Melayu: Politik dan Nasionalisme

SEBELUM 1920-an istilah politik tidak pernah wujud dalam kamus hidup orang Melayu. Mereka tidak mengenalnya, malah tidak pernah mempedulikannya. Perkataan yang paling hampir maksudnya dengan politik dan pernah digunakan oleh orang Melayu – itu pun cuma segelintir kalangan yang berilmu – ialah ‘siasah’, yang asalnya merupakan perkataan Arab.

Kerana tidak biasanya dengan politik, maka apabila perkataan itu diperkenalkan, orang Melayu termangu-mangu. Ada seorang penulis Melayu pada sekitar tahun 1927,mendefinasikan politik sebagai ‘suatu adat baru’.

Kesimpulan yang boleh dibuat di sini ialah kesedaran sebenar orang Melayu tentang hak politiknya adalah perkara baru. Mereka tidak pernah memikirkannya secara serius sebelum memasuki abad ke-20. Penentangan terhadap penjajah pada era sebelumnya adalah lebih bersifat individu. Kepentingannya juga adalah kepentingan individu, atau paling lebih kelompok kecil yang diwakili oleh individu itu,bukannya bangsa Melayu secara keseluruhan.

Arus kesedaran sebenar orang Melayu tentang hak mereka mula dapat dikesan melalui tulisan-tulisan Zaaba di dalam Al-Imam dan Mohd. Eunos Abdullah, yang menjadi penyunting Utusan Melayu versi sisipan akhbar Inggeris ‘Free Press’. Tulisan-tulisan itu membawa aliran menyeru orang Melayu supaya bersatu dan membina jati diri masing-masing. Aliran itu cepat meninggalkan kesan di hati umat Melayu yang sebelumnya terlowong kosong. Utusan Melayu versi sisipan itu misalnya, dengan cepat menjadi bahan bacaan di kedai-kedai kopi, dan ianya dibaca dengan kuat. Tujuannya tentulah supaya isi yang dibaca itu dapat dikongsi oleh semua Melayu lain yang mendengarnya.

Aliran kesedaran itu bertapak semakin kukuh pada sekitar tahun 1930-an. Banyak tulisan-tulisan Ibrahim Yaakob menyebut bahawa pada dekad itulah orang Melayu mula sedar akan ancaman yang dibawa oleh pendatang-pendatang asing terhadap hak mereka. Pada waktu itu jugalah perasaan membenci pada orang asing mula bertunas.

Hasil daripada kesedaran itu muncullah seorang demi seorang nasionalis Melayu, yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan ulama dan mereka yang terlibat dalam bidang persuratan dan persuratkhabaran.

Melalui nasionalis-nasionalis awal ini semangat kebangsaan mula tersebar. Melalui mereka Melayu mula sedar bahawa mereka berada di suatu garisan yang menuntut kebangkitan segera. Waktu itu mereka seakan tidak mempunyai pilihan lagi selain daripada bangun berdiri atau terus lena dan dipijak lumat.

Seruan-seruan yang mengajak Melayu bersatu muncul dengan banyaknya. Pada mula, kebanyakannya bercakap atas asas agama. Tokoh-tokoh seperti Syed Sheikh Alhadi, atau yang terdahulu seperti Tuk Janggut dan Haji Abdul Rahman Limbong melihat penguasaan asing sebagai ancaman besar terhadap kedudukan Islam di Tanah Melayu. Suara mereka mula kedengaran dalam segala macam cara menyeru dan mengajak umat Islam supaya bangkit mempertahankan hak. Pada waktu itu fokus penentangan lebih terarah pada penjajah Inggeris dan budaya Kristian yang dibawa oleh mereka.

Daripada aliran penentangan itu berkembang pula suara-suara penentangan yang berasaskan ras. Orang Melayu, dan Islam, tentunya mula menyedari bagaimana hak mereka menjadi semakin kecil, dan pada masa yang sama orang lain mengaut pelbagai bentuk keuntungan di atas hak itu. Dan bagi mereka, orang lain itu bukan setakat Inggeris.

Bagaimanapun satu keunikan sikap orang-orang Melayu ialah, mereka sebenarnya tidak marah pada imigran Cina atau India. Malah tidak juga terhadap penjajah Inggeris. Nilai toleransi mereka yang begitu tinggi, menyebabkan para nasionalis Melayu tidak menganjurkan perjuangan ala-Ku Klux Klan, yang mengganas di Amerika Syarikat pada pertengahan abad ke-19. Pemimpin pemimpin Melayu sejak awal lagi tidak mengamalkan prinsip prinsip nasionalis yang berjiwa chauvanist. Mereka tidak mengajak orang Melayu membenci sesiapa.

Apa yang berlaku ialah para nasionalis awal itu lebih banyak menyeru orang Melayu supaya memperbaiki diri mereka sendiri. Mereka tidak mengapi-apikan anak bangsa mereka supaya membenci orang lain. Mereka tidak menghasut orang Melayu supaya bangkit mengusir sesiapa.

Kalaupun ada suara-suara terpencil yang cuba mencetuskan rasa benci Melayu kepada penjajah dan imigran, suara itu acapkali akan terpadam. Ibrahim Yaakob, sebagai contoh, menolak tanggapan bahawa yang mengancam masa depan bangsa Melayu ialah pendatang asing. Baginya punca ancaman yang sebenar ialah modal asing, yakni kekuatan ekonomi orang-orang luar. Dan berulangkali, sambil menekankan bahawa pendatang asing harus menerima hakikat tentang perlunya orang Melayu memiliki hak kewatanan, Ibrahim juga percaya, untuk mengatasi ancaman modal asing itu, orang Melayu tidak sekadar perlu bekerja kuat, tetapi mesti bersatu padu.

Seruan-seruan seperti itu banyak meninggalkan bekas. Melayu yang bercelaru tentang status bangsanya mula berganding tangan. Bugis, Jawa, Bawean, Aceh, Melayu Jati dan segala rumpun lain yang terdapat di Tanah Melayu pada waktu itu tidak lagi mencari perbezaan di antara mereka, sebaliknya masing-masing cuba mencari persamaan. Paling tidak, satu persamaan yang ketara ialah, boleh dikatakan kesemua mereka beragama Islam.

Persamaan itu menjadi aset besar untuk mereka bergerak ke arah yang sama, dan dengan matlamat yang sama. Hasil daripada itu, dalam tempoh yang singkat, Melayu mula berdiri sebagai satu kesatuan bangsa.

Sebenarnya usaha menyatukan Melayu telah dapat dikesan seawal dekad 1920-an. Pada waktu itu tertubuhlah apa yang dinamakan Kesatuan Melayu Singapura, di mana seorang pengarang, Mohd. Eunos Abdullah menjadi presidennya.

Jika Kesatuan itu boleh dianggap sebagai organisasi politik Melayu yang pertama, Eunos tentulah merupakan presiden pertubuhan politik Melayu yang pertama juga. Bagaimanapun peranan Eunos dalam meniupkan semangat nasionalisme tidaklah begitu ketara kerana, oleh banyak kalangan, dia dianggap Melayu yang taat pada Inggeris.

Apa juga yang tersirat di sebalik usaha menubuhkan Kesatuan Melayu Singapura, ia tetap merupakan langkah yang baik ke arah penyatuan Melayu. Dan langkah itu meninggalkan kesan ke atas perjuangan Melayu.

Pada penggal kedua 1930-an muncul sebuah lagi organisasi tidak rasmi yang menjadi tempat Melayu menghimpunkan suaranya. Dinamakan Sahabat Pena, organisasi itu berjaya mengumpulkan belasan ribu ahli, yang kebanyakannya terdiri daripada anak-anak Melayu yang menyedari akan peri pentingnya mempertahankan hak. Pada tahun 1939 Sahabat Pena dikatakan mempunyai ahli lebih 12,000 orang – jumlah yang tidak boleh dipandang kecil jika diambilkira latar belakang komunikasi pada waktu itu.

Kesedaran Melayu untuk bangkit dan bersatu itu bukanlah kerana pendidikan dan bukan kerana ilmu. Majoriti Melayu tidak berpeluang menimba ilmu sehingga mampu mencetuskan kesedaran sedemikian di jiwa mereka.

Apa yang menyedarkan Melayu daripada lenanya ialah tekanan kemiskinan. Jika pada peringkat awal kedatangan imigran asing, orang Melayu masih boleh bersikap tidak apa kerana jurang antara mereka dengan kumpulan imigran itu belum begitu ketara, kini keadaannya berubah. Tahun demi tahun mereka melihat bagaimana orang-orang asing itu menjadi lebih makmur dan kaya, sedangkan mereka hanya menumpang sisanya.

Memang benar ada Melayu yang berjaya. J.M. Gullick dalam ‘Malay Society’ ada menyebut bagaimana tatkala orang orang Cina menguasai lombong dan ladang, ada kapitalis kapitalis Melayu yang turut menjadi kaya raya. Tetapi bilangan mereka kecil, sangat kecil kalau dibandingkan dengan golongan hartawan bukan Melayu.

Hasil kepesatan kegiatan ekonomi di Tanah Melayu memang membuka ruang yang lebih besar kepada orang Melayu untuk berkhidmat dengan sektor kerajaan. Memang ada banyak Melayu yang boleh menjadi orang besar di sesebuah pejabat. Tetapi bilangan mereka juga masih terlalu jauh untuk mengimbangi kelompok Melayu yang terpinggir, yang miskin dan yang hidup kais pagi makan pagi.

Situasi politik di Malaysia mungkin berbeza jika penjajah Inggeris tidak melihat warga pribumi sebagai orang-orang dungu yang boleh dipekup mulut. Jika hak yang dikaut di bumi ini tidak asyik diangkut balik, sebaliknya diagih sama rata secara baik, orang Melayu mungkin masih belum kenal istilah nasionalisme sehingga sekarang. Jika Inggeris tidak memilih untuk melebihlebihkan imigran asing semata-mata kerana sumbangan ekonomi mereka kepada England, dan kerana kedudukan mereka sebagai pengimbang pengaruh Melayu, berkemungkinan besar orang Melayu masih sudi bertuankan mereka.

Malangnya Melayu tercicir jauh. Mereka hanya menjadi saksi-saksi yang sakit apabila bercakap soal kemakmuran di negeri sendiri. Mereka kekal menjadi petani kecil yang memikul guni padi untuk dijual di kedai tauke Cina yang asalnya mungkin menumpang di tanah mereka. Kemudian wang yang diperolehi digunakan pula untuk membeli barang di kedai seorang tauke Cina lain, yang asalnya menumpang di hujung tanah ipar duai mereka.

Tidak ada bangsa yang gembira dengan keadaan begitu. Dan apabila bangsa yang tidak gembira itu bangkit, ia dengan sendirinya akan menggugat kegembiraan orang lain.

Mungkin jika Jepun tidak mendarat di Pantai Sabak, Kelantan pada Disember 1941, ketidakgembiraan orang Melayu itu masih berpanjangan. Bagaimanapun pendaratan yang diikuti oleh penaklukan Jepun membawa dimensi baru dalam cara berfikir orang Melayu. Kalau dahulu mereka cenderung menganggap Inggeris adalah tuan besar yang tidak boleh dikalahkan, kini perspektif itu berubah. Kejayaan orang-orang kerdil dan timur itu mengalahkan British memberikan semangat dan kekuatan baru kepada orang Melayu. Kesengsaraan yang ditanggung semasa pemerintahan Jepun menambahkan lagi kekuatan semangat tersebut. Pada masa yang sama orang Melayu mula terfikir bahawa mereka tidak boleh mengharap pada orang lain untuk melindungi mereka.

Apabila British kembali berkuasa pada tahun 1945, regim kolonial itu mendapati segala-galanya berubah. Melayu bukan lagi bangsa yang boleh dicucuk hidung. Semangat nasionalisme yang mula bertunas sejak era sebelum perang berkembang biak, mekar dan semerbak ke segenap pelosok Tanah Melayu. Seorang demi seorang nasionalis timbul dan satu demi satu gagasan untuk menyingkirkan penjajah muncul.

Mahathir dalam ‘Dilema Melayu’ menyebut bagaimana pada peringkat awal kebangkitan nasionalis selepas perang, tumpuan mereka lebih terarah pada sektor ekonomi. Mereka mahu menuntut hak yang lebih banyak, yang sepatutnya mereka miliki, di sektor itu. Pejuang-pejuang Melayu berharap akan dapat menggunakan tekanan ke atas penjajah British yang baru kembali berkuasa itu untuk memberikan lebih perhatian pada status ekonomi anak bangsa mereka.

Bagaimanapun British mengalami renjatan psikologi akibat kekalahan di tangan Jepun. Dalam keadaan tergesa-gesa hendak memulihkan imej dan membina kekuatan baru, British melakukan kesilapan besar kerana mengusulkan Malayan Unionnya.

Tuhan mentakdirkan gagasan itulah rupa-rupanya menjadi titik penyatuan semua Melayu dalam erti kata yang sebenar. Penentangan terhadap gagasan itu menyebabkan Melayu melupakan darjat dan pangkat. Raja-raja Melayu, termasuk yang dahulunya kurang gembira melihat Melayu membentuk kesatuan sebab ‘mereka telah mempunyai raja’, kini berganding bahu dengan rakyat untuk mempertahankan maruah dan martabat bangsa yang cuba digugat oleh penjajah itu. Yang menariknya, penentangan ke atas Malayan Union tidak hanya disuarakan oleh orang Melayu, tetapi juga oleh sesetengah bekas pentadbir Inggeris yang pernah bertugas di Semenanjung.

Kekalutan menentang Malayan Union menukar halatuju nasionalis Melayu. Mereka melupakan seketika perjuangan untuk menuntut hak di segi ekonomi secara lebih seimbang, sebaliknya mereka berjuang untuk mempertahankan ketuanan bangsa.

Di kalangan kumpulan imigran pula, mereka tidak mempedulikan sangat mengenai perjuangan itu. Mereka lebih sibuk mengumpulkan kembali kekayaan yang hilang akibat perang.

Akhirnya, Malayan Union menjadi kenangan paling buruk bagi British. Gagasan yang disangka boleh menguatkan kembali kuku mereka itu rupa-rupanya hanya mempercepatkan proses pencabutan kuku-kuku tersebut. Sebelas tahun selepas gagasan Malayan Union dijelmakan, Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya.

Dalam keadaan lazim, kejayaan mencapai kemerdekaan akan menamatkan segala dilema yang dihadapi oleh anak watan sesebuah negara. Di Malaysia, keadaannya sedikit berbeza. Kejayaan menurunkan Union Jack hanyalah nokhtah pada sebuah perjuangan, tetapi di nokhtah yang sama bermula pula satu perjuangan yang lain, dan perjuangan itu lebih sukar dan lebih panjang.

Perlu diakui bahawa Melayu menerima kemerdekaan dalam keadaan tidak cukup bersedia. Daripada segi politik memang tiada masalah. Melayu mempunyai segala yang diperlukan untuk membina dan menegakkan sebuah negara. Daripada segi prinsipnya kuasa politik Melayu tidak pernah berkurangan. Usaha penjajah untuk menggugat kuasa itu sejak isu campurtangan di Perak hingga ke Malayan Union tidak pernah berjaya secara mutlak.

Bagaimanapun dalam soal ekonomi, Melayu masih menjadi kelompok yang tercicir. Pembabitan mereka masih ditahap yang amat kecil. Penguasaan mereka, daripada segi peratusannya, berpuluh kali ganda di belakang.

Dunia selepas Revolusi Perusahaan melanda Eropah adalah dunia yang berbeza daripada zaman sebelumnya. Perlumbaan ke arah kemajuan menjadi lebih gila. Kehormatan tidak lagi ditentukan oleh kekuatan seseorang atau sesuatu kelompok, sebaliknya oleh keupayaannya untuk berjaya. Nilai kejayaan pula tidak lagi diukur dengan aspek moralnya, tetapi dengan nilai emas dan ringgit. Tiada siapa akan memandang tinggi pada orang yang kuat tetapi papa.

Selepas Perang Dunia Kedua, kemajuan seolah-olah diterima sebagai satu rukun kehidupan. Kemusnahan akibat perang menyebabkan semua pihak berlumba untuk bangkit dan membina kehidupan baru. Kemusnahan itu juga menyediakan ruang kosong untuk diisi oleh kuasa-kuasa baru.

Arus yang sama sampai ke Tanah Melayu. Perang menukar perspektif manusianya terhadap kehidup an. Peniaga-peniaga Cina yang rugi teruk akibat peperangan mula menggandakan usaha dan menjadi lebih gigih untuk membina semula kekayaan mereka. Inggeris yang malu besar selepas dikalahkan oleh Jepun juga cuba membina kekuatan baru yang serba palsu. Sama seperti di tempat-tempat lain, di mana mereka diaibkan, Inggeris cuba membeli keyakinan anak-anak pribumi dengan mewarwarkan segala macam idea dan projek baru.

Hasil daripada halatuju yang hampir sama itu, peniaga peniaga dan pemerintah Inggeris berjaya menjalin satu bentuk kerjasama ekonomi. Saudagar-saudagar Cina dilambakkan dengan pelbagai peluang oleh Inggeris. Mereka seakan diberi tanggungjawab untuk memulihkan negeri ini khususnya dalam perkara yang memababitkan penyediaan infrastruktur asas ekonomi.

Melayu yang terkapa-kapa akibat peperangan menjadi lebih terkapa-kapa apabila melihat seorang demi seorang tauke Cina kembali menjadi kaya sedangkan mereka pula baru setakat mampu mencari benih padi selepas sekian lama memakan ubi. Lagi sekali Melayu menjadi keliru.

Untuk menambahkan beban fikiran orang-orang Melayu, mereka terpaksa pula berhadapan dengan karenah politik Inggeris, dan kemudian dengan karenah Bintang Tiga, yang secara kebetulan membabitkan banyak orang Cina. Tekanan tekanan politik itu menjadikan Melayu semakin tidak mempunyai masa dan tenaga untuk terlibat secara aktif dalam sektor ekonomi.

Di tengah-tengah kekalutan itulah perjuangan Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan tercapai. Tetapi untuk memperolehi kemerdekaan itu mereka terpaksa membayar bermacam-macam harga, dan kebanyakannya kerana kekurangan yang mereka alami di segi ekonomi.

Tanpa penguasaan ekonomi orang Melayu kehilangan kuasa mutlak untuk membuat tawar-menawar. Apa yang mereka ada hanyalah kuasa politik. Aliran baru dunia yang mendaulatkan kemajuan material menyebabkan bisa kuasa politik menjadi agak tawar. Kalau dahulu kuasa politik menjanjikan kuasa material, namun aliran baru tersebut membawa wajah yang sebaliknya. Kekuatan politik belum tentu menjanjikan kekuatan wang ringgit.

Nasib orang Melayu jauh berbeza dengan nasib kumpulan imigran, khususnya orang-orang Cina. Mereka umumnya memiliki kekuatan material, dan aliran baru yang melanda Tanah Melayu memungkinkan orang-orang Cina itu menggunakan kekuatan ekonomi mereka untuk membina kekuatan politik. Ertinya, secara tidak langsung orang-orang Cina memiliki kedua-duanya; kekuatan ekonomi dan kekuatan politik.

Dengan berpandukan kekuatan-kekuatan yang dimiliki oleh kedua-dua kumpulan yang menjadi tunggak kependudukan Tanah Melayu itulah, British menggariskan syarat itu dan ini dalam tawaran kemerdekaan mereka. Orang Melayu pula, yang lebih bersungguh- sungguh memperjuangkan kemerdekaan berbanding dengan bangsa-bangsa lain, terpaksa menerima syarat-syarat itu. Mereka sedar, kekuatan politik mereka sahaja tidak cukup untuk membeli kemerdekaan secara total. Atas kesedaran itu, mereka dengan senang hati menerima cadangan supaya orang-orang Cina dan India diberi hak kewarganegaraan, dan atas kesedaran yang sama, mereka berpuas hati dengan satu ketetapan lain iaitu, memberikan Hak Keistimewaan kepada mereka sebagai Bumiputera.

Dan kerana mereka tidak pernah mengungkit hak menjadi warganegara yang diberi kepada orang lain, orang-orang Melayu tentulah berhak pula untuk berasa tidak gembira apabila orang lain cuba mengusik-usik taraf dan keistimewaan mereka sebagai Bumiputera.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: