UMNO dalam BAHAYA

ImagePERGOLAKAN politik semakin hebat. Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat kini sedang bersaing,satu saingan sengit yang belum pernah dilihat dalam senario politik negara kita ini. Barisan Nasional khususnya UMNO kini sedang giat mencari sebab bagaimana untuk memulihkan kembali sokongan rakyat terhadap UMNO. Kepimpinan UMNO mula tercari-cari dan akhirnya berjumpa satu sebab kenapa Barisan Nasional hilang sokongan pada PRU 12. Sebabnya adalah laman web dan blog.

Ini punca kekalahan dan sebenarnya ini satu analisa yang amat dangkal dari UMNO. Laman web dan blog mungkin menyumbang kepada hilangnya sokongan terhadap Barisan Nasional tetapi mereka lupa sumbangan fizikal yang sebenarnya kenapa BN keciciran. Mereka lupa bahawa rakyat yang ada menilai prestasi dan perbandingan adalah dengan apa yang dilaporkan oleh media arus perdana dan apa yang di laporkan oleh media alternatif yakni laman web dan blog.

Perbandingan sumber informasi ini bergantung banyak kepada prestasi dan perlakuan UMNO serta Barisan Nasional amnya. Apabila perlakuan tidak menunjukkan arah yang menguntungkan rakyat maka ini akan menyebabkan rakyat berpaling dari Barisan Nasional dan UMNO. Ini bukan bergantung pada pembentukan blog yang banyak. Sebenarnya pembentukan blog UMNO dan Barisan Nasional, sebanyak mana pun tidak akan dapat mengubah sokongan yang telah beralih.

Tetapi sokongan akan beralih semula apabila UMNO melakukan perubahan drastik yang menampakkan bahawa mereka mahu memperbetulkan apa yang selama ini mereka terlepas pandang dan gagal melaksanakannya. Perubahan itu harus mengambil kira perubahan menyeluruh dan ini perlu ada untuk setidak-tidak rakyat membuka mata untuk melihat kembali kepada UMNO dan Barisan Nasional secara kolektif.

Namun persoalannya, adakah dengan Tan Sri Muhd Muhammad Taib, Dato Seri Khir Toyo dan kepimpinan lain serta pemuda dengan blog dan web baru dapat mengembalikan sokongan sekiranya UMNO masih di tahap tidak faham apa yang sebenarnya sedang berlaku.

Dalam keadaan sokongan Pakatan Rakyat meningkat, perbezaan blog dan web UMNO dengan blog dan web penyokong Pakatan Rakyat adalah dari segi pembentukan dan pemilikan. Laman blog yang menyokong Pakatan Rakyat berpegang kepada justifikasi isu dan lebih bercorak individualistik, menyumbang pendapat dan mengkritik sedangkan laman web yang ditubuhkan oleh UMNO lebih kepada satu jersi yang sudah cukup menunjukkan pendapat yang “bias” dan kepolitikan.

Keadaan ini sudah cukup untuk mematahkan segala hujah biarpun ia satu kebenaran. Ini akan hanya menampakkan satu bentuk tindakan keperluan untuk menyelamatkan parti dan bukan idea dan kritikan ikhlas dalam menyempurnakan amanat rakyat .

Langkah berbeza patut diambil dan langkah itu adalah satu pengorbanan yang perlu dibuat untuk menampakkan keikhlasan untuk menyelamatkan UMNO. Tindakan – tindakan ini perlu jelas dan perlu tegas dalam usaha untuk membuktikan kepada rakyat bahawa UMNO sedar dan kepimpinan juga sedar bahawa mereka telah alpa terhadap apa yang berlaku – situasi benar dan bukan makluman orang yang berkepentingan dan takut menyatakan kebenaran.

Adakah kepimpinan UMNO khususnya di peringkat MT disedarkan bahawa kenyataan yang ada sekarang menunjukkan bahawa UMNO akan terus kehilangan sokongan dan akan terus lenyap di telan arus.

Adakah ini masih satu kenyataan yang tidak berasas dan tidak logik? UMNO dalam bahaya. Ini satu hakikat yang perlu disedarkan-diketuk dan dihambat dalam minda kepimpinan UMNO.

Perubahan drastik perlu dan perubahan itu harus dilakukan dengan kepimpinan UMNO yang sedar bahawa dirinya beban kepada UMNO untuk berundur. Namun kesedaran ini masih tidak akan menjadi kenyataan dan selagi tidak maka UMNO masih tidak melakukan perubahan dan selagi itulah UMNO DALAM BAHAYA.

UMNO memerlukan satu suntikan baru dalam minda kepimpinan mereka. UMNO harus melihat keluar dari sirkulasi yang ada dan mula melihat bakat-bakat luar yang dapat memberitahu secara jujur dan ikhlas mengapa UMNO sering ketinggalan. Mereka kena diberitahu apa sebenarnya punca dan di mana mulanya terhakisnya sokongan terhadap UMNO bermula.

UMNO masih boleh berbangga dengan melihat bahawa sokongan orang Melayu masih ada pada mereka tetapi apakah sokongan itu akan berterusan sehingga ke PRU 13. Jangan kita harapkan cerah sampai ke petang sedangkan kita sudah seakan tahu hujan akan turun di tengah hari.

Malangnya UMNO masih dalam sirkulasi orang tertentu yang memberi input yang tidak tepat dan tidak benar. Mereka lupa bahawa persepsi yang disogokkan kepada rakyat bukan sesuatu yang negatif tetapi dengan persepsi ini ia menjadi satu senjata kuat untuk mengalih pandangan rakyat kepada wadah politik baru.

Mereka patut sedar bahawa perjalanan perjuangan mereka telah dilaksanakan seawal tahun 1998 dalam UMNO berdepan dengan krisis kepimpinan.

Mereka sudah bertindak untuk memanipulasi pengertian terma dan kelogikan makna demokrasi. Dandanan demokrasi yang dibawa oleh Pakatan Rakyat amat mengasyikkan sungguhpun irama itu tidak seberapa dan ada kalanya sumbang. Namun ia lebih menghiburkan dari UMNO dan Barisan Nasional secara keseluruhan.

Banyak perkara yang sebenarnya perlu dilihat oleh kepimpinan UMNO tetapi selagi usaha kolektif dengan mainan tertentu di dunia siber dan percetakan maka UMNO akan terus kekal dalam BAHAYA.

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PENAPIS AIR CUKCOO

CUCKOO - PENAPIS AIR MINERAL BERALKALI RINGAN

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.