Mengusung jenazah Bangsa Melayu

Pernah satu ketika dahulu, Persatuan Melayu Johor bangkit pada tahun 1946, mendesak Sultan Ibrahim Johor di gugurkan dari takhta. Pernah juga pada waktu yang serupa – Datuk Onn bin Jaafar diaporkan berkata– perbuatan raja-raja Melayu yang berhubung kait dengan isu Malayan Union adalah seperti mengusung jenazah Bangsa Melayu. Ada pula yang mengatakan bahawa sewaktu Malayan Union, kumpulan kepimpinan Melayu pernah mengatakan kepada Raja-Raja Melayu bahawa orang Melayu akan bangkit menentang Tuanku sekiranya Raja-Raja Melayu terus memperakui Malayan Union. Tindakan mentalkinkan Melayu seakan semakin hampir sekiranya Melayu masih bertelagah dan situasi pembunuhan bangsa seakan semakin dekat dengan apa yang sedang berlaku pada kita hari ini.

Politik bergolak dan pergolakan ini memecahbelahkan Melayu kepada tahap yang amat kritikal. Masing-masing tanpa disedari mengambil jalan untuk bertindak menyerang – menggunakan apa sahaja yang ada untuk menewaskan parti lawan yang lebih khusus terdiri dari orang Melayu. Tanpa mereka sedari tindakan inilah yang dikatakan mengusung jenazah Melayu itu sendiri.

Hari ini Institusi Raja-Raja terheret dalam kancah politik negara ini. Laungan Daulat Tuanku dan jeritan derhaka dan sembah derhaka timbul tidak semena-mena. Semua ini berlaku adalah kerana kedua-dua kumpulan Melayu dalam parti masing-masing sedang mempertahankan kedudukan politik mereka. Sadis bukan? Apa bentuk hala tuju politik orang Melayu hari ini? Kenapa ini harus terjadi? Adakah semuanya kerana kuasa – semuanya atas nama perjuangan hak dan kebajikan orang Melayu tetapi akhirnya menjadi senjata yang membunuh Melayu itu sendiri.

Masing-masing mendabik dada memperjuangkan orang Melayu. Semuanya mahu membela namun pembelaan itu lebih kepada melunaskan kehendak politik dan nafsu mahu memperoleh kuasa dalam negara ini. Ini semua akan memburukkan keadaan orang Melayu yang sudah sedia buruk sewaktu ini. Kedudukan Melayu yang semakin terhakis seakan tidak dipedulikan kerana perjuangan politik adalah perjuangan unggul dan perebutan kuasa seakan tidak mengambil kira kedudukan hubungan antara orang Melayu dengan Melayu sendiri. Keadaan semakin kritikal. Pertentangan seperti yang selalu di ungkapkan menguntungkan kaum lain. Tanah Melayu yang tergadai menjadi Malaysia bakal tergadai lagi dengan sikap dan keadaan politik yang semakin membimbangkan. Perlembagaan terus menjadi satu pegangan kontradiksi yang dipersoalkan. Akhirnya pergelutan semakin besar yang akhirnya akan menyaksikan negara ini terumbang ambing dan semakin meleset dari sudut sosiopolitik dan ekonomi.

Akhir-akhir ini kedengaran pula Institusi Raja-Raja mahu kekebalan raja-raja di laksanakan semula. Ini bagi Raja-Raja Melayu dapat menyelamatkan Institusi Raja-Raja dari terus di hina dan terus di heret ke kancah politik. Ini dikatakan perlu untuk menghalang tindakan-tindakan yang cenderung kepada derhaka kepada Kesultanan Melayu. Namun ini sebenarnya tidak akan menyelesaikan masalah pokok perpecahan di kalangan orang Melayu. Perpecahan di kalangan orang Melayu bukan kerana daulat dan derhaka tetapi lebih kepada politik Melayu itu sendiri. Melayu mempersoalkan kuasa politik orang Melayu dan lebih buruk menjual nilai dan martabat untuk mendapatkan kuasa demokratik. Pemegang kuasa politik Melayu hari ini juga tempang – sumbang dan tidak menampakkan nilai-nilai kesedaran mengenai persediaan mengapankan bangsa itu sendiri. Maka mahu tidak mahu kita akan mengusung kerana bangsa kita sendiri untuk di talkin dan terus dikebumikan. Lebih malang lagi jika yang mengebumikan bangsa kita – di tanah air kita dilakukan oleh orang lain – bangsa lain yang masih utuh pegangan persaudaraan dalam ikatan kaum mereka sendiri.

Maka Melayu perlu sedar bahawa bukan sahaja zaman gelap mereka akan muncul malah kedudukan mereka di tanah air ini juga akan terlucut dengan persengketaan yang sedang berlaku. Melayu harus terus diikat dan ikatan sesuai yang perlu ada adalah kesedaran kepentingan untuk sama-sama memperjuangkan hakikat dan kehadiran bangsa. Tidak ada siapa yang akan menangis dan meratap kehancuran bangsa melainkan kita sendiri.

Apa yang perlu bukan kekebalan raja – apa yang perlu bukan laungan slogan Hidup Melayu – apa yang perlu bukan jeritan derhaka, Daulat Tuanku dan Ketuanan Rakyat. Apa yang perlu adalah satu bentuk ikatan dan mungkin ini perlu dilakukan oleh penaung bangsa Melayu itu sendiri. Mungkin peranan DYMM Seri Paduka Baginda dalam mengikat kembali Melayu kepada satu ikatan perlu. Mungkin sudah sampai masanya kepimpinan Melayu diajak duduk bersama – Institusi Raja-Raja Melayu untuk berbincang dan ini tidak terhad kepada kepimpinan politik yang memegang kerajaan negara ini. Semua kepimpinan politik Melayu – NGO yang diiktiraf dan berdaftar – Ulama duduk pada persidangan Melayu untuk sama-sama membincangkan dan mengeluarkan ketetapan bagi memulakan langkah menyatukan orang Melayu pada kekuatan yang perlu ada bagi membela bangsa. Permasalahan Melayu dibincangkan dengan lebih jelas agar Raja – Raja Melayu dapat memainkan peranan yang lebih khusus dalam menyelamatkan Melayu dari terus lupus di tanah air sendiri.

Apa pun – jangan biarkan kita mengusung jenazah bangsa Melayu untuk dikebumikan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: