MASYARAKAT MAJMUK TERBENTUK SEJAK AWAL ABAD KE-19

Pengenalan
Malaysia amat terkenal dengan adanya masyarakat majmuk yang berbilang kaum. Pembentukan masyarakat majmuk yang berbilang kaum(masyarakat kolonial) di Malaysia pada abad ke-19 adalah kesan daripada Kolonialisme yang mutlak. Masyarakat kolonial adalah masyarakat yang berbilang kaum yang duduk dalam satu lapisan masyarakat. Pada tahun 1948, seorang pakar astropologi, J.S Funival pernah menulis dan menghuraikan pandangan beliau berhubung masyarakat majmuk. Masyarakat majmuk menurut kamus dewan membawa maksud masyarakat yang terdiri daripada beberapa kaum.
J.S.Furnivall merupakan orang pertama yang mengemukakan konsep masyarakat majmuk berdasarkan kajiannya di Indonesia dan Burma. Menurut Furnivall (1967:54), masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri. Walaupun pelbagai kaum berganding bahu di bawah sistem politik yang sama tetapi kehidupan mereka adalah berasingan dan interaksi sosial dalam kalangan mereka amat berkurangan dan hubungan mereka hanya terbatas kepada hal ekonomi dalam jual beli. Pembahagian tugasan dilakukan atas garis-garis ras. Masing-masing berpegang kepada kebudayaan, agama, bahasa, idea dan kaedah sendiri. Mereka berinteraksi secara minima dalam urusan tertentu seperti di pasar tetapi kemudian balik ke kelompok masing-masing. Pekerjaan juga dibahagikan mengikut garis perkauman.
Idea Furnivall mengenai masyarakat majmuk telah banyak dibincangkan oleh tokoh-tokoh sosiologi yang terkemudian. M.G. Smith merupakan salah seorang yang telah memberikan satu analisis yang panjang lebar mengenai konsep ini. M.G. Smith juga menganggap masyarakat majmuk sebagai masyarakat yang mempunyai pelbagai budaya, perpecahan sosial dan perselisihan. Dari segi politik pula, masyarakat majmuk dikuasai oleh satu kelompok minoriti yang mempunyai kebudayaan yang tersendiri. Smith juga berpendapat bahawa masyarakat wujud atas dasar konflik dan paksaan, bukannya atas dasar nilai bersama. Selain daripada Furnivall dan Smith, P.L. Van Den Berghe juga memberikan sumbangan terhadap perbincangan mengenai konsep masyarakat majmuk. Beliau membezakan kemajmukkan sosial iaitu masyarakat dipecahkan kepada kelompok korporat dan bukannya budaya daripada kemajmukkan budaya iaitu wujud daripada beberapa kelompok etnik.
Ketiga-tiga tokoh ini menekankan konflik dan perpecahan sebagai unsur ketara dalam masyarakat majmuk. Pendirian ini amat bertentangan dengan pendekatan fungsional yang mendakwa bahawa masyarakat majmuk wujud atas dasar konsensus dan nilai bersama. Oleh yang demikian, tidak hairanlah beberapa kritikan mengenai idea atau teori masyarakat majmuk juga datang daripada ahli fungsional. Walau bagaimanapun, teori ini mempunyai kelebihannya iaitu salah satu percubaan untuk membentuk satu teori secara umum mengenai hubungan ras. Teori ini cuba memasukkan pentingnya unsur ras dan etnik ke dalam satu rangka dasar berbentuk konseptual dan merupakan satu syarat asas untuk memahami sifat hubungan ras.
Sebelum abad ke-18, penduduk di Tanah Melayu dan kepulauan borneo ketika itu didominasi oleh orang Asli, orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Migrasi daripada luar juga berlaku tetapi jumlahnya terhad. Selain itu, terdapat juga kaum pendatang daripada Sumatera, Indonesia. Tetapi tidak menjejaskan corak masyarakat ketika itu kerana kaum pendatang ini adalah daripada rumpun bangsa yang sama (James P. Ongkili, 1985:4).
Pada awal abad ke-18, perubahan dalam struktur masyarakat berlaku di Malaysia disebabkan oleh fenomena migrasi dari luar yang berlaku akibat faktor penarik yang ada di bumi mahupun faktor penolak di negara asal masing-masing yang bertanggungjawab mencernakan perubahan yang berkekalan sehingga ke hari ini. Struktur masyarakat di Malaysia berubah adalah disebabkan migrasi daripada luar dan juga faktor penolak dan penarik. Migrasi ini berlaku sedikit demi sedikit sebelum penjajahan barat, tetapi berleluasa setelah penjajahan berlaku. Aktiviti ekonomi dan perladangan menjadi faktor utama dalam aktiviti migrasi daripada luar terutamanya daripada China dan India.
Kaum Cina
Masyarakat imigran China datang dari pelbagai wilayah dan beragam sifatnya. Situasi ini sahaja menunjukkan sifat majmuk itu sendiri sememangnya telah ada dalam diri mereka. Mereka yang datang ke Tanah Melayu ini berasal dari daerah atau  kumpulan yang tertentu. Hal ini menyebabkan setiap kumpulan ini mempunyai identiti yang tersendiri. Hal ini terbukti melalui  tiga kawasan asal mereka yang utama iaitu Kwantung, Funchien, dan Kwangsai.[1] Menurut B.W. Andaya dan L.Y Andaya (1983:159), masyarakat Cina daripada negara China sebenarnya ingin keluar daripada hidup penuh dengan kemiskinan dan penderitaan. Oleh itu, mereka terpaksa keluar berhijrah sehingga ke Tanah Melayu. Kemasukan buruh-buruh Cina ke Tanah Melayu melalui beberapa cara yang dikenalpasti diusahakan oleh orang Cina sendiri yang telah menetap lama di Tanah Melayu melalui sistem tiket yang sangat popular. Menurut W.L. Blythe (1953:3), bilangan buruh Cina yang berhijrah memang ramai dan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Namun angka yang tepat sukar ditentukan kerana ketiadaan dokumen yang sah dan kemasukan secara haram ke Tanah Melayu.
Bagi orang Cina, sebenarnya mereka telah pun datang ke Tanah Melayu sejak abad ke-15. Mereka datang ke Tanah Melayu adalah untuk berdagang. Menjelang awal abad ke-19, penghijrahan orang Cina semakin bertambah. Penghijrahan orang Cina ini adalah disebabkan oleh 2 faktor iaitu faktor penolak dan faktor penarik. Keadaan politik dan sosial di negeri China merupakan faktor penolak. Keadaan politk di China yang tidak stabil menggalakkan kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu. Dinasti Manchu yang menguasai China sejak tahun 1644 mengamalkan sikap diskriminasi terhadap penduduk Cina tempatan. Orang-orang Cina yang tidak berpuas hati sering melancarkan pemberontakan untuk menggulingkan Kerajaan Manchu. Oleh itu, kerajaan bertindak lebih tegas dan kejam untuk memadamkan perasaan tidak puas hati rakyat dan pemberontak. Oleh itu, ramai orang Cina terpaksa melarikan diri daripada menjadi mangsa kekejaman Kerajaan Manchu. Mereka mula berhijrah ke seberang laut seperti Korea, Jepun dan negara-negara di Asia Tenggara seperti Tanah Melayu, Filipina, Indonesia dan lain-lain.
  Selain faktor penolak, faktor penarik juga menyebabkan penghijrahan orang Cina ke Tanah Melayu. Faktor penarik ini telah berlaku di Tanah Melayu. Dari segi ekonomi, peluang ekonomi yang banyak di Tanah Melayu telah mendorong kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu. Keperluan tenaga buruh bagi menjayakan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu adalah salah satu faktor disamping peluang-peluang perniagaan yang banyak di kawasan bandar dan kawasan perlombongan. Peluang untuk menjalankan pertanian seperti di bawah Sistem Kangchu (Johor) juga menggalakkan lagi penghijrahan orang Cina ke Tanah Melayu. Di bawah Sistem Kangchu, orang Cina diberi tanah untuk mengerjakan pertanian terutamanya lada hitam.
  Dari segi politik, hasil daripada pemerintahan British yang liberal telah mewujudkan keadaan politik yang stabil. British juga menggalakkan kedatangan orang Cina dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti subsidi tambang dan sebagainya. Pembesar-pembesar tempatan pula menggalakkan kemasukan buruh Cina untuk mengerjakan perusahaan bijih timah. Kemasukkan masyarakat Cina ke Tanah Melayu menunjukkan bermulanya proses pembentukan masyarakat majmuk daripada pengaruh masyarakat Cina yang semakin bertambah. Pengaruh masyarakat Cina ke Tanah Melayu telah mengubah corak dan sistem sosial Alam Melayu dan juga masyarakat Melayu ketika itu. Kedatangan masyarakat Melayu ke Tanah Melayu akhirnya telah membentuk satu masyarakat baru iaitu Baba Nyonya dan Cina Muslim. Wujudnya golongan baru ini membawa kepelbagaian atau kemajmukkan masyarakat di Malaysia dan mengambarkan keunikannya pada pandangan masyarakat luar.
