun 415 masihi. Beliau tidak lagi berani mengambil laluan yang sama dijalaninya kerana pengalamannya yang terlalu ngeri.
Dari utara India beliau tururn ke Sri Lanka menaiki kapal pedagang Melayu bersama 200 penumpang lain menuju kepulauuan Melayu. Apa yang dialaminya adalah lebih mengerikan daripada masa perjalanannya ke India melalui daratan dahulu. Kapal ini menurutnya tidak menyusuri pantai seperti kapal-kapal lain tetapi ia merentas lautan Hindi menuju ke Aceh dan seterusnya ke selat Melaka. Dua hari berlayar fa xian menceritakan ribut besar telah melanda lautan. Ribut ini berterusan selama 13 hari menyebabkan berlakunya kerosakan besar kepada kapal. Anak-anak kapal membaikinya di sebuah pulau dan mereka meneruskan perjalanan ke selat Melaka. Pengalaman fa xian di lautan Hindi selama 13 hari ini diikuti pula dengan dilanda taufan dari laut china selatan.
Lebih dasyat lagi bahana taufan ini sehingga kapalnya sesat selama 70 hari di laut sebelum beliau sampai balik ke kampong halamannya. Riwayat fa xian ini membuktikan bahawa sejak zaman Srivijaya lagi pera pelaut Melayu telah menemukan jalan pintas yang merbahaya kepada kapal-kapal bangsa lain. Jalan-jalan ini adalah jalan kurus yang merentas lautan dalam. Hanya keberanian mereka sahaja yang membolehkan mereka menerokainya. Penggunaan jalan pintas ini membolehkan jong-jong mereka menjimatkan masa perjalanan dalam perdangangan antarabangsa diantara timur dengan barat. Justeru itu sebelum kewujudan Melaka lagi Srivijaya telah menjadi pusat entreport yang terulung selama enam abad.
Rumusannya keberanian bangsa Melayu menghadapi badai inilah maka terhasilnya teknologi pelayaran yang membolehkan mereka berlayar jauh dan menerkam badai. Mereka melihat badai sebagai sebuah halangan yang mengancam cita-cita mereka dan harus ditempuhi. Sekian. Wallah hu a’lam.
Bibliografi;
Dato’ Dr Afifudin Hj Omar, dalam ‘Pendekar’.

 

Advertisements

RINGKASAN SEJARAH MALAYSIA

Posted in Uncategorized on 15 December 2012 by zanas

Sejarah Malaysia dikatakan bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu sekitar tahun 1400 Masihi. Pada masa kegemilangannya, wilayah kesultanan ini meliputi sebahagian besar Semenanjung dan Pantai Timur Sumatera. Melaka muncul sebagai sebuah kerajaan yang gemilang kerana kedudukannya yang strategik iaitu titik pertemuan antara Asia Timur dengan Asia Barat. Keadaan ini membolehkan Melaka muncul sebagai pusat perdagangan utama khususnya bagi perdagangan rempah di Asia Tenggara. Islam pula muncul sebagai agama utama yang tersebar dan menjadi anutan utama penduduk Melaka kerana rajanya sendiri telah memeluk agama tersebut.

Pada tahun 1511, Melaka jatuh ke tangan Portugis dan bermula daripada tahun inilah Tanah Melayu berada dalam era penjajahan. Selepas itu, Tanah Melayu jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641 dan akhirnya jatuh pula ke tangan British pada tahun 1824 melalui Perjanjian Inggeris-Belanda. Penjajahan British merupakan penjajahan paling lama. British telah mencampuri semua urusan pentadbiran Tanah Melayu yang sebelum ini diuruskan oleh Raja-Raja Melayu dengan bantuan pembesar-pembesar negeri. Campur tangan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan.

Beberapa individu bangkit menentang penjajah namun oleh kerana usaha mereka lebih kepada bersifat perseorangan maka penentangan tersebut dengan mudah dipatahkan oleh British. Antara tokohyang bangun menentang penjajah ialah Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Rentap, Datuk Maharajalela, Rosli Dobi dan beberapa tokoh yang lain.

Semangat Nasionalisme

Pada era 1920-an dan 1930-an, ramai penduduk Tanah Melayu mula mendapat pendidikan, sama ada dari Timur Tengah atau pendidikan tempatan. Hasilnya, Rahman telah memberi sinar Melayu mentadbir sendiri negaranya” muncullah golongan berpendidikan yang mula memperjuangkan semangat nasionalisme. Mereka menggunakan media seperti akhbar dan majalah untuk menyebarkan ideologi masing-masing. Ada dalam kalangan mereka telah membentuk persatuan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Kesatuan Melayu Singapura (KMS) yang bermatlamat mengusir penjajah dan membentuk kerajaan
sendiri.

Ketika rakyat negara ini begitu bersemangat untuk menamatkan penjajahan, mereka dikejutkan dengan pendaratan Jepun pada penghujung tahun 1941 yang menandakan bermulanya satu lagi era penjajahan di Tanah Melayu. Jepun telah menduduki Tanah Melayu sehingga tahun 1945 sebelum menyerah kalah ekoran pengeboman Hiroshima dan Nagasaki.

Pengunduran Jepun telah memberi ruang kepada Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menguasai Tanah Melayu. PKM telah bertindak ganas dengan membunuh dan memusnahkan harta benda awam dengan sewenangnya sehingga memaksa British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu (1948-1960).

Keganasan PKM tidak berjaya menakluki Tanah Melayu dan British kembali berkuasa. Sekembalinya British selepas pendudukan Jepun, mereka cuba memperkenalkan Malayan Union. Pengenalan ini telah mendapat tentangan yang hebat dan menyeluruh daripada penduduk tempatan. Pada 11 Mei 1946, penubuhan UMNO telah menyemarakkan lagi penentangan tersebut dan seterusnya menyemai bibit-bibit perjuangan ke arah berkerajaan sendiri.

merdeka

Tanggal 31 Ogos 1957 Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya

Kemerdekaan Tanah Melayu

Kemunculan Tunku Abdul Rahman telah memberi sinar harapan kepada perjuangan penduduk Tanah Melayu ketika itu apabila tindakannya membentuk Parti Perikatan mula membuka mata British untuk membenarkan pendudukan Tanah Melayu mentadbir sendiri negaranya. Perpaduan antara tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India telah menampakkan hasil apabila Perjanjian London yang ditandatangani pada 8 Februari 1956 telah memberi petanda bahawa Tanah Melayu akan merdeka pada 31 Ogos 1957.

Setelah kemerdekaan dicapai, timbul pula masalah berhubung dengan penubuhan Malaysia yang menggabungkan Sabah, Sarawak dan Singapura. Penentangan terhadap penyatuan ini datang daripada Parti Rakyat Brunei, Indonesia dan Filipina. Walau bagaimanapun hasrat untuk membentuk sebuah negara yang dinamakan MALAYSIA tercapai pada 16 September 1963.

Sumber: Pusat Maklumat Rakyat – PMR

Kaum, bangsa dan rakyat Malaysia

Posted in Uncategorized on 10 December 2012 by zanas

1-malaysia‘bangsa Malaysia’ tidak sesuai digunakan di negara pelbagai kaum etnik. Istilah yang lebih sesuai adalah rakyat Malaysia. Kita semua adalah rakyat Malaysia, tidak kira kaum etnik atau bangsa.

Article:

DARI segi implikasi makna sosiobudaya dan sosiopolitik, istilah kaum, bangsa dan rakyat tidak sama maknanya. Kaum bererti puak atau golongan yang bermacam-macam jenisnya – ada ‘kaum tua’ dan ‘kaum muda’, ada kaum atau puak (atau mazhab sunnah atau puak syiah), ada kaum atau ‘golongan kiri’ dan ‘golongan kanan’ (istilah Barat), dan banyak lagi.

Semua jenis kaum atau golongan yang tersebut itu tidak mengira bangsa atau etnik yang menjadi tali atau faktor yang mengikat keanggotaan kaum itu adalah fahaman bersama mereka tentang sesuatu hal, baik ideologi atau lain-lain.Tetapi ada juga kaum yang keanggotaannya terdiri daripada keturunan etnik atau bangsa yang sama. Misalnya, di Malaysia – ada kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Jadi, kaum juga boleh bererti race atau ras yang menurut takrif ilmu antropologi bererti kaum yang anggotanya mempunyai ciri-ciri dan rupa bentuk fizikal yang pada keseluruhannya sama termasuk mengamalkan adat resam iaitu ciri-ciri budaya yang sama.
Dari segi ini, kaum juga boleh bererti ‘suku kaum’ atau tribes atau tribal groups.

Kalau mengikut konsep sosiopolitik Barat, kaum bererti golongan etnik yang tidak mempunyai negara atau ‘state’, misalnya kaum gipsi di Eropah atau kaum Yahudi di merata Eropah yang tidak mempunyai negara (sebelum Israel ditubuhkan).

Menurut konsep itu, bangsa atau nation dikaitkan dengan negara atau ‘state’. Konsep ini tercetus di Eropah setelah lahir perasaan atau kesedaran nasionalisme bangsa-bangsa Eropah yang sampai kemuncaknya pada zaman Nazi dalam tahun 1930-an iaitu apabila Hitler cuba mewujudkan sebuah ‘nation-state’ atau negara-bangsa Jerman ‘super race’, negara yang terdiri daripada penduduk bangsa Jerman tulen sahaja.

Maka berlakulah gerakan membersihkan negara Jerman itu daripada semua kaum bukan keturunan bangsa Jerman tulen dan asli. Kaum yang menjadi sasaran gerakan pembersihan etnik itu adalah gipsi dan Yahudi, yang dianggap kaum merempat yang tidak mempunyai ‘negara’ sendiri.

Konsep atau ideologi ‘nation-state’ yang bererti negara yang terdiri daripada satu bangsa sahaja itu secara ironinya sedang dibina oleh kaum Yahudi di Israel. Mereka mahu dan sedang membina sebuah ‘negara-bangsa’ Yahudi, iaitu Israel yang penduduknya terdiri daripada satu bangsa sahaja, iaitu bangsa Yahudi.

Semua kaum lain akan dihapuskan atau kalau tidak dihapuskan mereka akan dijadikan kaum kelas kedua atau ketiga, kaum yang tidak akan diberikan hak dan layanan yang sama dengan ‘bangsa Yahudi tulen’.

Saya katakan ini adalah situasi yang ironis kerana apa yang dilakukan oleh Nazi terhadap kaum Yahudi dalam kempen Hitler untuk menubuhkan negara-bangsa Jerman yang tulen kini sedang dilakukan oleh kaum Yahudi di Israel.

Bagaimana keadaan di Malaysia? Suatu hal yang perlu dijelaskan adalah, kalau mengikut takrif sosiopolitik Barat, seperti yang tersebut tadi, orang Melayu sudah menjadi bangsa atau nationsejak ratusan tahun dahulu, tidak hanya merupakan kesatuan etnik yang disebut ‘kaum’ sama seperti kaum-kaum lain di negara ini atau di rantau ini.

Alasannya adalah orang Melayu sudah mempunyai negeri atau negara sejak sekurang-kurangnya tertubuhnya kerajaan Melayu-Islam Samudera-Pasai dalam abad ke-13, menggantikan kerajaan Melayu-Srivijaya.

Kita lihat bagaimana, sebelum dan sejak abad itu, orang Melayu berkembang dari tahap satu kaum etnik Melayu menjadi satu kesatuan umat yang besar, merentas segala macam sempadan etnik dan sub-etnik Melayu setempat dan daerah, mendirikan kerajaan, membina negeri atau negara, siap dengan segala institusi undang-undangnya, sistem pentadbirannya, sistem keselamatan dalam negerinya, sistem pertahanannya, dan sistem pengurusan perdagangan di Selat Melaka, selain membina korpus ilmu dan persuratan yang cemerlang mulai abad ke-15 sampai ke puncak yang gemilang dalam abad ke-17 dan ke-18. Ia tidak sahaja di kawasan yang disebut ‘Tanah Melayu’ tetapi merentas sempadan di seluruh rantau yang orang Barat sebut the Malay Archepelago.

Bahasa yang digunakan untuk membina tamadun itu bukan dialek-dialek daerah bahasa Melayu tetapi adalah bahasa Melayu kebangsaan atau bahasa Melayu persuratan. Raffles menggunakan istilah ‘the Malay nation’, iaitu bangsa Melayu, tidak suku kaum Melayu.

Bangsa Melayu itu tidak lenyap, tidak terpecah atau dipecah-pecahkan menjadi kaum atau suku-suku kaum seperti kaum ‘Red Indian’ di Amerika, setelah datangnya tiga kuasa penjajah Barat iaitu Portugis, Belanda dan Inggeris mulai awal abad ke-16 sehinggalah bangsa Melayu mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957 di Tanah Melayu.Negeri-negeri Melayu dan kerajaan Melayu di Semenanjung Malaysia yang disebut Persekutuan Tanah Melayu dahulu, kekal hingga hari ini.

Bagaimanapun, istilah bangsa itu dari segi implikasi makna politiknya dalam sejarah tamadun bangsa Melayu lebih merupakan entiti atau kesatuan sosiobudaya, tidak dari segi makna politik-legalistiknya.

Kalau orang Melayu berkata dia ‘megah bangsa’ atau ‘bangga bangsa’ menjadi Melayu, ini adalah kesedaran sosiobudayanya. Tiada kaum yang tidak mempunyai perasaan ‘megah kaum’ atau ‘megah bangsa’ itu.
Bangsa Cina (di negeri China), bangsa Jepun, bangsa Korea dan semua bangsa lain di dunia mempunyai perasaan megah atau bangga bangsa sendiri.

Bagaimanapun, orang Melayu mempunyai istilah lain untuk membezakan diri mereka sebagai ‘bangsa Melayu’ dari segi makna sosiobudaya dengan konsep rakyat dari segi makna ‘politik-legalistiknya’. Sejak negeri atau negara Melayu yang terawal ditubuhkan, penduduk dalam negeri itu disebut rakyat.

Pada zaman itu, rakyat bererti rakyat Melayu yang taat kepada raja dan negeri Melayu. Syarat untuk menjadi ‘rakyat Melayu’ di negeri Melayu atau rakyat raja Melayu itu adalah mereka yang berbahasa Melayu, berbudaya Melayu dan beragama Islam.
Pada zaman ini, istilah rakyat boleh disamakan dengan konsep ‘warga negara’. Konsep atau istilah rakyat atau warga negara ini tidak sama lagi dengan konsep bangsa.

Apabila saya berkata bahawa saya adalah bangsa Melayu, ia merujuk kepada dua taraf saya iaitu pertama taraf dari segi asal usul sosiobudaya saya, dan kedua merujuk kepada taraf saya sebagai bangsa atau rakyat yang berasal dari negara atau negeri Melayu yang sudah ada di Tanah Melayu ini sejak ratusan tahun dahulu. Ertinya, nenek moyang saya tidak berasal dari negeri atau negara lain.
Jadi, saya mempunyai dua taraf iaitu pertama sebagai bangsa Melayu dan kedua sebagai rakyat negara yang disebut Malaysia. Taraf saya sebagai bangsa Melayu tidak boleh diubah menjadi bangsa lain kerana memang itulah keturunan saya sejak asal, dijadikan Allah sebagai bangsa manusia, sejak Nabi Adam.

Demikian juga kaum bukan Melayu, mereka tidak boleh mengubah keturunan etnik mereka, walaupun mereka boleh mengubah agama mereka. Tetapi saya dan sesiapa pun yang menjadi rakyat Malaysia boleh mengubah atau menukar kerakyatan saya, misalnya menjadi rakyat atau warga negara Jepun atau Britian atau Australia atau Cina atau India atau Indonesia.

Namun, keturunan saya sebagai bangsa Melayu tetap tidak berubah. Yang berubah adalah status kerakyatan. Begitu juga Yang Berhormat Lim Kit Siang adalah kaum etnik Cina – beliau tidak boleh mengubah status keturunan etnik Cinanya.

Tetapi beliau juga adalah rakyat atau warga negara Malaysia, bukan rakyat atau warga negara China.
Maka benarlah penjelasan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz baru-baru ini tentang perkara ini apabila Lim Kit Siang mempersoalkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang berkata bahawa dia adalah bangsa/orang Melayu dahulu, kemudian baru rakyat Malaysia.

Gagasan IMalaysia tidak bererti gagasan untuk mewujudkan ‘1Bangsa Malaysia’. Ini tidak mungkin. Gagasan 1Malaysia adalah konsep kenegaraan yang ada kaitannya dengan soal kerakyatan Malaysia, dari segi undang-undang dan Perlembagaan.
Ini bererti laungan untuk mewujudkan satu ‘bangsa Malaysia’ adalah gagasan atau cita-cita yang mustahil tercapai. Kita jangan terikut-ikut dengan konsep atau ideologi tentang ‘negara-bangsa’ atau ‘nation-state’.

Ini konsep yang berasal dari sentimen atau sejarah nasionalisme Barat (Eropah). Kita tahu, di dunia ini tidak ada negara yang penduduknya terdiri daripada satu bangsa sahaja. Di seluruh Eropah, penduduknya terdiri daripada pelbagai ‘keturunan etnik’.
Konsep yang sudah ada dalam tradisi bangsa kita di negara ini, sejak zaman dahulu kala lagi adalah konsep rakyat. Saya mengagak bahawa salah satu tujuan 1Malaysia adalah untuk memastikan rakyat Malaysia hidup bersatu padu, makmur, aman dan damai tidak berdasarkan kepentingan etnik atau kaum tetapi berdasarkan kepentingan negara dan matlamat itu hanya boleh dicapai melalui sistem dan institusi negara, melalui dasar-dasar pembangunan ekonomi, sosial, undang-undang dan politik yang adil, seimbang dan saksama kepada semua rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, kalau kita teliti Perlembagaan Malaysia dengan fikiran dan hati yang objektif, tanpa dipengaruh oleh perasaan atau kepentingan kaum, kita akan menyedari bahawa perlembagaan itu mengandungi isi dan semangat, secara tersurat mahupun tersirat, yang mengarah kepada tiga prinsip dan matlamat yang fundamental iaitu keadilan, keseimbangan dan kesaksamaan antara kaum, khususnya dalam pembangunan dan pembahagian hasil ekonomi negara.

Oleh DATUK DR. HASSAN AHMAD

Baca selanjut: http://politikblobspotcom.blogspot.com/2010/04/kaum-bangsa-dan-rakyat-malaysia.html

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.