UMNO elak ‘terhegeh-hegeh’

 
 

ImageSELAMA ini apabila Pas bercakap ingin mengadakan rundingan dengan UMNO berhubung perpaduan orang Melayu, UMNO sentiasa bersikap terbuka. Pemimpin-pemimpin UMNO sentiasa menyambutnya dengan ikhlas kerana yakin dalam apa keadaan sekalipun, termasuklah berbeza fahaman politik, penyatuan di kalangan orang Melayu harus diusahakan.

Tidak apa kalau harus ‘bertempur’ pada pilihan raya bagi merebut kerusi tetapi ia tidak akan sampai sehingga berpecah-belah. Dalam keadaan apa sekalipun, umat Islam itu bersaudara. Oleh itu, titik persamaan antara mereka harus dicari.

Atas sebab itulah apabila Pas melalui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan cadangan kerajaan perpaduan, UMNO bersedia menimbangkannya. Bagaimanapun, hasrat itu akhirnya terkubur berikutan penentangan kuat oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan beberapa pemimpin lain parti tersebut.

Dalam perkembangan terbaru, Nik Abdul Aziz sekali lagi menunjukkan penentangan terhadap usaha untuk bekerjasama dengan UMNO apabila melafazkan perkataan: “Pergi jahanamlah UMNO”.

Perkataan itu tidak sepatutnya keluar dari mulut seseorang bertaraf ulama dan tok guru. Namun ia dilafazkan oleh Nik Abdul Aziz ketika diminta mengulas kenyataan untuk menamatkan persengketaan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Kelantan.

Adalah jelas Nik Abdul Aziz tidak mahu berdamai dengan UMNO. Bagi beliau, adalah lebih baik jika Pas bersaudara dengan DAP – yang menentang penubuhan negara Islam – berbanding berunding dengan UMNO mengenai kepentingan orang Melayu.

Kenyataan terbaru Nik Abdul Aziz itu sudah menampakkan dengan jelas bahawa tiada gunanya lagi hasrat UMNO menjalin apa juga hubungan dengan Pas.

Berdasarkan hakikat itu juga, Majlis Tertinggi UMNO yang akan bermesyuarat pada 31 Julai ini diharapkan tidak akan bersikap “hemoi” dengan membincangkan langkah susulan mengenai kerjasama dengan parti yang menguar-uarkan perjuangan Islam tersebut. Pemimpin-pemimpin UMNO perlu sedar bahawa perkataan “pergi jahanamlah UMNO” merupakan satu penghinaan kepada parti itu.

Walaupun UMNO harus terus mengamalkan sikap terbuka untuk berunding dengan Pas tetapi mereka tidak perlu menaruh harapan tinggi kerana selagi ada pemimpin seperti Nik Abdul Aziz, selagi itulah sebarang kerjasama antara kedua-dua parti itu tidak dapat diwujudkan.

Oleh itu, biarlah Nik Abdul Aziz dan Pas membawa haluan mereka. Walaupun kita tahu ada sesetengah pemimpin dan ahli Pas tidak bersetuju dengan pendirian Nik Abdul Aziz itu, namun UMNO tidak perlu lagi terhegeh-hegeh hendak berdamai dengan Pas. Parti itu jelas tidak konsisten dalam soal tersebut.

Kalaupun ada pemimpin Pas yang tidak bersetuju dan masih berhasrat untuk berdamai dengan UMNO demi kepentingan orang Melayu, mereka “tidak akan berupaya melakukan apa-apa”. Mereka pasti akan menerima pelbagai tekanan dari dalam parti itu sendiri. Contohnya ketika isu kerajaan perpaduan dahulu.

Mereka yang jujur dan ikhlas ingin melihat pemimpin Melayu bersatu, akan dilabel sebagai boneka UMNO. Bayangkanlah mereka sanggup memaki-hamun sesama sendiri, apa lagi terhadap pemimpin UMNO.

Keengganan untuk bekerjasama dengan UMNO, mungkin berlaku disebabkan Nik Abdul Aziz dan beberapa pemimpin Pas sudah merasakan diri mereka kuat dan lebih rela bekerjasama dengan DAP yang menentang penubuhan negara Islam.

Oleh itu, UMNO tidak perlu lagi melayan kerenah Nik Abdul Aziz. Apa yang lebih penting sekarang ialah memperkukuhkan kedudukan parti dan berusaha meraih sokongan orang Melayu. Bagaimanapun UMNO tidak harus berundur daripada hasrat untuk menyatukan Melayu biarpun ada pemimpin Pas menentangnya.

Penyatuan Melayu tidak harus dilihat dalam konteks UMNO dan Pas sahaja. Sebaliknya ia boleh dilakukan jika semua orang Melayu berdiri dalam satu barisan apabila ada perkara-perkara yang memerlukan mereka berbuat demikian.

Percayalah banyak lagi kelompok Melayu yang tidak berparti yang mahu melihat Melayu bersatu. Malah ramai di kalangan ahli Pas sendiri ingin melihat ia menjadi realiti.

Kalau ada pemimpin Pas yang terus mengamalkan sikap angkuh dan tidak mahu berunding, maka UMNO juga berhak untuk tidak berunding dengan mereka.

Sesetengah pemimpin Pas menganggap UMNO sebagai musuh nyata. Mereka juga yakin mampu menggantikan UMNO. Sebab itulah mereka tidak mahu bercakap langsung soal kerjasama dengan UMNO.

Kita tidak pasti sama ada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membenarkan Pas menjadi parti dominan dalam pakatan mereka. Jadi kita mengharapkan Pas “tidak bermimpi di siang hari”.

UMNO sehingga kini masih dianggap parti induk terbesar orang Melayu. Tanpa UMNO, nasib orang Melayu entah ke mana. Oleh itu UMNO perlu membuktikan bahawa ia adalah sebuah parti yang unggul dan tidak perlu mengemis kepada sesiapa. Biarlah rakyat terutamanya orang Melayu menilai sikap Pas dan Nik Abdul Aziz.

Seperkara lagi, tidak perlulah kerajaan pusat yang ditunjangi oleh UMNO melayani kehendak kerajaan Kelantan di bawah Nik Abdul Aziz. Ketika kempen di Manek Urai, ada di kalangan pemimpin Pas Kelantan menganggap sebagai “rasuah politik” apabila BN bercakap soal pembangunan.

Oleh itu, apakah jaminannya bahawa tuduhan yang sama tidak akan dilemparkan jika pusat terus komited membangunkan Kelantan? Tidakkah mungkin apabila pilihan raya nanti, ada pemimpin Pas akan memberi ‘nasihat’ kepada rakyat Kelantan supaya jangan termakan dengan “umpan pembangunan” kerajaan pusat?

Alang-alang sudah dituduh macam-macam adalah lebih baik kalau BN dan UMNO mengekalkan sikap sekarang. Selama ini pun Pas begitu yakin bahawa tanpa sebarang projek pembangunan oleh pusat, mereka mampu terus menguasai Kelantan sejak 1990.

Lagi pula bukankah Nik Abdul Aziz mempunyai penyokong yang ramai? Oleh itu biarlah mereka ini sahaja menghulurkan ‘derma jihad’ bagi membantu kerajaan negeri.

Langkah ini bukanlah bertujuan menjahanamkan Kelantan tetapi untuk memberi pengertian kepada sesetengah pemimpin Pas terutamanya Nik Abdul Aziz. Mereka perlu “tahu berbahasa apabila orang sudah berbudi”.

Adakah munasabah kita meminta pertolongan orang tetapi pada masa yang sama, kita mengumpat keji orang berkenaan?

Saya rasa sudah sampai masanya untuk UMNO ‘menutup buku’ buat seketika dalam soal rundingan atau kerjasama dengan Pas.

Kalaulah Pas – dibaca sebagai Nik Abdul Aziz- merasakan parti itu terlalu hebat, maka biarlah begitu. Biarlah mereka lupakan jasa UMNO kepada mereka sebelum ini.

Buktinya, penulis paparkan semula memo seorang pemimpin kanan Pas, Abu Bakar Hamzah kepada pucuk pimpinan parti itu bertarikh 16 April 1985.

Allahyarham Abu Bakar menulis: “Pada masa berada di dalam BN pada 1974-1977, ramai orang Pas, terutama mereka yang bertuah mendapat pangkat, gelaran dan nikmat serta pelbagai kemudahan hidup, memuji-muji ketua-ketua UMNO.

Akan tetapi apabila Pas keluar daripada BN, mereka mula memaki-hamun dan dengan tidak silu-silu berpura-pura lupa seperti kacang lupakan kulit.

“Sikap pemimpin Pas itu adalah sikap orang yang tidak mengenang budi serta orang yang berbudi rendah dan (sikap itu) tidak layak bagi orang yang mengaku sebagai ulama yang memimpin ummah Islamiah.”

Kepada Nik Abdul Aziz dan sesetengah pemimpin Pas yang menentang kerjasama dengan UMNO, ingatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Jangan kamu memutus hubungan, belakang membelakangi, benci membenci. Jangan menghasut sesama Islam. Jadilah kamu hamba Allah yang bersifat persaudaraan. Tidak dihalalkan bagi seseorang Muslim itu memboikot sesama Muslim selama tiga hari. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) – Zulkiflee Bakar

 

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PENAPIS AIR CUKCOO

CUCKOO - PENAPIS AIR MINERAL BERALKALI RINGAN

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.