Setiap Rakyat Perlu Ada Patriotisme Daulat Bahasa Melayu

Sejak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Bahasa Melayu (BM) telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan itu dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Ia adalah hasil daripada syor yang dibuat oleh Majlis Undangan Persekutuan Tanah Melayu pada bulan Mac 1954 yang mencadangkan BM dijadikan bahasa kebangsaan bagi Tanah Melayu yang merdeka.

Kedudukan BM  sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja, manakala mereka yang mempersoalkan kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan boleh didakwa di bawah Akta Hasutan.

BM yang kemudiannya dikenali sebagai Bahasa Malaysia mempunyai peranan sebagai alat komunikasi yang bertujuan menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Penyatuan kaum melalui penggunaan bahasa kebangsaan ini diperkukuhkan lagi melalui Dasar Pendidikan Negara (DPN).

DPN menjadikan BM sebagai bahasa  pengantar di sekolah aliran kebangsaan dan ia diwartakan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Seksyen 17(1) akta terbabit adalah berkaitan kedudukan BM  sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara.

Di bawah Seksyen 17(2) pula menetapkan bagi institusi pendidikan yang bahasa pengantar utamanya bukan bahasa kebangsaan maka BM hendaklah diajar sebagai mata pelajaran wajib.

BM juga digunakan secara rasmi dalam pentadbiran dan acara-acara rasmi kerajaan. Ia juga  digunakan di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri. Namun, di peringkat mahkamah ia belum dimartabatkan sepenuhnya.

Walaupun Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1967 menetapkan BM sebagai bahasa yang terpakai dalam segala prosiding Mahkamah tetapi Mahkamah boleh memerintah prosiding itu boleh dijalankan bahasa Inggeris.

Dari segi dasar pengembangan bahasa kebangsaan, kerajaan sejak Jun 1956 telah menubuhkan institusi perancangan bahasa, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). DBP telah memainkan peranan yang cukup signifikan terhadap kemajuan dan pembangunan bahasa kebangsaan.

Namun, di mana silapnya bahasa kebangsaan masih menjadi isu sehingga kini.

Pelbagai kempen telah dibuat bagi memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan. Malah, sejak tahun 2009 kerajaan telah memperkenalkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BKK) untuk mendaulatkan penggunaan bahasa kebangsaan. Kerajaan juga pernah melaksanakan kempen Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta tetapi nampaknya kempen itu tidak meninggalkan kesan yang mendalam penggunaan bahasa kebangsaan di sektor swasta.

Sepatutnya setelah lebih 50 tahun merdeka, penggunaan bahasa kebangsaan menjadi semakin mantap dan bukan lagi menjadi isu yang memeningkan kita. Namun, apa yang berlaku ialah Bahasa Inggeris (BI) semakin diagungkan penggunaannya. Apakah kini semakin ramai rakyat  kita yang bersikap pesimis terhadap bahasa kebangsaan?

Jika, inilah perkembangannya maka kita bimbang usaha kita untuk menjadikan BM sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan kaum di negara ini akan terjejas. Kita tidak menafikan kewajaran menguasai BI kerana ia diperlukan untuk menghubungi dunia luar dan pemahaman ilmu baru.

Malah, wajar sekali rakyat digalakkan menguasai beberapa bahasa utama dunia  seperti bahasa Jepun, bahasa Korea, bahasa Mandrin dan bahasa Arab. Namun, elemen patriotisme terhadap bahasa kebangsaan sebagai ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ perlu tertanam kukuh dalam sanubari rakyat supaya penggunaannya terus dimartabatkan.

Menyalahkan kerajaan tidak serius dalam memartabatkan bahasa kebangsaan adalah satu tuduhan yang tidak berasas. Hakikatnya, kerajaan terus menunjukkan iltizam untuk memperkukuhkan kembali penggunaan bahasa kebangsaan.

Antara langkah-langkah konkrit yang diambil kerajaan untuk memartabatkan kembali kedudukan bahasa kebangsaan adalah seperti berikut:

• Pemansuhan sepenuhnya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2016 bagi sekolah rendah, dan 2021 bagi sekolah menengah. Ia akan diganti dengan dasar ‘Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris’  (MBMMBI). Dasar baru ini akan mengembalikan semula kemampuan bahasa Malaysia (BM) sebagai bahasa ilmu.

• Perkhidmatan Awam yang dilihat semakin tidak konsisten dalam penggunaan bahasa kebangsaan turut diarahkan menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan dalam apa jua urusan dan acara-acara rasmi. Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 berkaitan ’Langkah-Langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam’ menyebut Ketua-ketua Jabatan hendaklah:

  • memastikan semua pegawai dan kakitangan Kerajaan menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan betul dalam semua urusan rasmi (lisan mahupun tulisan);
  • mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan betul dari segi ejaan, sebutan, istilah dan tatabahasa;
  • menjalankan latihan dan menganjurkan aktiviti secara berterusan yang bertujuan meningkatkan kemahiran dalam bahasa kebangsaan di kalangan pegawai dan kakitangan;
  • memastikan pedoman bahasa kebangsaan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) digunakan oleh pegawai dan kakitangan; dan,
  • sentiasa mendapatkan khidmat nasihat DBP.
• Usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memartabatkan BM sebagai bahasa ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT) melalui empat strategi iaitu mengukuh BM dalam pengajaran  dan pembelajaran (P&P), mengukuh BM dalam penyelidikan dan penerbitan, meningkatkan pengiktirafan akademia BM dalam pelbagai disiplin ilmu dan meningkatkan pengantarabangsaan BM juga akan dapat mendaulatkan semula martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu.

• Cadangan DBP untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengaudit penggunaan bahasa Melayu dalam semua dokumen rasmi kerajaan adalah satu cadangan yang baik yang harus dipertimbangkan kerajaan.

Kesimpulan, usaha memartabatkan kembali bahasa kebangsaan memerlukan usaha yang berterusan.  Usaha ini tidak akan berjaya tanpa sokongan dan tindakan konkrit pelbagai pihak termasuk sektor swasta. Sikap dan pandangan positif kita terhadap bahasa kebangsaan serta penggunaannya melalui pertuturan dan tulisan secara yang betul dan tepat akan membantu  memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan.  – BH 27 Jun 2012

PENULIS ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: