Mitos Melayu Pemalas

‘MELAYU pemalas’.

Sekurang-kurangnya sekali dalam hidup, seseorang anak Melayu akan mendengar frasa itu. Tetapi biasanya dia mendengar lebih daripada sekali. Selalunya berpuluh atau beratus kali!

Frasa yang menyakitkan itu memang cukup tersohor. Ia telah sampai ke segenap penjuru alam. Tidak sedikit orang asing yang mengenali Melayu melalui tulisan atau cakap orang mempercayai bahawa pemalas itu adalah sifat semulajadi manusia Melayu. Jangan hairan kalau ada di kalangan mereka yang mendefinasikan Melayu sebagai ‘sebangsa manusia pemalas yang mendiami suatu kawasan di tenggara Asia.’

Yang menariknya, mitos Melayu malas ini lebih tertumpu pada orang-orang Melayu di Malaysia sahaja. Bangsa Melayu di tempat lain bagaikan terkecuali. Malah orang Melayu Deli dan Kampar, misalnya sentiasa dilihat lebih rajin daripada kita di sini. Bagi sesetengah orang Melayu rumpun Jawa pula, kita orang Melayu Malaysia, bukanlah jenis sahabat yang sesuai dijadikan teman dan bukanlah kawan yang baik untuk diajak mencari makan. Kita, bagi mereka, tidak cukup rajin.
Pendeknya, secara langsung atau tidak, kita telah diterima sebagai bangsa yang pemalas, hatta oleh rakan-rakan yang serumpun dengan kita sendiri.

Kenapa?

Sering terjadi apabila frasa itu timbul, kita – hampir semua Melayu – akan menghalakan tudingan kepada Munsyi Abdullah, jurutulis dan khadam nombor satu Stamford Raffles. Kebanyakan kita percaya bahawa tulisan-tulisan Munsyi Abdullah telah menjadi racun yang telah merosakkan fikiran dan pandangan semua orang terhadap keperibadian Melayu. Dia, Munsyi Abdullah, oleh sesetengah kita, telah diangkat sebagai musuh besar setiap Melayu.

Selain daripada menuduh Abdullah menulis begitu kerana disuruh oleh Raffles, yang mahu melaksanakan agenda kolonialnya dengan bertujuan meranapkan kehormatan masyarakat pribumi, kita jarang bertanya apakah yang ditulis oleh Munsyi itu seratus peratus salah?

Memang benar, Munsyi Abdullah adalah khadam belaan penjajah. Mungkin benar keinginan yang luar biasa untuk menyekutukan dirinya dengan tuan besar dan atas angin telah menyebabkan dia berasa dirinya terlalu istimewa, dan terpisah terus daripada cara hidup Melayu, yang dilihatnya penuh dengan kelekaan dan kealpaan.

Tetapi bolehkah dia mereka-rekakan kenyataan-kenyataan tentang sikap orang Melayu tanpa asas dan bukti yang kukuh? Setakat sekarang ini, apakah segala yang ditulis oleh Munsyi itu karut belaka?
Jawablah, dengan akal yang waras dan dengan hati yang ikhlas.

Dalam membincangkan isu ini, perkara paling pokok yang harus kita semua fikirkan ialah bagaimanakah kepercayaan bahawa Melayu itu pemalas boleh timbul? Di mana puncanya?
Tulisan Munsyi Abdullah atau lain-lain orientalis barat hanyalah sebahagian daripada sebab. Memanglah budaya penjajahan pada bila-bila masa pun akan disulami dengan cerita buruk tentang anak pribumi. Penjajah, dalam usaha menegakkan kedaulatan mereka, akan bersusah payah mencipta kehebatan sendiri dan memperlekehkan kumpulan yang dijajah. Red Indian dikatakan bangsa yang liar dan jahat oleh tukang-tukang cerita Amerika. Aborigines di Australia dituduh pemalas dan hidup bersandarkan takdir oleh anak cucu lanun yang menjadi penjajah benua Australia; malah orang-orang Scotland dan Ireland, yang serumpun dengan Inggeris itu pun, sampai sekarang masih sering dijadikan bahan jenaka di London.

Tetapi semua tohmah yang bersifat memburuk-burukkan anak pribumi itu biasanya boleh berdiri tegak sehingga menjadi semacam kepercayaan disebabkan oleh ‘sokongan’ yang diberi oleh anak-anak pribumi tersebut sendiri. Dengan perkataan lain, sikap, cara dan tindakan mereka selalunya mendorong orang beranggapan apa yang dicanangkan itu adalah betul dan benar.

Dalam hal ini, orang Melayu di Malaysia tidak terkecuali. Kalau orang lain mempunyai sepuluh sebab untuk mengatakan kita ini malas, kita sendiri menyediakan seribu sebab untuk membenarkan kenyataan mereka. Sebab-sebab itu bukanlah berpunca daripada kemalasan kita, tetapi lebih didorong oleh kealpaan kita. Kealpaanlah yang meletakkan Melayu dalam jaket yang dipakainya. Kealpaanlah yang menjadikan Melayu lemah. Kealpaan jugalah yang menyebabkan daya saing Melayu seringkali dipersoalkan.

Mahathir, sejak sebelum kelahiran ‘Dilema Melayu’nya beranggapan kelemahan Melayu lebih berpunca daripada faktor-faktor keturunan dan alam sekitar. Profesor Diraja Ungku Aziz pula menyanggah pandangan itu dengan berkata, Melayu sebenarnya mewarisi sifat rendah din sejak turun temurun.

Sama seperti orang lain, saya tidak tahu pendapat mana yang patut dipakai. Kedua-duanya kelihatan betul, tetapi kedua-duanya juga kelihatan tidak betul.

Hendak dikatakan Melayu lemah kerana pengaruh keturunan, terbukti mereka yang berketurunan Melayu telah pernah berjaya pada masa-masa dahulu. Mereka telah berupaya membina tamadun, telah mampu menjadi pelayar-pelayar agung dan telah terbukti menjadi kuasa yang disegani.

Sekarang ini pun banyak yang berketurunan Melayu mencipta kejayaan, baik di sini mahupun di tempat lain. Di Afrika Selatan, Melayu adalah kelompok manusia kaya yang berpengaruh besar di bidang ekonomi. Di Filipina, Melayu adalah pejuang-pejuang yang berani dan disegani. Di sana sini, anak-anak Melayu yang membawa diri mampu bersaing dan bangkit menjadi orang yang berjaya. Di England, ada anak Melayu telah naik martabatnya sehingga menjadi Datuk Bandar.

Di Hollywood, seorang lagi anak Melayu bergerak naik di celah nama ribuan manusia lain untuk berdiri sebagai karyawan yang dihormati dalam teknologi animasi komputer. Malah studio di mana berlangsungnya penggambaran bagi siri filem-filem James Bond yang terkenal itu pun dikatakan milik anak Melayu!

Persekitaran, di mana-mana dan pada bila-bila masa pun, memanglah merupakan faktor besar yang mempengaruhi kehidupan. Hukum ini tidak sahaja terbatas kepada manusia, tetapi juga mencakupi segala makhluk lain. Anak benih pokok yang sedang membesar sekalipun akan condong mengikut arah datangnya cahaya.

Dalam ‘Dilema Melayu’, Mahathir mengulas bagaimana persekitaran yang melingkungi kehidupan mereka menyebabkan orang Melayu kurang berminat untuk bersaing. Beliau beranggapan tanah semenanjung yang subur telah menyediakan segala-galanya untuk orang Melayu hidup selesa.

“Pendeknya alam keliling menjamin keperluan makanan yang mencukupi untuk menampung seluruh penduduk sepanjang tahun. Kelaparan dan kebuluran yang sentiasa mengancam negeri-negeri lain, seperti Negeri China, tidak terdapat di Tanah Melayu. Dalam keadaan begini maka semua orang dapat terus hidup. Malahan mereka yang paling lemah dan paling malas juga boleh hidup dengan selesa dan dapat berkahwin dan beranak pinak. Dalam keadaan yang begini tidak dapat hendak dikatakan bahawa cuma mereka yang paling kuat dapat terus hidup. Oleh kerana terdapat banyaknya bahan makanan maka orang yang lemah juga akan dapat terus hidup.” (DILEMA MELAYU, ms.25).

Ada benarnya pendapat itu. Tetapi ianya menjadi kurang benar apabila mengambil kira bagaimana keadaan serba kurang di negara-negara seperti Bangladesh, Nepal dan Bhutan juga gagal melahirkan bangsa yang kuat berdaya saing. Kebanyakan tanah di benua Afrika boleh dikatakan gersang dan tidak subur. Ia menuntut setiap orang yang mahu hidup di atas buminya mempunyai ketahanan yang luar biasa. Penduduk-penduduk pribumi Afrika biasanya mempunyai ketahanan itu. Persekitaran mereka hanya membuka pintu pada yang kuat sahaja untuk hidup selesa.

Tetapi kenapa mereka gagal berkembang sebagai bangsa yang besar, hebat dan kuat ? Kenapa anak cucu mereka yang terlontar ke Amerika, atau ke segala penjuru dunia yang lain, gagal mengangkat ketahanan itu untuk dijadikan aset yang boleh menjanjikan kegemilangan pada bangsa mereka? Kenapa?

Memanglah benar orang-orang Melayu, pada peringkat awal penempatannya di Semenanjung ini, lebih tertumpu ke kawasan-kawasan dataran yang subur. Mereka menghuni kawasan pesisir sungai dan pantai yang menjanjikan mereka kesuburan dan kemakmuran. Mereka tidak begitu berminat untuk meneroka bukit bukau dan hutan belantara bagi menambah sumber kesuburan dan kemakmuran tersebut. Hasil daripada keadaan itu timbul suatu tanggapan bahawa orang Melayu lebih suka pada kehidupan yang mudah. Mereka telah terasuh untuk menjadi begitu. Mereka telah dimanjakan oleh alam sekeliling. Mereka lebih senang menerima apa yang ada daripada berusaha mencari sesuatu yang baru.

Namun siapakah yang berani bertaruh untuk berkata bahawa peneroka bukit bukau itu mempunyai keupayaan bersaing yang lebih hebat daripada pemastautin di kawasan kawasan dataran yang subur? Tertumpu pada kawasan pesisir sungai yang subur untuk membina penempatan bukanlah terbatas pada orang Melayu sahaja. Ia merupakan amalan lazim zaman berzaman. Hampir semua tamadun besar terbina di kawasan seperti itu. Nil, Yang Tze dan Ganges tidak akan menjadi terkenal kalau bukan kerana disokong oleh kebangkitan tamadun-tamadun di pinggirnya.

Mencari kesenangan secara mudah bukanlah setakat sifat semulajadi orang Melayu. Ianya fitrah semua bangsa. Semua manusia. Sebab itu bukan pelik jika manusia pada zaman dahulu berebut untuk tinggal di kawasan pinggir sungai yang tidak sahaja menyediakan tanah yang subur, tetapi juga pelbagai kemudahan lain, termasuk mendapatkan bekalan air dan untuk dijadikan laluan pengangkutan. Orang-orang Cina yang baru datang ke Tanah Melayu pada era awal penghijrahan mereka dahulu pun memilih kawasan pinggir sungai untuk bermastautin.

Jika mendiami kawasan-kawasan yang subur itu menyebabkan orang Melayu terasuh untuk menjadi tidak rajin berusaha, maka soalan yang patut ditanya ialah kenapa orang-orang China di pinggir Yang Tze, dan kemudiannya di pinggir Sungai Kelang dan Sungai Gombak tidak pula menjadi malas? Kenapa bangsa-bangsa lain yang turut berkembang biak di kawasan yang serupa tidak menjadi selemah bangsa Melayu? Dan pada masa yang sama patut pula ditanya, mengapa ‘raja-raja bukit’ seperti orang-orang Karen di Burma tidak menjadi bangsa yang hebat sedangkan mereka adalah jenis orang yang sanggup bekerja keras meneroka rimba jerun yang tidak berani dijengah oleh manusia lain?

Banyak orang yang bersependapat dengan Mahathir, yang lewat ‘Dilema Melayu’nya berkata, iklim panas dan lembap di negara ini juga tidak begitu menggalakkan (orang Melayu) untuk melakukan kerja-kerja yang berat. Ia juga tidak merangsang pemikiran mereka untuk menjadi lebih aktif.

Sewaktu menulis fasa-frasa itu Mahathir barangkali terlupa untuk bertanya, kenapa dalam cuaca yang panas dan lembap,orang lain, yang bukan Melayu boleh melakukan kerja-kerja berat dan boleh berfikir secara aktif? Kenapa kesan buruk cuaca itu hanya mempengaruhi orang Melayu bukannya bangsa-bangsa lain? Bagaimana pula halnya dengan orang-orang Mesir Purba yang hidup dalam keadaan serba kontang dan serba kurang, namun mampu membina tamadun besar? Tidakkah cuaca yang panas juga sepatutnya menyebabkan orang-orang Arab tidak mampu berbuat apa-apa selain daripada duduk berbual di bawah pohon-pohon kurma?

Keturunan mungkin mempunyai pengaruhnya. Namun ada banyak contoh untuk dijadikan bukti bahawa ia bukan penyebab mutlak ke arah menentukan maju mundurnya sesuatu bangsa. Janji Allah bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa melainkan bangsa itu sendiri mengubahnya adalah suatu isyarat yang amat jelas bahawa setiap manusia ini dijadikan dengan kemampuan yang sama. Biar dari perdu mana pun seseorang itu lahir, dia berupaya naik ke puncak jika usahanya ke arah itu dilakukan secara sungguh-sungguh. Teori genetik tidak selamanya benar terutama dalam soal menentukan masa depan seseorang manusia atau sesuatu rumpun bangsa. Tuhan akan menjadi sangat tidak adil kalau menentukan karma manusia dengan bakanya. Sesungguhnya tidak adil itu bukanlah sifat Tuhan.

Bangsa-bangsa yang besar dan kuat suatu masa dahulu banyak yang lenyap dan ranap walaupun daripada segi teori mereka memiliki baka yang hebat. Ke mana perginya wira-wira Monggol? Ke mana hilangnya anak cucu Socrates atau Aristotle? Jika hendak dikatakan mereka pupus kerana faktor putaran masa, kenapa anak cucu Shih-Huang Ti masih ada? Kenapa anak cucu pelopor Tamadun China masih sehebat dahulu?

Pendapat tentang sifat semulajadi Melayu yang dibelenggu rasa rendah diri juga mempunyai banyak ruang untuk dipertikaikan. Yang paling penting untuk ditanya ialah, kenapa sifat itu harus ada dan adakah ianya cuma hakmilik istimewa bangsa Melayu?

Kalau dikatakan sifat rendah diri itu lahir secara semulajadi, apakah buktinya? Atas alasan apakah Tuhan memilih orang Melayu untuk diabadikan dengan sifat-sifat itu?

Ada orang berpendapat sifat rendah diri ini datang ke sanubari orang Melayu selepas mereka menganut Islam. Nenek moyang orang Melayu dahulu menganggap diri mereka orang yang jahil dalam ilmu-ilmu akhirat. Oleh itu, setiap kali berhadapan dengan pendakwah-pendakwah Islam yang berilmu tinggi, terutama yang datang daripada Asia Barat, mereka akan dibelenggu oleh rasa ‘kecil’ dan rasa untuk ‘merendah’. Lama-kelamaan perasaan itu berkembang biak lalu terbina menjadi suatu tabiat.

Soalnya, kalaupun betul, kenapa perkara begitu hanya terjadi pada orang Melayu? Kenapa orang Putih yang baru memeluk Islam tidak berasa rendah diri? Kenapa orang India, orang China, orang Parsi dan segala macam orang lain tidak mempunyai perasaan yang sama sedangkan hakikatnya tatkala mula memeluk Islam mereka sudah pasti berada dalam situasi yang sama dengan orang Melayu – berasa kecil dan jahil?

Satu lagi andaian popular ialah perasaan rendah diri orang Melayu ini berpunca daripada salah tanggapan terhadap ajaran Islam. Ketaatan kepada Islam menyebabkan Melayu mentafsirkan nilai toleransi yang dituntut oleh Islam dengan perspektif yang sempit. Mereka juga menerima hukum qada dan qadar dengan cara berfikir yang jumud. Konsep keredhaan mereka ada kalanya melebihi tahap yang dituntut sehingga menyebabkan mereka bersikap ‘tidak apa’ dalam segala perkara. Himpunan daripada semua inilah akhirnya menyebabkan orang Melayu berasa mereka tidak perlu bersaing dan bersikap pasrah kepada kehidupan.

Tetapi sekali lagi persoalannya ialah kenapa anggapan begitu cuma timbul di jiwa orang Melayu? Kenapa bangsa lain yang menganut Islam tidak mempunyai tanggapan dan pemikiran yang sama? Mengapa orang China Islam dan orang India Muslim tidak dibelenggu oleh kejumudan tersebut sedangkan mereka juga tidak kurang taatnya berbanding dengan kita?

Saya sengaja timbulkan soalan-soalan ini kerana saya tahu tiada sesiapa yang akan dapat menjawabnya.

Melayu secara umumnya berada dalam satu posisi yang cukup unik, dan cukup kronik, sehingga tiada mana-mana pengkaji dapat memberikan jawapan mutlak terhadap masalah yang membelenggu kehidupan mereka, khususnya dalam aspek yang membabitkan sikap dan tabiat. Apa juga andaian tentang mereka sampai bila-bila pun akan tinggal sebagai hepotitis yang tidak akan bertukar menjadi teori.

Keunikan peribadi Melayu ini berkemungkinan besar dipengaruhi oleh banyak faktor. Kedudukan bumi Melayu yang terdedah pada segala macam elemen budaya, latar belakang bangsa yang berkembang daripada penganut animisme kepada penganut Islam yang taat, semuanya sama-sama memainkan peranan untuk menjadikan Melayu satu bangsa yang agak berkecamuk akal fikirannya. Perhatikanlah mana-mana juga Melayu, di dalam dirinya pasti terpancar seribu wajah. Pada tubuhnya tersembunyi unsur Arab, unsur Mamak, unsur orang Putih dan seribu satu unsur lain yang bercampur aduk.

Keperibadian yang berbagai-bagai inilah menyebabkan Melayu menjadi begitu sukar difahami. Dan ketidakfahaman itu menjadi punca terhadap timbulnya pelbagai salah tanggapan terhadap mereka.

‘Melayu pemalas’ adalah rentetan daripada salah tanggapan itu. Orang-orang asing yang gagal memahami susur galur Melayu dengan mudah akan berasa hairan kenapa Melayu boleh menjadi warga kelas dua di bumi yang subur ini. Mereka lalu beranggapan ianya berlaku kerana Melayu tidak rajin.

Silap orang Melayu ialah mereka tidak pernah berusaha memberi kefahaman tentang asal usul mereka kepada orang lain. Sebaliknya, mereka dengan penuh kealpaan hanya menerima bulat-bulat teori yang orang lain sogokkan kepada mereka. Paling Iebih, sekiranya pendapat itu kurang memihak pada mereka, sebahagian daripada orang Melayu mungkin akan marah-marah.

Semua ini tidak akan berlaku kalau orang Melayu mempunyai hubungkait yang kuat dengan akar umbi bangsanya. Mereka tidak akan berasa susah untuk meyakinkan orang lain bahawa Melayu sebenarnya bangsa yang hebat jika mereka rajin mencungkil, mengenang dan menghargai sejarah kehebatan datuk nenek mereka. Tidak susah untuk membuka mata orang asing bagi mengakui bahawa lebih seribu tahun dahulu tamadun-tamadun Melayu telah berkembang biak, telah menjadi gah dan tersohor di nusantara. Dan bangsa yang pemalas sudah tentu tidak akan mampu membina tamadun-tamadun seumpama itu.

Tamadun Greek sudah lama punah. Ranap sama sekali. Greece sekarang hanya tinggal tersepit sebagai sebuah negara kecil di pinggir Mediterranean dan Laut Ageans. Tetapi cubalah anda berkunjung ke Athens. Anda pasti akan dapat mendengar orang-orangnya bercerita seolah-olah Julius Caesar dan Pompei baru meninggal dunia pagi semalam.

Cubalah berkunjung ke China dan dengar sendiri bagaimana anak-anak negerinya bercerita tentang Tembok Besar, tentang Shih-Huang Ti atau tentang Confusius. Bunyinya seolah-olah mereka pernah hidup di era itu. Mereka jelas berbangga dengan apa yang mereka pernah ada.

Kita?

Sementara majoriti orang Melayu tidak pernah tahu di mana letaknya Lembah Bujang, sebahagian besar yang lain pula berkunjung ke Melaka untuk melihat simbol kekuatan Portugis iaitu A Famosa, bukannya untuk menjengah simbol ketuanan Melayu seperti Perigi Hang Tuah atau Makam Hang Jebat. Untuk melihat tingginya seni pertukangan Melayu di Istana Seri Menanti yang tidak berpaku itu pun kita terasa berat hati.

Tidak banyak di kalangan kita yang boleh bercerita tentang kegemilangan silam anak bangsanya. Apabila bercerita pada anak cucu, kita lebih seronok mengulangi kisah ‘Cinderella’ atau ‘Snow White’. Kita biasakan anak-anak kita dengan nama Robin Hood dan Kapten Cook bukannya dengan nama Hang Nadim atau Tun Teja. Kita seolah-olah tidak pernah berbangga dengan apa yang kita ada.
Orang lain sanggup menghabiskan berjuta ringgit untuk mencari sesuatu yang boleh menghidupkan kembali kegemilangan bangsanya. Dalam kes tertentu, mereka malah sanggup mengubah fakta yang ada dan mencipta fakta-fakta baru yang palsu. Mereka melakukannya kerana sayangkan bangsa.

Kita tidak begitu. Kita boleh menghabiskan cukup banyak wang untuk membiayai rombongan ke luar negara, tetapi kita akan ‘berkira’ untuk membina sesuatu yang boleh menghubungkan generasi sekarang dengan masa silamnya.

Pahit atau tidak, kita perlu mengaku bahawa apa yang dilakukan setakat ini belum cukup untuk menggambarkan terima kasih kita pada generasi terdahulu. Apa yang ada itu belum memadai untuk menghidupkan jiwa Melayu sebagaimana hidupnya jiwa orang Amerika setiap kali melihat ‘Statue of Liberty’.

Usahlah melihat terlalu jauh ke belakang. Lihat sahajalah bagaimana kita menghargai Tuk Gajah, Mat Kilau, Tuk Janggut atau pejuang-pejuang selepas mereka. Malah setakat manakah sumbangan kita kepada pejuang-pejuang kemerdekaan selain daripada Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman? Hendak membukukan sejarah perjuangan mereka pun tidak banyak pihak yang sanggup.

Berdasarkan apa yang ada tergambar jelas yang kita bagaikan tidak menghargai kebolehan orang-orang yang dahulu daripada kita. Kita tak pernah ambil kisah. Kita tak pernah peduli. Kita alpa dalam menghargai sumbangan mereka.

Dan apabila kita alpa menghargai bangsa sendiri, bagaimanakah kita boleh mengharapkan orang lain menghargai kita?

6 Responses to “Mitos Melayu Pemalas”

  1. Salam hormat, tulisan dalam blog tuan sangat-sangat menarik dan menjadikan diri saya sekejap tak senang duduk dan sekejap pula bersemangat sebagai seorang Melayu.

  2. hanya TUKANG FITNAH yang mengatakan MELAYU PEMALAS, hanya MANUSIA PENJILAT yang menyatakan MELAYU PEMALAS. Tidak bisa diterima secara ILMIAH BAHWA MELAYU PEMALAS, pendapat ini merupakan FITNAH, PENDAPAT YANG EXTRIM HINAAN TERHADAP MELAYU. JIKA orang melayu yang mengatakan ini berarti MAK bapaknya bukan keturunan MELAYU bisa saja kakek nenek dari orang rantauan BIASANYA mereka ini TUKANG FITNAH DARI DALAM. TANGKAP TUKANG FITNAH. PUKUL TUKANG FITNAH, MASUKAN PENJARA!!!! SEGERA!!!!

  3. Definasi Melayu mestilah beragama Islam (Rujukan-Seminar jatuhnya Melayu Melaka).Melayu mesti faham Islam,barulah sifat negatif hilang,terutama MALAS,DENGKI KIANAT,FITNAH,MENGUMPAT,MENGADU DOMBA bagi menjatuhkan kaum sendiri.kesian org Melayu…mcamana nk maju bersaing dengan bangsa lain.Bagus sikit kene Dengki, Lemah sikit kene pijak.Melayu..akan terus layu kalau tak mendalami & memahami ilmu Islam.Jgn Hilang Semangat BerHijrah & BerJihad.

  4. OLIEOJIE IFE Says:

    AYO…..JOM……BANGKIT,BANGUN…..DAN BERUPAYA MAKSIMAL SEMUA MELAYU DIMANAPUN DI MUKA BUMI INI….!!!!!

  5. camgampang Says:

    memang malas.. awak tengok sultan2 ni..semua malas.. takde talent atau terrer apa melainkan guna influence dan sapu betina.. ni lar mentor dan role model melayu.. dulu sultan2 ni keturunan perompak dan lanun jer.. pirahh

  6. Pandangan yg baik dan membina..tqvm

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,162 other followers

%d bloggers like this: