Boleh Cabar Kerajaan Tapi Jaga Sensitiviti Rakyat

SETELAH Majlis Peguam mengadakan forum mengenai “conversion to Islam” (memeluk Islam). Setelah penunjuk perasaan mengganggunya. Dan setelah pelbagai pihak bersuara, barulah Perdana Menteri “tumpang sekaki”.

Selepas tiga hari berlaku suasana yang mencemaskan itu, barulah rakyat jelata mendengar reaksi Abdullah Ahmad Badawi. Apa kata beliau?

“Jangan anjur lagi forum sentuh sensitiviti kaum, agama,” demikian menurut akhbar arus perdana milik Umno, Utusan Malaysia pada 12 Ogos.

Menurut akhbar itu, Perdana Menteri memberi amaran kepada semua pihak, termasuk Majlis Peguam, supaya tidak lagi menganjurkan forum terbuka yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Pada hari yang sama, akhbar bebas dan percuma, The Sun, memetik Naib Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesevan, sebagai berkata bahawa majlis itu tidak boleh ditakutkan.

Katanya Majlis Peguam akan terus bercakap mengenai aspek undang-undang isu itu “tanpa mempertikaikan kedudukan agama Islam atau mempersoalkan Perkara 121 (1) (A) dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saya tidak langsung terperanjat dengan reaksi “melepas batuk di tangga” Perdana Menteri itu atau keazaman Majlis Peguam untuk terus menganjurkan forum seperti itu kerana:

1. Memang itulah respons Perdana Menteri kepada masalah dan krisis. Kalau kita masih ingat, itulah juga tindakan beliau sehari sebelum Gabungan Pilihan Raya Bersih (Bersih) mengadakan tunjuk perasaan raksasa di Kuala Lumpur pada 10 November tahun lalu.

Pada hari yang sama, Utusan Malaysia menyiarkan tajuk berita “Saya Pantang Dicabar” yang memetik Perdana Menteri;

2. Sejak itu, amaran demi amaran beliau keluarkan setiap kali berlaku tunjuk perasaan atau perhimpunan. Ia sudah menjadi acuan kepada reaksinya;

3. Majlis Peguam sekadar mengambil kesempatan daripada mantera kebebasan, keterbukaan, ketelusan dan kebertanggungjawaban Abdullah sendiri;

4. Majlis Peguam menjadi semakin berani dan berazam kerana Pentadbiran Abdullah menunjukkan keakraban yang luar biasa terhadapnya;

5. Atas inisiatif menteri undang-undang de facto, Senator Zaib Ibrahim, Abdullah menghadiri majlis makan malam tahunan Majlis Peguam dan, khabarnya, menggunakan wang negara membiayai majlis suka ria itu;

6. Pentadbiran Abdullah dilihat sebagai tunduk kepada desakan Majlis Peguam dengan mengumumkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim;

7. Majlis Peguam, seperti badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan profesional yang lain, sekadar mengambil kesempatan daripada kelemahan Kerajaan Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu untuk memperkuatkan kedudukan dan memperluaskan pengaruhnya;

8. Dalam sistem perkongsian kuasa demokrasi di mana ciri check and balance adalah utama, kelemahan sesuatu komponen akan diimbangi oleh kekuatan komponen yang lain; dan

9. Dalam konteks inilah kita semakin kerap mendengar saranan sesetengah pihak agar Raja-Raja Melayu campur tangan.

Namun, kita hendaklah sentiasa berhati-hati, berjaga-jaga dan bijaksana menggunakan kebebasan. Kita tidak boleh mempercayai bulat-bulat mantera kebebasan, keterbukaan, ketelusan dan kebertanggungjawaban Pentadbiran Abdullah yang diuar-uarkan oleh media massa arus perdana.

Kita kena juga mendalami dan memahami maksud dan matlamat yang tersirat kerana perang saraf dan propaganda ini diatur dan digerakkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan di luar Umno dan kerajaan sendiri.

Lebih daripada itu, kita kena ingat bahawa bukan semua rakyat Malaysia berfikiran terbuka dan liberal seperti Zaid dan Musa Hitam yang dikatakan begitu berpengaruh ke atas Abdullah.

Bagi majoriti rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama, isu akidah adalah sangat penting. Isu undang-undang seperti yang dirujuk oleh Kesevan mungkin tidak bermakna kepada mereka jika pada hemat mereka hak keagamaan mereka tercabar atau dipertikai.

Justeru itu, dalam usaha Majlis Peguam membuat tuntutan terhadap Pentadbiran Abdullah, janganlah hendaknya sensitiviti orang Melayu dan Islam disentuh sebegitu rupa sehingga mengancam kesejahteraan negara keseluruhannya.

posted by A KADIR JASIN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: