PM mahu selesai lima perkara sebelum berundur

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau memberi tumpuan untuk menyelesaikan lima perkara utama seperti yang dijanjikan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebelum berundur pada tahun 2010.

Menurutnya, isu itu membabitkan pembasmian kemiskinan, meningkatkan prestasi syarikat milik kerajaan (GLC), menggerakkan sektor pertanian dan industri asas tani, penambahbaikan sistem penyampaian kerajaan serta pembangunan infrastruktur insaniah.

”Perjuangan untuk membina dan memartabatkan negara bangsa tidak ada noktahnya dan itulah lumrah pentadbiran.

”Saya percaya makna dan impak sesebuah pentadbiran hanya boleh dilihat dengan jelas selepas masa secukupnya berlalu. Juga seseorang Perdana Menteri tidak akan berasa berpuas hati tetapi akan sentiasa berusaha untuk meneruskan penambahbaikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Chow Kon Yeow (DAP-Tanjong) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kon Yeow meminta Abdullah menyatakan kerja yang ingin disempurnakan sebelum berundur pada tahun 2010 dan pencapaian beliau sebagai Perdana Menteri yang paling memuaskan sehingga kini.

Tumpuan pertama, kata Abdullah, adalah membabitkan usaha membasmi kemiskinan dan pengurangan jurang pendapatan yang kini menunjukkan hasil apabila kadar kemiskinan negara pada 2004 berkurangan daripada 5.7 peratus kepada 3.6 peratus pada 2007 .

”Kadar kemiskinan tegar juga berkurangan daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus dalam tempoh yang sama. Saya berazam untuk menghapuskan kemiskinan tegar dan mengurangkan kemiskinan keseluruhan kepada 2.9 hingga tiga peratus menjelang 2010,” jelasnya.

Abdullah berkata, tumpuan kedua membabitkan usaha membawa perubahan positif kepada GLC dengan tahap keuntungan bersih bagi kumpulan 20 GLC terpilih (G-20) adalah kira-kira 91 peratus lebih tinggi daripada tahap keuntungan sebelum bermulanya inisiatif transformasi GLC.

Akauntabiliti”Pada amnya, pemantauan terhadap syarikat GLC telah meningkatkan tahap prestasi serta akauntabiliti pengurusan syarikat dan ia secara langsung memanfaatkan pemegang saham rakyat tempatan yang melabur melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB),” katanya.

Beliau berkata, tumpuan ketiga melibatkan usaha untuk menggerakkan semula sektor pertanian dan industri asas tani serta membawa kesedaran akan kepentingan strategik sektor itu, bukan saja kepada ekonomi negara tetapi juga keselamatan negara.

”Kempen untuk meningkatkan sektor tanaman makanan yang dimulakan pada 2004 membawa hikmah dalam keadaan dunia semasa yang mengalami masalah kekurangan bahan ini,” katanya.

Tambah beliau, tumpuan keempat yang membabitkan sistem penyampaian kerajaan telah menunjukkan hasil positif apabila banyak transaksi kerajaan dipermudahkan dan dapat dilakukan melalui Internet.

”Tumpuan kelima berkaitan infrastruktur insaniah melibatkan penambahbaikan sistem pendidikan, penerapan nilai-nilai murni seperti integriti, keterbukaan media dan mengukuhkan institusi polis dan kehakiman,” ujarnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: