Mencari kepimpinan UMNO

ImageSEMAKIN hebat dan semakin banyak SMS terbang melayang-layang. Apa tidaknya, semakin ramai yang sedang membuat spekulasi mengenai pertandingan merebut jawatan dalam UMNO. Semakin ramai yang menawarkan diri. Ada yang sebenarnya memang layak, ada yang rasa layak dan ada yang tidak sedar diri mahu melayakkan diri. Namun semua ini terpulang kepada kebijaksanaan ahli UMNO nanti. Mereka akan memilih dan mencalonkan. Mereka akan menilai – tidak kiranya cara mana mereka menilainya.

Namun dalam persoalan ini – UMNO kena sedar satu perkara, pertandingan kali ini adalah untuk memilih kepimpinan yang akan mengemudi UMNO untuk terus membentuk kerajaan dan memperjuangkan relevansi UMNO. Pemilihan kali ini harus menilai kepimpinan yang dapat membawa semula UMNO melalui jalan kemelesetan yang ada untuk menegakkan kembali perjuangan UMNO agar Melayu khususnya dapat menerima semula UMNO sebagai wadah perjuangan.

Kepimpinan kali ini harus dipilih dari kalangan mereka yang telah nampak kuat memperjuangkan agenda Melayu – agenda rakyat dan dari kalangan mereka yang bukan sahaja kelihatan bersih tetapi memang tinggi keperibadiannya.

Ini bukan soal bersalah atau tidak bersalah – ada kes mahkamah atau tidak – ini soal nampak dan memang bersih untuk mengemudi UMNO – keluar dari kekusutan, keluar dari kemelesetan dan keluar dari kegawatan dan krisis kepimpinan yang ada.

Ahli UMNO kena memilih mereka yang jelas dan teruji perjuangan mereka untuk rakyat. Mereka yang pernah tewas dan tidak sedar akan sebab-sebab ketewasan tidak seharusnya dibenarkan menjawat kepimpinan. Mereka ada kontroversi, pernah disoal siasat, ada kes pukul memukul, budaya samseng dan tidak panjang akal sepatutnya ditinggalkan.

Kita boleh kaji dan lihat sedikit sebanyak perangai mereka dalam mahkamah. Kalau hanya tahu terpekik terlolong – memanggil orang itu dan ini dengan nama – buat lawak dan tidak konklusif maka itu sepatutnya kita tinggalkan. Kita mahukan kepimpinan UMNO yang jitu berani dan sanggup untuk melakukan lebih dari apa yang sepatutnya untuk Melayu.

Kita perlu ukur dan kaji idealisme mereka dan tidak hanya memilih kerana mereka sedang memimpin atau mereka sedang menjawat jawatan menteri.

Kita sepatutnya sedar bahawa pemilihan kali ini perlu dibuat dengan teliti kerana UMNO sedang mengalami kemerosotan dari segi sokongan. Kalau dipilih mereka yang tidak ada kredibiliti maka UMNO akan terus tersorok dan terus ke belakang.

Kita mahu kepimpinan dan bukan mereka yang retorik memimpin. Kita harus memilih kalangan mereka yang terbaik memimpin bukan mereka yang terbaik membayar dan membeli.

Kita harus sedar bahawa keadaan kita menuntut perubahan dan perubahan ini perlu agar mereka yang dipilih dapat menyempurnakan tanggungjawab dengan baik dan berkesan. Mereka yang dah kira lupus dan pupus seharus tidak dipilih lagi. Bersaralah bagi peluang generasi baru untuk memimpin dan memulakan sesuatu yang baru dalam kepimpinan kita.

Kita kena mula mengkaji dan melihat idealisme mereka, pandangan mereka dan tugas yang telah dilaksanakan agar yang di pilih benar-benar terbaik dari kalangan kita. Kita pastikan Presiden , Timbalan Presiden , Naib Presiden dan Majlis Tertinggi UMNO dipenuhi dengan mereka yang hanya tahu satu perkara – memperjuangkan Melayu – tidak tersekat suara – tidak retorik dan mereka yang sanggup melangkah ke hadapan, berdiri dibarisan depan – berkorban untuk Melayu dan UMNO.

Bagi mereka yang hanya tahu mengumpul harta, kumpul duit dan hanya tahu menggunakan wang untuk membeli sokongan – mereka yang berjaya menjadikan UMNO pembangkang pada PRU 13 nanti. Kita mulakan pencarian kita untuk kepimpinan UMNO.

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PENAPIS AIR CUKCOO

CUCKOO - PENAPIS AIR MINERAL BERALKALI RINGAN

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.