Mahu kuota bumiputera kekal

RKIB : 18/07/2008

<!–         –>

KUALA LUMPUR 17 Julai – Ahli Parlimen mahu kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi bumiputera dikekalkan seperti dulu manakala bagi bukan bumiputera perlu dibuat melalui peruntukan baru.

Penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz bahawa kerajaan tidak akan menurunkan kuota biasiswa kurang daripada 50 peratus tidak dapat diterima kerana mereka berpendapat hak keistimewaan bumiputera perlu dipertahankan melalui Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Nazri juga menjelaskan pada masa ini kuota biasiswa JPA yang ditetapkan oleh kerajaan ialah 55 peratus untuk bumiputera dan 45 peratus bukan bumiputera.

Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) menegaskan, hak biasiswa orang Melayu walaupun diterjemah kepada apa sahaja bentuk tetap milik orang Melayu.

Katanya, beliau tidak kisah kerajaan hendak menolong kaum lain tetapi hak orang Melayu tetap hak mereka seperti terkandung di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipertahankan.

“Saya tidak dapat menerima penjelasan menteri. Apa yang saya tahu perkara itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, maka ia perlu dipertahankan serta dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah penggulungan Nazri terhadap Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan Pertama 2008 pada peringkat jawatankuasa hari ini.

JPA di dalam rang undang-undang ini menerima peruntukan tambahan RM91 juta bagi membiayai Program Penajaan Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 yang memperoleh keputusan cemerlang 9A dan ke atas.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) pula menyatakan, menurut laporan Unit Perancang Ekonomi (EPU) jumlah penduduk Malaysia sekarang ialah 66.1 peratus ialah bumiputera, 32.9 peratus bukan bumiputera dan satu peratus kaum-kaum lain.

Katanya, oleh itu kuota biasiswa JPA harus mengikut komposisi kaum iaitu 66 peratus bagi bumiputera, 33 peratus untuk bukan bumiputera dan satu peratus lagi untuk kaum lain.

“Pemberian biasiswa kepada pelajar anak orang kaya juga perlu dipertimbangkan semula kerana golongan itu mempunyai kemampuan untuk menghantar anak mereka ke luar negara bagi mendapat pendidikan di universiti-universiti terbaik dunia.

“Pemberian biasiswa ini perlulah disasarkan kepada pelajar luar bandar serta miskin yang mencapai kecemerlangan dalam pendidikan,” katanya.

Nazri bagaimanapun menegaskan kerajaan perlu memberi biasiswa kepada pelajar cemerlang daripada golongan kaya kerana mereka tidak boleh dihukum hanya disebabkan mereka kaya.

Katanya, apa yang kerajaan bimbangkan ialah Singapura menanti peluang untuk menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang daripada golongan kaya kerana melihat mereka sebagai aset penting dalam pembangunan modal insan.

“Di sini kita mempertikaikan mengapa pelajar yang cemerlang ini diberi biasiswa untuk belajar di universiti-universiti terkemuka dunia,” katanya.

Datuk Mukriz Tun Mahathir (BN- Jerlun) bangun memberitahu, beliau dan rakan-rakan yang terdiri daripada produk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan telah berjaya, berasa malu untuk memohon biasiswa JPA atau kerajaan kerana mampu untuk menanggung pendidikan anak masing-masing.

Oleh itu, katanya, adalah wajar biasiswa JPA itu dikhaskan kepada pelajar miskin dan luar bandar yang cemerlang.

Tindakan Nazri yang terus mempertahanakn kuota biasiswa JPA itu turut mencetuskan kemarahan ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak.

Datuk Dr. Makin @ Makcus Mojigoh (BN- Putatan) menegaskan, Nazri jangan sesekali mencetuskan kemarahan orang Sabah.

“Menteri perlu sedar masih ramai golongan bumiputera dari Sabah yang masih mundur dan miskin, jangan buat kami marah, kami masih memerlukan bantuan daripada kerajaan terutama bagi membantu pelajar miskin yang cemerlang dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Kenyataan Makin ini disokong Abit Joo (BN-Hulu Rajang) bahawa peratus pelajar cemerlang dari Sabah dan Sarawak dalam mendapat biasiswa JPA masih rendah.

Perkara ini dibuktikan oleh Datuk Siringan Gubat (BN-Ranau) yang menjelaskan, tahun ini jumlah biasiswa bumiputera ialah 2,000 tempat yang mana 1,100 kepada bumiputera dan 900 kepada bukan bumiputera.

Katanya, kuota untuk Sabah ialah 58 orang yang mana 36 bagi pelajar bumiputera dan 22 orang untuk bukan bumiputera.

“Jumlah ini masih kecil dan berharap pada masa akan datang ia akan ditambah,” katanya.

Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN- Pasir Salak) pula memberitahu, kerajaan selalu menegaskan tidak mahu menjadi popular tetapi dalam soal pemberian biasiswa ini didapati polisinya ialah untuk menjadi popular.

Sehubungan itu, Tajuddin menegaskan, beliau tidak mahu menyokong dasar kerajaan yang tidak mempertahankan dasar bumiputera.

“Jangan kita kompromi dalam soal pemberian biasiswa kepada pelajar bumiputera, saya sanggup keluar daripada BN sekiranya perkara ini dilaksanakan,” katanya.

One Response to “Mahu kuota bumiputera kekal”

  1. wajarkah kuota untuk pelajar lelaki dan perempuan masuk universiti?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: