Muqabalah: Helah Atau Demi Perpaduan Ummah?

HARAKAHDAILY, pada hari Ahad, 27 Julai melaporkan Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai mempelawa ahli serta penyokong Umno menyertai PAS bagi memastikan Islam dan nasib orang Melayu lebih terbela.

Akhbar Internet Pas itu memetik Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan sebagai berkata bahawa muqabalah di antara pemimpin PAS dan Umno boleh diadakan bagi mencari kaedah satu parti sahaja bagi orang Islam dan Melayu di negara ini.

“Ini kerana PAS telah lama berjuang di atas landasan Islam. Saya pun tak faham mengapa orang Umno tidak mahu menyertai PAS, apa yang tidak kena bagi Umno terhadap PAS.

“Sedangkan kita terima hakikat bahawa Islam mesti diutamakan,” katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS Kelantan di Markas Dewan Ulama (Madu) di Machang.

(Muqabalah diistilahkan sebagai perbincangan/soal jawab/wawancara/pertemuan.)

Dalam permainan catur, kenyataan Tok Guru Nik Aziz itu disebut “checkmate” iaitu menyekat atau mematikan pergerakan Presiden Umno Abdullah Ahmad Badawi.

Seandainya tujuan Abdullah menghebahkan pertemuannya dengan Pas itu untuk mendapat perbatuan politik (political milage) maka matlamat beliau mungkin tidak tercapai. Sebaliknya ia telah mencetuskan keresahan di dalam Umno dan di kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional.

Pada hemat saya, antara matlamat utama Abdullah mendedahkan pertemuannya sebanyak tiga kali dengan Pas adalah:

1. Percubaan menenangkan perasaan ahli dan penyokong Umno yang berasa hak dan keistimewaan orang Melayu sebagai bangsa induk semakin dipertikaikan dan Abdullah tidak melakukan apa-apa;

2. Cara tidak langsung memberi amaran kepada orang bukan Bumiputera mengenai bahaya mengancam atau mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu/Bumiputera;

3. Bukti bahawa dia masih berkuasa dan mampu berunding dengan sebuah parti lawan yang kuat; dan

4. Untuk memecahbelahkan gagasan Pakatan Rakyat dengan menimbulkan syak wasangka di kalangan mereka.

Malangnya, ketidakmampuan Abdullah berartikulasi dan sikap media massa arus perdana yang tidak kritikal, seperti biasa, menyebabkan kenyataan itu menjadi bahan pertikaian dan gurauan.

Sepatutnya dia menjawab pertanyaan media secara rasional dan meyakinkan, sebaliknya Abdullah membalas: “Tidak perlu bagi saya memberi butir kerana akhirnya kamu semua akan membuat bermacam-macam spekulasi.”

(Akhbar The Sun, 20 Julai — “There’s no need for me to give you the details because you will end up speculating all kinds of things.”)

Mungkin bukan tujuan Abdullah menggabungkan Umno dan Pas, tetapi tawaran Nik Aziz untuk membubarkan Pas dan bergabung dengan Umno bagi menubuhkan sebuah parti Islam yang besar adalah perang psikologi yang mantap.

Dengan merujuk kepada Islam sebagai landasan bagi menyatupadukan umat Islam, Nik Aziz mengepung Abdullah ke satu penjuru yang sukar baginya untuk melepaskan diri.

Adakah Abdullah dan penyokong-penyokong fanatiknya sanggup membubarkan Umno dan menghumbankan ideologi nasionalisme untuk bergabung dengan Pas dalam sebuah parti Islam yang besar?

Pendukung, ahli dan penyokong Pas tidak akan rugi apa-apa dengan membubarkan parti itu dan bergabung dengan Umno untuk menubuhkan sebuah parti Islam universal kerana ideologi dan perjuangan Islam mendapat anjakan besar.

Seperti biasa, bergegaslah pengikut Abdullah yang setia memberi pelbagai interpretasi dalam usaha mempertahankan ketua mereka dan menjaga periuk nasi.

Mufti pseudo Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang suatu waktu dulu pengikut fanatik Anwar Ibrahim, misalnya mendakwa pendekatan muqabalah itu tidak semestinya membabitkan penyatuan Umno dan Pas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dilaporkan berkata bahawa konsep muqabalah tidak semestinya menjadi landasan bagi kedua-dua parti untuk membincangkan penggabungan tetapi lebih berupa kaedah membincangkan masalah yang dihadapi negara.

“Apa yang penting muqabalah itu nanti bukan bermakna Pas masuk UMNO atau UMNO masuk Pas. Tidak semestinya kita tidur sebantal mimpi sama, jika bersatu pun masih berlaku perbezaan pendapat, lebih baik lupakan saja,” katanya.

Bagi Pas, ia tidak rugi apa-apa dengan bertemu Abdullah. Pertamanya ia bertemu Perdana Menteri dalam kedudukan yang kuat setelah mengalahkan BN di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang – negeri Abdullah – Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

(Gabungan Pas/PKR memperoleh 34.8 peratus undi popular berbanding 35.5 oleh Umno. Dengan bantuan DAP, gabungan Pakatan Rakyat memperoleh 51 peratus undi popular di Semenanjung.)

Melalui pertemuan itu, Pas boleh merisik banyak rahsia daripada Perdana Menteri. Abdullah tidak terkenal sebagai seorang yang pintar menggunakan maklumat atau berhati-hati menyimpan rahsia.

Pas juga boleh menggunakan pertemuan seperti itu untuk mendalami dan mengukur pemikiran serta keadaan minda (state of mind) Perdana Menteri.

Secara peribadi saya tidak menjangka pertemuan itu akan membawa sebarang hasil konkrit. Ia sekadar ulang tayang cerita lama dengan “promo” baru.

Sebagai Perdana Menteri, Abdullah bebas bertemu dan bermuqabalah dengan sesiapa sahaja. Itu adalah hak dan budi bicara seorang Perdana Menteri. Tetapi sebagai Presiden Umno, beliau terikat dengan hasrat dan pendirian parti.

Saya rasa tidak ramai pembesar dan ahli Umno yang faham, yakin dan gembira dengan langkah Abdullah itu kerana daripada aspek psikologi dan perang saraf, kemenangan nampaknya memihak kepada Pas.

Penggunaan istilah dan bahasa berkod seperti muqabalah dan muzakarah sahaja sudah cukup untuk memberi gambaran bahawa Pas mempelopori penetapan agenda dan pembentukan pendapat umum.

Ini adalah khazanah bahasa – lazimnya bahasa Arab – yang sering digunakan oleh Pas sebagai senjata melemah dan melembutkan hati orang Melayu yang taasub dengan istilah-istilah yang eksotik yang mereka sendiri tidak fahami.

Pas pastinya tidak mahu mengulangi sejarah disingkir daripada BN seperti yang dilakukan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn pada tahun 1977. Sebarang pakatan dengan Umno dan BN pastinya dengan syarat yang ketat dan daripada kedudukan yang kuat.

Lagipun, kalau Abdullah dengan bantuan kabinetnya gagal menamatkan “pemberontakan Mercedes” oleh kerajaan “renegade” Ahmad Said di Terangganu, apakah harapan dia melakukan “checkmate” terhadap Pas melalui muqabalah dengan tokoh-tokoh parti itu?

Anekdot: Bekas Ketua Pemuda PKR dan “returnee” terbaru Umno, Ezam Mohd Nor, dilaporkan bersedia mencabar bekas mentornya, Anwar, dalam pilihan raya kecil jika dicalonkan. Bagaimanapun, dia mengaku bahawa harapannya menang adalah tipis memandangkan faktor politik dan ekonomi semasa.

posted by A KADIR JASIN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: