Archive for October, 2012

HARI ARAFAH & HARI NAHAR

Posted in Uncategorized on 23 October 2012 by zanas

 

 
Penulis Tamu: Ust Lukman MS.

Bismillah, alhamdulillah, wassolaatu wassalaamu ala Rosulillah;

Beberapa hari lagi kita akan bertemu dengan hari yang agung, hari yang mendapat penyaksian Allah. itulah hari Arafah. kemudian, datang pula hari raya Adha, hari Haji Akbar @ hari Nahar. Bagi tiap-tiap hari tersebut kedapatan hukum-hukumnya yang tertentu. Kita akan menyentuh beberapa hukum yang berkaitan dengan kedua-dua hari ini agar kita dapat mendepaninya dengan ilmu, mendapat petunjuk dan hidayah Allah.

Diantara hukum yang paling penting adalah yang berkaitan dengan ibadah puasa pada hari arafah. Terdapat pelbagai faedah dan keistimewaan berpuasa. Maksud firman Allah menjelaskan kelebihan puasa sunat: “…Barangsiapa yang melakukan kebajikan dengan kerelaan hati, maka itu adalah lebih baik baginya…” [al-Baqarah 2:184]. “…Lakukanlah kebaikan, semoga kamu beroleh kejayaan.” [al-Haj 22:77]. Setiap insan sangat memerlukan amalan soleh sebagai mendekatkan diri kepada Allah. Amalan soleh ini pula hendaklah dilakukan atas dua tujuan:

1- Mendekatkan diri kepada Allah.

Imam Ahmad berkata: “Puasa adalah ibadah sunat yang paling baik kerana ia tidak didatangi riya`. Seperti yang diketahui, riya` akan memusnahkan amalan dan mengheret pelakunya ke dalam neraka (semoga kita dipelihara). Kerana itu kita dituntut melakukannya dengan penuh keikhlasan.” Firman Allah: “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus…” [al-Bayyinah 98:5].

Sabda Nabi: “Kata Allah: Aku maha kaya daripada sebarang kesyirikan. Barangsiapa yang melakukan amalan dengan mensyirikkan Aku, maka Aku berlepas diri darinya dan apa yang dipersekutukannya.” [Ahmad]. Sabda Nabi lagi: “Ya Allah! Haji yang tidak mengandungi riya`dan sum`ah”. [ibnu Majah. al-Bani mensahihkan dalam Sahih al-Jami`, no: 1313].

Umumnya, ibadah puasa dapat menjauhkan kita dari api neraka. Sabda Nabi: “Tiada seorang hamba yang berpuasa satu hari di jalan Allah melainkan dijauhkan mukanya dari api neraka 70 tahun.” [Muttafaq alaih]. Banyaknya puasa adalah tanda seseorang itu dikasihi Allah dan mendapat kedudukan yang tinggi di sisiNya. Orang yang dikasihi Allah juga akan mendapat tempat di sisi penghuni bumi dan langit. Sabda Nabi: “Allah berfirman: “Senantiasalah seorang hamba mendekatkan diri kepadaKu sehingga Aku mengasihinya.”

2- Menampung kekurangan pada amalan.

Setiap insan tidak sunyi dari kesalahan, kekurangan dan maksiat. Kerana itu disyariatkan amalan-amalan sunat bagi menampung kecacatan amalan fardhu. Sabda Nabi: “Amalan sunat akan meyempurnakan kekurangan amalan fardhu pada hari kiamat.” [Ahmad dan Abu Daud dan lain-lain. Ahmad Syakir mensahihkan dalam Tahqiq Musnad]. Maka kerana itu, seorang muslim hendaklah berusaha menambah pahala dan pahala tidak akan datang melainkan kita melakukan amalan yang wajib dan memperbanyakkan amalan sunat. Antara amalan sunat tersebut adalah puasa hari Arafah.

Kelebihan Puasa Hari Arafah.

Puasa Arafah adalah puasa pada 9 Zulhijjah. Ulama telah bersepakat bahawa puasaArafah adalah puasa yang paling afdhal berbanding hari-hari yang lain. Sabda Nabi: “Aku berharap daripada Allah dengan puasa hari Arafah, akan dihapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.” [Muslim]. Puasa Arafah mengangkat darjat, memperbanyak kebaikan dan menghapus dosa.

 

Dosa Apakah Yang Dihapuskan?

Dosa yang dimaksudkan di dalam hadis adalah selain dosa besar. Dosa kecil pula akan terhapus jika kita meninggalkan dosa besar. Firman Allah: “Jika kamu meninggalkan dosa-dosa besar yang dilarang keatas kamu, nescaya kami menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu (dosa-dosa kecil).” [an-Nisa`4:31]. Sabda Nabi: “Solat lima waktu, antara dua Jumaat dan antara dua Ramadhan, menghapuskan dosa diantara keduanya, jika dia meninggalkan dosa-dosa besar.” [Muslim].

 

Puasa Arafah untuk yang tidak melaksanakan haji sahaja ;

Disunatkan puasa hari Arafah bagi orang yang tidak melakukan haji. Manakala jemaah haji hendaklah memberi perhatian kepada ibadah dan doa, tidak menyibukkan diri dengan makan dan minum sehingga merugikan masanya. Dari Abi Hurairah: “Rasulullah melarang puasa hari Arafah di Arafah.” [Ahmad dan ibnu Majah. Kesahihannya dipertikaikan]. Tabrani meriwayatkan daripada Aisyah dengan makna yang sama. Disokong dengan hadis Bukhari dan Muslim: “Orang ramai mengadu berkenaan puasa Nabi pada hari Arafah, maka dikirimkan kepada Nabi satu mangkuk susu. Baginda minum susu tersebut pada waktu Dhuha hari Arafah dan orang ramai menyaksikannya.” [Bukhari dan Muslim]. Maka dengan itu, Nabi telah menghilangkan keraguan berkenaan hukum puasa Arafah bagi yang melakukan haji. Kata sebahagian ulama: larangan dalam hadis di atas membawa maksud haram. Kata ibn al-Qayyim: “Antara petunjuk Nabi adalah tidak berpuasa pada hari Arafah di Arafah.”

Kata al-Mundziri: “Ulama berkhilaf berkenaan puasa hari Arafah di Arafah. Kata ibnu Umar: “Nabi tidak berpuasa, Abu Bakar, Umar dan Usman juga tidak berpuasa. Maka aku juga tidak berpuasa.” Abdul Razzaq menyebutnya dengan lafaz: “Aku mengerjakan haji bersama Umar dan dia tidak berpuasa. begitu juga Usman. Maka aku juga tidak berpuasa, tidak menyuruh dan tidak menegahnya.” Kata `Ato`: “Barangsiapa yang tidak berpuasa hari Arafah dengan tujuan menjadi lebih bertenaga untuk berdoa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa.” [Musannaf Abdul Razzaq 4:284,285].

Kata as-Sa`ati dalam al-Fath ar-Rabbani: “Antara yang berpendapat dengan sunat tidak berpuasa bagi yang berada di arafah adalah para imam; Abu Hanifah, Malik, as-Syafi`e, Sufian al-Thauri dan jumhur ulama. Ia juga adalah pendapat Abu Bakar, Umar, Usman dan ibnu Umar. Kata as-Sa`ati: “Pendapat ini yang paling adil disisiku.”

Puasa Sunat Bagi Orang Yang Wajib Qadha`:

Ulama`berselisih pendapat tentang hukum puasa sunat sebelum seseorang selesai menqadha`puasa ramadhan;

1) Mazhab Hanafi mengatakan harus dan tidak makruh kerana puasa qadha`tidak wajib dilakukan dengan segera. Kata ibnu Abidin: “Sekiranya ia wajib dengan segera maka pasti hukum puasa sunat adalah makruh kerana ia telah melewatkan yang wajib dalam waktunya yang sempit.”

2) Mazhab Maliki dan Syafi`e melihat keharusannya beserta makruh kerana ia sudah pasti melewatkan puasa wajib. Kata ad-Dasuqi: dimakruhkan puasa sunat bagi orang yang masih belum menyelesaikan puasa wajib seperti nazar, qadha`dan kaffarah sama ada puasa sunat itu muakkad ataupun tidak, seperti puasa `Asyura`dan 9 Zulhijjah mengikut pendapat yang kuat.

3) Mazhab Hambali mengatakan haram puasa sunat sebelum puasa qadha` Ramadhan dan puasa sunat itu dikira tidak sah, walaupun waktu qadha`masih panjang. maka hendaklah dimulakan dengan qadha`sehingga selesai kemudian nazar (jika ada) seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawasanya Nabi bersabda: Barangsiapa yang masih belum menqadha`puasa Ramadhan, tidak akan diterima daripadanya puasa sunat sehingga dia berpuasa qadha`.” [Ahmad]. Hukum ini juga berdasarkan qias kepada haji iaitu tidak boleh melakukan haji sunat atau untuk orang lain sebelum dia sendiri melakukan haji yang wajib. [Mausuah Fiqhiah 28:100].

Lajnah Daemah Lil Buhus Wal Ifta’ ditanya: “Adakah harus seseorang itu menghimpunkan dua niat dalam satu amalan? Contohnya dengan menghimpunkan antara puasa qadha`dan puasa hari Arafah; yang pertamanya wajib dan keduanya pula adalah sunat? Jawapan Lajnah: “Tidak mengapa berpuasa qadha`pada hari Arafah dan dia tidak mendapat kelebihan puasa hari Arafah disebabkan ketiadaan dalil. Yang paling afdhal adalah menyelesaikan puasa qadha`pada selain hari Arafah, bagi mendapat kedua-dua fadhilat; fadhilat qadha`dan fadhilat puasa hari Arafah.” [10: 397,398].

 

Padang Arafah tahun 1950M

 

Hari Arafah Dan Hari Jumaat.

Sekiranya hari Arafah (9 zulhijjah) atau `Asyura` (10 zulhijjah) jatuh pada hari Jumaat, harus berpuasa pada hari Jumaat tersebut. Larangan berpuasa pada hari Jumaat yang disebut didalam hadis adalah sekiranya puasa itu kerana dan pada hari Jumaat sahaja tanpa ada sebab yang lain. Bagi hari Arafah, adalah lebik afdhal kita berpuasa sehari sebelum hari Jumaat tersebut sebagai jalan untuk beramal dengan kedua-dua hadis. Sebaliknya kita dilarang untuk berpuasa sehari selepas hari Arafah kerana hari tersebut adalah hari raya. Hari raya adalah hari yang diharamkan berpuasa sama ada bagi jemaah haji atau bukan berdasarkan hadis Abi Said bahawa Rasulullah melarang berpuasa pada dua hari raya; raya Fitri dan raya Korban. [Muttafaq alaih].

Abu Ubaid, hamba kepada ibn al-Azhar meriwayatkan: “Aku bersama Umar pada hari raya. Umar datang bersolat kemudian berkhutbah: “Sesungguhnya Nabi melarang berpuasa pada dua hari ini; hari kamu berbuka dari puasa dan hari kamu makan dari binatang sembelihan.” [Bukhari dan Muslim]. Larangan di sini bermaksud haram.

Ulama bersepakat tentang pengharaman berpuasa pada dua hari raya. Ibnu Hazam menukilkan ijma`ini. [Maratib al-Ijma`ms:72]. Ibnu Hubairah dan ibnu Qudamah pula menambah: “Pengharaman ini merangkumi puasa fardhu, sunat, qadha` nazar dan kaffarah.” [ al-Ifsah 3:174]. 

Begitu juga dengan puasa sunat hari Isnin, Khamis dan hari Putih (13,14 dan 15 pada setiap bulan) sekiranya jatuh pada hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) berdasarkan hadis Nubaisyah al-Hudzali katanya: “Kata Rasulullah: Hari Tasyriq adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.” [Bukhari, Muslim dan lain-lain]. Ia tidak diberi kelonggaran untuk berpuasa melainkan untuk jemaah haji (Tamattuk dan Qiran) yang tidak mampu membeli binatang sembelihan. Mereka hendaklah berpuasa 10 hari; tiga hari ketika melakukan haji dan tujuh hari lagi apabila telah pulang ke tempat masing-masing berdasarkan hadis Aisyah dan ibnu Umar: “Tiada kelonggaran untuk berpuasa melainkan kepada jemaah haji yang tidak mempunyai binatang sembelihan.” [Bukhari].

 

Solat Raya Dan Solat Jumaat.

Sabda Nabi: “Telah berhimpun dua hari raya pada hari ini (Jumaat). Maka dibolehkan untuk tidak hadir solat Jumaat. Walaubagaimanapun kami akan mengerjakan kedua-duanya (solat sunat Idul Adha dan Jumaat).” Inilah sunnah Nabi dan yang afdhal kerana solat raya adalah fardhu kifayah bahkan fardhu ain pada pendapat sebahagian ulama kerana Nabi memerintahkan perempuan yang telah baligh dan haidh untuk hadir menyaksikan solat raya tanpa mereka masuk ke tempat solat. Kata ulama: “Inilah dalil kewajipannya pada setiap individu.” Adapun jumhur ulama mengatakan ianya adalah fardhu kifayah. 

Pendapat yang sahih dalam masalah ini; barangsiapa yang solat raya, maka tidak wajib baginya solat Jumaat. Sekiranya dia tidak hadir solat raya disebabkan keuzuran yang tertentu, maka wajib baginya solat Jumaat. Sementara para imam, mereka wajib mengerjakan kedua-duanya sekali kerana solat tidak dapat didirikan tanpa mereka. Wallahu a`lam.

JANGAN BERIKAN GAMBARAN YANG SALAH TENTANG NABI S.A.W

Posted in Uncategorized on 8 October 2012 by zanas

JANGAN BERIKAN GAMBARAN YANG SALAH TENTANG NABI S.A.W
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Ramai orang muslim sayangkan Nabi s.a.w. Namun gambaran keindahan akhlak dan kehidupan baginda itu seringkali tenggelam disebabkan pencemaran terhadap kisah kehidupan baginda yang sebenar. Pencemaran itu datang dari beberapa sudut. Kadang-kala ia datang dari musuh-musuh, kadang-kala ia datang dari umat Islam itu sendiri. Musuh bertujuan untuk memberikan gambaran yang salah tentang baginda s.a.w. Sementara umat Islam terdapat mereka yang jahil, ataupun berkepentingan yang memberikan gambaran yang salah tentang Nabi s.a.w.

Palsu dan Cacat

Umat yang jahil tidak dapat membezakan antara riwayat yang sahih dan yang palsu mengenai Nabi s.a.w. lantas mereka menyebarkan hadis-hadis palsu yang dikaitkan dengan baginda. Mereka inilah yang Nabi s.a.w sendiri nyatakan dalam hadis mutawatir:

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.

Sementara yang berkepentingan pula menyebarkan hadis-hadis secara tidak seimbang berdasarkan kepentingan mereka. Umpamanya, jika mereka itu berkepentingan politik, maka Nabi s.a.w digambarkan bagaikan seorang politician seperti mereka. Sifat-sifat indah Nabi s.a.w dalam aspek yang lain tidak ditonjolkan, sebaliknya Nabi s.a.w seakan sepanjang hidupnya asyik berpolitik dalam semua perkara. Sementara yang berkepentingan ekonomi akan menggambarkan Nabi s.a.w seakan sibuk untuk menghasilkan harta berkempen barangan yang mereka jual sepanjang masa.

Bagi yang berperwatakan keras pula, cuba menggambarkan seakan Nabi s.a.w itu keras sepertinya. Sementara yang sentiasa tewas pula, cuba menggambarkan Nabi s.a.w itu sentiasa tewas dan mengalah. Adapun yang mengampu pemerintah akan mencari hadis-hadis Nabi s.a.w yang seakan mengizinkan segala kekejaman rejim atas nama agama dan salafussoleh kononnya. Sementara yang menentang pemerintah pula, cuba mencari dalil yang menghalalkan segala tindakan mereka sekalipun sudah melampau batasan Islam.

Begitu juga yang berusaha menawan hati pengikut dengan gaya tertentu lalu mendakwa Nabi s.a.w seakan sepanjang masa memakai jenis pakaian tertentu seperti yang mereka pakai. Saya melihat mereka yang sibuk dengan syamlah ataupun rida’ ataupun burdah yang disidai dibahu seakan memberikan gambaran Nabi s.a.w itu sentiasa dalam keadaan pakaian yang sebegitu. Padahal, baginda seorang yang terlibat dengan pelbagai urusan umat, baginda memakai pakaian biasa, baju besi perang, jubah Roman, Yaman dan pelbagai lagi. Berdasarkan kepada keperluan semasa.

Hidup Nabi s.a.w bukan sekadar jadi penceramah tetapi menguruskan umat dan perjalanan hidup mereka. Bagindalah pemimpin kerohanian, pemimpin akhlak, pemimpin politik, pemimpin perang dan segalanya.

Keindahan Peribadi Nabi

Dalam catatan kali ini, saya ingin membuat beberapa kesimpulan tentang peribadi Nabi s.a.w untuk dibaca oleh semua pihak. Kesimpulan ini diambil dari riwayat yang sahih. Daripada riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah itu seorang yang kacak wajahnya dan indah akhlaknya. Beliau tidak mengucap ucapan yang keji. Tidak membalas dendam atas kezaliman ke atasnya, melainkan apabila seseorang melanggar perintah Allah. Tidak pernah diberikan pilihan antara dua perkara melainkan baginda memilih yang paling mudah selagi itu bukan satu dosa.

Tangannya tidak pernah memukul wanita, tidak hamba abdi, tidak khadam kecuali semasa di medan perang. Apabila baginda berbicara dengan seseorang baginda mengadap wajah ke arah orang tersebut sehingga dia akan menyangka dialah orang yang paling baginda kasihi. Dalam masa yang sama baginda seorang pemalu sehingga disifatkan bagaikan pemalunya seorang gadis. Apabila baginda membenci sesuatu, nampak tandanya pada wajah baginda.

Baginda selalu memberikan senyuman. Kata Jarir bin ‘Abdillah:

“Sejak aku menjadi muslim, tidak pernah Rasulullah s.a.w berjumpa denganku melainkan senyum padaku” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kata ‘Abdullah bin al-Harith:

“Aku tidak pernah melihat seseorang lebih banyak senyuman daripada Rasulullah s.a.w” (Riwayat al-Tirmizi, sahih).

Dalam hadis sahih riwayat Ibn Majah, Nabi s.a.w itu apabila berjabat tangan dengan seseorang, baginda tidak akan menarik tangannya sehinggalah orang tersebut menariknya.

Percakapan baginda pula jelas, tidak tergesa-gesa dan difahami oleh setiap yang mendengar. Apabila baginda ingin mengkritik seseorang baginda tidak menyebut: “Mengapa si dia itu melakukan atau berkata begitu”, tetapi baginda menyebut: “Mengapa ada pihak yang berkata sebegini” (Riwayat Abu Daud, sahih).

Kehalusan Budi

Kata Anas bin Malik:

“Aku berkhidmat kepada Nabi s.a.w sepuluh tahun, tidak pernah baginda berkata kepadaku ‘ah! (mengherdik). Tidak pula berkata kepada apa yang aku lakukan: “mengapa engkau buat begitu?”. Tidak kepada apa yang aku tidak buat: “mengapa engkau tidak buat?” (Riwayat al-Tirmizi, sahih).

Nabi s.a.w seorang yang pemurah. Tidak pernah berkata ‘tidak’ apabila diminta sesuatu haknya. Baginda bersabda:

“Jika aku memiliki emas sebesar Bukit Uhud, aku tidak suka berlalu tiga malam sedangkan masih ada sedikit emas itu bersamaku. Melainkan sedikit untuk membayar hutang”. (Riwayat al-Bukhari).

Baginda seorang yang santun. Dalam riwayat al-Bukhari, pernah seseorang datang kepadanya, menarik rida’ (kain di leher baginda) dengan kuat sehingga berbekas di tengkok baginda, kemudian bercakap kasar dengan baginda. Namun baginda memandang kepada orang itu dengan senyuman dan memerintahkan agar diberikan pemintaannya.

Nabi s.a.w itu menunaikan hajat sahabat-sahabatnya. Baginda melunaskan hutang Bilal bin Rabah, mengkahwinkan sahabat-sahabat yang masih bujang, mendengar aduan kaum wanita mengenai suami mereka dan aduan setiap pihak tentang masalah mereka. Bahkan baginda mendengar aduan unta yang dibebankan oleh tuannya bebanan kerja yang berat. Baginda bersabda kepada tuannya:

“Mengapa engkau tidak takutkan Allah mengenai haiwan yang Allah telah jadikan engkau memilikinya. Sesungguhnya ia telah mengadu kepadaku engkau membiarkannya lapar dan membebankannya” (Riwayat Abu Daud, sahih).

Justeru itu, baginda itu adalah rahmat untuk sekelian alam.

Nabi s.a.w seorang yang tawaduk (humble), berjalan bersama para janda dan orang miskin untuk menunaikan keperluan mereka. Menerima jemputan makan sekalipun roti keras yang sudah berubah baunya. Baginda pernah bersabda:

“Jika dijemputku memakan betis (kambing) sekalipun nescaya aku pergi. Jika diberikan kepadaku betis kambing sekalipun, aku terima” (Riwayat al-Bukhari).

Ini sehingga baginda pernah diracun oleh wanita yahudi di Khaibar semasa menerima hadiah makanan sehingga membawa kesan ke akhir hayat.

Baginda juga memanja dan bermain dengan anak-anak kecil. Baginda memberikan salam kepada kanak-kanak apabila baginda melalui mereka dan mendoakan untuk mereka keberkatan.

Banyak lagi sifat peribadi baginda yang unggul. Bayangkan keadaan seorang insan yang hidup dalam kalangan masyarakat Arab yang membunuh anak-anak perempuan mereka, tiada buku-buku peradaban seperti Rome, Parsi, China ataupun India. Namun, berakhlak dengan penuh ketinggian yang mengatasi segala tamadun.

Kita ini ingin mengikut baginda. Kita mungkin lemah dan gagal mencontohi baginda dalam segala aspek kebaikannya. Namun, jangan berikan gambaran yang salah kepada dunia dan non-muslim mengenai Nabi kita yang agung itu.

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.