WASPADA FAHAMAN ISLAM LIBERAL

Posted in Uncategorized on 26 November 2013 by zanas

adha1KALANGAN Muslim yang prihatin begitu bimbang dengan ajaran sesat dan pertelagahan sesama sendiri soal furuk (cabang) dalam agama terutama pada perkara-perkara bidaah yang timbul selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.

Bagaimanapun, jarang yang sedar dan prihatin akan ancaman yang jauh lebih bahaya dalam memesongkan akidah serta tauhid Islami serta fitrah kemanusiaan itu sendiri dalam Islam liberal.

Sebabnya, ancaman ideologi yang jelas bercanggah dengan al-sunnah dan al-Quran melalui aliran pemikiran moden yang mengsinonimkan falsafah Islam berpaksikan akal dengan pemikiran barat yang memesongkan akidah itu sudah menjadi ‘pakaian’ dan ‘sajian’ harian hidup ummah kini.

Mengguna label Islam liberal dengan memperjuangkan hak kebebasan dan hak asasi manusia, umat Muslim sebenarnya sudah diresapi dengan ‘akidah’ liberalisme dan pluralisme yang menjadi agenda dalam doktrin Yahudi-Kristian dalam menghancurkan Islam melalui pemesongan akidah Muslim

Akidah menurut Profesor Dr. Hamka, terhimpun kepada tiga iaitu tauhid yang menjadi pokok kepercayaan tentang Keesaan Allah SWT, Al-Risalah iaitu manusia pilihan Allah yang di utus menyampaikan wahyu-Nya bagi membimbing manusia dalam kehidupan dan Al-Baats iaitu kepercayaan kepada hari berbangkit untuk kehidupan kedua yang berkekalan. (Tafsir Al-Azhar: mukadimah juzuk 17).

Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Maka hadapkanlah dirimu dengan lurus kepada agama Allah, (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah (agama) Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Fitrah Allah ialah ciptaan Allah iaitu manusia diciptakan Allah mempunyai naluri beragama iaitu agama Tauhid. Kalau ada manusia tidak beragama Tauhid, maka hal itu tidaklah wajar. Mereka tidak beragama Tauhid adalah kerana pengaruh lingkungan kehidupan). (ar-Ruum: 30).

Namun, manusiawi dan sikap kebendaan sudah mengambil alih peranan dalam kebanyakan amalan dan budaya hidup ummah era kini berbanding al-Quran dan al-sunnah sebagai pegangan untuk kekal meng-Esakan Allah SWT.

Menurut Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zain al-Ghari, fahaman sesat ada pada setiap zaman tetapi ancaman pemikiran moden mengsinonimkan Islam dengan falsafah pemikiran barat melalui liberalisme dan pluralisme adalah ancaman dan fitnah zaman ini yang jauh lebih bahaya.

Katanya, agama dan semua kepercayaan selain Islam bukan agama, sebab semuanya bersifat kemanusiaan dan perkara rekaan.

“Semua agama rekaan manusia itu tidak mungkin boleh dianggap sebagai agama. Hanya Islam yang meng-Esakan Allah SWT agama dan kepercayaan yang mutlak,” katanya.

Ini telah ditegaskan Allah SWT dalam al-Quran yang mafhum-Nya: Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. (ali-’Imran: 85).

Oleh itu, kata Zamihan, hanya Islam satu-satunya agama kerana ia tidak ditokok tambah dan direkacipta oleh manusia untuk manusia.

Malah tegas beliau, Islam adalah agama yang paling cantik, komprehensif, natural, rasional dan mengikut fitrah makhluk lagi eksklusif yang tidak berubah sejak dulu, kini dan selamanya.

“Kerana kecantikan dan kesempurnaan Islamlah menyebabkan ia dicemburui oleh ‘pereka’ kepada pelbagai kepercayaan lain,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika membicarakan ‘Ancaman liberalisme dan pluralisme’ pada Seminar Isu-Isu Semasa Akidah untuk kakitangan kerajaan dan badan-badan berkanun pada 10 November lalu.

Seminar sehari anjuran Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan itu diadakan di dewan serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Ancaman Islam liberal kini kata Zamihan, amat serius kerana ia yoga.png2melibatkan secara menyeluruh di semua peringkat dari barisan kepimpinan dan pengurusan sama ada dalam politik, sosial, budaya, ekonomi dan agama itu sendiri hingga kepada individu. “Ia berbahaya kerana mereka memperjuangkan prinsip kebebasan dan rasional akal tanpa batasan,” katanya. Menurut Zamihan, kebebasan bersandarkan logik atau rasional secara terbuka tanpa had bukan sahaja menyimpang daripada landasan Islam malah melampaui syariat dan prinsip dalam al-Quran dan al-Sunnah itu sendiri.

Kata beliau, Islam berasaskan al-Quran dan al-sunnah untuk menegakkan akhlak berbeza dengan langkah menjaga moral yang dilaungkan Islam liberal.

Melalui liberalisasi agama pula tambahnya, wujud sekularisme yang menyaksikan semua perkara berkaitan urusan dunia dipisahkan daripada syariat agama.

“Usaha pembaratan ini sudah bermula sejak Perang Salib lagi kerana musuh Islam sedar Muslim tidak dapat dikalahkan selagi kita berpegang teguh akidah al-Quran dan al-sunnah,” tegasnya.

Maka itu katanya, wujud pemikiran nasionalisme, demokrasi, pluralisme politik, hak asasi manusia, feminisme, kebebasan, globalisasi dan Islam liberal memesongkan soal aqidah Muslim.

Pegawai Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Rashidy Jamil Muhammad Ar-Rashid pula memberitahu, usaha terbaru proaktif memesongkan akidah Muslim adalah mengedarkan buku-buku Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru kepercayaan Kristian berbahasa Melayu bertajuk Al-Kitab: Berita Baik secara percuma oleh kumpulan pendakyah Kristian.

Buku olahan baru dan semasa dari Kitab Bible dan Gospels Kristian itu juga turut dijual di kebanyakan kedai-kedai buku sebaris dengan kitab-kita Islam dengan meluas.

“Pengedaran tulisan khat arab yang dipetik dari buku-buku bible dan gospels pegangan Kristian yang menyerupai ayat-ayat al-Quran juga sedang bertebaran dan memenuhi ruang rumah, kedai, pejabat dan sesetengah tempat ibadah Muslim,” jelasnya.

Sebab itu, tegas Rashidy, umat Islam yang dangkal agama dan bahasa Arab perlu lebih berhati-hati dan prihatin dalam memilih kitab dan tulisan khat serta kaligrafi Bahasa Arab.

“Bible telah diterjemah ke dalam lebih 2,000 bahasa, tetapi Buku Al-Kitab: Berita Baik edisi Bahasa Melayu bukanlah dari Taurat dan Holy Bible Kristian yang asli,” jelasnya.

Sebaliknya kata beliau, ia mengandungi ayat-ayat untuk menyuntik idealisme Yahudi-Kristian ke pemikiran dan akidah Muslim Melayu yang membacanya.

Beliau yang banyak terlibat dalam dialog dan perdebatan mengenai Islam dan Kristian dengan paderi serta pendakyah agama seluruh dunia itu membuat pendedahan tersebut ketika membicarakan tajuk ‘Ancaman Kristianisasi di Malaysia’ pada seminar tersebut.

Menurut Rashidy, identiti Islam pada umatnya sekarang sudah hilang dan hampir seluruh kehidupan harian kebanyakan Muslim dikuasai budaya dan idealisme Kristian-Yahudi.

“Sebab itulah ramai Muslim yang terpesong akidahnya dan tidak kurang pula yang begitu mudah dimurtadkan,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Hukum Hakam (Istinbat) Jabatan Mufti Selangor, Mat Jasi Kamos pula berkata, kejahilan Muslim mengenai Islam menjadi punca utama akidah mereka terpesong.

Kerana jahil katanya, ramai mengambil jalan pintas untuk ‘mendapatkan syurga’ dan mendekatkan diri dengan Allah, sehingga tidak dapat membezakan antara mukjizat, karamah (keramat) dan istidraj (luar biasa) yang dibawa oleh seseorang atau kumpulan atas nama agama.

“Akibatnya ramai yang bertuhankan kepada sesama manusia dan mereka juga taksub dengan kebendaan sehingga memesongkan akidah,” katanya.

Begitupun kata Mat Jasi, setiap individu Muslim bertanggungjawab melaksanakan dakwah bagi mengembalikan akidah Islam kepada sesama manusia.

 Sumber :http://pmr.penerangan.gov.my

PANDUAN MEWARNAKAN RAMBUT DAN MEMAKAI INAI MENURUT ISLAM

Posted in Uncategorized on 26 November 2013 by zanas

 

Sejarah mewarnakan rambutinai3
Permulaan hukum mewarna rambut ini bermula semasa zaman Rasulullah di mana baginda telah meminta Abu Quhaafah, bapa kepada Abu Bakar al-Siddiq untuk mewarnakan rambut dan janggutnya yang berwarna putih tetapi menjauhi warna hitam.

Ini bermakna warna hitam tidak boleh digunakan, warna yang sesuai ialah warna inai yang kekuningan. Ini kerana warna hitam akan menyebabkan Abu Quhaafah yang tersangat tua itu akan menjadi muda. Ini wujud penipuan usia dalam Islam.
Islam adalah agama yang mementingkan kebersihan dari kecantikan. Ini selaras dengan sabda nabi SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kecantikan dan ia bersih dan sukakan kebersihan“.
Oleh yang demikian, perbuatan mewarnakan rambut selain daripada warna hitam adalah harus dengan syarat pewarna tersebut tidak mengandungi bahan-bahan najis dan telap air serta tidak bertujuan untuk menunjukkan kecantikan kepada orang lain.

 

inai01 

Produk  pewarna Rambut

Panduan berhias menurut Islam dari segi mewarnakan rambut dan berinai adalah seperti berikut:
1. Mewarnakan rambut
Mewarnakan rambut dengan inai tidak salah dan dibenarkan Islam sebagaimana fatwa Yusuf Qadrawi : “Sebahagian dari perkara yang tergolong di dalam masalah perhiasan ialah mewarnakan rambut dan janggut yang telah beruban. Telah datang satu riwayat yang memperjelaskan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani enggan mewarnakan rambut dan mengubahnya dengan beranggapan, antaranya berhias dan memperelok diri itu dapat menghindarkan erti peribadatan dalam agama. Sebagaimana yang dilakukan oleh para rahib dan ahli zuhud yang bersikap berlebih-lebihan”.

2. Warna rambut yang dibenarkan bagi orang tua
Tidak dibenarkan menggunakan warna hitam untuk mewarnakan rambut yang telah beruban. Sabda Rasulullah SAW kepada Abu Qufahah yang beruban rambutnya “Ubahlah ini (uban) tetapi jauhilah warna hitam” (HR Muslim).

3. Warna rambut yang dibenarkan bagi orang muda
Orang-orang yang lebih muda dari Abu Qufahah, tidak berdosa mewarnakan rambut dengan warna hitam. Dalam masalah ini al-Zuhri berkata “Kami mewarnakan rambut dengan warna hitam apabila wajah masih kelihatan muda, tetapi apabila wajah telah berkedut dan gigi telah goyang,kami tinggalkan warna hitam” (Fathul Bari).

4. Bahan untuk pewarna rambut
“Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarnakan rambut yang beruban ialah pokok inai dan katam” (HR Tirmizi & Ashabussunan).
Katam ialah sejenis pokok yang tumbuh di Yaman yang mengeluarkan pewarna berwarna hitam kemerah-merahan.

5. Pewarna komersial
Apa-apa produk boleh digunakan selagi ia bebas dari najis dan tidak menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk atau ketika mandi hadas.

6. Pemakaian inai
Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bersidang pada Oktober 2009 memutuskan pemakaian inai  pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada  sudah berkahwin atau belum selagi tidak menimbulkan fitnah.
Walau bagaimana pun ianya terhad pada pergelangan tangan atau kaki sahaja, dan warnanya tidak boleh yang bersifat kekal seperti tatu atau dari bahan-bahan yang meragukan.

7. Inai ukir
Inai ukir dibenarkan dengan syarat corak-coraknya adalah dari unsur daun dan tumbuh-tumbuhan. Tidak dibenarkan menggunakan corak haiwan, watak dewa dewi atau ajaran dan apa jua lambang yang bertentangan dengan ajaran Islam.

8. Pewarna kuku
Pewarna kuku (cutex) diharamkan kerana ia menghalang air wuduk untuk sampai. Sebaliknya penggunaan daun inai diharuskan sekiranya berniat berhias untuk suami. Lagipun daun inai banyak khasiatnya.

 Penggunaan pewarna rambut untuk tujuan mewarna mestilah menepati tiga syarat iaitu :
-  Boleh menyerap air supaya air sembahyang dan mandi wajib sah.
- Tidak mengandungi bahan yang kemudaratan pada kulit ,

-  Bahan tidak bercampur dengan najis.

Nabi SAW bersabda : “Barang siapa yang mewarnakan rambutnya dengan warna hitam, nescaya Allah akan menghitamkan wajahnya di akhirat kelak” (Al-Haithami, bagaimanapun Ibnu Hajar berkata seorang perawinya agak lemah, bagaimanapun rawi tersebut diterima oleh Imam Yahya Mai’en dan Imam Ahmad).

Kesimpulan
a) Hadis larangan adalah menujukan kepada larangan penipuan umur yang tua akibat tua dan uban maka dihitamkan bagi kelihatan lebih muda. Tidak kira dari kalangan lelaki mahupun perempuan. Ia dilarang oleh Islam.
b) Adapun hadis yang mengharuskan adalah dalam keadaan dan sebab-sebab yang diiktiraf oleh syarak, seperti perang bagi menakutkan musuh, ataupun ia tidak mengandungi unsur penipuan, seperti merawat penyakit dan lain-lain.

Artikel disunting dari sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
                                                      Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
                                                      Laman Web Halaqah

Pendermaan Organ Menurut Perspektif Islam

Posted in ARTIKAL on 23 November 2013 by zanas

organ01

Hukum Pendermaan organ bukan lagi persoalan baru di Malaysia. Fatwa asas mengenainya telah dibuat sejak pada tahun 1970 lagi. Jawatankuasa Fatwa Bagi Majlis Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam mesyuaratnya yang pertama pada 23 & 24 Jun 1970 telah memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung daripada orang mati kepada orang hidup hukumnya harus.
Orang Islam masih beranggapan bahawa  individu yang menderma organ seolah-olah akan tidak sempurna jasadnya ketika dikebumikan kelak. Namun sebenarnya Islam tidak melarang akan proses pendermaan organ ini  kerana ia sesuatu amalan yang mulia dan satu lagi bentuk kebajikan.

organ02

Dari sudut Islam, pemindahan organ hukumnya adalah harus berserta dengan syarat-syarat seperti di bawah:
• Tidak ada alternatif lain yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit
• Tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada penderma dan penerima organ.
• Pendermaan organ hendaklah dilakukan dengan ikhlas dengan niat untuk membantu kerana Allah S.W.T.
• Pendermaan organ hendaklah mendapat keizinan penderma dan ahli keluarga atau warisnya.

Fatwa-fatwa di Malaysia Berkaitan Pendermaan Organ
• 1965 Fatwa negeri Perlis mengharuskan pemindahan kornea daripada orang yang telah meninggal dunia.
• 1970 Majlis Fatwa Kebangsaan mengharuskan pendermaan organ daripada penderma kadaverik kepada penderma hidup.
• 1989 Majlis Fatwa Kebangsaan menerima diagnosis mati otak sebagai diagnosis untuk kematian.
• 1995 Majlis Fatwa Kebangsaan mengharuskan penggunaan graf tisu untuk merawat pesakit.
• 1997 Fatwa negeri Sarawak mengharuskan pemindahan ginjal daripada penderma hidup dan penderma yang telah meninggal dunia.
Pendermaan Organ Sebagai Sedekah jariah
Menurut ulama  terkenal, Syeikh Yusof al-Qaradhawi, pendermaan organ terangkum di bawah satu daripada tiga amalan yang akan memberikan pahala berterusan selepas seseorang itu meninggal dunia. Beliau mengkategorikan perbuatan menderma organ sebagai sedekah jariah. Beliau juga berhujah mengenai keharusan pendermaan organ dengan mengatakan bahawa daripada dibiarkan jasad dimamah tanah selepas kematian, adalah lebih baik organ yang boleh digunakan itu didermakan bagi tujuan menyelamatkan nyawa orang lain.

Majlis Fatwa Kebangsaan sejak 23 Jun 1970 menetapkan garis panduan tertentu yang mengharuskan pendermaan dilakukan iaitu:
* Pemindahan organ boleh dilakukan selepas tiada pilihan atau jalan akhir untuk menyelamatkan seseorang yang organnya tidak berfungsi.
* Penderma atau pengikrar organ sudah disahkan meninggal dunia.
* Kebenaran diperoleh daripada ahli keluarga si mati.
* Tidak ada unsur perdagangan atau jual beli bagi organ itu.
Keputusan Lujnah Fatwa (Jawatankuasa Syariah)
1. Pemindahan atau pendermaan organ adalah haram dalam keadaan bukan darurat, manakala hukumnya harus dalam keadaan darurat.
2. Orang yang mati otak adalah dihukumkan mati.

Pemindahan organ ada dua keadaan iaitu:
i)  Keadaan penderma masih hidup
* Menjalankan kajian perubatan dengan cara terperinci dan profesional tentang kebaikan dan keburukan pemindahan ini, kejayaan dan kegagalan pemindahan.
* Dengan reda penderma, tanpa paksaan.
* Sudah dipastikan pemindahan itu berjaya pada kebiasaannya.
* Keadaan darurat yang mendesak bagi menyelamatkan nyawa orang yang didermakan kepadanya, terutama yang ada hubungan nasab dan keluarga.
* Organ yang dipindahkan bukan dijadikan dagangan dan jual beli, dagangan dan jual beli hanya akan mengundang perbuatan khianat yang memberi mudarat kepada penerima, memberi keuntungan kepada orang tengah dan juga kesempatan kepada doktor-doktor yang tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan.
* Kebenaran bertulis daripada penderma dan penderma dibolehkan menarik balik pada bila-bila masa.
ii) Keadaan penderma yang telah mati
* Menjalankan pemeriksaan perubatan dengan cara terperinci dan profesional tentang kebaikan dan keburukan pemindahan ini, kejayaan dan kegagalan pemindahan, ia memerlukan pemeriksaan rapi.
* Dengan reda penderma, melalui wasiat ataupun waris-waris dan perakuan daripada kerajaan.
* Sudah dipastikan pemindahan itu berjaya pada kebiasaannya atau dalam erti kata lain, pemindahan itu dijamin berjaya.
* Dilakukan pemindahan itu dengan penuh disiplin ilmu, iman dan takwa, penghormatan yang sewajarnya kepada si mati mengikut hukum syarak serta tiada unsur-unsur penghinaan.
* Keadaan darurat yang mendesak bagi menyelamatkan nyawa orang yang didermakan kepadanya, terutama yang ada hubungan nasab dan keluarga.
* Organ yang dipindahkan bukan dijadikan dagangan dan jual beli, hanya akan mengundang perbuatan jenayah yang memberi mudarat kepada penerima, memberi keuntungan kepada orang tengah dan juga kesempatan kepada doktor-doktor yang tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan.
Mati otak
* Menjalankan pemeriksaan perubatan dengan cara professional tentang berlakunya mati otak.
* Digalakkan mendapat persetujuan dari keluarga terdekat dari suami, anak, ibu dan bapa.
* Perakuan tentang berlakunya mati otak hendaklah dilakukan oleh sekurang-kurangnya tiga doktor profesional (doktor Islam diutamakan).
* Sekiranya dengan kecanggihan rawatan perubatan (sains dan teknologi) boleh mengubat, maka suasana ini gugur.

Suntingan dari sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia( JAKIM)
Utusan Malaysia  14/10/2010

PENTINGNYA MENJAGA WARISAN ALAM

Posted in ARTIKAL on 23 November 2013 by zanas

Pentingnya menjaga warisan alam

 14_01_2010

IBU BAPA berperanan mendekatkan anak-anak dengan alam sekitar.

 

Jika kita dengarkan kembali lagu Hijau dendangan Zainal Abidin yang pernah hangat satu ketika dulu, pasti kita sedar akan mesej yang cuba disampaikan tentang betapa eratnya alam sekitar dengan manusia.

Bait-bait awal dalam lagu tersebut ‘Bumi yang tiada rimba, seumpama hamba, dia dicemar manusia, yang jahil ketawa‘ memberi isyarat yang jelas kepada kita sebagai manusia atau satu-satunya makhluk yang mempunyai akal untuk berfikir dan bertindak sewarasnya dalam menjaga warisan alam sekitar yang tidak terbanding ini.

Selagi kita terus mengamalkan sikap negatif dan acuh tak acuh dalam mengekalkan alam sekitar yang bersih, indah dan tidak tercemar, maka kita sendiri akan menerima padahnya.

Buktinya, hari ini perubahan cuaca yang tidak menentu, penipisan lapisan ozon, kesan rumah hijau, banjir kilat, kenaikan suhu global, pencemaran udara dan air bertoksik adalah antara kesan buruk yang terpaksa ditanggung oleh kita kerana kealpaan dalam menjaga alam sekitar.

Banyak pihak yakin bahawa salah satu cara terbaik untuk memelihara dan memulihara alam sekitar adalah dengan memberikan pendidikan awal kepada golongan kanak-kanak.

Melentur buluh

Bukanlah alasan yang bijak jika kita mengatakan anak-anak masih terlalu kecil dan mentah untuk memahami keperluan menjaga alam sekitar.

Pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ memberi maksud bahawa anak-anak perlu diasuh sebaik mungkin pemikiran dan sikapnya untuk menjaga alam sekitar supaya mempunyai rasa bertanggungjawab yang dibawa sehinggalah mereka menjadi dewasa.

Banyak inisiatif yang boleh difikirkan dan diamalkan oleh ibu bapa terutamanya dalam kehidupan seharian di rumah.

Sebagai memberi kesedaran dan pendidikan awal tentang penjagaan alam sekitar, ibu bapa boleh membelikan atau membawa anak-anak ke perpustakaan untuk membaca bahan-bahan yang berkaitan.

Sebagai alternatif lain, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk melayari laman-laman web seperti http://www.kitarsemula.com, http://www.kid-at-art.com atau http://www.compostguide.com dan sebagainya yang sarat dengan maklumat, panduan dan petua penjagaan alam sekitar.

Melalui bahan-bahan pembacaan seperti ini, secara umumnya anak-anak akan dapat menghayati konsep 3R dalam penjagaan alam sekitar, iaitu ‘reduce” (kurangkan), ‘reuse‘ (gunakan semula) dan ‘recycle‘ (kitar semula).

Anak-anak perlu diberitahu akan fakta-fakta yang bersifat realisitik tentang alam sekitar. Misalnya, beratus-ratus pokok dapat diselamatkan daripada ditebang jika kertas-kertas terpakai dikitar semula secara bijak.

Kitar semula

Begitu juga fakta bahawa kitar semula bahan buangan mampu menjimatkan kos pengendalian pembuangan sampah sarap sehingga ratusan juta ringgit oleh kerajaan.

Antara usaha-usaha lain dalam penjagaan alam sekitar yang boleh diterapkan kepada anak-anak di rumah adalah:

 Mengasuh anak-anak menggunakan sumber alam secara berhemah terutama penggunaan air dan elektrik. Sebagai contoh, air mandian dan basuhan di dapur boleh dikitar semula untuk menyiram tanam-tanaman. Suis elektrik dan lampu perlu dimatikan jika tidak digunakan lagi.

 Menggalakkan anak-anak untuk tidak membuang sampah merata-rata tetapi buang di tempat yang sepatutnya. Adalah lebih baik juga untuk mendidik dan memberikan contoh kepada mereka dengan mengasingkan jenis-jenis sampah yang boleh dan tidak boleh dikitar semula seperti botol plastik, kaca, kertas dan sebagainya.

Wujudkan tong sampah di rumah mengikut jenis-jenis bahan buangan tersebut bagi memudahkan anak-anak membuang sampah mengikut kategorinya.

 Mengajar anak-anak untuk mengumpulkan bahan buangan seperti tin aluminium dan surat khabar lama dan seterusnya dibawa ke pusat kitar semula yang memberikan bayaran ke atas bahan-bahan tersebut.

Anak-anak akan turut berminat menambahkan jumlah wang tabungan mereka dari semasa ke semasa dengan cara yang mudah sebegini.

 Beritahu anak-anak bahawa sisa-sisa makanan harian tertentu boleh dikitar semula menjadi ‘baja kompos’ yang boleh digunakan sebagai baja untuk menanam bunga atau sayur.

Dengan cara ini anak-anak akan turut dapat dididik akan konsep ‘berbakti kepada tanah’ dan memberikan pulangan melalui hasil tanaman bunga-bungaan atau sayur-sayuran.

 Majalah-majalah atau surat khabar lama boleh digunakan semula oleh anak-anak dengan cara mengumpulkan atikel-artikel tertentu untuk dijadikan buku skrap atau ensiklopedia peribadi tentang apa sahaja topik yang menjadi minat mereka.

 Ibu bapa perlu menerapkan sifat berjimat cermat seperti menggunakan semula barang-barang yang difikirkan tidak perlu seperti pakaian lama yang boleh dibuat kraf tangan menjadi beg, selimut, atau alas meja. Tin atau botol plastik pula boleh diubahsuai menjadi tabung, bekas alat tulis atau arca.

Pakaian milik anak-anak yang tidak lagi digunakan mungkin boleh didermakan kepada anak-anak yatim atau badan-badan kebajikan.

Begitu juga dengan amalan di mana pakaian dan barang-barang permainan anak-anak boleh dihadiahkan kepada rakan-rakan mereka yang lain.

 Untuk mengurangkan penggunaan beg plastik terutamanya yang berunsurkan styrofoam dan tidak mamu dilupuskansecara semulajadi, terapkan amalan membawa beg sendiri dalam diri kita dan anak-anak ketika hendak membeli-belah.

 Galakkan anak-anak untuk menyertai program yang berkaitan dengan pemeliharaan alam sekitar. Misalnya menyertai program gotong royong membersihkan kawasan kejiranan, menyertai ceramah atau kempen penjagaan alam sekitar dan sebagainya.

Kita perlu sedar bahawa walaupun sumbangan kita dan anak-anak terhadap pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar nampak seperti terlalu kecil, namun jika semua pihak mempunyai rasa tanggungjawab yang serupa, sudah tentu ia akan menjadi begitu berkesan dan bermakna.

Sikap positif dalam menjaga warisan alam sekitar sebegini diharapkan akan menular menjadi budaya yang akan terus dipraktikkan oleh anak-anak kita ini pada masa hadapan dan diperturunkan kepada generasi seterusnya.

Sumber  Maklumat : Utusan Malaysia

14 Jan.2010

“PERANAN KELUARGA DAN MASYARAKAT DALAM MENANGANI GEJALA SOSIAL”

Posted in SAHSIAH on 22 November 2013 by zanas

 

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan hadhirin sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT. dengan sebenar-benar taqwa dengan kembali mengikuti ajaran Islam yang syumul iaitu dengan beramal soleh, menyuruh manusia berbuat kebaikan dan mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran. Mudah-mudahan segala amal bakti kita akan diredhai oleh Allah dan membawa kebaikan untuk kita di dunia
dan akhirat.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Peranan keluarga dan masyarakat dalam membentuk dan mengembalikan Islam kepada generasi umat manusia yang tergelincir daripada landasan iman dan taqwa adalah sangat penting. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama menangani kemelut gejala sosial yang berlaku ini dengan berani dan bijaksana agar golongan sasaran dakwah kita tidak menolak seruan yang disampaikan kepada mereka. Firman Allah SWT. dalam surah An-Nahl ayat 125:
”Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik, sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dialah juga yang lebih mengetahui
akan orang yang mendapat hidayah”.
Setiap anggota masyarakat mestilah berperanan membimbing mereka yang terjebak dengan maksiat atau gejala sosial supaya kembali kepada Islam secara pendekatan dakwah yang bijak. Hanya menggunakan pendekatan yang matang, sesuai dan berhikmah, kita mampu membimbing golongan ini kembali kepada Islam. Suatu masa dahulu pendekatan seperti ceramah, nadwah dan Khemah Ibadah sesuai diguna-pakai dalam menarik minat muda-mudi tetapi hari ini umat Islam harus memaksimumkan penggunaan Medium Dakwah yang melibatkan pendekatan kesukanan, hiburan, teknologi canggih seperti penggunaan IT. yang meliputi penggunaan Laman Sosial, Blog, E-Mail atau melalui Laman-laman Web.
Ibubapa hendaklah bersikap terbuka dalam memainkan peranan mereka bagi menarik minat anak-anak dengan cara atau jalan yang paling baik. Pendekatan tegas, berdisiplin di samping menunjukkan kasih sayang, lembut dan mesra adalah sangat sesuai dalam mentarbiyyah anak-anak. Kita tidak ingin melihat anak-anak
menjadi semakin jauh daripada kita akibat tiada belaian kasih sayang dan kemesraan terhadap mereka.
Justeru, ibubapa hendaklah mempelajari Ilmu-ilmu Motivasi dan Pentarbiyyahan terkini sesuai dengan peredaran zaman. Ada masa dan ketika kita menjadikan mereka teman dan ada masa kita bertegas dengan mereka. Kasih sayang dan kemesraan hendaklah dipupuk, Program-program Pembinaan Ukhuwwah Dan Jalinan Kekeluargaan hendaklah sentiasa dibentuk seperti lawatan, perkhemahan, hari keluarga, riadhah santai bersama keluarga dan sebagainya.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Apa yang paling penting peranan keluarga dalam menangani gejala sosial yang berlaku ialah penerapan asas-asas agama kepada anak-anak kita. Tanggungjawab kita sekurang-kurangnya memberikan Pendidikan Asas Fardhu ’Ain dalam diri setiap anak-anak, mudah-mudahan ianya akan menjadi obor dalam kehidupan mereka untuk memperolehi keredhaan Allah SWT.
Ibubapa hendaklah menjadi contoh utama dalam amalan dan menunaikan kewajipan agama seperti solat secara berjamaah dan membimbing anak-anak berkenaan batas-batas pergaulan dalam Islam, pemeliharaan batasan aurat, galakan untuk menghadhiri kelas-kelas agama dan sebagainya. Di samping itu peranan masjid, NGO, Jabatan-jabatan Kerajaan, Swasta, JKKK. dan Individu Perseorangan dalam membendung gejala sosial hendaklah diperkasakan dengan menyumbang apa-apa yang perlu samada kewangan, kemudahan, dewan, tempat rekreasi atau peralatan mengendalikan Programprogram Kesedaran atau Khidmat Nasihat berupa Ceramah Motivasi, Kaunseling, Penyediaan Kursus-kursus Keinsafan, Bimbingan Kerjaya atau Panduan Berumahtangga demi menyelamatkan generasi muda daripada menjadi mangsa keruntuhan akhlak dan akidah. Kita yakin, sekiranya langkah-langkah ini dilakukan oleh keluarga dan masyarakat yang peka dengan perkembangan yang berlaku di kalangan muda-mudi dan remaja, sudah tentu dapat membendung gejala sosial yang berlaku. Firman Allah SWT. dalam surah Toha ayat 132:
”Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu;. dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwa”.
Menurut buku ”Apa Ertinya Saya Menganut Islam ” yang dikarang oleh Fathi Yakan menyatakan untuk kembali kepada Islam dan sekaligus membendung penularan gejala-gejala sosial yang melibatkan keruntuhan akidah, syariat dan akhlak mestilah membudayakan masyarakat Islam dengan beberapa langkah:
Pertama: Memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa matlamat hidup insan ialah sebagai khalifah dan sebagai hamba Allah. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 30:
”Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”.
Ini menjelaskan kepada kita bahawa sebagai khalifah dan hamba Allah, umat Islam wajib menegakkan agama Allah dan mentadbir alam ini berlandaskan syarak dan agama serta patuh dan taat mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT. dalam surah Az-Zariyat ayat 56: ”(Ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku”.
Kedua: Manusia haruslah memahami bahawa nilai dunia adalah terlalu sedikit dan bersifat sementara berbanding akhirat.
Ketiga: Manusia hendaklah menyedari bahawa kematian pasti datang menemui kita. Justeru, carilah bekalan menuju alam akhirat. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 185: ”Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan hanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya, dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan”.
Keempat: Umat Islam mestilah mengetahui hakikat Islam itu dengan mempelajari selok-belok agama agar hilang kejahilan umat dan kebaikan akan terserlah akhirnya. Hadith ini diriwayatkan oleh Al-’Askari daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
”Sesungguhnya ilmu itu didapati dengan belajar dan kefahaman itu didapati dengan mendalami ilmu, barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah akan kebaikan, nescaya Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama”.
Kelima: Umat Islam mestilah mengenali siapakah jahiliyyah atau musuh Islam. Semua perkara yang menyimpang daripada agama adalah jahiliyyah. Kita hendaklah waspada bahawa musuh-musuh ini akan sentiasa menghancurkan kita termasuk budaya dan pemikiran. Tegasnya untuk menyelesaikan sebahagian masalah gejala sosial ini adalah dicadangkan:
Pertama: Sesebuah keluarga mestilah menggalakkan mereka yang bujang supaya berumahtangga kerana Rasulullah menegaskan dalam hadithnya yang diriwayatkan oleh Baihaqi dan Al-Hakim:
“Sesiapa yang berkahwin sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh dari agamanya maka bertaqwalah ia pada separuh yang lain”.
Kedua: Pembinaan sesebuah keluarga hanya berjaya dengan tarbiyyah, asuhan dan didikan menurut nilai-nilai Islam. Bukan hanya dididik dengan ber jaya dalam pelajaran semata-mata dan agama jauh daripada diri mereka, maka akan hancurlah generasi kita sekiranya hanya faham kebendaan ditanamkan kepada mereka.
Ketiga: Sesebuah keluarga amat wajar memantau dan mengambil tahu pergaulan dan pergerakan anak-anak mereka agar tidak terjebak dengan perkaraperkara negatif.
Keempat: Sesebuah Keluarga, Ahli Masyarakat dan Pemerintah perlulah memainkan peranan penting dalam usaha membentuk dan mencorakkan generasi kini menjadi Generasi Soleh dengan Penyediaan Alternatif Aktiviti dan Program Membina Generasi Taqwa dan menjadi Modal Insan yang hakiki untuk hari ini dan akan datang, sebagaimana usaha yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia ke arah Pembinaan Modal Insan yang baik dengan pelaksanaan Program SPIES di semua peringkat.
Ayuhlah kita sebagai umat yang dianugerahkan akal yang waras dan diberikan kesedaran Islam yang tinggi, bertindaklah segera kembalikanlah umat Islam ke jalan yang lurus dan jalan taqwa agar kehidupan kita akan memperolehi ketenangan di dunia dan di akhirat.
(At-Thur: 21) Dan orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, Kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka (di dalam syurga); dan Kami tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amalan mereka; Setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya”.

SIFAT BELAS KASIHAN BUKTI KESEMPURNAAN IMAN

Posted in SAHSIAH on 22 November 2013 by zanas

Masyarakat negara ini terkenal dengan budaya budi pekerti lemah lembut dan bersopan santun. Keadaan itu menepati ajaran Islam yang menganjurkan umatnya menghias diri dengan sifat terpuji.
Cuma, mutakhir ini banyak perkara yang meruntun hati berlaku. Penganiayaan di sana-sini, tidak terkecuali dalam institusi perkahwinan. Rentetan itu cukup membimbangkan dan menggambarkan segelintir masyarakat Malaysia ketandusan sifat kemanusiaan. Bagi umat Islam, penderaan dan penganiayaan dilarang keras kerana Islam adalah al-Din yang bersifat belas kasihan. Jika kita benar-benar menghayati agama, tiada kepincangan dalam hubungan kemasyarakatan bahkan Rasulullah SAW juga menunjukkan cara berakhlak dengan ahli keluarga, tetangga dan masyarakat.
Menjadi orang yang membawa kebaikan kepada alam sejagat bukan mudah, kerana itu Rasulullah SAW mengajar perbuatan baik supaya Baginda tidak berseorangan dalam urusan ini sebaliknya dibantu dan disokong oleh sahabat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu sekali-kali tidak akan dianggap beriman sehingga kamu bersifat rahmat. Ujar sahabat: “Kami semua sememangnya bersifat rahmat.” Lantas Baginda SAW menjawab: “Bukan itu maksudku rahmatmu kepada kawan kamu, sebaliknya maksudku ialah rahmatmu kepada umum (alam sejagat).” (Hadis riwayat Tabarani)
Rahmat adalah perkara yang membawa kebaikan dan Islam agama yang membawa keamanan, kedamaian, keharmonian, kemesraan dan rahmat kepada seluruh isi alam membabitkan semua makhluk.
Bagi menjamin kedamaian dan rahmat terlaksana, Islam memerintahkan umatnya menghiaskan diri dengan sifat belas kasihan yang turut menjadi bukti kesempurnaan iman seseorang kepada Allah.
Belas kasihan ini bukan saja kepada sahabat terdekat tetapi alam seluruhnya, terutama jiran tetangga dan yang ada hubungan nasab.
Sebagai umat Islam, kita perlu berbuat baik terhadap mereka yang paling hampir sehinggakan apabila ingin memberikan juadah, Rasulullah SAW mengajar supaya diberi kepada jiran yang pintunya paling hampir dengan rumah kita, bukan jiran paling rapat.
Sifat belas kasihan membuatkan kita mudah tersentuh apabila melihat kesusahan menimpa orang lain dan begitu juga sebaliknya. Jika perasaan seumpama itu tidak wujud dalam diri manusia, ia menurunkan taraf manusia lebih teruk daripada haiwan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah menjadikan rahmat 100 bahagian, satu bahagian daripadanya sudah diturunkan ke bumi. Daripada bahagian satu inilah, sekalian makhluk dapat berbelas kasihan antara satu sama lain hinggakan ada seekor haiwan yang mengangkat kakinya kerana takut terpijak anaknya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)
Ibu bapa perlu mempunyai kasihan belas dalam proses pendidikan anak. Jika anak melakukan kesalahan, hendaklah ditegur dan dibetulkan kesalahannya dengan lemah lembut serta kasih sayang, bukan memukul dengan kekerasan.
Pada tahap pendidikan di awal usia, anak perlu dibelai, ditatang serta diasuh dengan penuh kasih sayang dan lemah lembut. Perlu diingat gejala sosial yang semakin membarah dalam masyarakat antaranya berpunca daripada kepupusan perasaan kasihan belas dan kemesraan dalam rumah.
Justeru, apabila berlaku kesilapan atau kesalahan oleh anak, ibu bapa perlu menilai semula kemungkinan itu berpunca daripada kesilapan mereka yang gagal mewujudkan keharmonian rumah tangga seperti dituntut Islam.
Dalam konteks kekeluargaan pula, suami isteri perlu bertolak ansur dan berbelas kasihan antara satu sama lain menguruskan rumah tangga. Ia selaras objektif perkahwinan dalam Islam untuk menyuburkan kasih sayang dan kemesraan antara suami isteri bagi mengecapi kebahagiaan sejati

Orang Melayu usah mudah lupa sejarah

Posted in ARTIKAL on 22 November 2013 by zanas

 

 

ISU-ISU seperti hak istimewa Melayu, Ketuanan Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu serta kontrak sosial telah dicungkil kembali dan ada pihak tertentu menggunakan isu ini untuk mencapai objektif yang kita tidak pasti apa sebenarnya yang mereka mahukan.
Wahai kaum Melayu semua, berhentilah kita mencanang isu-isu sebegini untuk kepentingan tertentu. Jangan kita lupa peranan dan kedudukan kita pada hari ini. Sudah sekian lama orang Melayu dijajah oleh kuasa asing. Kini, sudah tiba masanya untuk kita bangun memajukan dan pada masa yang sama, mempertahankan tanah air kita daripada diceroboh anasir luar. Orang Melayu patut bersatu dan menunjukkan kita bukanlah bangsa yang suka berpecah belah.
Orang Melayu pada hari ini jangan sekali- kali melupakan sejarah apatah lagi meninggalkan sejarah dalam usaha menuju kemajuan dan kemodenan. Orang Melayu patut menjadikan sejarah lalu menjadi lebih baik pada hari ini dan masa akan datang.
Mengapa? Dalam sejarah masyarakat Melayu zaman dahulu, orang Melayu merupakan pelaut yang terkenal kerana mereka boleh meramalkan pergerakan musuh dan kapal-kapal di lautan serta mengetahui arah angin. Kerana kebijaksanaan ini beberapa buah negeri di Tanah Melayu menjadi pusat persinggahan kapal-kapal dagangan dari beberapa negara luar.
Tetapi di manakah Melayu dalam bidang ini sekarang ini? Begitu juga dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang telah diserang Portugis dan Belanda. Mengapa mereka hendak menawan Melaka dan apa yang lebih penting adalah mengapa mereka dengan senang dapat menawan kota Melaka? Sebabnya kerana salah seorang pembesar Melaka pada waktu itu telah belot dengan membuka rahsia kota Melaka kepada musuh.
Peristiwa itu cukup memberikan pengajaran, bahawa orang Melayu jangan sekali-kali menjadi pengkhianat bangsa dan negara. Jangan ada antara kita kerana kepentingan tertentu menjaja masalah negara kepada negara lain dan meminta negara lain membantu menyelesaikan masalah kita.
Ingat! Budaya dan adat resam masyarakat Melayu Malaysia tidak sama dengan budaya negara lain.
Sumber : http://kemas-sekijang.blogspot.com
MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,162 other followers