Pas ingatkan Pakatan Rakyat

Oleh Shamsul Kamal Amarudin dan Nazura Ngah
bhnews@bharian.com.my

IPOH: Dewan Pemuda Pas akan bersikap tegas terhadap mana-mana kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang mengambil sikap enteng atau mudah terhadap peranan Islam dalam pentadbirannya, kata Ketuanya, Salahuddin Ayub.

Malah, beliau berkata, Pemuda Pas mahu kepimpinan di negeri PR memperjuangkan hak, nilai dan prinsip Islam yang termaktub dalam undang-undang tubuh di negeri masing-masing.

Katanya, pergerakan itu akan menjalankan ‘check and balance’ terhadap lima kerajaan negeri yang diperintah PR ke arah mewujudkan urus tadbir kerajaan yang baik.

“Kita bersedia untuk menegur secara diplomatik dan kita juga sanggup untuk mengambil pendekatan konfrontasi jika teguran-teguran kita tidak dilayan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Dewan Pemuda Pas Selangor kerana berani menegur beberapa kepincangan kerajaan negeri baik soal hukum agama mahupun soal ketelusan pentadbiran,” katanya dalam ucap utama Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Pusat Ke-49 di Stadium Indera Mulia di sini, malam tadi.

Muktamar Dewan Pemuda Pas itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Salahuddin berkata, pergerakan itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memperalatkan istilah Islam seperti siyasah syariyyah, maqasid al-syariah, fiqh al-awlawiyyat, fiqh at-taghyir dan fiqh al-waqi untuk mencapai maksud politik yang tidak diredhai Allah serta menolak pendekatan `Machiavelism’ yang berasaskan doktrin matlamat menghalalkan cara dalam pentadbiran kerajaan PR.

Selaras itu, katanya, Dewan Pemuda Pas akan mengadakan Seminar Pendekatan Siyasah Syariyyah selepas muktamar ini untuk mewujudkan panduan urus tadbir di negeri yang dikuasai PR ke arah ‘baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’.

Beliau berkata, pergerakan itu juga mengesyorkan kepada pimpinan tertinggi Pas supaya meningkatkan sistem kawalan pusat-pinggir ke atas Badan Perhubungan Pas negeri yang diperintah parti berkenaan.

Salahuddin berkata, pihaknya tidak mahu pimpinan negeri diberikan kebebasan penuh atau autonomi dalam menentukan dasar pentadbiran sehingga pimpinan keputusan Pas Pusat tidak dihormati oleh kerajaan negeri terbabit.

“Jika keadaan ini berlaku, ia bukan hanya memberi kesan buruk dalam penyelarasan keputusan tetapi mungkin boleh menjejas keberkesanan jentera Pas keselu-ruhannya,” katanya.

Salahuddin berkata, Dewan Pemuda Pas sedia terima apa saja usaha dengan mana-mana pihak untuk kebaikan agama, bangsa dan negara, tetapi tidak akan bertolak ansur sekiranya ia bertujuan untuk mewujudkan kerjasama politik atau perkongsian kuasa antara Pas dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PENAPIS AIR CUKCOO

CUCKOO - PENAPIS AIR MINERAL BERALKALI RINGAN

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.