KEADILAN SOSIAL MENYERLAH DALAM GAGASAN 1MALAYSIA

Akhir-akhir ini kecelaruan dalam menafsir Gasan 1 Malaysia di kalangan rakyat. Baru-baru ini sebuah NGO menggesa kerajaan mengurangkan 30 peratus equiti bumiputra dalam semua sektor ekonomi secara berperingkat-peringkat,malah . mendesak kerajaan bersikap liberal memperluaskan peluang pendidikan, kuota biasiswa dan perjawatan dalam sektor awam termasuk sektor perbadanan dan syarikat-syarikat kerajaan (GLC) kepada semua kaum berdasarkan dasar meritokrasi agar dasar kerajaan mencerminkan Gagasan 1 Malaysia yang dipelopori oleh kerajaan kepimpinan YAB Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Razak.
Orang Melayu merasakan mereka masih ketinggalan dalam bidang ekonomi berbanding dengan lain-lain kaum dan berharap kerajaan teruskan dasar afirmatif agar status ekonomi mereka dapat dipertingkatkan.
Disebaliknya, kaum bukan Melayu mempunyai pertimbangan yang berbeza dengan kaum Melayu. Kaum bukan Melayu mendakwa kaum bumiputra telah mencapai matlamat yang ditetapkan dalam Dasar Eknomi Baru. Pertimbangan yang berbeza-beza antara kaum terhadap status kemajuan kaum masing-masing telah menimbulkan konflik politik antara kaum.
Malah, ada yang mendakwa bahawa penerusan dasar-dasar afirmatif untuk membela dan melindungi kepentingan kaum bumiputra dilihat sebagau satu usaha yang bertentangan dengan Gagasan 1 Malaysia kerana Gagasan 1Malaysia kononnya menganjurkan konsep ‘kesamarataan” antara kaum.
Gagasan 1 Malaysia diumumkan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negera. Oleh itu, pemahaman terhadap Perlembagaan Persekutuan perlu diperjelas terutamanya daripada sudut sejarah supaya semua kaum memahami secara mendalam dan tidak lagi timbul persepsi bahawa membantu sesuatu kaum terutamnya Bumiputera dilihat sebagai perkauman atau menepikan kepentingan kaum bukan Bumiputera.
PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN (MALAYSIA)
Perlembagaan Malaysia atau umumnya dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan adalah satu dokumen undang-undang tertinggi di Malaysia dalam bentuk tertulis (grundnorm). Perkara-perkara yang terkandung dalam dokumen ini pula adalah disediakan berpandukan kepada unsur-unsur tradisi yang telah wujud sebelum merdeka serta dua dokumen iaiatu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan Tahun 1957. Perlembagaan Malaysia mengariskan peranan dan tanggungjawab rakyat dan kerajaan.
Dokumen ini mencerminkan kemufakatan pelbagai kaum mengenai-perkara-perkara yang berkepentingan kaum masing-masing dalam mencapai kemerdekaan, malah terus menjadi garis panduan pentadbiran kerajaan yang merdeka. Perlembagaan ini juga dikatakan mengandungi pelbagai perkara termasuk perkara kedudukan keistimewaan kaum bumiputra dan hak kepentingan kaum-kaum bukan bumiputra ,khasnya hak kewarganegaraan.
Perkara-perkara tersebut yang berkaitan dengan berkepentingan kaum masing-masing telah dibincang secara terbuka dengan semangat kemuafakatan oleh pelopor-pelopor kemerdekaan mewakili kaum-kaum utama (Melayu,Cina dan India dan lain-lain). Satu persetujuan telah dicapai antara kaum agar kepentingan kaum masing-masing terus mendapat jaminan, perlinduangan dan pembelaan daripada kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi. Persetujuan kemuafakatn antara kaum itu umumnya dikenali sebagai satu ikatan sosial dalam konteks sejarah Malaysia.
Berhubung dengan kemuafakatan antara kaum di Malaysia, Mavis Puthucheary, seorang penulis politik Malaysia menjelaskan bahawa “the main compromise worked out between the different communities and the basis on which the British government agreed to transfer political power was that the non-Malays would accept constitution in which Islam would be the state religion,the Malay language the sole official language after 1967,and the certain privileges given to the Malays during the colonial period would be continued. In return the citizenship laws would be relaxed in accordance with the principle of jus soli so that in future all those in the country would automatically become citizens.” [1]
Justeru, tidaklah keterlaluan sekirannya membuat kesimpulan bahawa Perlembagaan Malaysia adalah dibentuk berteraskan ikatan sosial antara kaum untuk menyubur tunas-tunas perpaduan dikalangan rakyat Malaysia, malah mengelakan konflik politik kerana wujudnya dikotomi perjuangan politik antara kaum.
MENGINGAT SEMULA SEJARAH MALAYSIA
Pada asalnya negara ini dikenli sebagai ‘Tanah Melayu’. Apabila empayar British meluaskan pengaruhnya di Asia untuk memenuhi kepentingan ekonomi mereka, Penjajah Inggeris menakluki pentadbiran Tanah Melayu secara beransur ansur sehinga Tanah Melayu dijadikan ‘Tanah Jajahan British’ atau ‘British Malaya’. Dalam usaha mengkayakan dana negara asal mereka, kaum Cina dan India di masukkan ke ‘British Malaya’ dari negara asalnya dibawah pelbagai undang-undang yang mereka cipta dalam pentadbirannya.
Penjajah Inggeris mengenalkan pelbagai dasar untuk mengkukuhkan pemerintahan mereka di British Malaya . Namun, Perang Dunia Ke 2 yang tercetus pada tahun 1941-45 an telah melihat tentera Jepun menguasai British Malaya untuk satu jangka waktu pendek. Kekalahan tentera British dan pemerintahan tentera Jepun di Tanah Melayu telah membangkitkan kesederan politik dikalangan kaum pribumi iaitu kaum Melayu untuk menuntut kemerdekaan. Dalam tahun 1946’ an, Tan Cheng Lock yang memimpin masyarakat Cina, dilaporkan menuntut pihak British menyediakan undang-undang agar rakyat Malaya menikmati hak ‘sama rata ’ iaitu kaum Cina, Melayu dan India diberikan hak dan status sama rata 2.
2.Tjoa Hock Guan,” The Social and Political Ideas of Tun Datuk Sir Tan Cheng Lock”, in Kernial Singh Sandhu and Paul Wheatley (eds), Melaka: The Transformation of a Malay Capital, 1400-1980 Singapore: Institute of Southeast Asian Studies/Oxford University Press, 1983, pp. 299-323.
Namun, Gagasan Malayan Union yang diperkenalkan oleh penjajah British pada 1 April 1946, selepas perang dunia kedua, telah mencetuskan semangat nasionalisme dikalangan kaum Melayu selaku anak pribumi untuk memprotes terhadap Malayan Union dalam mempertahankan hak politik dan ekonomi mereka.
Malayan Union memberi hak sama rata kepada semua yang menjadi warga negara Tanah Melayu tanpa mengira keturunan asal mereka, malah Raja-Raja Melayu hilang kuasa memerintah dalam negeri masing-masing. Kaum Melayu di bawah kepimpinan Dato’ Onn Jaffar menentang keras malah memprotes terhadap pengenalan Gagasan Malayan Union kerana Gagasan itu dilihat satu cabulan hak kaum Melayu dalam Negara asal usul moyang mereka malah menghapuskan kuasa institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi kebanggaan dan warisan mereka dalam negara ini.
Kemarahan dan kebangkitan semangat nasionalisme yang tercetus dikalangan kaum Melayu selaku anak pribumi telah mengugat kuasa penjajah Inggeris untuk meneruskan Gagasn Malayan Union yang mendapat sokongan hebat daripada penduduk bukan Melayu iaitu kaum Cina dan India. Akhirnya, Gagasan Malayan Union digugurkan dan digantikan dengan satu pentadbiran baru yang mendapat persetujuan dan sokongan kaum Melayu yang dikenali sebagai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1948.Pentadbiran kerajaan berdasarkan Perjanjian Pesekutuan Tanah Melayu dilihat sebagai satu usaha kearah kemerdekaan. Pihak penjajah Inggeris juga didapati menggalak membentuk parti-parti politik masing-masing kaum supaya mengambil alih pentadbiran kerajaan (self-rule).
Dalam pada itu, masyarakat Cina dan India melahirkan perasaan tidak puashati dengan syarat-syarat yang terkandung dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang dimeterikan pada tahun 1948. Malah, Tan Cheng Lock pada 7 Disember 1946 telah menubuhkan All Malayan Council for Joint Action (AMCJA) dengan kerjasama parti Malayan Democratic Union (MDU). MDU adalah sebuah parti politik yang disertai oleh pelbagai kaum. Pada tahun 1947, gabungan AMCJA kerjasama dengan Malay National Party (MNP) iaitu parti-parti politik yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin muda Melayu, seperti Musa Ahmad, Ahmad Boestamam, Aziz Ishak dan Dr Burhannuddin Al-Helmy, yang dianggap radikal pada ketika itu. untuk protes Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.Usia MNP pendek kerana disekat oleh penjajah Inggeris.
Namun, Tan Cheng Lock (MCA) dan Dato’ Onn Jaafar (UMNO) sedar perlunya meningkatkan kerjasama dan kemuafakatan antara kaum dalam membina sebauah negara yang aman,damai dan maju. Tan Cheng Lock juga menyedari kepentingan kerjasama dan kemuafakatan dengan Inggeris dan kaum Melayu dalam terus menjamin malah melindungi dan membela kepentingan kaum Cina di Malaya pada masa hadapan.3
3. K.G. Tregonning, ‘Tan Cheng Lock: A Malayan Nationalist”, Journal of Southeast Asian Studies, Vol.X No.1, March 1979, pp.25-76


Dato’ Onn Jaafar yang menyedari perubahan pemikiran politik ketika itu minta kaum Melayu lebih terbuka dalam pendekatannya mengurus politik Tanah Melayu. Malah menukar slogan UMNO daripada Hidup Melayu kepada Merdeka. 4
4. Joseph Fernando, “The Rebel in Onn Jaafar”, The Star, 18 June 2007


Pada tahun 1949, Sir Malcolm MacDonald (British Commissioner General for Southeast Asia) menubuhkan Badan Hubungan Kaum (Communities Liaison Committee (CLC) untuk mencari penyelesaian dan persetujuan mengenai dua perkara penting yang dijangka akan menimbulkan konflik antara kaum dalam negara ini di masa hadapan antara Melayu dan bukan Melayu (Cina) iaitu hak kewarganegaraan dan kedudukan istimewa kaum Melayu.
Dato’ Onn Jaafar bersetuju dengan dasar kewarganegaraan bagi bukan Melayu dan Tan Cheng Lock pula bersetuju dengan dasar kedudukan keistimewaan kaum Melayu. Malah, Dato’ Onn Jaafar mencadang UMNO buka keahliannya kepada bukan Melayu menjelang negara mencapai kemerdekaan. Cadangan Dato’ Onn Jaafar ditolak oleh sebahagian besar ahli UMNO dan Dato’ Onn Jaafar keluar UMNO dan menubuhkan parti Independence of Malaya Party (IMP) yang disertai oleh pelbagai kaum.
Pada ketika itu, dua bentuk kerjasama politik atau gabungan diwujudkan dikalangan penduduk Tanah Melayu. Yang pertamanya adalah parti politik Indpendence of Malaya Party (IMP), sebuah parti politik yang disertai oleh pelbagai kaum. IMP ditaja oleh pemimpin-pemimpin utama MCA dan MIC. Yang keduanya adalah penubuhan PERIKATAN , iaitu satu gabungan kerjasama antara parti-parti politik yang mewakili pelbagai kaum seperti United Malay National Organisation (UMNO), Malaysian Chinese Association (MCA) and Malaysian Indian Congress (MIC).
Namun, gabungan PERIKATAN yang mewakili parti-parti politik pelbagai kaum mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya umum yang pertama pada tahun 1955, malah menghilangkan IMP daripada landskap politik Malaya. Dengan itu, pemikiran parti politik ‘multi-racial’ terus lenyap dalam landskap politik Tanah Melayu. Parti PERIKATAN yang mendapat mandat besar daripada rakyat berbilang kaum diminta oleh penjajah British menyediakan rangka Perlembagaan Kemerdekaan.
Suruhanjaya Perlembagaan yang diketuai oleh Lord Reid telah ditubuhkan dan mengadakan perbincangan serta rundingan dengan pemimpin-pemimpin kaum yang mewakili pelbagai kaum. Memorundum-memorundum yang dikemukakan oleh pelbagai kumpulan politik dan pertubuhan yang mewakili kepentingan pelbagai kaum diteliti oleh Suruhanjaya Reid. Suruhanjaya Reid dan Pemimpin-pemimpin kaum dilaporkan menghadapi masalah dan tekanan dalam melayani segala tuntutan-tuntutan yang dikemukan oleh pelbagai kaum, terutamanya tuntutan –tuntutan yang berkaitan dengan kepentinagan sesuatu kaum tertentu .
Kumpulan pendesak yang mewakili kepentingan kaum Melayu mendesak penjajah Inggeris meneruskan dasar hak keistimewaan mereka kerana mereka masih tertinggal belakang dalam bidang ekonomi berbanding dengan kaum Cina.
Pada ketika itu, penjajah Inggeris melihat kaum Cina lebih mencondong kepada ideologi komunis yang berkembang pantas dan luas dari negara Cina. Manakala, kaum India pula lebih memfokuskan tumpuannya kepada perjuangan kemerdekaan negara asalnya, India, daripada Empayar British. Pergolakan dan pemikiran politik ini dijangka mempengaruhi pemikiran pihak penjajah dalam menyedia rangka Perlembagaan Kemerdekaan.
Namun, Suruhanjaya Reid meneliti dan menghalusi segala tuntututan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak dengan semangat muhibbah, kerjasama dan sikap tolak ansur, malah adil agar kepentingan semua kaum terus dilindungi dan dibela dalam negara yang bakal merdeka. Segala persetujuan kemuafakatan antara pelbagai kaum itu dimuatkan dalam Perlembagaan Kemerdekaan 1957,yang kini dikenali sebagai Perlembagaan Malaysia.
Suruhanjaya Reid gunapakai perkara-perkara penting yang terkandung dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 sebagai asas merangka Perlembagaan Persekutuan. Antara perkara-perkara yang dianggap penting malah dilihat sebagai tonggak Perlembagaan Kemerdekaan 1957 adalah perkara-perkara yang berkaitan dengan kedudukan keistimewaan kaum bumiputra dan hak kewarganegaraan dan kepentingan sah warga bukan bumiputra.
Segala usaha untuk mempastikan perkar-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan adalah disediakan untuk menjamin keadilan sosial kepada semua kaum. Namun, tafsiran dan penerimaan semangat perlembagaan yang dipelopori oleh pemimpin-pemimpin dan pejuang-pejuang kemerdekaan pelbagai kaum terdahulu itu masih belum dilestarikan malah memerlukan kefahaman, penghayatan malah pengkorbanan besar daripada semua pihak yang mencintakan perpaduan nasional.
TONGGAK PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Antara Perkara-Perkara yang dianggap tonggak Perlembagaan Malaysia adalah seperti berikut:
Perkara 3- Islam ialah agama rasmi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan .

Perkara 11- (4)- Undang-undang negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan ,undang-undang Pwersekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.

Perkara 152- Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan dan tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain untuk maksud rasmi) atau belajar apa-apa bahasa lain.

Perkara 153- Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, biasiswa dan sebagainya bagi orang Melayu dan bumiputera Sabah serta Sarawak.Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak di samping kepentingan sah bagi kaum-kaum lain.

Perkara 89- Mana-mana tanah di sesuatu negeri yang merupakan tanah rizab Melayu sebelum merdeka akan terus dikekalkan statusnya.

Perkara 153-Perezapan quota mengenai perkhidmatan,permit dsb.untuk orang Melayu.(1) Adalah menjadi tanggungjawab Yang di Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputra mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.
PINDAAN KEPADA PERLEMBAGAAN MALAYSIA
Pindaan kepada Perlembagaan Malaysia boleh dilakukan 5. Perkara 159 (3) membenarkan pindaan kepada Perlembagaan Malaysia. Namun, pindaan beberapa perkara-perkara penting dalam Perlembagaan Malaysia adalah tidak mudah seperti dijangkakan. Menurut 159-(3), sesuatu rang undang-undang bagi membuat pindaan kepada Perlembagaan boleh diluluskan dalam mana-mana Majlis Parlimen dengan undi sebanyak tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu.
5.Shad Saleem Faruqi, ‘Document of Destiny-The Constitution of the Federation of Malaysia’, Star Publications (Malaysia) Berhad, 2008.

Perkara 159 (5) pula menetapkan bahawa sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Perkara 10 (4), undang-undang yang diluluskan dibawahnya, Peruntukan Bahagian 3, Perkara 38, 63 (4),70,71, (1) 72, (4) ,152, atau 153 atau kepada Fasal I ini tidak boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis-Raja-Raja.
KESIMPULAN
Justeru, rakyat Malayasia harus elak mempertikaikan hal-hal berkaitan dengan kedudukan keistimewaan kaum bumiputra dan hal-hal yang berkepentingan sah kaum bukan Melayu seperti kewarganegaraan agar dikotomi persepsi terhadap kepentingan antara pelbagai kaum dapat diuruskan dengan hemah dan bijak oleh kerajaan dalam usaha menyuburkan semangat 1 Malaysia. Perlembagaan Persekutuan tidak memajukan konsep satu ras atau kaum lebih tinggi atau ‘superior’ daripada lain-lain kaum seperti didakwa oleh setengah-tengah pihak yang tidak bertanggungjawap. Tidak wujud kaum kelas ‘satu’ atau dua (second class) dikalangan rakyat Malaysia.Malah, Gagasan 1 Malaysia menekankan pendekatan keadilan sosial yang menyerlah dalam keseluruhan Perlembagaan Persekutuan.Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan ideologi politik hendaklah berusaha melestarikan Perlembagaan Persekutuan agar rakyat dapat hidup aman,sejahtera dan maju.

[1] Mavis Puthucheary, ‘Indian Communities in Southeast Asia’, Institute of Southeast Asian Studies, Singapore, 1993, m.s.348

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: