Archive for January, 2010

Zulkifli Noordin : Zaid Ibrahim Diibaratkan Tak Ubah Seperti ‘Sampah’ Yang Disepak Keluar Oleh UMNO !

Posted in MEDIA on 30 January 2010 by zanas

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin, semalam mencabar Datuk Zaid Ibrahim supaya keluar daripada Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan parti itu.

Malah, Zulkifli yang menganggap Zaid sebagai ‘sampah Umno’ juga mendakwa bekas menteri itu menjadi liabiliti kepada PKR, ekoran tindakannya mengutuk pimpinan parti yang mahu mengheret Zulkifli ke Jawatankuasa Disiplin parti kerana membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

“Zaid adalah anggota biro politik parti, kerana beliau juga terbabit dalam membuat keputusan terhadap saya dan beliau sepatutnya hormati keputusan itu, bukannya mengutuk pimpinan parti terhadap keputusan berkenaan.

“Kalau tidak setuju, keluar saja daripada biro politik. PKR buat begitu kerana mengikut tatacara dan peraturan parti, saya akan berdepan dengan jawatankuasa disiplin.

“Datuk Zaid saya tidak pandang pun beliau, beliau ini politikus yang betul-betul macam tikus akan mengambil kesempatan di mana saja ada peluang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Semalam, akhbar melaporkan Zaid yang juga Pengerusi Penaja Pakatan Rakyat Malaysia (PRM), menyifatkan PKR sebagai sebuah parti yang tidak mampu mempertahankan prinsip utamanya apabila gagal menangani isu Zulkifli dengan serius.

Zaid dalam laman blognya berkata, ada pihak takut untuk mengambil tindakan terhadap Zulkifli, selain menyifatkan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu sebagai manusia istimewa yang tidak boleh disentuh dalam parti. Zulkifli turut mempersoalkan tindakan Zaid sebelum beliau menyertai PKR, yang mana perjuangannya bertentangan dengan prinsip yang diperjuangkan PKR.

“Dialah (Zaid) orang yang memecahbelahkan Majlis Peguam Negara dan merosakkan institusi kehakiman. Pas juga perlu ingat inilah orang yang failkan saman bagi menghalang Pas laksanakan hukum hudud di Terengganu.

“Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dihina, di mana beliau, malah tahun lalu beliau masih ingin bertanding sebagai Ketua Bahagian Umno, namun beliau adalah sampah Umno yang ditolak,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataannya dalam sebuah akhbar tempatan yang menyebut beliau tidak menolak kemungkinan akan menyertai parti lain.

“Saya akan mengkaji perkara itu, sekiranya PKR membuat keputusan untuk tidak membenarkan saya bercakap mengenai Islam ataupun tidak mahu benarkan mempertahankan Islam,” katanya.

KOMEN :

Zaid Ibrahim sebenarnya nak tunjuk taring di dalam PKR. ‘CAH KETING’ budaya PAS sedang digunapakai untuk men’nyah ketingkan’ YB Zulkifli. Kita lihat ada bezanya Zaid Ibrahim dengan pemimpin PKR yang lain. Kalau yang lain masuk PKR disebabkan opportunist, Zaid Ibrahim keluar UMNO disebabkan ada perkara-perkara yang bertentangan dengan pendiriannya dan bukan alasan yang lain. Agak mengecewakan kerana Zaid masih tidak sedar yang dia dikelilingi orang orang yang bermuka-muka dan tidak tahu akan nilai berjuangan.

YB.Zulkifli Nordin sepatutnya disokong kerana pendirian beliau dengan menyangkal tindakan Partinya yang dayus membenarkan mengunakan Kalimah Allah. Adakah ini masa terbaik bagi Zulkifli untuk melakukan satu tindakan yang di luar dugaan dengan meninggalkan Pakatan Rakyat yang semakin dilihat gagal memenuhi hasrat ” Suara Rakyat” mereka! Selamat Berjuang YB RIDER !.

Suara Politik
Taminsari

Advertisements

Kepala babi dilontar dalam perkarangan dua masjid

Posted in MEDIA on 27 January 2010 by zanas

Kepala babi ditemui dilontarkan ke dalam perkarangan dua buah masjid sekitar Jalan Klang Lama hari ini.

Kepala babi berkenaan dijumpai di perkarangan Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun di Petaling Jaya dan Masjid Al-Imam Al-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.

Insiden itu merupakan yang terbaru perbuatan merosak dan mencemarkan rumah-rumat ibadat sepanjang tiga minggu lalu, yang membabitkan 11 gereja, sebuah kuil Sikh, sebuah masjid dan dua surau.

Serangan ini dipercayai ada kaitan dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahaan untuk ‘God’.

Menurut saksi, dua kepala babi dijumpai oleh jemaah di perkarangan masjid ketika datang hendak menunaikan solat Subuh pada jam 5.30 pagi. Selain kepala babi, kepingan wang kertas juga ditemui ditaburkan di di situ.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pegawainya datang untuk menyiasat kawasan kejadian.

Wang juga dijumpai bertaburan

Sementara itu, satu beg plastik yang berisi dua kepala babi hutan di temui di tempat letak kereta Masjid Al-Imam Al-Tirmizi oleh seoang penduduk, Sharif Shaari, 57, yang datang pada jam 5.45 pagi tadi untuk mengerjakan solat Subuh.

Sharif, seorang peniaga, bersama seorang kawannya ternampak beg plastik itu tetapi tidak menyangka ia berisi kepala babi, lalu mereka terus masuk ke masjid untuk mengerjakan solat.

Selepas mengerja solat Subuh, mereka keluar semula untuk memeriksa beg tersebut dan terkejut apabila mendapati ia mengandungi dua kepala babi hutan.

Mereka juga ternampak kepingan wang kertas ditaburkan di situ. Ia termasuk sekeping wang RM1, RM5 dan RM10 – kesemunya bernilai kira-kira RM35.

Mereka kemudian terus masuk semula ke masjid dan memaklumkan perkara itu kepada imam masjid berkenaan, Zulkifli mohamad.

Seorang daripada mereka menelefon pihak polis yang tiba kira-kira 6.40 pagi tadi.

Bungkusan lutsinar

Manakala di Masjid Jumhuriyah Taman Datuk Harun, Petaling Jaya – berdekatan dengan lebuh raya Pantai Baharu (NPE) – terdapat dua kepala babi hutan ditemui di perkarangan masjid berdekatan di pintu belakang kira-kira jam 6 pagi tadi oleh anak kariah.  Jarak antara kedua-dua masjid tersebut adalah sejauh 3km.

Saksi kejadian, Mohd Hilmi Bakri, 20, seorang pelajar berkata ketika beliau ke masjid berkenaan untuk menunaikan solat Subuh, beliau ternampak kira-kira 20 orang sedang berkerumun melihat sebuah bungkusan lutsinar.

Berdekatan dengan bungkusan itu juga terdapat 30 wang kertas RM1. Mereka membiarkannya kerana menyangka bungkusan mengandungi bayi yag dibuang.

Kemudian, seorang pegawai masjid menghubungi pihak polis kira-kira jam 6.30 pagi. Dua anggota polis tiba dan membuka bungkusan tersebut, dan mendapati ia berisi kepala babi hutan.

Selepas itu, dua kereta peronda polis datang dan mengambil kepala babi hutan itu kira kira jam 7.30 pagi tadi.  Sementara itu, timbalan nazir masjid berkenaan, Hasbullah Zainal berkata beliau kesal dengan kejadiaan tersebut yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Beliau juga meminta anggota kariah supaya bertenang dan menyerahkannya kepada pihak keselamatan untuk menyiasat kejadian itu.

Isu Kalimah Allah : Zul Nordin dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin PKR

Posted in MEDIA on 27 January 2010 by zanas


Oleh: LUKMAN ABDULLAH

Ahli Parlimen PKR Kulim Bandar Bharu Zulkifli Nordin hanya akan tahu mengenai kedudukannya dalam parti itu dalam masa sebulan lagi ekoran tindakannya buat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mengenai isu kalimah Allah..

Ini kerana Biro Politik PKR yang bermesyuarat di ibupejabat parti itu dekat Petaling Jaya petang Selasa putuskan untuk hadapkannya ke Jawatankuasa Disiplin parti itu.Hadir sama di mesyuarat itu ialah Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.Zulkifli tidak hadir kerana bukan anggota biro itu..

Hal ini diumumkan oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan yang dibacakan kepada wartawan selepas mesyuarat berkenaan.  Katanya keputusan Jawatankuasa Disipilin akan terikat kepada tiga perkara iaitu memberi amaran,mengantung atau memecat keahlian.

Zulkifli juga diarah supaya tidak membuat sebarang kenyataan sepanjang tempoh berkenaan.  Menurut beliau Biro Politik PKR kesal dengan tindakannya.

Sebelum ini ramai yang menduga PKR akan bertindak serta merta keatas Zulkifli yang membuat laporan polis terhadap Khalid Samad pada hari Sabtu lalu.

Ia mencetuskan kemarahan kalangan pimpinan PKR dan pembangkang.  Zulkifli bagaimanapun menegaskan beliau tidak akan tarik balik laporan polis itu dan sedia keluar dari parti demi mempertahankan kesucian kalimah Allah.

Sementara itu bercakap kepada wartawan selepas mesyuarat berkenaan Anwar mengulangi pendirian terbuka PKR terhadap isu kalimah Allah.   Katanya , “saya ulangi pendirian pimpinan parti berdasarkan pandangan ulama-ulama besar dunia yang kita rujuk, tidak terbatas pada tiga ulama besar seperti Syeikh Yusuf Qaddrawi, Syeikh Wahbah Zuhkairi dan Syeikh Taha Jabbir Alwani tetapi juga beberapa tokoh lain.”

“Saya ingin ulangi bahawa pendirian kita masih tetap pada prinsip hak yang ditetapkan di dalam Islam sepertimana yang telah kami rujuk kepada ulama besar dan keduanya apa yang dijamin dalam perlembagaan kita,” katanya.

Menurut beliau dalam masa yang sama PKR akan meneruskan sidang pertemuan dan perbincangan dengan pengganut ugama krisitian dan lain-lain dan juga akan menyuarakan kebimbangan umat Islam supaya kemudahan ini tidak disalahgunakan.

“Saya yakin setakat ini ketua-ketua paderi kristian telah memberi jaminan bahawa mereka hanya mahu menggunakan hak ini untuk kegiatan agama dan pengganut agama kristian dan bukan maksud mereka untuk menghasut atau mendakyahkan kepada umat Islam.” kata Anwar.

Sementara itu, berhubung isu Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail yang meletak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi 2 PKR Pahang, beliau memberitahu Biro Politik telah diberi penerangan khas oleh Azan sendiri

sumber: Agendaily

Demo ringkas bantah guna ‘Allah’ di tiga masjid

Posted in MEDIA on 8 January 2010 by zanas

kemaskini 3.02pm Beberapa ratus menyertai demonstrasi di Masjid Negara selepas solat Jumaat sebentar tadi bagi membantah penggunaan perkataan Allah di penerbitan Katholik yang kini menjadi kontroversi.

Perhimpunan dianjurkan dua pertubuhan Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida).

Demonstrasi membantah isu yang sama turut diadakan di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur dan masjid negeri di Shah Alam.

Perhimpunan anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di tengah ibu kota itu dihadiri kira-kira 50 orang. Ia berlangsung hampir 20 minit.

Mereka menaikkan sepanduk bertulisan, antaranya, ‘Jangan cabar toleransi Islam’ dan ‘Kalimah Allah hanya untuk kami’, selain membacakan perisytiharan yang mengandungi tujuh tuntutan.

Di Shah Alam, beberapa orang kelihatan melepaskan kemarahannya terhadap ahli parlimen PAS bagi Shah Alam, Khalid Samad, yang bersetuju istilah Allah digunakan oleh penganut Kristian.

Orang ramai turut menurunkan tandatangan pada petisyen bantahan di Masjid Negara dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Pada 31 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan majalah Herald The Catholic Weekly menggunakan nama Allah dalam penerbitannya.

Keputusan itu mengundang reaksi negatif banyak kelompok dalam masyarakat Islam dalam tempoh seminggu ini.

Mahkamah yang sama bagaimanapun menangguhkan keputusan tersebut sementara menunggu rayuan daripada Kementerian Dalam Negeri.

Sumber: Malaysiakini

ANGKARA SIAPA NI ???

Posted in MEDIA on 8 January 2010 by zanas

Polis sedang siasat kejadian sebuah gereja yang terletak di deretan rumah kedai Desa Melawati, Hulu Kelang dekat Kuala Lumpur dibakar tengah malam tadi.

Dua lagi gereja sekitar Lembah Klang juga cuba dibakar malam dan pagi tadi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein dalam sidang akhbar mengenai kejadian itu di Bukit Aman tengahari ini memberi amaran kerajaan akan mengunakan apa jua yang perlu termasuk ISA untuk kekalkan keamanan dan kenteraman negara.

Sementara itu Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman dipetik sebagai berkata ada terlalu awal untuk mengaitkan bantahan pengunaan kalimah Allah dengan kejadian di Desa Melawati.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam reaksi segeranya mengutuk perbuatan itu. Beliau tidak mahu sesiapa cuba menyalahkan UMNO mencetuskan ketegangan dalam isu ini.” Jangan Tuding jari pada UMNO atau sesiapa”,tegasnya.

Beliau juga mengarahkan polis meningkatkan kawalan sekitar kawasan rumah ibadat.
Dalam pada itu belum apa-apa lagi Datuk Zaid Ibrahim dari PKR dan Naib Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sudah kata UMNO dan kerajaan perlu ambil tanggongjawab atas kejadian ini.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang melawat gereja di Desa Melawati pagi ini meminta sesiapa jangan menuding jari pada sesiapa. Katanya Pemuda UMNO tidak akan melakukan perbuatan seperti ini.


Modus operandi bakar gereja…

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dalam sidang akhbar di Bukit Aman tengahari Jumaat beritahu modus operandi bakar gereja Di Desa Melawati jam 12 tengah malam ( terbakar) dan dua lagi di PJ jam 4 pagi dan Damansara jam 9 pagi ( tak terbakar) ialah orang tak dikenali naik motor lempar bom api.Katanya ada orang telefon ugut gereja jam 6 petang semalam kata jaga-jaga.Katanya sejak itu polis sudah tingkatkan kawalan.hadir sama dalam sidang akhbar itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein-


Akhbar PKR disiasat dakwa Teoh dibunuh

Posted in MEDIA on 7 January 2010 by zanas

Pengarang akhbar rasmi PKR Suara Keadilan memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam berhubung siasatan terhadap berita ‘Pornthip sahkan Beng Hock dibunuh’.

Dzulkarnain Taib berada kira-kira sejam di IPD tersebut sejak jam 1.30 tengah hari, dengan ditemani peguamnnya Ranjit Singh.

Sekumpulan wartawan telah sedia menunggu ketibaan Dzulkarnain di situ sejak jam 1 tengah hari lagi.

Dzulkarnain (kanan) disiasat ekoran aduan polis yang dibuat oleh dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jumaat lalu.

Pegawai SPRM Cawangan Siasatan Putrajaya, Hisyam Mohd Yusoff, berbuat demikian dengan dakwaan tabloid itu menyiarkan berita yang subjudis, melampaui kuasa inkues Teoh Beng Hock yang sedang berlangsung.

Inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam akan bersambung esok. Seorang lagi pegawai SPRM Raub Ghani, juga dari cawangan yang sama, membuat aduan polis agar pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, disiasat kerana disyaki membocorkan maklumat laporan bedah siasat kedua, 22 November lalu, kepada pihak tidak sewajarnya.

Berita itu, menurut aduan Hisyam, yang dimuatkan dalam edisi 29 Disember 2009 – 5 Jan 2010 membuat kesimpulan bahawa bekas setiausaha politik exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, mati dibunuh.

Sementara itu, dalam aduannya, Raub pula menyifatkan pembocoran maklumat laporan forensik itu “akan memburukkan lagi imej SPRM.”

Bercakap kepada media sejurus selesai soal siasat tersebut pada kira-kira jam 2.30 petang, Dzulkarnain berkata, beliau akan terus menulis mengenai isu Teoh kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Ditanya sama ada siasatan tersebut memberikan tekanan kepadanya, beliau enggan mengulas tetapi menganggapnya sebagai “prosedur biasa.”

Dzulkarnain juga yakin bahawa tulisannya dalam akhbar mingguan tersebut tidak mempengaruhi perjalanan inkues Teoh.

“Saya yakin tidak,” katanya. Tambahnya, beliau memberikan kerjasama penuh kepada polis dengan menjawab semua soalan yang diajukan. Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan soalan-soalan tersebut.

Sementara Ranjit (foto, baju putih) pula berkata, beliau tidak pasti anak guamnya disiasat berdasarkan akta apa kerana mereka tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

Tambahnya, jika tulisan itu dianggap subjudis semata-mata, anak guamnya tidak boleh didakwa di mahkamah. “Bagi kami tidak boleh (didakwa), tetapi itu bergantung kepada pihak polis dan peguam negara,” katanya.

Sumber: Malaysiakini

Blogger Kickdefella terus buat pendedahan:Dakwa ‘pasangan Sehati Berdansa’ campurtangan pentabiran Nik Aziz

Posted in MEDIA on 7 January 2010 by zanas

Setelah berehat seketika baru-baru ini, Syed Azidi Syed Aziz@ blogger Kickdefella@ bekas orang kanan Exco Kerajaan Negeri Kelantan,Datuk Husam Musa kembali beraksi membuat pendedahan tentang kisah dalaman sensasi keluarga dan urus kerja Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Dari gambaran yang diberi oleh bekas pegawai Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang dipecat oleh bosnya, menantu Menteri Besar Kelantan Abdul Ariffahmi Abdul Rahman nampaknya ‘ perang dingin ‘ berlarutan dikalangan inner circle Tok Guru itu.

Juga ikut cerita yang didakwanya nampak gaya campurtangan keluarga khususnya pasangan anak perempuannya Nik Amanila dan suaminya Ariffahmi yang digelarnya pasangan Sehati Berdansa dalam pentabiran Nik Aziz ‘ boleh tahan’ juga.

Kickdefella juga mendakwa pasangan itu tidak sebulu dengan bekas Setiausaha Politik Anual Bakhri Haron yang tidak sambung kontrak baru-baru ini dan juga dengan Husam.

Dalam tulisnya sebelum ini,Syed Azidi mendakwa Anual Bakhri telah diminta oleh Nik Aziz buat surat baru tamat khidmat serta merta setelah beliau menyerahkan surat yang tercatat notis satu bulan.

Pasangan suami isteri itu juga didakwa menuduh Husam rakus.

Beliau menceritakan detik pertemuan mencengkam di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10 bila mana Amalina dan suaminya dicabar mengulangi tuduhan secara berdepan pada Husam.

Berikut ialah tulisan penuh Kickdefella:

Pasangan Sehati Berdansa: Kopi Dangdut Sungguh!

Siapakah gerangan pasangan Sehati Berdansa dari Kelantan? Kalau dalam ruang siber bergelek bukan main tetapi bila berdepan mata ke mata kejam celik sikit terus tiada. Macam biskut chipsmore pun ada.

Dua Minggu Yang Lalu

Di dalam satu temubual ekslusif yang diantara Malaysiakini dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, YAB Menteri Besar Kelantan itu telah antara lain didalam usaha mengagungkan Almenantunya telah memberi persepsi buruk terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif PMBK.

Ini menyebabkan bekas ahli pengurusan kanan PROTON itu mengambil tindakan untuk menyaman malu Menteri Besar Kelantan. Ini mengakibatkan Tok Guru resah dan mengambil keputusan untuk memohon maaf. Tuan Haji Anual Bakhri Haron yang ketika itu masih menyandang jawatan Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan telah diarahkan menjadi orang tengah.

Akhirnya di atas kehendak Tok Guru sendiri, Haji Anual dan Tok Guru mengunjungi kediaman bekas CEO PMBK itu. Di dalam pertemuan tersebut Tok Guru menyampaikan sendiri surat mohon maafnya kepada bekas CEO PMBK itu yang amat dimusuhi oleh Ariffahmi.

Beberapa hari kemudian di dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri, Tok Guru memaklumkan bahawa dia telah memohon maaf diatas ketelanjurannya.

Kejadian itu seharusnya berakhir disitu dengan umum yang mengetahui tentang kejadian itu merasa hormat diatas sikap mulia Tuan Guru Nik Aziz. Seorang Menteri Besar dan seorang ulama besar sanggup mengunjungi rumah rakyat biasa untuk memohon maaf diatas ketelanjurannya. Begitulah bertuahnya rakyat Kelantan.

Satu Minggu Yang Lepas

Di dalam satu pertemuan tertutup antara pihak Muslimat dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Nik Amalina, anak kepada Menteri Besar Kelantan dengan lantang menyelar Haji Anual Bakhri dan menuduh Anual Bakhri telah menjatuhkan maruah Menteri Besar Kelantan dengan memujuk MB ke rumah bekas CEO PMBK untuk memohon maaf.

Sebulan Yang Lalu

Almenatunya Abdul Ariffahmi Abd Rahman telah memusing Malaysia untuk menjelaskan kepada pimpinan parti dan Dewan Pemuda PAS berhubung polemik yang melandanya.

Di dalam pertemuan demi pertemuan itu Ariffahmi telah mendakwa dia adalah mangsa kepada kerakusan Dato’ Haji Husam Musa.

Antara tuduhan yang dibuat oleh Almenantunya terhadap Husam adalah seperti berikut :

Husam mempengaruhi Bapa Mertuanya menggunakan blogger Kickdefella dalam usaha jahat Husam menjatuhkannya sebagai CEO PMBK. (Saya amat berharap Ariffahmi berani untuk mengulangi tuduhan ini dikhayalak umum atau kepada pihak media)

Tindakan Husam itu dikatakan kerana Husam gagal mempengaruhi Ariffahmi dan menggunakan Ariffahmi untuk kepentingan peribadi Husam iaitu mengumpul kekayaan. (Pada pendapat saya, Ariffahmi yang gagal mempengaruhi Husam untuk menutup mata diatas segala kepincangan pentadbiran PMBK dibawah Ariffahmi).

Anak syarikat PMBK iaitu PMBK Sawit yang dipengerusikan oleh Husam mengalami kerugian teruk kerana Husam menggunakan sumber kewangan PMBK Sawit untuk tujuan politiknya dan peribadi serta membayar kroni-kroninya dengan gaji yang amat tinggi. (Kakitangan kerajaan negeri akan ketawa besar mendengar tuduhan ini kerana PMBK Sawit sajalah sebenarnya yang membawa keuntungan berbanding lain-lain anak syarikat PMBK. PMBK Sawit jugalah yang ‘menyara’ PMBK).

Husam hanya pandai lancar program tetapi semua gagal dan PMBK terpaksa menanggung kegagalan itu dan antara yang dimaksudkan sebagai gagal ialah projek Skim Takaful Kifaalah Warga Emas. (Skim Takaful Kifaalah adalah satu skim yang berjaya memenangi hati dan perasaan rakyat Kelantan sehingga membawa kemenangan besar kepada PAS dalam PRU12 yang lalu, kini skim tersebut menjadi ikutan dibeberapa buah negeri).

Husam didakwa menerima rasuah daripada Tamrin bin Ghafar (Tamrin sendiri menafikan hal ini pada Ariffahmi tetapi Ariffahmi terus dengan dakwaannya).

Sehari Yang Lalu

Bertempat di JKR 10, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, Dewan Muslimat PAS telah menjemput Pasangan Sehati Berdansa Ariffahmi dan Amalina untuk memberi penjelasan berhubung isu-isu yang melanda dengan alasan mahu mendengar terus dari mereka berdua.

Begitu hebat kedua-dua mempelai itu membelasah Dato’ Husam di dalam sessi tersebut.

Apabila ditanya sama ada mereka bersedia berhadapan dengan Dato’ Husam bagi mendengar pihak sebelah Husam pula, mereka dilaporkan sebagai berkata bersedia.

Kemudian mereka dimaklumkan bahawa Dato’ Husam turut berada di JKR 10 dan akan dijemput masuk supaya Pasangan Sehati Berdansa boleh mengulangi tuduhan mereka itu dihadapan Dato’ Husam sendiri. Mereka cepat-cepat berkata, tidak bersedia melakukannya sekarang dan memberi alasan, YAB MB sudah merancang satu pertemuan lain untuk mereka jadi biarkan pertemuan antara Husam dan mereka dibuat mengikut perancangan MB.

Apabila Husam dan beberapa orang ADUN PAS yang juga merupakan penjawat jawatan parti masuk, Ariffahmi hanya menyambut ADUN PAS itu tetapi tidak Husam. Husam terpaksa pergi kepada Ariffahmi dan menghulurkan salam. Selepas itu, Ariffahmi dan Amalina terus keluar meninggalkan majlis tersebut.

Nampaknya ternyata Ariffahmi dan Amalina hanya berani dibelakang sahaja. Apabila berdepan, mereka hanya berani jika Tuan Guru Nik Aziz turut serta. Kalau didalam ruang yang neutral, mereka rupanya takut untuk berdepan dengan Husam.

Kopi Dangdut untuk Pasangan Sehati Berdansa semoga mereka kuat semangat untuk berdepan dengan orang yang mereka kecam sehebat-hebatnya selama ini.

Seminggu Yang Akan Datang

Tuan Guru Nik Abdul Aziz perlu mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan kebobrokan dan campurtangan anak menantunya dalam hal pentadbiran negeri dan sikap kurang ajar kepada pimpinan negeri dan parti. Kegagalan Tuan Guru bertindak segera hanya akan membawa kepada permasalahan yang lebih besar.

Dua Minggu Yang Akan Datang

Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan akan terpaksa membuat suatu perisytiharan yang akan memeranjatkan rakyat jelata di Kelantan dan mereka yang melihat PAS sebagai sebuah Parti Politik yang mampu mewakili kehendak semua kaum dan penganut berbilang agama.

Asyik – Amelina

Tuan Haji Anual Bakhri Haroon, bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan semenjak 1999 telah diarahkan menulis surat perletakkan jawatan oleh Menteri Besar YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 27 Disember 2009. Abe Aji Anual kemudian menyiapkan surat itu seperti diarahkan dan diserahkan kepada Tuan Guru MB.

Bila MB tengok di dalam surat itu tercatat notis 1 bulan, MB mengarahkan Abe Aji Anual membuat surat baru dan mengarahkan tarikh kuatkuasa perletakan jawatan adalah serta merta.

Abe Aji Anual akur dan mengundurkan diri seperti yang dikehendaki, Beberapa hari kemudian Setiausaha Sulit MB menalifon Abe Aji dan meminta Abe Aji hadir ke pejabat atas arahan Tuan Guru bagi menjalankan tugasan rasmi seolah dia masih lagi Setiausaha Politik. Dengan cara terhormat, Abe Aji menolak arahan tersebut kerana dia bukan lagi Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

Kata orang putih, Anual Bakhri diperlakukan seperti ‘a piece of meat’. Kenapa? Dan ikhlaskah Tuan Guru melakukan demikian kepada Anual Bakhri yang begitu setia dan sayang kepada Tuan Guru.

Saya sudah tahu hujung pangkal ceritanya dan siapa yang menekan Tuan Guru berbuat demikian. Mungkin penyanyi dangdut, oops maaf penulis blog bernama Nik Amalina boleh menggelekkan kita versinya dulu. Saya pasti rakyat Kelantan ingin juga tahu sama ada ini adalah satu lagi projek “Meja Bulat Pulau Melaka”.

Sementara itu, demi menghormati Abe Aji Anual Bakhri, seorang insan seni saya akhiri posting ini dengan ungkapan dari naskah, Matinya Seorang Pahlawan karya Seniman Negara Usman Awang.

“Buat Baik Berpada-pada… Buat Jahat, Jahat Sekali!”-

Sumber : Agendadaily

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.