WARKAH UNTUK PERMATANG PAUH

malaysiahariini
Tuesday, 19 August 2008

ImageKITA TERPAKSA melakukan tanggungjawab kita dalam memilih wakil yang akan menjadi suara representasi kita dari Permatang Pauh. Dalam memilih kita perlu berasa tanggungjawab dalam merealisasikan khususnya untuk memartabatkan bangsa kita dan agama kita.

Permatang Pauh akan menjadi petunjuk penting kerana ini bukan sahaja pertentangan politik tetapi ini adalah petunjuk penting bagi kedua-dua institusi politik, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Permatang Pauh adalah petunjuk dan Permatang Pauh juga akan menyaksikan kedudukan mutakhir siapa yang sedang mendahului dalam sokongan politik.

Namun rakyat Permatang Pauh khususnya Melayu perlu sedar mengenai bentuk perjuangan dan idealisme yang dibawa oleh kedua-dua wadah politik ini. Kita perlu sedar siapa yang menjadi tunggak membela bangsa dan agama dan siapa yang sebenarnya mengutamakan matlamat untuk menjadi pihak yang berkuasa tanpa mengira cara mana sekali pun.

Kita perlu terima dan menilai hakikat sebenar bahawa yang perlu kita selamatkan adalah bangsa kita yang semakin hari semakin tersisih adanya kerana kita sesama kita sering bertelagah. Namun dalam apa keadaan sekali pun – biar kelihatan lemah dan tidak mempunyai peluang UMNO – tetap akan memperjuangkan Melayu dan UMNO tidak akan menggadaikan hak Melayu untuk semata-mata mendapatkan undi kaum lain.

Memang benar untuk meraih undi tidak sukar. UMNO sedar – berikan kaum lain apa yang mahu dipinta maka undi akan terus dapat kita genggam. Jual hak kita – lepaskan hak kita maka undi bangsa lain akan padu kepada kita tetapi ini adalah pengkhianatan kepada bangsa kita. Kita perlu mempertahankan hak kita dengan jelas dan kita tidak merampas hak kaum lain dalam mentadbir. Itu prinsip walau ini tidak akan menjadikan UMNO popular tetapi setidak-tidak nasib dan hak bangsa tidak tergadai seperti yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat.

Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk kuasa dengan harapan bahawa setelah memberi dan menjual hak maka mereka akan dapat semula setelah berkuasa. Itu sebenarnya apa yang kita panggil memperjudikan hak Melayu. Kita lihat hari ini Pulau Pinang akan menjadi tempat elit kaum lain dan bangsa kita juga akan merempat. Kita lihat cara mereka kononnya memperkatakan mengenai keadilan tetapi melupakan kedudukan bangsa kita yang tercicir jauh.

Kita lihat dalam konon-kononnya mahukan demokrasi maka hak keistimewaan adalah suara lekeh sedangkan itu sebenarnya adalah kepentingan dalam mengimbangi apa yang telah diberikan oleh penjajah kepada bangsa lain sebelum ini.

Ramai mempersoalkan secara buta apa UMNO telah lakukan selama lebih 50 tahun memimpin Melayu. Mereka yang mempersoalkan nampak kabur disebabkan penipuan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat khususnya Anwar Ibrahim. Kehadiran mereka hari ini dengan kemudahan dan menjadi elit orang Melayu adalah hasil pentadbiran UMNO. Melayu yang berpelajaran dan Melayu yang menjadi usahawan dan kedudukan politik Melayu yang unggul adalah hasil kawalan dan polisi UMNO dalam memerintah kerajaan.

Kalau dalam Barisan Nasional, UMNO adalah parti dominan, bagaimana pula dalam Pakatan Rakyat. Adakah Melayu dominan atau sebenarnya DAP yang dominan. Pakatan Rakyat khususnya PKR dan PAS telah membiarkan organisasi politik mereka di tunggang oleh Anwar Ibrahim semata-mata mahukan kuasa palsu. Melayu tidak akan dapat manfaat dalam Pakatan tersebut malah semakin lama semakin penuh gesaan dan desakan kaum lain di turut. Ini adalah kerana – undi dan kerana kuasa palsu yang mereka mahu.

Kedudukan mereka sendiri tidak kukuh. Mereka terpaksa memperjudikan nasib bangsa Melayu untuk undi. Mereka memberi ruangan besar semata-mata kerana undi dan mereka menolak keistimewaan Melayu kerana undi. Mereka berkompromi dengan DAP untuk undi bangsa lain dan akhirnya sedikit demi sedikit Melayu terpinggir. Ini semua kerana mahukan undi bangsa lain dalam keadaan undi Melayu berpecah.

Namun Barisan Nasional akan tetap meletakan dominasi UMNO sebagai satu keunggulan Melayu. Kita berlaku adil pada semua bangsa tetapi kita tidak akan menjual dan menggadaikan kedudukan dominasi kita semata-mata untuk meraih undi bangsa lain. Kalau PKR dan PAS melakukan sedemikian dan UMNO dalam usaha untuk meraih undi turut menggadaikan hak Melayu maka apa makna Melayu di tanah ini.

Rakyat Permatang Pauh,

UMNO tidak sekali-kali menggadaikan hak Melayu kerana mahukan undi bangsa lain. UMNO tidak akan melaksanakan konsep matlamat menghalalkan cara dengan memberi apa yang dituntut oleh bangsa lain terhadap hak kita semata-mata kerana undi. UMNO memperkatakan dengan jelas mengenai keperluan membantu orang Melayu kerana selama ini Melayu telah banyak memberi khususnya sewaktu kerajaan British dahulu. Keadaan ini menyebabkan kedudukan ekonomi orang Melayu tercorot berbanding dengan kaum lain.

UMNO tidak sewenang-wenangnya menggunakan hak keistimewaan Melayu untuk berlaku tidak ketidakadilan dan penindasan tetapi mengambil sikap moderat dan kerana itu langkah untuk memartabatkan bangsa dijalankan dengan rapi dan teliti. Kalau kita tidak memikirkan soal kedudukan rakyat yang berbilang kaum – dan mahu undi populariti bangsa lain, UMNO boleh melakukannya tetapi UMNO tidak sanggup memperjudikan hak bangsa untuk tujuan itu.

Apa yang kita lihat ialah mainan politik kotor – dengan memainkan isu hak dan memperjuangkan tuntutan kaum lain terhadap Melayu adalah genre politik mainan mereka untuk undi. Di masa yang sama – melaungkan penipuan bahawa UMNO tidak melakukan apa-apa dalam perjuangan Melayu.

Rakyat Pematang Pauh,

Barisan Nasional adalah pilihan kesederhanaan dalam mentadbir negara ini. Dominasi politik Melayu dan kekuatan ekonomi kaum lain di imbangi dengan kedudukan Melayu seperti yang tertera dalam perlembagaan. Barisan Nasional percaya kepada keadilan dan bukan kesamarataan seperti yang dilakukan oleh kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini.

Bagi mereka keadilan adalah dengan memberi peluang sama kepada semua bangsa – sedangkan Melayu sendiri dalam keadaan yang sedang memperjuangkan kedudukan mereka. Kesamarataan ini bukan keadilan untuk Melayu. Ini merugikan dan mereka hanya memperalatkan keadilan untuk melunaskan kuasa politik yang mahu mereka raih.

Jangan biarkan sikap ekstremis untuk merampas kuasa merugikan orang Melayu dan bangsa lain dalam soal keharmonian kemasyarakatan. Kita akan membuat keputusan yang salah kalau kita membiarkan mereka – memperjudikan hak Melayu dan menipu bangsa lain. Rakyat Permatang Pauh perlu sedar bahawa jangan memperjudikan keharmonian yang ada kerana cara pelaksanaan mereka pasti mengundang perpecahan kelak.

Mereka tidak mahu mengimbangi kedudukan tetapi mereka hanya mahu menipu bangsa lain kononnya mereka adalah perjuangan kaum yang adil. Itu tidak benar dan perbuatan mereka akan menimbulkan bergeseran kelak bila mana Melayu itu terpinggir jauh dan bila mana kaum lain sedar bahawa mereka turut di tipu dengan janji PKR dan PAS.

Permatang Pauh perlu mulakan kesedaran bahawa Barisan Nasional adalah pilihan moderat yang jujur dalam memperkatakan mengenai hak bangsa dan hak kaum tanpa diskriminasi untuk kemakmuran bersama.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: