Archive for October, 2008

Siapa dan antara yang tertekan ???

Posted in MEDIA on 30 October 2008 by zanas

Siapa yang sebenarnya kini tertekan untuk menanti hari pemilihan UMNO yang akan diadakan pada bulan Mac ini. Bagi Datuk Seri Najib yang bertanding sebagai Presiden parti mungkin boleh merasa lega kerana beliau hampir selamat untuk menduduki takhta tertinggi dalam parti UMNO Mac ini. Yang tertekan ialah tengku Razaleigh Hamzah kerana langsung tidak nampak bayangan sokongan terhadap beliau. Ini amat memalukan kerana beliau dahulu begitu yakin ahli UMNO mahukan beliau. Rupa-rupanya anggapan beliau sebenarnya tidak lebih dari “Syok sendiri”

Bagi kerusi Timbalan Presiden, Tan Seri Muhyiddin Yassin mungkin belum boleh melenakan mata dan merasa selesa lagi kerana kerusi ini walaupun nampak selamat tetapi tidak mustahil akan ada calon-calon yang mungkin akan melepasi kuota dan akan menandingi beliau untuk kerusi Timbalan Presiden. Walaupun beliau lega dengan pencalonan berpihak kepada beliau tetapi beliau amat risau sekali jika Tan Seri Mohammad Mohd Taib atau pun Datuk Wira Ali Rustam berjaya melepasi kuota pencalonan kerana dalam masa 3 bulan apa-apa sahaja boleh berlaku.

Mengenali Tan Seri Mohammad Mohd Taib yang mempunyai rangkaian kerja  yang baik dan juga pengalaman dalam banyak pemilihan UMNO, akan tercabar juga Tan Seri Muhyiddin Yassin. Rais Yatim juga yang sebelum ini merasakan dirinya begitu popular kini mulai  merasakan tertekan kerana terjemahan perwakilan bahagian tidak memihak kepada beliau.

Antara mereka yang tidak boleh melelapkan mata ketika ini adalah Ketua Wanita UMNO. Calon yang memperolehi pencalonan tertinggi Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz dan juga Timbalan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, kerana beliau kini dalam delima, antara mahu dan tidak untuk bertanding kerusi Ketua Wanita UMNO kerana telah layak bagi merampas takhta berkenaan dari Ketuanya.

Rafidah agak tertekan antara mahu meneruskan plan peralihan atau menentang Rafidah, sekiranya beliau mengambil keputusan menentang Rafidah dan tewas dalam pemilihan berkenaan, kerjaya politik beliau akan menjadi kelam. Jika beliau mahu meneruskan peralihan, ianya agak lama lagi dan apa juga pasti boleh berlaku dan ramai perwakilan  yang  mencalonkan beliau menganggap Shahrizat sebagai pemimpin yang tidak berani menyahut cabaran.

Bagi kerusi Ketua Pemuda UMNO pula, yang jelas tertekan sekarang adakah calon yang mendapat pencalonan kerana kini di anggap favourite dan perlu memastikan sentiasa favourite sehinggga pertandingan Julai ini dan sentiasa memastikan berada ditahap populariti yang tertinggi. Mukhriz terpaksa menang dalam pemilihan kali ini kerana jika beliau kalah ianya melibatkan ayahnya, mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir yang turut berkempen secara agresif sekali untuk memastikan Mukhriz menang .

Jika beliau kalah bererti, bukan hanya beliau sahaja yang kalah. Ayahnya turut kalah. Tidak mustahil Mukhriz juga boleh kalah, walaupun mendapat pencalonan tertinggi, kerana pencalonan tertinggi tidak menjaminkan kemenangan lagi. Ayahnya pernah mendapat pencalonan sebanyak 3/4 ketika menentang Tengku Razaleigh Hamzah tetapi hanya menang dengan jumlah yang kecil sahaja.

Bagi seorang calon lagi, bekas Menteri besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo juga kini dalam keadaan tertekan kerana kerusi Ketua Pemuda UMNO amat penting kerana jika beliau tewas bererti kerjaya politik beliau juga agak kelam kerana ini lah sahaja platform yang akan membariskan beliau berdiri sama tinggi  dengan pemimpin -pemimpin tertinggi UMNO.

Seorang lagi calon, Khairy Jamaluddin walaupun tertekan tetapi lebih tenang kerana ini adalah satu permulaan yang nyata bagi beliau kerana beliau kini berhadapan dengan realiti politik. Yang bertanding sekarang adalah Khairy Jamaluddin yang masih muda dan masih punyai banyak masa. Namun sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO, beliau akan merasa terkilan juga sekiranya beliau kalah kerana kerusi berkenaan adalah hak beliau secara hakiki.

Tekanan terhadap beliau tidaklah sebegitu kuat memandangkan beliau terpaksa menebas hutan yang tebal untuk mencari realiti alam politik. Banyak halangan yang perlu beliau lalui dan berjaya melayakkan diri adalah satu bonus kepada beliau dan pendorong bagi beliau pergi lebih jauh dengan membawa nama Khairy Jamaluddin. Oleh kerana usia beliau yang masih muda dan mempunyai maka tekanan tidak lah begitu ketara kepada beliau yang dianggap underdog dan bukan favourate.

Sama seperti Rosnah, hak sebagai Ketua Puteri UMNO sepatutnya adalah hak beliau, namun beliau terpaksa menghadapi tentangan dari Shahaniza yang nampak lebih popular dari beliau. Namun Rosnah tidak tertekan kerana beliau masih ‘Maintain ” dan tidak ada sebarang tanda yang menampakkan bahawa beliau hilang ke popularitinya.

– Oleh Dinno

Advertisements

Nazri cabar pembangkang bawa usul hapus hak istimewa orang Melayu di Dewan Rakyat

Posted in MEDIA on 30 October 2008 by zanas

Sesi penggulungan perbahasan bajet 2009 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berlangsung macam biasa – panas dan menarik perhatian bukan sahaja kalangan pemerihati yang hadir di Parlimen tetapi juga Ahli-Ahli Parlimen serta anggota pentadbiran kerajaan lainnya.

Pada sesi petang Rabu, Nazri diserang bertubi-tubi berhubung dengan soal hak istimewa orang Melayu.

Namun beliau yang popular dengan panggilan ‘Cif” tenang sahaja dan menegaskan pendirian kerajaan tidak akan meminda atau menghapuskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan kepentingan dan hak orang Melayu.

“Saya adalah satu daripada 222 Ahli Parlimen. Jika dua pertiga Ahli Dewan ini setuju untuk meluluskan bagi menghapuskan Perkara 153 saya terima tetapi saya sendiri tidak akan menyokong Perkara 153 dihapuskan dan saya akan tetap mempertahankannya,” katanya sambil meminta pihak pembangkang jika mereka hendak memansuhkan Perkara 153 mereka boleh berbuat demikian dengan membawa usul di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian kerana timbul isu yang mempertikaikan hak istimewa orang Melayu semasa perbahasan daripada kalangan pihak pembangkang sebelum ini.

Penegasan serta jawapan Nazri tersebut membuatkan Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor Dr. Zulkefli Ahmad bangun dan berkata, pakatan pembangkang bersetuju untuk mempertahankan Perkara 153 tetapi membangkitkan soal dalam melaksanakan serta memelihara hak Melayu ia jangan sampai menindas hak kaum lain.

Nazri dengan gaya bersahaja berkata “ Ini yang cakap soal nak pertahan hak istimewa orang Melayu saya dengar daripada kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang Melayu sahaja tetapi Ahli Parlimen pembangkang daripada kaum lain tak kata apa pun,” katanya sambil tegaskan kerajaan tidak pernah menindas kaum lain dalam masa laksanakan hak istimewa orang Melayu.

Dalam masa penggulungan itu juga, soalan-soalan tambahan serta penjelasan yang dikemukakan semakin menghangat suasana perbahasan.

Ahli Parlimen Pasir Salak Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Tajudddin Abdul Rahman mempertikaikan sikap pembangkang yang terang-terang mempertikaikan hak istimewa orang Melayu dan menyebut Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang yang paling jelas mempertikaikan perakra itu.

Kit Siang bangun dengan peraturan Mesyuarat perkara 36 (12) mendakwa Tajuddin mengelirukan Dewan kerana beliau tidak pernah pertikai hak istimewa orang Melayu.

Tajuddin selepas itu meneruskan penjelasan yang dipohonnya kepada Nazri dan sekali lagi Ahli Parlimen PKR Gombak, Azmin Ali bagun menggunakan peraturan mesyuarat yang sama untuk menghalang Tajuddin daripada membuat kenyataan yang sama.

Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar meminta Tajuddin mengawal ucapannya dan pada masa ini Tajuddin jelas mempertikaikan peraka itu.

“Ini apa ini…bila saya hendak bercakap peraturan itulah peraturan inilah…itu pembangkang mereka boleh cakap ikut suka mereka saja,” katanya yang jelas tidak puashati kerana isu hak istimewa orang Melayu disentuh oleh pembangkang secara terbuka.

“Kata kita tindas kaum lain, saya cabar dalam bidang ekonomi siapa kuasai ekonomi negara, tunjukkan berapa penguasaan ekonomi orang Melayu,” katanya sambil menambah kaum Cina paling menguasai ekonomi negara ini dan ia menjadi bukti hak mereka tidak pernah dinafikan.

Ahli Parlimen Bebas Datuk Ibrahim Ali tidak ketinggalan membangkitkan soal kepentingan hak istimewa orang Melayu.

Dalam soalannya, beliau bertanya kepada Nazri adakah beliau setuju jika pembangkang hendak meminda Perkara 153, Menteri-Menteri Besar di negeri yang dikuasai pembangkang hendaklah mengadap Sultan masing-masing mohon perkenan untuk Perkara 153 dimansuhkan.

Jawab Nazri “ Saya kira itu cadangan yang baik. Biarlah mereka mengadap ke bawah duli Sultan di negeri mereka masing-masing”.

Selain isu hak istimewa orang Melayu, Nazri turut menjelaskan tindakan tegas kerajaan terhadap pertubuhan haram HINDRAF dan penahanan beberapa individu pertubuhan itu di bawah ISA.

Katanya, tindakan tegas itu bukan menunjukkan kerajaan menindas tetapi berdasarkan perkara-perkara yang mereka lakukan sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara.

Tambahnya, sebelum ini kerajaan juga bertegas kepada kaum bukan Melayu dan isu Al-Arqam dan Jemaah Islamiyah dan tindakan menahan pemimpin mereka di bawah ISA tidak pun dikatakan menindas Melayu. – 30/10/2008

Lantik Low: Fikiran Melayu ‘di takuk lama’

Posted in MEDIA on 29 October 2008 by zanas

Cara penolakan Low Siew Moi sebagai pemimpin sementara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menunjukkan pemikiran orang Melayu masih di takuk lama walaupun negara sudah maju dalam pembangunan, kata seorang pemimpin DAP.

low siew moi“Bangsa kita masih terikat dengan cara berfikir dan bertindak gaya lama yang sudah tidak ada tempat dalam sebuah masyarakat moden yang demokratik,” kata naib pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim hari ini.

Low yang dilantik memangku pengurus besar perbadanan itu mulai kelmarin mendapat bantahan pemimpin-pemimpin Melayu, termasuk Persatuan Pegawai Kanan PKNS dan exco PAS dalam kerajaan Selangor yang mahu seorang pegawai tinggi Melayu menggantikan Datuk Harun Salim yang bersara akhir bulan ini.

Tunku Abdul Aziz menambah, bantahan terhadap latar belakang kaum pegawai kanan wanita keturunan Cina itu, atau mungkin jantinanya, menunjukkan wujudnya budaya yang tidak mengutamakan merit, sebaliknya mengharapkan faktor-faktor kurang relevan.

“Pelantikan disandarkan pada pertimbangan yang kurang relevan kaum dan agama,” kata Tunku Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa pelantikan pemimpin agensi kerajaan itu menjadi hak mutlak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan berharap keputusan itu dihormati.

Mengulas bantahan pihak-pihak itu, Abdul Khalid hari ini dilaporkan berkata beliau “tidak faham” perasaan tidak berpuas hati pihak-pihak itu tetapi mereka sendiri tidak risau apabila PKNS didakwa kehilangan berbilion-bilion ringgit.

Beliau juga berkata Low, yang berkhidmat 35 tahun dengan perbadanan ekonomi itu, bersedia membantu mencari pengganti yang sesuai untuk jawatan itu.

Low bersara tahun ini tetapi disambung perkhidmatannya selama setahun sementara menunggu calon sesuai pengurus besar PKNS.

Tuduhan Mukhriz…apa komen Ketua Pemuda UMNO Bahagian

Posted in MEDIA on 29 October 2008 by zanas

Ekoran kenyataan calon Ketua Pemuda UMNO yang paling popular mendapat pencalonan Datuk Mukhriz Mahathir menuduh Agendadaily mempunyai agenda dalam menyiarkan komen-komen mengenai cadangan diadakan debat bagi calon-calon Ketua Pemuda UMNO, ramai kalangan Ketua Pemuda dan pemimpin UMNO mula menghantar reaksi mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Agendadaily.

Ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju dengan cadangan penganjuran debat berkenaan.

Perlu ditegaskan, komen-komen mereka itu dihantar kepada Agendadaily dan bukannya seperti tuduhan Mukhriz bahawa Agendadaily hanya minta komen orang-orang dan penyokong satu lagi calon Khairy Jamaluddin yang setuju debat diadakan.

Perkara ini sudah dijelaskan melalui kenyataan rasmi Ketua Pengarang Agendadaily.

Sebagai makluman juga, selain menyiarkan komen-komen itu di laman web Agendadaily, pihak Agendadaily juga mempunyai perkhidmatan berita melalui SMS yang dikenali sebagai AgendaNews.

Semua komen yang diberikan disampaikan kepada penerima perkhidmatan AgendaNews termasuk Mukhriz sendiri yang menjadi salah seorang penerima perkhidmatan tersebut.

Namun untuk berlaku adil kepada semua bagi menilai polemik baru dalam soal perdebatan ini, diperturunkan semua komen yang disampaikan secara patah demi patah SMS yang diterima daripada kalangan pemimpin Pemuda UMNO Bahagian di samping kenyataan terbuka para pemimpin UMNO serta pihak yang berminat dengan perkembangan ini melalui sidang media mereka.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Klang, Zainuri Datuk Zakaria:

“Apa yang susah sangat nak debat? Bukankah ia baik untuk percambahan minda?Selain itu ia juga akan mengajak masyarakat berfikir… UMNO harus mempelopori perubahan kearah globalisasi. Ini sebahagaian daripada anjakan paradigma yang UMNO harus juarai…selain keluarkan di TV, sebaik-baiknya debat ini perlu diadakan di negeri-negeri, biar perwakilan mendengar sendiri. Kalau soal bekerja, ramai orang yang boleh bekerja tapi ini politik, kita perlukan bukan sahaja orang yang mampu bekerja, kita juga perlukan mereka yang cekap berfikir, serta tangkas bertindak…kalau sesama UMNO pun tak berani berdebat, macam mana nak hadap pembangkang. Kita jangan jumud”

Ketua Pemuda Lembah Pantai, Haji Norazmi Mohamedan:

“Saya menyokong pandangan Dato Mukhriz dan Tok Pa mengena isu debat tersebut” (Mukhriz dan Tok Pa (Datuk Mustapa Mohamad) tidak setuju debat diadakan)

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Suhami Sulong:

“Kita jangan jadi jaguh luar gelanggang. Hari ini gelanggang dah dibuka, silakan berentap dan berdebatlah…apa perancangan, ke mana halatuju, apa pengalaman, apa yang perlu diperbaiki dan yang paling penting sejauh mana kesediaan kita mempertahankan agama, bangsa dan negara…Ketua Pemuda UMNO Malaysia juga adalah Pengerusi Pemuda BN…Semua rakyat Malaysia bawah 40 tahun nak tahu apakah visi dan misi Pemuda…kita berkira dalam gelanggang…Calon-calon Ketua Pemuda mesti menggunakan kesempatan ini”

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjong Malim Muhammad Yadzan Mohamad:

“BERANI BERUBAH…kalau berani berubah takkan tak berani berdebat. Hari ini Mukhriz telah membuat perubahan yang cukup berani dalam UMNO apabila memalukan pucuk pimpinan parti maka apalah ertinya hal dalaman parti bagi beliau. Oleh yang demikian, beliau seharusnya menyahut cabaran debat terbuka ini, biar umum lihat, dengar dan membuat penilaian ke atas hujah-hujah beliau dalam hal-hal yang berkaitan. Berani jangan hanya slogan, ia harus dibuktikan…UMNO harus berani mempelopori perubahan…syabas buat Khir Toyo dan Khairy”

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Nasrihat Turiman:

“Ini bukan soal tiru USA, di negara kita anak sekolah pun berdebat (Piala Perdana Menteri), di Universiti (Debat antara Universiti) di Parlimen dah lama kaedah ini diguna pakai. Apa pula timbul soal tiru USA-lah. Tak nak masyarakat tahu hal dalaman partilah, ini tak ada kena mengena dengan hal dalaman parti. Masyarakat mahu dengan visi pemimpin muda yang bakal menrajui negara. Masyarakat juga ada hak kerana akhirnya mereka juga akan memilih kita bila tiba pilihan raya…teruskan debat ini”

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lenggong, Mohamad Irwan Zulkefli:

“Ahmad Nisfu kata ..jangan takut…lawan…! Jadi apa tunggu lagi. Shabery Cheek yang yang tidak Pemuda pun berani berdebat dengan DSAI, ini koma (istilah Perak untuk awak) Pemuda sama Pemuda pun nak ngelat (istilah Perak untuk elak diri)… kalau minta lawan cakap pun koma tak berani, jangan ceritalah soal mempertahankan ugama dan negara, rentikan je lah…”

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Puchong yang juga calon Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Malaysia, Ramli Simbok:

Saya amat bersetuju debat antara calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia diadakan bagi memberi ruang yang seluas-luasnya kepada para perwakilan yang rata-rata 80 persen orang baru menilai siapakah pemimpin yang benar-benar layak dipilih. Perwakilan perlu didedahkan segala maklumat mengenai calon. Ia juga bertujuan elak penyalahgunaan wang bagi memenangi kerusi tersebut. Soal risiko tak timbul kerana hal yang sama turut dilakukan di negara-negara maju. Kita tidak mahu Ketua Pemuda dipilih atas dasar populariti tetapi hingga terlupa yang berkualiti”

Exco Pemuda UMNO Malaysia yang juga Presiden Majlis Belia Malaysia dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Nasarah:

“Kalau Pemuda UMNO mahu berperanan sebagai badan yang mewakili generasi muda dalam negara ini, kita perlukan pemimpin yang punyai kehebatan dalam segala bidang termasuk kepetahan berhujah. Sebab itu kita sokong debat diadakan dalam soal pemilihan pemimpin Pemuda UMNO. Kerana dalam situasi kini, untuk memperlihatkan Pemuda UMNO hebat, Pemuda bukan hanya sekadar hebat dan mewakili generasi muda dalam kelompoknya sahaja tapi mesti dilihat hebat dan memperjuangkan kepentingan keseluruhan generasi muda Malaysia. Pemuda UMNO mesti dibawa berada di tengah-tengah orang muda dan memperjuangkan kepentingan mereka. Jesteru, debat membolehkan penilaian dibuat oleh keseluruhan generasi muda. Alasan ia boleh memburukkan parti adalah alasan yang tidak boleh diterima kerana sebelum ini kenapa kita tidak berkata demikian apabila pelbagai kritikan secara terbuka yang mendedahkan kelemahan pemimpin dan parti kepada umum?”

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia Tajudin Ahmad:

“Sokong debat diadakan. Orang dalam belia pun nak tahu hala tuju kepimpinan Pemuda UMNO. Debat bukan nak cari salah tapi kita mahu lihat kepimpinan muda yang berkarisma dan debat adalah salah satu cara untuk lihat perkara itu”

Ahli Parlimen Bebas Datuk Ibrahim Ali yang juga bekas Exco Pemuda UMNO Malaysia (era 80-an)

“Saya cadang debat di tukar bentuk forum untuk calon-calon Ketua Pemuda UMNO. 3 calon menjadi ahli panel. Kalau saya boleh terlibat sama, saya nak tanya 3 soalan saja iaitu halatuju kepimpinan Pemuda, usaha untuk kembalikan idealisme perjuangan Pemuda dan apakah pendirian mereka terhadap hak Melayu yang semakin dicabar”

Selain SMS yang diterima, pihak Agendadaily juga menghantar komen serta pandangan para pemimpin UMNO berhubung isu debat ini. Berikut adalah berita yang dihantar melalui perkhidmatan Berita AgendaNews :

“INI SUARA DR MAHATHIR …Beliau berpendapat debat pemilihan calon-calon yang akan bertanding pada pemilihan UMNO tidak perlu diadakan kerana ia tidak beri sebarang kesan. Katanya, apa yang didebatkan hanya berkisar soal parti dan bukan negara. Kita juga belum sampai ke tahap Amerika Syarikat, katanya – AgendaNews”

“INI UJIAN…Ketua Pembangkang DUN Kelantan D Alwi Che Mat setuju debat terbuka dibuat tetapi harus terkawal kerana itulah ujian kebijaksanaan pemimpin. Namun katanya, tidak semua perkara dapat diselesai melalui debat khususnya perkara sensitif yang libatkan agama dan kaum. Dalam pada itu ADUN Benut yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian D Hasni Mohamad cadang debat kepimpinan Pemuda UMNO diadakan di kampus dahulu sebagai langkah awal atau ‘test case’ – AgendaNews”

“TERTUTUP OK…Calon Naib Presiden DS Khaled Nordin kata, siaran langsung Perhimpunan Agung UMNO 2007 patut dijadi iktibar sebelum debat terbuka pemilihan UMNO hendak diadakan. Sebab itu perlu ada kebijaksanaan dan kalau nak buat perbahasan, kena buat secara tertutup dan bukannya secara terbuka, katanya – AgendaNews”

“Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek sokong diadakan debat terbuka sebagai satu cara pemilihan pemimpin dalam Umno.Katanya di Kapit,Sarawak hari ini pendekatan itu akan bolehkan orang ramai menilai personaliti calon, tahap kebijaksanaan, kekuatan dan paling penting, kewibawaan.-Agendanews”

“SOKONG…Calon Naib Ketua Pemuda UMNO, D Reezal Merican sokong agar debat dianjurkan bagi calon2 Ketua Pemuda UMNO. Biarlah namanya debat atau bicara politik asalkan ia tertib dan berhemah, katanya. Beliau kata demikian sebagai ulas polemik cadangan debat yang timbulkan reaksi ada yang setuju dan tak setuju – AgendaNews”

“TAK SETUJU……Ketua UMNO Bahagian Paya Besar,Pahang, Datuk Ahmad Tajuddin pula kata penonjolan melalui debat tidak akan bantu pemilihan pemimpin yang tepat.Menurutnya malah ia boleh melindungi kewibawaan sebenar calon dan debat hanya berkesan jika ia melalui tapisan intregriti calon dulu-Agendanews” – 29/10/2008

Hindraf haram

Posted in MEDIA on 16 October 2008 by zanas

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Ifwan Tun Tuah
bhnews@bharian.com.my


Datuk Seri Syed Hamid Albar

Kegiatan pertubuhan memudaratkan ketenteraman awam

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengisytiharkan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) sebagai pertubuhan haram berikutan kegiatannya bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) serta boleh memudaratkan ketenteraman awam, keamanan, keselamatan, ketertiban dan nilai moral negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata perisytiharan itu diwartakan dan berkuat kuasa mulai semalam. Dalam kenyataannya, Syed Hamid menegaskan, tindakan pengharaman itu diambil bukan berasaskan satu atau dua kegiatan pertubuhan terbabit yang menyalahi peraturan dan undang-undang tetapi meliputi rentetan semua aktivitinya sejak ia ditubuhkan.

“Perintah ini dibuat hasil pemantauan dan penyiasatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan mengenai kegiatan Hindraf sejak ditubuhkan sehingga sekarang.

“Setelah menimbang dengan teliti segala fakta dan bukti yang ada, saya berpendapat dan berpuas hati bahawa Hindraf telah dan sedang digunakan bagi maksud yang memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara serta akhlak.

“Oleh yang demikian, berdasarkan kuasa Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), saya mengisytiharkan Hindraf sebagai sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Hindraf mula dikenali apabila kumpulan itu memfailkan saman menuntut pampasan 4 trilion pound sterling (RM27.7 trilion) daripada kerajaan Britain yang didakwa membawa dan membiarkan masyarakat India terpinggir di negara ini.

Pada 25 November lalu, Hindraf mencetuskan kekacauan dalam perhimpunan haram di sekitar ibu negara dalam usaha mendesak Ratu Elizabeth II menyokong tuntutan itu.

Terbaru, kumpulan itu melakukan kekecohan di Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Perdana Menteri dan Menteri Kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, 1 Oktober lalu bagi mendesak lima pemimpinnya dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Syed Hamid menasihatkan orang ramai agar tidak membabitkan diri dalam apa cara sekalipun dalam kegiatan Hindraf yang diharamkan itu.

“Saya berpendapat jika kegiatan ini tidak dibendung, ia akan terus mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan dan kedaulatan negara, malah menjejaskan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata, Hindraf mempunyai ciri sebagai sebuah pertubuhan kerana ia mengemukakan permohonan pendaftaran kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, 16 Oktober lalu.

“Walaupun permohonan belum diluluskan, pertubuhan itu sudah bergerak aktif dengan menganjurkan beberapa perhimpunan awam dan demonstrasi tanpa permit dan mengeksploitasi isu perkauman sehingga mencetuskan kebangkitan penentangan sebahagian keturunan India terhadap kerajaan dan menimbulkan kebencian di antara masyarakat Melayu dan India negara ini.

“Hindraf juga berusaha mendapatkan sokongan negara asing bagi memberi tekanan kepada kerajaan supaya tunduk kepada tuntutan mereka. Kegiatan dan aktiviti ini memberi kesan buruk kepada imej negara,” katanya.

Politik ala badut bertandak di pentas sarkas

Posted in MEDIA on 16 October 2008 by zanas

ImageSEKARANG orang semua sudah terima gelaran baru untuk calon Timbalan Presiden UMNO – Ali Bollywood., contohnya . Cantik nama itu.  Terima kasih pada pencadang.  Gelaran, apa salahnya.  Lagipun Mohd Ali Rustam sibuk beri gelaran kat orang, kali ini, dia pula dapat gelaran yang pasti menjadi semakin popular.  Itulah bakal Timbalan Presiden UMNO akan datang kalau dia cukup pencalonan dan menang nanti.

Kelakar sungguh pemilihan kali ini.  Ramai yang menyarung baju tak ikut saiz.  Yang longgar, longgar sangat.  Yang sempit, sempit sangat sampai nak putus butang.  Pemilihan kali ini betul-betul menyaksikan pelbagai reaksi orang UMNO kita yang ternama.  Nama dah ada, cipta lagi nama.  Yang dah terlepas kapal pun sibuk juga nak kejar kapal besar ni! Apa pula halnya dengan Ku Li. Setakat ini hanya komen dan kritikan sahaja yang mampu di beri. Pencalonan masih tercari-cari. Mungkin dalam beberapa senario – ini bukan kes terlepas kapal lagi, sepatutnya sudah faham ini bukan kapal yang boleh di kejar dan di tunggu lain.

Yang naik sampan pakai pengayuh pun sibuk nak kejar kapal besar.  Maklumlah, selagi UMNO tidak mengehadkan kriteria tertentu untuk jaga kredibiliti parti, selagi itulah ia akan menjadi ala badut bertandak di pentas sarkas.  Ini termasuklah mereka yang bertegang-tegang leher di luar menyokong calon yang tak patut masuk gelanggang pun.

Keadaan sudah menjadi semakin pelik ketika ini.  Bayangkanlah sekurang-kurangnya lima bulan dari sekarang macam-macam benda akan timbul.  Silap cakap, akan turun markah.  Silap beri bintang, akan merudum ke bawah tanah.  Silap bual pun mungkin ada yang kena tumbuk.  Tak payah cerita kisah bertumbuk waktu pencalonan yang tak keluar dalam media.

Begitulah nanti seterusnya dengan masa yang begitu panjang.  Mana yang cukup pencalonan pula siap sajalah bila berjalan.  Kena pakai seluar potongan ala carrot berpoket besar dan pakai baju lepas keluar.  Perwakilan akan menjelajah mencari di mana calon berada untuk menyatakan sokongan.

Macam Mohd Ali Rustam, Nur Jazlan dan Tan Sri Mohd Taib sudah boleh simpan wang tunai dalam bank semula kerana tak perlu rasanya berbudi dengan sesiapa kerana pencalonan mungkin tak cukup pun.  Perwakilan UMNO sudah tahu dan ikut pengedaran zaman dan kehendak pemimpin favourite yang dicadangkan – Najib Muhyiddin.

Yang gah nampaknya berlumba dan belum tahu siapa lawan siapa ialah Ketua Pergerakan Pemuda yang juga ramai sudah boleh membayangkan Datuk Zahidi sudah boleh pilih siapa yang dia mahu bantu ketika ini.  Dipercayai Zahidi akan pilih bantu Khir Toyo atau Khairy untuk mencukupkan pencalonan.  Oleh kerana dia sudah tentu tahu akan tercicir, dia perlu pastikan ketika-tiga ini berlawan untuk beliau berdiri tengah-tengah jadi referi.

Wanita pun sama juga kalutnya bila Sharizat sudah menjadi calon favourite wanita mengalih selera kepada beliau.  Rafidah sudah sepatutnya sedar yang Wanita pun sudah pandai jemu dengan pemimpin yang tak berubah-ubah.  Kalau dah Rafidah saja yang jadi ketua sampai ke tua, apalah ertinya bertangguh-tangguh memberi peluang kepada orang lain.

Bukan saja dari kalangan Wanita yang bercakap begitu, lelaki yang jarang kita dengar campur hal wanita sudah bercerita pasal Wanita sekarang ini.  Biar tentu arahnya Puteri sudah lima penjuru kerana semuanya baru-baru belaka.  Tujuh penjuru pun takpe.  Tapi yang penting dibuat kira ialah Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda.

Silap pilih salah satu, UMNO akan berjalan tempang selama tiga tahun lagi untuk membaiki tempang yang ada.  Ada yang kata, macam mana Muhyiddin yang lebih tua untuk jadi Timbalan Presiden untuk menerima arahan Presiden yang lebih muda nanti.  Jawapannya, yang muda tidak semestinya perlu jadi ketua.  Dan yang tua tidak semestinya tidak boleh ikut kata ketua lebih muda.

Dalam politik atau institusi perniagaan dan korporat, yang muda memerintah yang tua tidak pernah menjadi masalah.  Tapi yang pentingnya siapa ketua yang boleh menggunakan alat collective decision yang lebih penting supaya pendapat dan keputusan berasaskan adunan tua dan muda.

Begitu juga dengan Pemuda.  Kalau yang muda lebih dilihat boleh memimpin dan boleh menggabungkan fikiran dan tenaga secara kolektif, umur 21 tahun pun boleh jadi ketua.  Tetapi cukup salah kalau kita pilih pangkat bintang anugerah untuk dijadikan ketua.  Maksudnya, Tun mesti jadi ketua kepada Tan Sri, Datuk Seri, Datuk dan Encik.

Kalau kita mula kira pangkat anugerah untuk membuat pemilihan, kita akan jadi haru biru.  Perkara ini sudah menjadi masalah kepada orang Melayu kerana pemimpin hari ini semuanya ber-title.  Jadi si pembawa title merasakan dia lebih segala-galanya akan tentu merosakkan pencanai politik Melayu tidak kiralah dalam parti apa.

Lihat saja dalam PAS dan Keadilan, mereka tidak ramai yang bertitle Datuk, Tan Sri dan sebagainya.  Oleh kerana Anwar Ibrahim ada pangkat Datuk Seri, maka Anwarlah yang jadi ketua.  MCA yang terlalu banyak Datuk, memang agak sukar untuk orang Cina memilih ketua mereka kerana masing-masing sudah mula memilih mengungkit siapa kaya pula.

Kasihan Ali Rustam baik-baik ada “title” Datuk Seri sekarang orang gelar Ali Bollywood pula.  Jadi, kesimpulannya, cerminlah diri dulu sebelum kita membuat sesuatu keputusan.  Silap keputusan, akan betul-betul putus.  Sebaik sahaja betul-betul putus, bayangkanlah ke mana perginya layang-layang yang putus tali.

Masalah kita hari ini, mana yang sudah besar pangkat, sudah dewasa, sudah matang dan sudah terpelajar tidak semestinya terbaik selagi tidak disertai dengan kewarasan dirinya yang menjadi pengawal pada diri mereka.

Ketua Pemuda: Mukhriz kuasai 8 negeri

Posted in MEDIA on 16 October 2008 by zanas

mukhriz mahathir and umnoSelepas 72 Pemuda Umno bersidang setakat ini, ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mendahului pencalonan bagi jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia di lapan buah negeri.

Pada keseluruhannya, Mukhriz memperoleh sejumlah 40 pencalonan dan melepasi jumlah – 39 pencalonan – untuk bertanding jawatana tersebut.

bm version breakdown of nomination for youth chief 151008Manakala pesaing terdekatnya, ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendapat 19 pencalonan dan hanya mendahului di satu negeri sahaja, iaitu Kelantan.

Malah, pencalonan bagi jawatan ketua Pemuda di Negeri Sembilan yang selama ini dianggap pro-Khairy juga berpihak kepada Mukhriz.

Sehingga ini, semua tiga pencalonan dari negeri tersebut – Rasah, Jelebu dan Jempol – memihak kepada Mukhriz.

Manakala di Perak – juga dianggap pro-Khairy – beliau dan Mukhriz masing-masing mendapat empat peencalonan.

Negeri-negeri lain yang memihak kepada Mukhriz ialah Kedah, Terengganu, Sabah, Pahang, Pulau Pinang dan Johor.

Mukhriz mendapat kesemua lima pencalonan dari Kedah manakala Khairy pula menguasai kesemua empat pencalonan di Kelantan setakat ini.

Khir Toyo dahulu di S’gor

Dua lagi calon jawatan Pemuda Umno ialah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang setakat ini mendapat 12 pencalonan.

pencalonan bahagian pemuda umnoManakala timbalan ketua badan perhubungan Umno Perlis yang juga ketua Umno Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abdidin mendapat satu pencalonan dari bahagiannya.

Di Perak pula, Mukhriz dan Khairy masing-masing mendapat empat pencalonan manakala Dr Mohd Khir mendapat dua pencalonan.

Di Pulau Pinang, Mukhriz mendapat empat pencalonan, manakala Khairy dan Dr Mohd Khir Toyo masing-masing satu pencalonan.

Di Johor pula, daripada 12 pencalonan bagi jawatan ketua Pemuda, Mukhriz mendapat lapan pencalonan, Khairy (3) dan Dr Mohd Khir (1).

Manakala di Pahang, Mukhriz mendapat empat pencalonan dan Khairy mendapat dua pencalonan.

Di Sabah, daripada pencalonan bagi jawatan ketua Pemuda, Mukhriz mendapat enam pencalonan, Khairy (3) dan Dr Mohd Khir (1).

Sementara itu, Dr Mohd Khir mendahului pencalonan di Selangor dengan mendapat empat pencalonan, Mukhriz (3) dan Khairy (1)

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.