Kaum India
` Migran kedua terbesar selepas China adalah kelompok daripada India. Kebanyakan mereka berasal daripada India Selatan iaitu dari Negapatam dan Madras. India juga mengalami masalahnya tersendiri yang menyebabkan penduduknya berhijrah ke luar. Suasana di negara itu yang dilanda kemiskinan dan kebuluran yang mendorong penduduknya berhijrah keluar ke negara-negara lain termasuk ke Tanah Melayu ketika itu. Orang India  mulai datang ke Tanah Melayu sejak abad yang pertama. Mereka menamai Tanah Melayu sebagai “Suvarnabumi” atau “Tanah Emas”. Namun begitu, mereka hanya berhijrah secara beramai-ramai ke Tanah Melayu pada penghujung abad ke-19 akibat perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Faktor yang menggalakkan penghijrahan orang India juga terdiri daripada faktor penolak dan faktor penarik.
Perkembangan  pertanian ladang telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan sekaligus mendorong kedatangan imigran asing ini ke Tanah Melayu secara besar-besaran.[2] Hal ini  menyebabkan bilangan imigran India telah bertambah di Tanah Melayu.[3]  Perkembangan perusahaan getah dan galakan daripada Kerajaan British merupakan faktor penarik yang menarik orang India datang ke Tanah Melayu. Peluang ekonomi di Tanah Melayu terutamanya dalam perusahaan getah telah menggalakkan kedatangan orang India ke Tanah Melayu. Peluang ekonomi yang wujud dalam sektor ini adalah disebabkan oleh keengganan orang Melayu untuk bekerja di ladang getah. Selain itu, dua buah perkhidmatan awam yang paling banyak menggunakan tenaga buruh India ialah Jabatan Keretapi dan Jabatan Kerja Raya juga menarik kehadiran orang India ke Tanah Melayu. Seterusnya, peluang pekerjaan bagi golongan menengah di Tanah Melayu turut dipenuhi oleh orang India. Pada tahun 1920-an, kestabilan politik di Tanah Melayu telah mendorong kedatangan orang India. Di samping itu, adanya koordinasi di antara Kerajaan British di Tanah Melayu dengan Kerajaan British di India telah memudahkan lagi kemasukan India ke Tanah Melayu. Kejayaan orang India yang lebih awal datang ke Tanah Melayu juga telah mendorong kepada kemsukan lebih ramai orang India.
Selain migran daripada negara China dan India, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga menjadi tumpuan daripada masyarakat luar seperti dari Indonesia dan Ceylon. Namun, bilangan mereka jauh lebih rendah berbanding dengan buruh daripada China dan India. Kebanyakan pendatang Indonesia berasal daripada Jawa, Kalimantan (Banjarmasin), Celebes, Timor dan Sulawesi serta beberapa bahagian kepulauan yang berhampiran dengan Selat Melaka.  Pendatang daripada Indonesia juga berbilang suku kaum dan etnik antaranya orang Jawa, Bugis, Minang dan Banjar.
Indonesia
Sebelum pemerintahan Inggeris, orang Indonesia telah berhijrah ke Tanah Melayu. Mereka terdiri daripada orang Bugis, orang Jawa dan orang Minangkabau. Pada penghujung abad ke-19, penghijrahan masuk orang Indonesia ke Tanah Melayu semakin meningkat. Kesemuanya ini disebabkan masalah politik, ekonomi dan sosial yang berlaku di Indonesia. Dari segi sosial, penduduk Indonesia terutama dari Pulau Jawa dan Sumatera telah bertambah dengan pesat menyebabkan kemiskinan, kebuluran dan kemerosotan taraf hidup rakyat Indonesia. Sementara itu, tekanan politik oleh pihak penjajah iaitu Belanda telah mendorong kemasukan orang-orang Indonesia ke Tanah Melayu. Sebagai contoh, Sistem Kultur (1830-1870) yang dikenakan terhadap orang Jawa menyebabkan rasa kurang senang hati orang Jawa menyebabkan mereka berhijrah ke Tanah Melayu. Dari segi ekonomi, pelbagai cukai seperti cukai tanah, cukai kepala dan cukai tol telah menambahkan lagi kesenangan hidup.
Menurut S.N. Arseculeratne (1991:8), pendatang dari Ceylon kebanyakannya terdiri daripada kaum Sinhalese. Mereka datang dari kawasan pantai selatan negara tersebut. Mereka datang dengan jumlah yang agak ramai selepas abad ke-19 berterusan hingga abad ke-20. Kedatangan berterusan ini disebabkan penjajahan British di Ceylon. Faktor ekonomi adalah bukan faktor utama penghijrahan mereka, sebaliknya mereka ingin mencari rezeki yang lebih berbanding apa yang mereka dapat di negara asal mereka (S.N. Arseculeratne,1991:10).
Cara Kemasukkan Cina dan India
Seterusnya melihat kepada cara atau sistem kemasukan mereka bagi orang Indonesia iaitu tidak ada satu sistem yang tertentu yang dilalui untuk datang ke Tanah Melayu. Mereka datang ke sini dengan berusaha sendiri. Bagi orang Cina, terdapat 3 cara mereka datang ke Tanah Melayu, iaitu melalui sistem tiket kredit, melalui cara bersendirian dan melalui Sistem Kangchu. Bagi orang yang datang dengan cara sistem tiket kredit, mereka terikat dengan perjanjian untuk bekerja bagi suatu tempoh masa sehingga hutang mereka dijelaskan. Sementara itu, orang yang datang melalui cara persendirian adalah dibantu oleh rakan atau ahli keluarga ataupun dengan perbelanjaan sendiri. Melalui Sistem Kangchu pula, orang Cina berpindah dan menetap kekal di Johor dam membuka ladang-ladang lada hitam, gambir, kopi, teh dan sebagainya.
Bagi orang India, imigrasi mereka dijalankan melalui sistem buruh kontrak (1820-1910) dan Sistem Kangani (1898-1938). Melalui sistem buruh kontrak, pemilik ladang akan membuat pesanan bagi buruh melalui seorang ejen di India. Ejen ini akan pergi ke kampung-kampung untuk mengumpulkan buruh India. Tambang pelayaran mereka dibiayai oleh majikan yang membuat pesanan. Setelah sampai di Tanah Melayu, mereka akan menandatangani kontrak untuk bekerja selama 5 tahun dengan gaji yang ditetapkan. Pekerja-pekerja ini biasanya dilayan dengan buruk. Melalui Sistem Kangani, majikan yang ingin mendapat buruh dari India akan menghantar seorang Kangani dari ladangnya ke India untuk mendapatkan buruh dari kampung halaman Kangani itu. Kangani itu akan dibayar mengikut bilangan pekerja yang diambil dan dia sendiri pula dikehendaki membayar tambang dan perbelanjaan lain bagi buruh-buruh itu sehingga ketibaan mereka di ladang. Biasanya pekerja dilayan dengan baik.
Kedatangan imigran ini bukan sahaja mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah Melayu, namun mereka juga memberikan banyak sumbangan terhadap pelbagai sektor terutamanya sektor ekonomi di Tanah Melayu. Orang Indonesia telah menyumbangkan tenaga dalam perusahaan getah dan bijih timah di samping dalam pertanian seperti padi, kelapa, dusun buah-buahan dan sebagainya. Kecenderungan dalam mengusahakan pertanian yang sama dengan tempat asal mereka adalah pendorong kepada kedatangan mereka ke Tanah Melayu.
Kesan Kepada Ekonomi
  Kedatangan orang Cina pula menggalakkan perkembangan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu terutamanya di kawasan Larut, Kinta, Lembah Klang dan Sungai Ujong. Buktinya, eksport bijih timah Tanah Melayu telah meningkat secara berterusan dari tahun 1850 dengan jumlah eksport 6500 tan kepada 77 ribu tan pada tahun 1937. Dari segi perniagaan pula, banyak kedai di buka oleh orang Cina terutamanya di bandar yang terletak di kawasan perlombongan. Kegiatan penanaman lada hitam juga berkembang hasil daripada Sistem Kangchu.
Kemasukan orang India telah menyebabkan pembukaan lebih banyak kawasan ladang getah. Buktinya, pada tahun 1897, hanya terdapat 345 ekar ladang getah di Tanah Melayu tetapi pada tahun 1940, angka ini telah meningkat menjadi 3.5 juta ekar. Di samping itu, dalam bidang professional, orang India telah menyumbangkan tenaga mereka dengan menjadi guru, doktor, kerana dan sebagainya.
  Setelah kemasukan migran daripada luar, bermulalah proses pembentukan masyarakat majmuk yang berbilang kaum seperti sekarang. Proses pembentukan masyarakat pada mulanya sukar kerana berbeza fahaman, amalan, ras dan etnik serta kehidupan seharian. Banyak konflik yang berlaku dalam proses pembentukan ini seperti peristiwa 13 mei 1969. Apabila konflik berlaku dalam masyarakat majmuk, konflik berkenaan mengikut garisan pemisah ras, bukan garisan kelas. Pengambilan pekerja buruh daripada luar di buat secara tetap sudah pasti akan menimbulkan masalah sosio-ekonomi dan politik yang lebih membimbangkan dan bagi mengelak pembentukan masyarakat majmuk pelbagai etnik atau heterogeneous seperti mana yang cuba dielak oleh negara-negara Eropah Barat dan Telok (Weiner, 1990:143).
Campur tangan Inggeris di Tanah Melayu bermula apabila Francis Light menduduki Pulau Pinang pada Ogos 1786, menyebabkan kemasukkan migran secara besar-besaran daripada luar. Dalam jangka masa yang panjang semasa pemerintahan kolonial British di Malaysia iaitu selama lebih satu ratus lima puluh tahun bermula 1786 hingga 1957. Antara tahun itu, Malaysia telah diduduki oleh Jepun semasa perang dunia kedua. Walau bagaimanapun, jangka masa singkat itu dianggap tidak mempunyai signifikan yang besar kepada komposisi dan mobiliti penduduk. Masyarakat homogenis Melayu Tanah Melayu telah mengalami transformasi kepada masyarakat heterogenios Malaysia yang mengandungi etnik-etnik Melayu, Cina dan India sebagai komponen utamanya.
Setelah kemasukan migran dari luar akhirnya lahirnya kelompok dari keturunan Cina dan India yang berasimilasi dengan budaya tempatan seperti kelompok Baba-Nyonya yang berketurunan Cina dan kelompok Chitty yang berketurunan India. Asimilasi bangsa juga turut berlaku apabila perkahwinan antara orang asing dengan penduduk tempatan, maka wujud beberapa sub-kategori penduduk berdarah campuran seperti kelompok Peranakan, kelompok Syed dan lain-lain. Kini kebanyakan penduduk Malaysia mempunyai darah kacukan Melayu-Arab, Melayu-India, Melayu-Cina dan lain-lain.
Kesimpulan
Kesimpulannya, pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia bermula apabila kemasukan migran daripada luar. Proses ini berterusan sehingga penjajahan British di Tanah Melayu. Oleh itu, wujud masyarakat berbilang kaum, ras, etnik dan bangsa di Malaysia. Kehadiran kelompok-kelompok ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan budaya, adab resam, bahasa dan latar berlakang kebudayaan yang berlainan. Kemajmukan masyarakat Malaysia menjadikan negara ini menjadi tarikan masyarakat luar.
Bibliografi
Abu Talib Ahmad, Masyarakat Berbilang Kaum Di Tanah Melayu,Kuala Lumpur, Fajar Bakti, 1974.
Cheah Boon Kheng dan Abu Talib Ahmad,  Kolonialisme di Malaysia dan Negara-Negara Lain, Kuala Lumpur, Fajar Bakti, 1990.
Institute Pentadbiran  Awam  Negara, Negara  Sejarah, Pentadbiran & Dasar-Dasar Pembangunan, Kuala Lumpur, Perpustakaan Negara Malaysia, 1980.

 


[1]  Abu Talib Ahmad, Masyarakat Berbilang Kaum Di Tanah Melayu, ( 1974) Kuala Lumpur, Fajar Bakti hlm 172
[2] Cheah Boon Kheng dan Abu Talib Ahmad,  Kolonialisme di Malaysia dan Negara-Negara Lain, (1990) Kuala Lumpur, Fajar Bakti hlm 172.

[3] Institute Pentadbiran  Awam  Negara, Negara  Sejarah, Pentadbiran & Dasar-Dasar Pembangunan (1980), Kuala Lumpur, Perpustakaan Negara Malaysia, hlm 5.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: