Archive for December, 2009

Blog sokong Husam isu ‘politik keluarga’

Posted in MEDIA on 30 December 2009 by zanas

Kebanyakan blog pro-PAS, termasuk di kalangan aktivisnya, menyokong ketegasan exco kanan Kelantan mendesak pentadbiran kerajaan dipisahkan daripada kepentingan keluarga.

Walaupun teguran Datuk Husam Musa itu tidak jelas ditujukan kepada Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi penulis-penulis blog itu menyifatkan artikel ‘Malaysia atau diri’ kelmarin merujuk perkembangan terkini politik negeri itu.

Penulis yang turut berdiri di belakang Husam, dalam isu ini, termasuklah Mohd Sayuti Omar, penulis politik terkenal yang selalunya kritikal pada bekas naib presiden PAS itu.

“Kalau Husam menegur Nik Aziz dan sesiapa dengan pandangan itu, tujuannya tidak lain untuk menjaga PAS dan kerajaan Kelantan.

“Saya tidak fikir dia ada udang di sebalik batu dan mengharap sesuatu untuk dirinya dengan teguran itu,” kata pengamat politik kelahiran Kelantan itu di blognya Merah Tinta.

“Saya bersetuju dengan apa yang disuarakan oleh Husam. Kebimbangan Husam itu, adalah juga kebimbangan saya malahan itulah yang telah saya suarakan sebelum ini.”

Seperti tanggapan beberapa blog lain, seorang pemimpin PAS Wilayah Persekutuan pula menyifatkan teguran Husam itu sebagai keberanian baru setelah lama berdiam diri.

“Daripada berdiam diri yang membawa diri jadi tertekan, lebih baik bersuara walaupun dirasakan akan ada geruh bakal berlaku,” kata Mohamad Nazir Zakaria.

“Alang-alang mandi biar basah, seluk ikan pekasam biar sampai ke pangkal bahu.” Seorang bekas pegawai mantan Menteri besar Perak, Anuar Hashim, turut melontarkan sokongan bersama Husam di blognya Perakite semalam.

“Sikap pengaruh keluarga mencampuri urusan pentadbiran negeri adalah satu tragedi politik yang maha negatif.

“Lantaran mungkin sudah tidak mampu berdiam diri lagi, maka akhirnya Husam mulai bersuara yang juga memungkinkan (kerjaya politik) beliau sendiri terkambus dengan sendirinya.

“Memang seseorang perlu membuat teguran dan malanglah bagi Husam kerana terpaksa memulakannya,” Anuar dalam artikel ‘Kadok sudah mula naik junjung’.

Menulis di blognya Cetusan Hati, Husam menggesa pemimpin sesebuah kerajaan, termasuk PAS, memisahkan hal-ehwal pentadbiran daripada kepentingan kekeluargaan.

Dengan mengungkit semula betapa negatifnya isu tersebut pernah melanda mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, Husam menyeru agar wujud pemisahan jelas dua bidang tersebut.

“Politik Malaysia memandang serong politik keluarga seperti ini. Kemenangan besar (BN) tahun 2004 tidak berulang.

“Isu-isu keluarga antara penyumbang kepada tumbangnya Pak Lah selepas pilihan raya 2008,” coretnya.

“Dihimpit antara kritikalnya kedudukan negara dan sedikit sebanyak gangguan dalaman yang wujud, peliharalah integriti pemimpin-pemimpin kita dengan anggota keluarga tidak merasa diri mereka adalah pemegang kepentingan yang lebih penting daripada pihak yang dipilih oleh rakyat secara yang sah.”

Mengulas kontroversi berlarutan di Kelantan berhubung gelagat keluarga Nik Abdul Aziz, penulis blog Ummu Asiah berharap ia akan segera diselesaikan kerana ia boleh memusnahkan “tiang seri PAS”.

“Membaca tulisan yang akhirnya diluahkan juga oleh Husam walau mungkin telah lama dipendam menambahkan lagi resah di dada dan duka lara yang ada,” kata pemiliknya Nashita Md Nor, seorang aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

“Kita terus-menerus menanti pengakhiran kepada episod drama yang sungguh tidak ingin kita lihat untuk terjadi sejak dari awal.

“Moga mimpi ngeri ini segera berakhir, dan anak menantu jangan lagi menambah luka-luka yang sedia ada dan bernanah ini.”

Bekas pemimpin Pemuda PAS Aris Awang pula menyambut baik teguran Husam itu dengan menyifatkan ADUN Salor masih tekal dengan idealismenya sebelum berjawatan dalam kerajaan.

“Husam pun (seperti saya) setelah aku baca tulisannya yang terbaru, fikirannya masih sama ketika belum memerintah dan selepas memerintah,” katanya, kini setiausaha PAS Kuala Kedah.

“Cuma aku harapkan fikiran itu bukan kembali sama seperti dahulu setelah melihat hujung terowong semakin gelap di kehidupan dunia ini (sudah tentu tidak begitu bagi seorang pejuang Islam yang yakin dengan maalikiyau middiin).

“Semoga pemuda dan pemudiku yang telah memegang jawatan hasil daripada kemenangan kita dalam pilihan raya (umum) yang lalu akan terus sama berfikir dan bertindak seperti dahulu juga, seperti aku dan Husam.”

Mantan presiden, Gus Dur pulang ke rahmatullah

Posted in MEDIA on 30 December 2009 by zanas

Mantan presiden Indonesia, Abdur Rahman Wahid meninggal dunia di Hospital Cipto Mangunkusumo, Jakarta petang ini di saat menerima kunjungan presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Setiausaha peribadi tokoh itu, yang juga dikenali Gus Dur, cucu pengasas gerakan Nahdhatul Ulama (NU) itu mengembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 6.40 petang waktu Jakarta (7.40 malam Kuala Lumpur).

Gus Dur, presiden pertama selepas era kepemimpinan regim Golkar, meninggal dunia di depan Susilo.

Allahyarham menggantikan BJ Habibie yang menggantikan presiden Soeharto, yang dianggap memerintah dengan gaya autokratik, setelah ditumbangkan gerakan reformasi pada 1998.

Gus Dur, yang turut berpengaruh di kalangan ahli politik dan aktivis Malaysia, memperkenalkan beberapa undang-undang yang memungkinkan permulaan era lebih terbuka dan demokratik di republik itu.

Tokoh agama yang disegani ramai dan pejuang hak asasi itu dirawat di hospital berkenaan sejak Jumaat lalu.

Raja Petra ditaja pihak tertentu di London?

Posted in MEDIA on 30 December 2009 by zanas

Sebuah pangsapuri di Gloucester Terrace, Bayswater, London yang dipercayai tempat tinggal Raja Petra Raja Kamarudin (gambar kecil).

Gaya hidup mewah pengendali web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin, 59, yang mampu tinggal di sebuah pangsapuri di Gloucester Terrace, Bayswater, London, dipercayai ditaja oleh pihak-pihak tertentu.

Menurut sumber, pemeriksaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan Raja Petra dibiayai oleh individu tertentu yang mempunyai konspirasi untuk merosakkan nama baik kerajaan Malaysia.

Ditanya mengenai kelewatan permohonan untuk mendapatkan ekstradisi, beliau berkata, proses tersebut selalunya memakan tempoh yang lama.

“Kadang-kala proses itu akan mengambil masa sehingga enam bulan dan perkara itu bergantung kepada kepentingan sesuatu kes,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, PDRM tidak mempunyai hak menahan mana-mana suspek walaupun dalam senarai dikehendaki sewenang-wenangnya di negara asing tanpa melalui proses ekstradisi.

Bagaimanapun memandangkan Raja Petra memasuki negara tersebut menggunakan dokumen palsu, penahanan penulis blog itu boleh disegerakan sekiranya kerajaan United Kingdom berhasrat untuk menggunakan Akta Imigresen.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dia dituduh menerbitkan artikel bertajuk Let’s Send the Altantuya Murderers to Hell dalam blog http://www.malaysia-today.net, bertarikh 25 April 2008.

Selain itu, dia dituduh memfitnah Rosmah serta dua yang lain dalam satu akuan bersumpah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 18 Jun tahun lalu.

Mahkamah Sesyen pada 11 dan 13 November lalu bagaimanapun membebaskan tanpa melepaskan Raja Petra kerana pihak pendakwaan gagal mengesannya.

Husam: Pisahkan keluarga daripada pentadbiran

Posted in MEDIA on 30 December 2009 by zanas

Exco kanan kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa menggesa pemimpin sesebuah kerajaan, termasuk PAS, memisahkan daripada kepentingan kekeluargaan.

Dengan mengungkit semula betapa negatifnya isu tersebut pernah melanda Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, Husam menyeru agar wujud pemisahan jelas pengaruh keluarga daripada pentadbiran negeri.

“Politik Malaysia memandang serong politik keluarga seperti ini. Kemenangan besar (BN) tahun 2004 tidak berulang.

“Isu-isu keluarga antara penyumbang kepada tumbangnya Pak Lah selepas pilihan raya 2008,” coret Husam di blognya Cetusan Hati semalam.

“Dihimpit antara kritikalnya kedudukan negara dan sedikit sebanyak gangguan dalaman yang wujud, peliharalah integriti pemimpin- pemimpin kita dengan anggota keluarga tidak merasa diri mereka adalah pemegang kepentingan yang lebih penting daripada pihak yang dipilih oleh rakyat secara yang sah.”

Tidak jelas maksud “peliharalah integriti pemimpin-pemimpin kita…” sama ada merujuk pemimpin PAS atau pemimpin BN kerana sebelumnya Husam banyak merujuk kes yang melingkari barisan pemimpin utama negara.

Husam bagaimanapun menjelaskan bahawa mereka yang mahukan perubahan tidak harus terperangkap dalam kerenah yang sama.

“Keadaan (BN) nampaknya kritikal. Peluang untuk rencana perubahan mengambil tempat lebih kukuh terbuka luas. Asal pemain-pemain agenda perubahan tidak pula terperangkap dengan isu dalaman yang tidak mustahak.  “Kemuncup-kemuncup sekalipun, jika tidak diurus, boleh menghilangkan fokus dan menjadi kulit pisang yang licin dan membahayakan,” tulisnya lagi.

Exco itu juga mengingatkan betapa pada penghujung era kepemimpinan Datuk Asri Muda di Kelantan, menjelang kejatuhan negeri itu ke tangan BN, PAS mendapat jolokan negatif “parti Asri sekeluarga.”

Muncul ketika dua pegawai Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan digugurkan, dan desas-desus digantikan dengan mereka yang dekat dengan anggota keluarganya, coretan blog Husam ini menguatkan tanggapan bahawa pentadbiran Kelantan masih lagi bergolak.

Coretan yang penuh berlapik itu bagaimanapun tidak menyebut secara jelas perkembangan politik di negerinya, sekali gus meletakkan orang ramai dalam keadaan terus berteka-teki.  Isu dua pegawai tersebut mendapat perhatian luar biasa kerana diura-urakan berkaitan rapat dengan dakwaan wujudnya pengaruh keluarga Nik Abdul Aziz dalam pentadbiran negeri.

Setelah muncul kontroversi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui menantunya Abdul Ariffahmi Ab Rahman, isu pengaruh keluarga menteri besar rancak diperkatakan.

Dalam keghairahan membela suaminya Abdul Ariffahmi yang didesak meninggalkan PMBK, Nik Amalina Nik Abdul Aziz pula secara terbuka menudingkan jarinya kepada PAS dan pemimpin-pemimpin negeri tersebut.

Nik Amalina juga mengakui wujudnya perbincangan peringkat keluarganya selama beberapa kali berhubung pelantikan Abdul Ariffahmi.

Kemudian perkara ini disahkan oleh Nik Abdul Aziz sendiri dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini awal bulan ini.

Sementara itu, seorang bekas pegawai mantan menteri besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, menulis di blognya bahawa Anual Bakhri terpaksa melepaskan jawatan tersebut.

“Anual dalam pesanan mesej ringkasnya (kepada saya) sekadar berkata, ‘beliau mengundur diri dalam keadaan yang sukar’,” kata Anuar Hashim di Perakite semalam.

Setiausaha akhbar Nik Abdul Aziz, Mohd Saiba Yaakob, yang turut berundur, dipetik berkata beliau difahamkan Anual Bakhri digugurkan susulan pertikaian beberapa pihak kerana dianggap “gagal memberi nasihat politik yang betul kepada menteri besar dalam beberapa isu penting mutakhir ini.”

Mengulas isu panas tersebut, kerana dianggap satu lagi tanda pergolakan dalaman PAS negeri, Nik Abdul Aziz hari ini bagaimanapun menafikan dua setiausahanya itu dipecat.

Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat Dewan Harian PAS petang ini, lapor Harakahdaily.net, beliau berkata Anual Bakhri sudah lama berniat berbuat demikian.

Pegawainya itu mahu menumpukan kepada bidang penulisan dan syarikat penerbitannya, selain masalah kesihatan anak bongsunya, lapor media rasmi PAS itu lagi.

Nik Abdul Aziz dipetik berkata pengunduran dua pegawainya itu bukan rombakan tetapi “prosedur biasa” pelantikan politik.

Beliau juga menafikan desas-desus Husam, yang hadir di mesyuarat tersebut walaupun diura-urakan tidak mahu menyertainya, meletakkan jawatan.

sumber: malaysiakini

Apabila tetamu yang tidak diundang mula memalu gendang !

Posted in MEDIA on 27 December 2009 by zanas

Sebelum adanya Malaya dan Malaysia, semenanjung ini dikenali sebagai Tanah Melayu. Hanya berkata ini akan sebabkan dituduh bersifat perkauman. Untuk terangkan berkenaan asal-usul kontrak sosial Malaysia, kita terpaksa imbas semula sejarah.

Melalui perjanjian-perjanjian yang ditandatangani Raja-Raja Melayu Semenanjung, British telah mendapat hak untuk menakluk Negeri-negeri Melayu. Perjanjian-perjanjian ini mengakui dan mengesahkan Negeri-negeri ini sebagai Negeri-negeri Melayu. Tidak ada sesiapa pun yang membantah. Orang Asli juga menerima keadaan ini dengan penerimaan oleh mereka pemerintahan Raja-Raja Melayu.

Pada mulanya penduduk yang tinggal di Negeri-negeri ini dibahagi kepada orang Melayu dan Orang Asli yang merupakan rakyat Raja-raja Melayu dan tetamu asing yang tidak dianggap sebagai rakyat kepada Raja-raja Melayu. Tidak ada kewarganegaraan mahupun dokumen berkenaan taraf kerakyatan sepertimana di kebanyakan negara-negara lain.

Tetamu asing ini hidup mewah di Negeri-negeri Melayu di bawah pentadbiran British dan di jajahan British di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Orang Melayu yang menjadi rakyat kepada Raja-raja Melayu dan Raja-raja Melayu sendiri tidak sikitpun merasa tergugat dengan bilangan besar orang bukan Melayu dan perbezaan jurang kekayaan dan kemajuan di antara tetamu asing ini dan rakyat Raja-Raja Melayu.

Mereka tidak terfikir yang orang asing yang menetap di negara ini akan menuntut hak kewarganegaraan. Apabila Jepun menakluk Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat, orang Cina merasa tidak selamat kerana Jepun merupakan musuh tradisi mereka. Ramai orang Cina telah menubuhkan dan menganggotai angkatan gerila dan lari ke dalam hutan.

Apabila Jepun serah diri, gerila-gerila Cina ini keluar dan merampas balai-balai polis di kawasan pedalaman dan isytihar yang mereka adalah pemerintah negara ini. Mereka menangkap ramai orang, Cina dan Melayu dan beberapa daripada mereka ini dibunuh. Ketegangan timbul dan pertempuran antara Cina dan Melayu dielak hanya dengan kedatangan angkatan tentera British. Tetapi perasaan marah dan benci antara kedua-dua kaum ini tetap tinggi.

Di dalam keadaan tegang ini British mencadang penubuhan Malayan Union yang akan memberi “tetamu-tetamu” ini hak kerakyatan yang tidak membezakan mereka daripada orang Melayu. Orang Melayu menolak Malayan Union dan cadangan hak kerakyatan ini. Mereka paksa British untuk kembali keapda keadaan asal atau status quo ante di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) yang baru.

Hanya orang Cina yang menjadi rakyat Negeri-negeri Selat layak untuk mendapat kerakyatan di dalam Persekutuan yang baru ini. Sudah tentu warganegara keturunan Melayu jauh lebih ramai daripada rakyat Malaya yang berketurunan Cina.

Pemimpin-pemimpin Cina merayu kepada British, yang kemudiannya menekan Presiden UMNO, Dato Onn Jaafar supaya mencadangkan agar UMNO dibuka kepada semua kaum. Cadangan ini ditolak lain-lain pemimpin UMNO dan Dato Onn terpaksa melepaskan jawatan. British terus beri tekanan kepada orang Melayu untuk bersikap lebih terbuka berkenaan soal kerakyatan bagi orang bukan Melayu.

Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman memutuskan untuk menubuhkan pakatan dengan MCA (Malaysian Chinese Association) dan MIC (Malaysian Indian Congress). Dalam pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Assembly) 1955, oleh kerana kurangnya kawasan majoriti penduduk Cina dan India, MCA dan MIC terpaksa letak calon mereka di kawasan yang mempunyai majoriti Melayu selepas UMNO bersetuju untuk tidak bertanding di kawasan-kawasan ini dan sebaliknya menyokong calon Cina MCA dan calon India MIC.

Begitu sokongan orang Melayu terhadap calon Perikatan MCA dan MIC hinggakan mereka menang walaupun menentang calon Melayu daripada PAS. Calon MCA dan MIC kesemuanya menang. Hanya UMNO kalah satu kerusi kepada PAS.

Tunku sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu kemudian memutus untuk menuntut kemerdekaan. British terus berkeras menuntut hak kerakyatan bagi orang Cina dan India sebagai syarat memberi kemerdekaan. Untuk mengatasi halangan British terhadap kemerdekaan dan untuk memenangi sokongan orang Cina dan India, Tunku memutuskan untuk beri satu juta kerakyatan kepada kedua-dua komuniti ini berdasarkan hanya kepada permastautin. Salah seorang rakyat baru yang menonjol ialah (Tun) Leong Yew Koh, bekas general di dalam angkatan tentera nasional China yang kemudiannya dilantik Gabenor Melaka.

Di peringkat ini pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti yang berdasarkan kepada kaum yang telah mendirikan Kerajaan pemerintahan sendiri di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) British telah berbincang dan mencapai persetujuan berkenaan syarat perhubungan antara ketiga-tiga kaum di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Ianya merupakan agihan yang sama rata. Sebagai balasan untuk satu juta kerakyatan bukan Melayu, orang bukan Melayu mesti mengakui kedudukan istimewa orang Melayu sebagai Bumiputera. Beberapa peruntukan undang-undang seperti kedudukan Islam sebagai agama rasmi, pengekalan tanah rizab Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan adat istiadat Melayu dan pengagihan jawatan dalam Kerajaan juga termasuk di dalam persefahaman ini.

Dalam soal Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu telah dipersetujui sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Inggeris pula sebagai bahasa ke-dua. Kaum Cina dan India boleh terus gunakan bahasa mereka tetapi bukanlah sebagai bahasa rasmi untuk berkomunikasi.

Sekolah rendah Cina dan Tamil juga boleh menggunakan bahasa masing-masing sebagai bahasa pengajar. Bahasa-bahasa ini juga boleh digunakan di sekolah menengah, tetapi hanya di sekolah menengah swasta.Di pihak mereka pemimpin-pemimpin Cina dan India yang mewakili parti mereka menuntut agar kerakyatan dijadikan hak mereka yang tidak boleh ditarik balik, mereka dibenar kekalkan bahasa, agama dan budaya mereka dan sebagai rakyat mereka diberikan hak politik sepertimana yang diberikan kepada semua rakyat.

Kebanyakan persetujuan dan persefahaman ini terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Bagi setiap yang diperuntukkan kepada orang Melayu, akan sentiasa terdapat peruntukan bagi yang bukan Melayu. Tidak ramai yang sebut akan hakikat ini. Yang menarik perhatian ramai dan yang menjadi tajuk perbalahan ialah apa yang diperuntukkan kepada orang Melayu dan lain-lain kaum Bumiputera sahaja.

Difahamkan bahasa Cina yang di maksudkan di dalam persefahaman tersebut adalah dialek-dialek Cina yang ditutur di Malaysia dan bukannya bahasa kebangsaan negeri China. Demikian bagi kaum India Malaya bahasa Tamil digunakan dan bukannya Hindi atau Urdu atau apa-apa bahasa pun yang menjadi bahasa Kebangsaan di India. Tetapi para pendidik aliran Cina kemudiannya mengguna Bahasa Cina yang menjadi bahasa Kebangsaan negara China iaitu Mandarin.

Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain boleh dipraktik penganut masing-masing tanpa apa-apa halangan. Sebagai agama rasmi Islam mendapat bantuan Kerajaan. Tiada tersebut tentang bantuan bagi mana-mana agama lain. Bukan Melayu tidak menekankan tentang ini dan Perlembagaan Persekutuan tidak pun sebut tentang bantuan Kerajaan terhadap agama lain. Namun sokongan dan bantuan tetap diberikan.

Kuota ditetapkan bagi kakitangan Kerajaan (Malayan Civil Service) dimana orang Melayu akan mendapat empat tempat bagi setiap satu yang diberikan kepada orang Cina dan India. Walaubagaimanapun, jawatan profesional diiktiraf terbuka bagi semua kaum kerana dianggap tidak mungkin terdapat cukup bilangan orang Melayu untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut. Hasilnya pada awal kemerdekaan terdapat lebih ramai kaum bukan Melayu daripada Melayu yang mengisi jawatan dalam Divisyen Satu.

Yang Di-Pertuan Agong atau Raja-raja Melayu akan menentukan kuota biasiswa dan lesen bagi orang Melayu. Tetapi tiada sesiapa yang akan dirampas mana-mana permit atau lesen hanya untuk diberikan kepada kaum Bumiputera. Kedudukan Raja-raja Melayu termaktub dan tidak boleh dipersoalkan. Seorang Yang Di-Pertuan Agong akan dipilih daripada sembilan Raja-raja Melayu dan akan berkhidmat selama lima tahun.

Raja-raja akan menjadi Raja berperlembagaan. Kuasa eksekutif akan dilaksanakan oleh Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri yang dipilih dan dibantu ahli majlis atau Kabinet. Amalan British dijadikan contoh.

Persetujuan yang paling penting ialah pelaksanaan Demokrasi Berparlimen digabungkan dengan Raja Berperlembagaan, sekali lagi seperti yang diamalkan di United Kingdom. Harus diingat pihak British telah mengenakan Kerajaan Kolonial kuku besi ke atas Negeri-negeri Melayu dengan kuasa diletak pada Pejabat Kolonial di London.

Sebelum ini Negeri-negeri Melayu diperintah secara feudal di mana Raja-raja Melayu mempunyai kuasa mutlak. Hanya golongan bangsawan yang memain peranan dalam politik negeri. Rakyat Melayu tidak langsung ada apa-apa hak politik. Sudah tentu tetamu juga tidak mempunyai suara dalam hal-hal berkenaan politik. Warganegara British keturunan Cina dan India juga tidak mempunyai apa-apa suara walaupun mereka boleh dilantik sebagai Ahli Kehormat Majlis Kerajaan Tempatan atau Perundangan.

Keputusan untuk melaksana sistem Kerajaan berlandaskan demokrasi merupakan satu langkah radikal di dalam pentadbiran Kerajaan di Persekutuan Tanah Melayu dan Negeri-negeri Melayu. Ini dipersetujui pemimpin ketiga-tiga kaum terbesar yang diwakili parti-parti politik UMNO, MCA dan MIC. Tidak syak lagi yang parti-parti ini mewakili sebahagian besar daripada ketiga-tiga masyarakat di Malaya. Pihak Komunis dan yang berhaluan kiri lain tidak menyatakan persetujuan mereka terhadap persefahaman ini.

Suruhanjaya Reid diberi penerangan tentang perjanjian dan persefahaman ini agar ianya akan dimasukkan kedalam Perlembagaan yang akan digubal. Ketiga-tiga parti meluluskan Perlembagaan yang digubal setelah beberapa pindaan dilakukan. Kesannya Perlembagaan ini menjadi kontrak yang mengikat ketiga-tiga kaum di Persekutuan Tanah Melayu menjelang merdeka pada tahun 1957.

Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Negeri-negeri Semenanjung untuk membentuk Malaysia kontrak sosial ini di panjangkan kepada kedua-dua negeri ini. Orang Bumiputera Sabah dan Sarawak di beri taraf yang sama dengan orang Melayu. Pada masa ini juga perkataan Bumiputera diperkenalkan untuk membezakan orang Melayu dan orang Bumiputera Sabah, Sarawak daripada yang berketurunan pendatang. Kerana Bahasa Melayu dugunakan secara meluas di negeri-negeri Borneo tidak ada kesulitan bagi penerimaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Walaupun kaum Bumiputera di kedua-dua negeri ini bukan semuanya orang Islam ini tidak memerlukan pindaan kepada Perlembagaan apabila perkataan Bumiputera diterima. Tetapi definisi rasmi bagi orang Melayu tetap tidak berubah.

Oleh itu pembentukan kontrak sosial dimaktubkan dalam pertama, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia. Untuk mengatakan yang ianya tidak wujud samalah dengan menidakkan kandungan Perlembagaan yang diasaskan kepada penerimaan oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum terhadap kontrak sosial yang asal.

Kesemua tindakan susulan oleh Kerajaan adalah hasil daripada kontrak sosial ini. Hakikatnya pencetus kontrak sosial ini dan pewaris-pewaris mereka yang diiktiraf rakyat di setiap Pilihanraya Umum menunjukkan kesediaan rakyat untuk menghormati kontrak sosial ini. Menidakkan kewujudan kontrak sosial ini ialah seperti berkata yang Malaysia ini wujud di dalam suasana kekosongan, tidak ada Perlembagaan dan undang-undang yang berlandaskan kontrak ini.

Pelaksanaan kontrak sosial ini memerlukan pemahaman semangatnya yang mendalam. Kontrak sosial ini bertujuan mewujudkan satu negara berbilang kaum yang stabil dan harmoni. Apa jua faktor yang akan akibatkan ketidakstabilan dan menghasilkan ketegangan di antara kaum haruslah dianggap tidak sesuai dengan semangat kontrak sosial ini.

Selama 50 tahun tidak ada sesiapa yang menyoal kontrak sosial ini. Malahan hari ini pun majoriti kaum Cina dan India dan Bumiputera Melayu dan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak menerima kontrak sosial ini. Disebabkan politik peribadi ahli poltik yang mempunyai kepentingan peribadi dan agenda dalam melemahkan kuasa Melayu dalam pada yang sama telah mengelirukan pemahaman kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh nenek-moyang mereka, pihak ekstrimis dan penyanggah sekarang ini mempersoalkan kontrak sosial ini. Lebih malang lagi, Majlis Peguam kini telah menjadi seakan sebuah parti politik yang percaya bahawa kepakarannya dalam undang-undang akan mengecualikan ianya daripada dipersoal tentang kelayakannya dan objektif politiknya. Kini bangsa Melayu telah menjadi semakin dihimpit dan sedaya upaya menangkis serangan terhadap pencabulan kontrak sosial yang telah dimertai sekian lama.

UMNO sebagai pejuang kepada bangsa Melayu demi menegakkan agama Islam dan Melayu khasnya harus merapatkan barisan untuk mempertahankan tanahair tumpah darah iaitu Tanah MELAYU, MALAYa dan MALAYsia dari diporak-perandakan.

Suara Politik
Taminsari

Ahli Parlimen ‘import’ tutup mulut

Posted in MEDIA on 26 December 2009 by zanas

Ahli-ahli Parlimen ‘import’ Pas di Kelantan mengambil jalan selamat dengan mengunci mulut berhubung pendirian Pas negeri itu yang akan mempertimbangkan hanya calon tempatan sahaja bagi bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub ketika dihubungi Utusan Malaysia enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kepada pihak lain untuk menilai prestasinya.

”Saya enggan komen, tidak manis kerana saya merupakan orang yang terlibat secara terus dalam isu ini. Biarlah orang lain yang beri komen dan menilai prestasi saya,” katanya yang berasal dari Johor dan memenangi kerusi Parlimen itu selama dua penggal berturut-turut bermula 2004.

Pada masa ini terdapat empat ahli Parlimen dari luar negeri itu yang memenangi kerusi di Kelantan. Mereka ialah Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa (Parlimen Bachok); Salahuddin yang juga Naib Presiden Pas; Bendahari Pas, Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli (Kuala Krai) dan Saifuddin Nasution Ismail (Machang) atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Salahuddin diminta mengulas pendirian Pas Kelantan untuk mempertimbangkan cadangan agar hanya anak kelahiran negeri itu sahaja diberi keutamaan menjadi calon Parlimen dalam PRU akan datang.

Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam dilaporkan berkata, cadangan agar anak kelahiran tempatan diberi keutamaan menjadi calon bertanding kerusi Parlimen dalam PRU akan dibincangkan dalam mesyuarat Pas negeri.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata demikian ketika diminta mengulas pendapat Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Datuk Muhammad Daud yang mengemukakan cadangan itu.

Pada PRU lalu, Pas Kelantan memperuntukkan tiga kerusi Parlimen kepada pemimpin tertinggi parti itu yang berasal dari luar. Sementara itu, Saifuddin yang berasal dari Kedah merupakan satu-satunya calon PKR yang bukan anak tempatan bertanding di kerusi Parlimen negeri ini.

Pakatan pembangkang ketika itu memperuntukkan sebanyak tiga kerusi Parlimen di negeri ini untuk ditandingi PKR iaitu Parlimen Machang, Tanah Merah dan Ketereh. Mereka memenangi kesemua kerusi tersebut.

Dalam pada itu, Dr. Mohd. Hatta ketika dihubungi enggan memberikan sebarang komen mengenai cadangan Pas negeri itu. Beliau memberikan reaksi ringkas: “Saya rasa cukuplah dengan kenyataan Salahuddin itu, saya tidak mahu tambah apa-apa.” Mengulas isu sama, Saifuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR berkata, cadangan itu tidak membabitkan calon PKR, malah ia lebih terarah kepada calon Pas sahaja.

”Komen Menteri Besar itu hanyalah berkisar mengenai calon Pas. Tidak ada kaitan dengan PKR. Jadi terserah kepada Pas,” katanya.

Masa singkat tanda kiamat

Posted in MEDIA on 26 December 2009 by zanas


MEGA: Masa berlalu amat pantas. Rasanya baru sangat kita menyambut Maal Hijrah 1430. Kini kita sudah berada dalam tahun 1431H. Apakah tanda atau maksud masa yang terlalu pantas ini?

ZURIDAN: Tanpa kita disedari masa berlalu begitu pantas. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Kini kita berada di ambang tahun baru Hijrah 1431 dan tahun Masihi 2010.

Pada hakikatnya fenomena kepantasan waktu adalah suatu petanda bahawa dunia sudah semakin di penghujung usianya. Ini telah dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a, baginda bersabda: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api”. (riwayat Tarmizi)

Dengan beralihnya kita ke dalam tahun baru, kerisauan sepatutnya dihadirkan dalam diri dengan seribu macam persoalan tentang masa depan kita.

Bukan sahaja masa depan hidup di dunia ini tetapi masa depan di akhirat kelak kerana ia adalah destinasi terakhir kita sebagai manusia. Pelbagai soalan perlu diajukan.

Apakah sudah cukup amalan kita? Apakah sudah tertebus dosa kita? Apakah layak kita menjadi penghuni syurga? Apakah mampu kita menahan malu di padang mahsyar apabila segala rahsia keburukan kita dipamerkan secara terperinci oleh Allah dan apakah sanggup kita menahan seksaan azab api neraka-Nya?

Allah berfirman di dalam surah al-Hasyr ayat 18-20 yang bermaksud: (Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang Telah dilakukannya (sebagai persiapan) untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri , mereka Itulah orang-orang yang fasiq. Tidaklah sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni syurga; penghuni-penghuni syurga itulah mereka yang benar-benar beruntung).

Apa pula maksud yang tersirat daripada sambutan Maal Hijrah setiap tahun?

ZURIDAN: Insaflah! Bahawa berlalunya masa bermakna semakin tualah usia kita. Lihatlah tubuh kita yang suatu masa dahulu begitu cergas tetapi kita pergerakan sudah menjadi lambat.

Rambut kita, dahulunya hitam kini sudah ada kilauan warna putih beruban. Kulit kita, dulunya tegang tetapi kini sudah menampakkan kedutannya.

Bermulanya tahun baru bermakna semakin tualah usia dunia dan semakin hampirlah saat ketibaan hari kiamat. Jika lahirnya Nabi Muhammad SAW adalah sebagai tanda bermulanya akhir zaman, kini baginda SAW telah semakin lama meninggalkan yang memberi makna usia dunia pastinya benar-benar sangat lanjut.

Ini lebih nyata dengan pelbagai siri perkara aneh yang berlaku dan berbagai bencana alam yang tidak terduga berlaku. Seluruh dunia dalam tahun 1430 Hijrah menyaksikan pelbagai kejadian bencana alam yang tidak terkawal.

Begitu juga dengan kejadian jenayah, pembunuhan dan peperangan yang seolah-olah tiada noktahnya.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga melimpah ruah harta benda dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak berlaku al-Harj. Sahabat bertanya, Apakah al-Hajr itu hai Rasulullah? Nabi menjawab, peperangan demi peperangan demi peperangan”. (riwayat Ibnu Majah)

Justeru, apa sewajarnya sikap kita dalam mempersiapkan diri bertemu Allah SWT?

ZURIDAN: Masa yang menjadi semakin singkat ini tidak sewajarnya dibiarkan begitu sahaja. Lihat peringatan Allah dalam surah al-Asr di atas.

Suasana umat Islam hari ini seolah-olah lebih cenderung memenuhi kehidupan mereka dengan keseronokan dan hiburan. Sebaliknya tidak berminat dengan aktiviti lebih bermanfaat seperti beribadat di masjid ataupun menuntut ilmu.

Ini dapat dilihat apabila masjid-masjid sentiasa suram dengan penghuninya sebaliknya tempat-tempat hiburan sentiasa penuh dengan pengunjungnya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Dua nikmat yang selalu diabaikan oleh ramai manusia iaitu kesihatan dan masa lapang. (riwayat Imam Bukhari).

Masa dalam kehidupan seorang muslim sangat penting. Ia lebih penting daripada wang ringgit. Oleh itu setiap waktu dalam kehidupan muslim sentiasa dikaitkan dengan ganjaran jika dilaksanakan amalan tertentu. Waktu fajar umpamanya dikaitkan dengan dua rakaat solat sunat yang lebih baik dari nilai dunia dan isinya. Waktu tengah malam pula ialah saat afdalnya munajat kepada Allah SWT.

Bagi seorang muslim masa di dunia adalah waktu untuk bersusah payah dahulu mengumpul bekalan sebelum mengecapi kegembiraan di akhirat kelak!

Masa sepatutnya digunakan sebaiknya kerana ia sesuatu yang tidak dapat dikembalikan semula. Hayatilah sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sempit dan masa senang sebelum susah”. (riwayat Al-Hakim).

Malangnya kita jarang bertanya perkara seperti berapa kalikah aku meninggalkan solat pada tahun ini? Apakah puasaku cukup? Apakah aku pernah bangun malam menangisi dosaku di hadapan Allah?

Apakah aku membaca al-Quran dan berapa kali aku membacanya dalam seminggu? Apakah aku benar-benar rasa nikmat menjadi Muslim? Apakah aku sudah bertaubat dari dosa-dosa besar yang telah aku lakukan?

Seharusnya perkara begini turut menjadi keutamaan kita setiap kali menyambut tahun baru.  Begitu hebat kepentingan menjaga masa. Malangnya ramai yang menganggap tunggulah bila dah tua baru nak beribadat. Bagaimana membetulkan persepsi begini?

ZURIDAN: Masa muda, ia adalah saat tubuh badan masih kuat dan fikiran masih segar, maka gunakanlah ia untuk melaksanakan ibadah dan menuntut ilmu. Bukannya digunakan untuk berseronok atau hanya berhibur seperti mana yang banyak berlaku hari ini. Apabila sudah tua pastinya pergerakan semakin perlahan dan kebolehan menuntut ilmu semakin lemah dan kekuatan untuk melaksanakan ibadah semakin sedikit.

Diriwayatkan bahawa malaikat maut datang bertemu Nabi Yaakub a.s. Maka Nabi Yaakub bertanya: “Wahai malaikat maut apakah kamu datang kepadaku kerana ingin mencabut nyawa atau menziarahiku? Jawabnya: Untuk menziarahmu sahaja. Berkata Nabi Yaakub: Aku ada satu permintaan darimu. Bertanya malaikat maut: Apakah permintaanmu? Jawab Nabi Yaakub: Jika kamu datang untuk mencabut nyawaku maka hantarkanlah dahulu utusan untuk memaklumkanku terlebih dahulu. Kata malaikat maut: Ya! Kemudian malaikat maut pun pergi. Setelah beberapa tahun malaikat maut datang kembali kepada Nabi Yaakub. Lalu Nabi Yaakub bertanya: Kamu datang untuk menziarah atau mencabut nyawaku? Kata malaikat maut: Aku datang untuk mencabut nyawamu. Lalu kata Nabi Yaakub: Bukankah aku telah katakan jika kamu ingin mencabut nyawaku hantarkan dahulu seorang utusan supaya dapat aku bersedia menambah ketaatan dan amal kebaikan. Jawab malaikat maut: Aku telah lakukannya. Kata Nabi Yaakub: Tiadapun utusan yang sampai kepadaku. Jawab malaikat maut: Sesungguhnya aku telah mengutuskan dua utusan iaitu uban di kepalamu dan belakangmu yang bongkok”.

Masa juga mestilah dipelihara ketika kita melaksanakan kerja dan tugas harian. Sebagai muslim menghargai masa dan menepatinya adalah satu kewajipan manakala tidak menepatinya adalah satu dosa kerana ia adalah tanda sifat munafik. Apa yang berlaku dewasa ini ialah meremehkan masa dan selalu lambat yang semakin menular di kalangan umat Islam. Pada masa ini orang Arab sering dikaitkan sikap lambat, suka bertangguh, tidak tepati janji dan begitu juga dengan masyarakat Melayu hingga munculnya ungkapan ‘janji Melayu’.

Penyakit lambat ini memberi imej yang tidak baik kepada Islam itu sendiri kerana bangsa Arab dan bangsa Melayu adalah sinonim dengan Islam. Contohnya di tempat kerja, suasana lambat menghadiri mesyuarat, lambat memulakan sesuatu majlis dan lambat menyiapkan tugasan adalah menjadi lumrah.

Budaya lambat ini adalah gambaran kemalasan dan kelembapan dan biasanya budaya inilah yang membantutkan kemajuan. Lihat sahaja apa yang berlaku di pejabat-pejabat kerajaan mahupun swasta. Amat susah melihat sesuatu mesyuarat dimulakan tepat pada waktunya.

Malah ada sesetengah tempat, masa yang tercatat sengaja diawalkan kerana sudah sedia maklum pasti akan berlaku kelewatan dalam memulakan sesuatu majlis.

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.