MEMPERKASA INSTITUSI KELUARGA

Oleh: AN-NAJM

(S. Ali Imran: 102).

Kaum muslimin yang dimuliakan Allah,

Sejak akhir-akhir ini kita digemparkan dengan masalah sosial seperti sumbang mahram, delinkuen di kalangan remaja, keruntuhan akhlak, perceraian dan lain-lain lagi yang berlaku dalam masyarakat kita. Gejala sosial yang membimbangkan ini dikaitkan dengan kerapuhan institusi keluarga. Keadaan ini dikatakan berpunca daripada kejahilan sebahagian besar pasangan suami isteri mengenai teknik dan ilmu keibubapaan. Ini adalah kerana kebanyakan ibu bapa tidak pernah didedahkan kepada cara-cara ataupun kaedah mengurus hal ehwal keluarga ataupun rumah tangga yang meliputi soal pendidikan anak-anak yang dapat membantu mencungkil potensi anak. Kejahilan ibu bapa terhadap ilmu keibubapaan merupakan sesuatu yang merugikan. Senario ini perlu diubah dan diatasi segera demi kebaikan anak serta seluruh ahli keluarga.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Islam mengajar agar keluarga dan rumahtangga menjadi institusi yang aman, bahagia dan kukuh bagi setiap ahli keluarga kerana ia merupakan lingkungan atau unit masyarakat yang terkecil yang berperanan sebagai satu lembaga yang menentukan corak dan bentuk masyarakat. Institusi keluarga harus dimanfaatkan untuk membincangkan semua hal sama ada yang menggembirakan maupun kesulitan yang dihadapi di samping menjadi tempat menjana nilai-nilai kekeluargaan dan kemanusiaan. Kasih saying, rasa aman dan bahagia serta perhatian berat yang dirasakan oleh seorang ahli khususnya anak-anak dalam keluarga akan memberi kepadanya keyakinan dan kepercayaan pada diri sendiri untuk menghadapi berbagai persoalan hidupnya. Ibu bapa adalah orang pertama yang diharapkan dapat memberikan bantuan dan petunjuk dalam menyelesaikan masalah anak. Sementara seorang ibu adalah lambang kasih sayang, ketenangan dan juga ketenteraman.

Berdasarkan kepada hakikat tersebut saudara-saudara sekalian, setiap ibu bapa ataupun pasangan yang bakal menjadi suami isteri harus mengambil inisiatif untuk mempelajari dan menghayati konsep serta matlmat perkahwinan yang disyariatkan. Pengetahuan ini penting kerana selain daripada memenuhi keperluan fizikal dan mengelakkan berlakunya zina, perkahwinan juga bertujuan supaya manusia mempunyai keluarga dan keturunan yang sah serta hidup bahagia di dunia dan akhirat. Perkahwinan adalah tugas menunaikan amanah Allah, maka baik suami maupun isteri, niat yang pertama adalah melaksanakan tanggungjawab kepada Allah. Kefahaman terhadap perkara ini boleh mendorong setiap pasangan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan teknik dan ilmu keibubapaan di samping mempersiapkan diri dari segi material, jasmani dan rohani dalam melayari bahtera keluarga.

Saudara kaum muslimin yang berbahagia,

Dalam rangka memperkasa atau memperteguh institusi keluarga Islam, ada beberapa perkara asas yang diutarakan oleh kitab suci Al-Quran yang sewajarnya dititikberatkan dan diambil perhatian sepenuhnya oleh masyarakat kita hari ini. Di antara perkara-perkara itu termasuklah:

Pertama, Memastikan bakal suami dan bakal isteri itu mempunyai aqidah yang sama. Sesebuah keluarga tidak mungkin bahagia jika dibina tanpa asas aqidah yang satu (Islam) justeru keimanan kepada Allah itulah yang akan memperkuatkan keazaman dan kesungguhan untuk membangun keluarga yang bahagia, harmoni dan diredhai Allah. Atas sebab itulah Islam melarang keras umatnya sama ada lelaki mahupun wanita berkahwin dengan orang yang bukan Islam.

Kedua, Setiap suami isteri atau ibu bapa harus mengetahui dan menjalankan peranan hakiki masing-masing. Di antara peranan seorang suami ialah memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Manakala kewajipan seorang ibu pula adalah mengurus rumah tangga yang mencakupi hal-hal seperti menjaga makan minum suami dan anak-anak. Peranan dan tanggungjawab ini digariskan oleh Allah melalui firman-Nya :

Yang bermaksud:

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya…”

(Q.S. Al-Baqarah: 233).

Ketiga, Kita harus akur kepada ketentuan Allah bahawa lelaki selaku suami dan bapa adalah ketua keluarga. Ketentuan ini ditegaskan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang salih itu ialah orang yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara ((kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya…”

(Q.S. An-Nisaa: 34).

Keempat, Taat dan berbuat baik kepada ibu bapa. Berbuat baik kepada ibu bapa bererti patuh kepada segala suruhan serta tunjuk ajar mereka yang makruf dan sentiasa berusaha menggembirakan kedua ibu bapa dengan memelihara hubungan yang baik melalui pemberian kasih saying, pemberian kerjasama dan bantuan dalam hal-hal yang munasabah dan berpatutan. Dengan perkataan lain, adalah menjadi suatu kesalahan atau dosa jika seorang anak derhaka terhadap ibu bapanya. Derhaka kepada ibu bapa juga bererti derhaka kepada Allah kerana perintah berbuat baik kepada ibu bapa beriringan dengan perintah supaya beribadat kepada Allah, sepertimana firman Allah yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa……”

(Q.S. An-Nisaa: 36).

Keelima, Sentiasa berusaha mengeratkan tali silaturrahim. Dalam hubungan ini, setiap anggota keluarga yang meliputi bapa, ibu dan anak-anak harus memastikan yang suasana yang harmoni dan bahagia wujud dalam rumah. Keadaan seumpamanya akan memberi ruang kepada ahli keluarga berdampingan mesra dan saling hormat-menghormati di antara satu sama lain hatta menjadikan rumah lebih ceria dan menarik. Sebaliknya, Islam sangat melarang umatnya merenggangkan atau memutuskan hubungan silaturrahim atau hubungan kekeluargaan. Firman Allah:

Yang bermaksud,

“Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan?”

(Q.S. Muhammad: 22).

Walau bagaimanapun para jamaah budiman, teori dan undang-undang semata-mata tidak memadai dalam memperkasa institusi keluarga. Demikian juga pengetahuan mengenai ilmu keibubapaan bukanlah prasyarat utama dalam membina keluarga bahagia. Semuanya bertitik tolak daripada niat dan kesedaran kita sendiri dalam memenuhi tuntutan perkahwinan dan pembangunan keluarga dalam konteks kepentingannya terhadap agama, bangsa dan negara. Ini bermakna, tertegaknya sebuah keluarga yang harmoni dan bahagia bergantung banyak kepada penghayatan pasangan suami isteri terhadap institusi perkahwinan dan cara bagaimana mereka mencorakkan rumah tangganya.

Kaum muslimin yang dihormati,

Institusi keluarga penting dalam usaha melahirkan masyarakat madani dan insan rabani. Justeru itu, ibu bapa diharap lebih komited memberikan pendidikan, kasih saying dan keperluan-keperluan asasi yang lain kepada anak-anak. Di samping itu, setiap pasangan suami isteri hendaklah memastikan yang hubungan mereka sesama sendiri dan hubungan mereka dengan anak-anak sentiasa baik dan mesra kea rah membentuk keluarga sakinah.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan saying. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kamu yang berfikir.”

(Q.S. Ar-Rum: 21).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: