Usaha martabat kedaulatan ketuanan Melayu perlu jujur

       
Monday, 05 May 2008 06:56am

©Berita Harian (Digunakan dengan kebenaran)

SELEPAS Pilihan Raya Umum Ke-12, banyak pihak mula membicarakan soal ketuanan Melayu dan ada yang mendakwa nasib bangsa Melayu di tanah air sendiri mula terancam. Ramai menyuarakan kebimbangan kedaulatan politik Melayu tercabar dengan peralihan sokongan orang Melayu kepada Umno seperti dilihat pada pilihan raya umum 8 Mac lalu. Menyedari hakikat itu, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) mengadakan Kongres Permuafakatan Melayu bertemakan ‘Kedaulatan Melayu Paksi Kewujudan Bangsa’ selama tiga hari di Johor Bahru yang berakhir semalam. Apakah benar kedaulatan orang Melayu tercabar selepas pilihan raya umum lalu sehingga perlu banyak pihak mendesak kerajaan yang masih diterajui orang Melayu, memastikan ketuanan dan hak Melayu kekal serta dipelihara. Apapun landasan digunakan yang penting kesedaran itu memang wujud dan ramai yang bimbang mengenai nasib masa depan orang Melayu. Kekhuatiran itu berasas selepas Umno hanya menguasai 78 kerusi Parlimen, selain kehilangan kuasa memerintah di Selangor, Kedah serta Perak dan gagal merampas semula Kelantan. Malah, nasib orang Melayu Pulau Pinang juga berada di persimpangan selepas Pulau Mutiara itu dikuasai parti pembangkang DAP. Ia secara langsung menunjukkan bahawa orang Melayu sendiri tidak lagi memilih untuk mengundi Umno.

Jika selama ini, orang Melayu beranggapan bahawa Umno menjadi penjaga kepada kedaulatan Melayu, sudah pastilah boleh disimpulkan bahawa kuasa Melayu di negara ini, semakin terhakis berdasarkan apa yang berlaku pada pilihan raya umum itu. Justeru, kongres di Johor Bahru menggariskan 71 tuntutan yang terbahagi kepada Perlembagaan, politik, ekonomi, bahasa Melayu, pendidikan, sosial dan budaya yang kemudian diserahkan kepada Sultan Johor untuk pertimbangan baginda sebelum dibawa ke Majlis Raja-Raja. Antaranya, kongres bersetuju menubuhkan Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMM) dalam memastikan bahawa segala tuntutan dan resolusi yang dicapai ketika persidangan itu dilaksanakan kerajaan serta memainkan fungsi sebagai kumpulan pendesak untuk bangsa Melayu. Persoalannya, adakah kuasa kedaulatan Melayu yang selama ini menjadi asas perjuangan Umno berteraskan kepada agama, bangsa dan negara semakin pudar. Apakah tiada kemungkinan semua parti politik Melayu bersatu bagi terus mempertahankan hak orang Melayu.

Ketika kongres itu diadakan, ada pihak menyarankan supaya kumpulan dan badan pendesak Melayu yang tidak berpaksikan politik ditubuhkan dalam suasana politik negara masa kini bagi terus memastikan hak dan aspirasi orang Melayu terus dipertahan dan diperjuangkan. Ada dua parti utama masyarakat Melayu, iaitu Umno dan Pas. Malah sebelum ini ada usaha permuafakatan untuk kedua-dua parti itu bagi kepentingan Melayu, termasuk perkongsian kuasa, tetapi gagal menjadi kenyataan. Terbaru ialah usaha generasi muda dalam Umno, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mencari titik persamaan untuk meneruskan usaha ke arah permuafakatan bagi mempertahankan hak Melayu. Pada peringkat awal perbincangan tidak rasmi baru-baru ini membabitkan pemimpin muda dalam parti, mereka bersetuju permuafakatan Melayu itu amat penting dalam menentukan arah bangun bangsa Melayu sendiri yang melewati sempadan politik. Kita berharap apa saja dilakukan dalam usaha memartabatkan bangsa dan mendaulatkan ketuanan Melayu dilakukan secara jujur, bukan untuk mencari publisiti atau bagi tujuan politik semata-mata.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: