Elak ketuanan Melayu terhakis

ImageSELEPAS Raja Nazrin,Raja Muda Perak melahirkan kebimbangannya kepada perkembangan politik semasa yang tindak tanduknya bakal mengheret ketuanan Melayu dan Institusi raja-raja ke ambang kemusnahan akibat tamak, rakus dan angkuh kepimpinan dan juga mereka yang bakal memimpin, kini seorang lagi kerabat diraja iaitu Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Mohamad Faris Petra melontarkan kebimbangan serupa yang melihat betapa longgarnya semangat pemimpin yang ada hari ini untuk mempertahankan ketuanan Melayu.

Baginda bertitah, perpaduan Melayu wajar diberi keutamaan tinggi, lebih-lebih lagi dengan keputusan pilihan raya umum yang lepas menunjukkan masyarakat Melayu berpecah-belah dan sedang berhadapan dengan kaum lain yang lebih dominan daripada segi politik serta ekonomi.

“Tindak-tanduk dan kerenah mereka yang menang dan kalah memberi petunjuk bahawa kedaulatan dan ketuanan Melayu semakin tercabar dan mungkin juga akan terhakis atau hilang terus.

“Rakyat Melayu semakin keliru. Di manakah benteng kekuatan Melayu untuk mempertahankan hak-hak Melayu dan ketuanan Melayu,” titah baginda ketika merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu Sempena Maulidur Rasul 1429 Hijrah anjuran Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.

Baginda menegaskan perkara utama yang harus diketahui dan difahami semua orang ialah peruntukan Perlembagaan bahawa orang Melayu adalah penduduk asal Negeri-Negeri Melayu yang dijamin hak istimewa sebagai rakyat Malaysia.“Perkara 153(1), Perkara 160(2), Perkara 3(1), Perkara 152, Perkara 32 dan Perkara 38(1), Jadual Kelima, berkaitan hak dan ketuanan Melayu mesti dipertahankan iaitu agama Islam adalah agama rasmi Malaysia, Bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan negara Malaysia dan Raja-Raja Melayu adalah Raja Berperlembagaan di Negeri-Negeri yang menjadi sebahagian daripada Malaysia. “Institusi Raja-Raja Melayulah yang menjadi payungnya,” titah baginda.

Baginda menegaskan bahawa perkara-perkara ini bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi juga dijadikan tiang seri atau tonggak kepada kelangsungan ketuanan Melayu.

“Adalah menjadi tanggungjawab rakyat Melayu memastikan perkara-perkara yang beta sebut tadi dipelihara dan dipertahankan sepanjang masa. Jangan ada mana-mana pihak yang menggugatnya. “Orang Melayu perlulah membulatkan tekad bersatu, jangan berpecah-belah, elakkan berpolemik yang boleh menjarakkan persefahaman sesama sendiri,” titah baginda.

Tengku Muhammad Faris bertitah isu-isu ideologi, tafsiran pendapat yang pelbagai tidak menyumbang kepada perpaduan Melayu.

Titah baginda polemik negara Islam, negara sekular serta negara berkebajikan, menjadikan rakyat menjadi semakin kabur pemikiran mereka. Akibat daripada kekalutan ini, titah baginda, timbul satu senario di mana orang Melayu semakin terasing, menjarak dan menjauh.

“Beta amat sedih kerana dalam keadaan sekarang, tidak ada yang baik dikaitkan dengan Melayu. Kita membiarkan diri kita didedahkan, diaibkan dan dimalukan malah nampaknya menjadi satu kebanggaan sekiranya kita dapat menunjukkan kelemahan bangsa sendiri.

“Siapa sahaja yang berjaya, mesti dicari cacat celanya, tidak cukup dengan Internet, ditambah dengan khidmat pesanan ringkas.

Teori propaganda menyebut sepuluh kebohongan akan menjadi kebenaran, teori komunikasi moden pula menyebut bahawa setiap e-mail dianggap benar, setiap SMS dianggap sahih,” titah baginda.

Tengku Mahkota juga kesal orang Melayu seolah-olah dianggap menjadi punca segala penyakit masyarakat seperti korupsi, dadah dan sebagainya. “Orang lain diam menyembunyikan keaiban bangsa mereka, kita yang beragama Islam, menjadikan kerja mengaibkan bangsa sendiri sebagai hobi pertama,” titah baginda.

Menurut Tengku Mahkota, baginda membangkitkan perkara itu semata-mata untuk menunjukkan bahawa perpaduan umat Melayu amat rapuh dan semakin hari semakin parah. “Beta berharap perhimpunan pada pagi ini memikirkan bagaimana hendak menjadikan Melayu sebagai bangsa berjiwa besar. Kita mesti ada jiwa penakluk. Tetapi bolehkah kita menjadi bangsa yang berjiwa penakluk dengan sikap dan pendirian yang kita pegang hari ini,” titah baginda.

Baginda bertitah berjiwa penakluk bukan bermaksud menakluki bangsa atau kaum lain tetapi menakluki ketinggian ilmu, menguasai ekonomi dan teknologi, keunggulan tamadun, keluhuran iman dan takwa yang mampu menakluki serta menewaskan nafsu buas, rasa iri hati dan hasad dengki yang membuatkan kita lupa diri apabila berkuasa.

“Beta ingin menyatakan bahawa perpaduan, kesepakatan, patriotisme, sayangkan bangsa, semuanya disatukan dalam satu ikatan perpaduan untuk mengangkasa martabat bangsa.

“Beta berharap mesej yang beta sampaikan ini akan mengusik “conscience” atau fikrah kita semua untuk sama-sama menginsafi bahawa imej dan maruah yang tercalar adalah menjadi tanggungjawab semua, tidak kira kedudukan, ideologi politik, bangsawan atau rakyat biasa sama-sama bertanggungjawab memperbaikinya,” titah baginda.

Tengku Mahkota bertitah mungkin ramai yang tidak senang dengan kenyataan baginda tetapi itu adalah hakikat kerana demi kuasa, ada pemimpin Melayu yang sanggup mengetepikan kepentingan bangsa sendiri sedangkan pemimpin kaum lain sanggup bersatu biarpun berbeza fahaman demi mempertahankan hak mereka.

“Malangnya, beta dapati rakyat Melayu masih mengamalkan sikap marahkan nyamuk, kelambu dibakar atau marahkan pemimpin, masa depan anak cucu digadaikan.

“Yang menyedihkan ada pula paling taksub hendakkan kuasa hinggakan membujur lalu, melintang patah, asal dapat kuasa yang menjadi matlamat terakhir, sehingga sanggup menang sorak, kampung tergadai,” titah baginda

.Baginda juga bertitah, selagi sikap ini tidak dikikis, selagi itulah usaha untuk menyatukan Melayu hanya menjadi impian semata-mata. “Beta berpendapat perhimpunan hari ini harus memikirkan dengan semasak-masak sampai bila orang kita, Melayu harus bertelagah dan tidak mahu bersatu serta berfikir secara matang.

“Sebenarnya pada pandangan beta, orang Melayu kini tidak mampu lagi ditiup dengan slogan dan retorik. Peserta-peserta perhimpunan hendaklah mempunyai niat untuk menyatupadukan Melayu secara jujur dan ikhlas tanpa mempunyai apa-apa agenda tersembunyi termasuk untuk menaikkan atau menjatuhkan mana-mana pemimpin,” titah baginda.

Inilah yang di saran oleh baginda. Dengan titah itu maka perlulah kita fikir masa depan orang Melayu dalam keadaan yang digambarkan oleh baginda.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: