‘Henti bincang isu jejas perkauman’

Oleh Azrina Ahzan dan Nor Azma Laila

PUTRAJAYA: Kerajaan meminta mana-mana pihak yang berhasrat mengadakan dialog atau perbincangan mengenai isu yang mampu mencetuskan isu perkauman dan agama supaya membatalkan hasrat mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata dialog atau perbincangan perlu dielakkan kerana ia boleh menimbulkan salah faham khususnya jika ia membabitkan isu agama dan kaum.

“Sebenarnya, dialog ini mempunyai kesan positif dan negatif, terutama jika ia menyentuh perkara yang boleh menimbulkan salah faham seperti kaum dan agama.

“Oleh itu, ia (dialog) perlu dielakkan, walaupun ada yang berpendapat ia hanyalah perkara kecil,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Majlis Peguam untuk menganjurkan forum membabitkan isu memeluk agama Islam di ibu pejabat majlis itu pada 9 Ogos ini. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Keluarga Malaysia, Majlis Peguam, Foo Yet Ngo dilaporkan berkata, cadangan forum itu timbul berikutan isu memeluk agama Islam menimbulkan pelbagai konflik sejak kebelakangan ini.

Antaranya, tindakan seseorang individu memeluk agama Islam tanpa pengetahuan keluarganya dan keputusan menukar agama oleh ibu atau bapa yang sudah memeluk Islam tanpa pengetahuan pasangannya.

Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan terhadap penganjur forum kerana ia diadakan di premis persendirian dan tertutup.

“Jika tidak ada unsur yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, sukar untuk kita mengambil tindakan. Lagipun kita tidak tahu perkara yang akan diperbincangkan, siapa yang terbabit dan hasil pertemuan. Namun, kita berharap mereka menggunakan kewarasan dan kebijaksanaan ketika berbincang,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Khairul Arifin Mohd Munir, berkata Majlis Peguam tidak sepatutnya menganjurkan forum berhubung Islam yang akan turut menyentuh Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan kerana ia boleh menimbulkan tanggapan negatif terhadap badan itu.

Katanya, tindakan itu tidak wajar kerana terlalu memihak kepada isu tertentu dan boleh menimbulkan salah tanggapan di kalangan masyarakat.

“Persoalan mengenai Islam terutama membabitkan bidang pengkhususan seperti memeluk Islam lebih sesuai dibincangkan secara tertutup di kalangan individu yang mempunyai kaitan dalam bidang berkaitan Islam,” katanya.

“Walaupun Abim mendokong prinsip kebebasan bersuara dan demokrasi, persoalan yang boleh membangkitkan sentimen agama dan kaum harus ditangani berhati-hati dan berhikmah,” katanya.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: