Konsep Melayu dan Hipotesis Asal Usul Bahasa Melayu

1. Asal Usul Bahasa Melayu

1. Perkataan Melayu dikatakan muncul pertama kalinya dalam tulisan Cina antara tahun 644 – 645 M, iaitu disebutkan bahawa orang Mo-lo-yeu mengirimkan utusan ke negara Cina untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja Cina.

2. Kerajaan Melayu merupakan sebuah kerajaan yang besar dan luas pengaruhnya di Pulau Sumatera, iaitu zaman sebelum kerajaan Sriwijaya.

3. Perkataan Melayu juga dikatakan berasal daripada perkataan “Himalaya” yang bermaksud tempat bersalji.

4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan “Mlayu” bermaksud berlari atau mengembara yang merujuk kepada orang Indo-Melayu atau Austronesia yang bergerak dari Yunan.

5. Istilah Melayu dapat diberi dua pengertian, iaitu
– pengertian yang luas
– pengertian yang sempit

1.1 Pengertian yang luas
Istilah Melayu merujuk kepada bangsa-bangsa Austronesia yang terdapat di Semenanjung Tanah Melayu dan kawasan-kawasan gugusan kepulauan Melayu. Berdasarkan “The Malay Culture Study Project” (1972), konsep Melayu merujuk kepada suku bangsa di Semenanjung Tanah Melayu, termasuklah orang-orang Melayu di Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaskar.

Secara umumnya dapatlah dikatakan bahawa pengertian Melayu merujuk kepada bangsa yang berbahasa Melayu yang mendiami Semenanjung Tanah Melayu, pantai Timur Sumatera dan beberapa tempat lain di Nusantara.

1.2 Pengertian yang sempit
Pengertian yang sempit ialah seperti yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia, iaitu Perkara 153 mengatakan bahawa seseorang itu dapat ditakrifkan sebagai Melayu apabila memiliki ciri-ciri seperti:
– lazimnya berbahasa Melayu
– berkebudayaan Melayu
– beragama Islam ( yang murtad, tukar kewarganegaraan : taraf Melayu – hilang )

1.3 Tafsiran Melayu mengikut pengertian suku bangsa lebih berdasarkan etnik (keturunan biologi)Walaupun begitu, syarat berbahasa Melayu dan kebudayaan Melayu masih diperlukan. Walau bagaimanapun, mereka tidaklah semestinya beragama Islam. Untuk maksud ini, orang-orang Melayu ialah
– orang-orang Melayu seperti yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia.
-orang-orang Melayu yang mendiami kawasan Selatan Thai, Pesisir Sumatera (utara Medan, Deli, Serdang, Palembang, Riau, Lingga )
– ada beragama Budha, Kristian
– orang-orang Melayu di bahagian pertama Sarawak
– ada beragama Kristian
– orang-orang Melayu di Brunei dan Sabah
-tiada agama, lain-lain agama

1.4 Tafsiran Melayu mengikut pengertian Ras merangkumi penduduk Seluruh Nusantara. Berdasarkan kajian Geldern dan Kern, kumpulan bangsa Melayu berasal dari utara ke selatan. Mereka berasal dari satu kelompok bangsa kemudian tersebar ke seluruh Nusantara. Pengertian mengikut Ras ini lebih tertumpu kepada suatu rumpun bangsa yang besar dan berkaitan.

2.Salasilah bahasa Melayu dan hipotesis tempat asal bahasa Melayu.

Huraian salasilah bahasa bahasa Melayu dalam rumpun Austronesia menggunakan skema perkembangan bahasa Melayu daripada filum Austris kepada bahasa Melayu moden. Terdapat beberapa teori tentang perkembangan bangsa dan bahasa Melayu. Teori tersebut belum selesai dibuktikan tetapi alasan-alasan yang dikemukakan bolehlah dibuat pegangan.

3. Von Heine Geldern berpendapat bahawa Kebudayaan Dong Son ( kebudayaan orang-orang darat Mon-Khmer ) bertanggungjawab terhadap pengembangan bahasa-bahasa kepulauan Melayu. Tempat lahirnya kebudayaan ini ialah di daerah-daerah Champa, Cochin-Cina dan Kampuchea. Geldern juga berpendapat bahawa asal kebudayaan Dong Son ini ialah di daerah Yunan, Selatan China. Kebudayaan ini dinamakan Kebudayaan Dongson kerana mengambil sempena tempat penemuan yang pertama yang bernama Dong Son di Annam Utara.

4. Lojik teori ini ialah terjumpanya kapak beliung segi panjang (rectangular axe) mengikut jaluran perjalanan iaitu di lembah Hoang-Ho, Yangtse, Mekong, Salween, Irrawaddy dan seluruh kepulauan Melayu. Ini menunjukkan arah pergerakan orang-orang kuno tersebut.

5. Orang-orang dari Yunan telah mengembara ke selatan pada tahun 2,500 Sebelum Masehi. Ini ialah puak/kumpulan pertama daripada kumpulan manusia yang dinamakan Indo-Melayu atau Austronesia. Mereka telah menjadi asas penduduk Asia Tenggara ketika itu. Puak mereka ini diberi nama Melayu Proto.

6. Kira-kira 1500 Sebelum Masehi, bergerak pula puak/kumpulan kedua yang lebih besar. Mereka menduduki kawasan-kawasan subur di pesisir pantai dan menghalau puak yang pertama lari ke dalam hutan. Meraka diberi nama Melayu Deutro. Kumpulan mereka sangat mahir dalam kerja-kerja pelayaran, ilmu bintang dan firasat.

7. Golongan Melayu Proto yang dihalau tadi dipisahkan oleh faktor-faktor goegrafi sehingga akhirnya mereka hidup terpisah-pisah. Keturunan-keturunan mereka dikenali sebagai Semang, Jakun, Jahut, Senoi, Negrito dan banyak lagi yang dikenali sebagai orang asli.

8. Golongan Melayu Deutro pula yang pandai dalam ilmu pelayaran telah mengembara dan membuka penempatan-penempatan baru di seluruh kepulauan Nusantara dan luar Nusantara. Mereka juga terpisah oleh faktor-faktor geografi antara satu sama lain. Ini menyebabkan bangsa dan bahasa mereka terpisah dan berkembang mengikut perkembangan penuturnya. Perkembangan secara terasing inilah akhirnya mewujudkan bahasa-bahasa dan dialek-dialek yang berlainan seperti bahasa Iban, Tagalog, Minangkabau, Jawa, Formosa, Batan, Bisaya dan banyak lagi yang pada asalnya bahasa-bahasa tersebut dari rumpun yang sama

9. Bahasa-bahasa tersebut mempunyai kata-kata dan sistem bunyi yang agak berlainan tetapi jika dibuat penyelidikan yang mendalam kita akan mendapati banyak persamaan yang menunjukkan bahawa bahasa-bahasa itu asalnya serumpun. Bahasa asal itu sebenarnya dinamakan bahasa Melayu Kuno atau bahasa Melayu Proto.

10. Teori yang mengatakan asal usul orang Melayu dan bahasa Melayu dari Asia Tengah ( teori yang dinyatakan di atas ) didokong kuat oleh Geldern H. R. Walau bagaimanapun teori beliau ini didapati lemah kerana alasan kapak beliung segi tiga tidak kukuh kerana kapak jenis yang sama juga dijumpai di Amerika dan Eropah.

11. Teori kedua yang lebih tepat dan menolak teori pertama tadi ialah teori yang dikemukakan oleh Gorys Geraf. Geraf mengatakan bahawa bangsa Melayu sudah sedia ada di Kepulauan Melayu dan mereka menuturkan bahasa keluarga Nusantara. Menurut Geraf negeri asal orang Melayu ialah daerah Indonesia dan Filipina.

12. Sarjana tempatan, Asmah Hj. Omar pula mengatakan Kepulauan Melayu atau Nusantara memang mempunyai penduduk aslinya sendiri. Mereka sudah menetap di Nusantara sejak 8000 SM.

13. Sutan Takdir Alisjahbana pula mengatakan bahawa bangsa Melayu terdiri daripada bangsa-bangsa yang hidup di Asia Tenggara, iaitu di negara Thai Selatan, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Filipina Selatan. Bangsa-bangsa ini mempunyai ciri-ciri tubuh badan yang berlainan daripada bangsa-bangsa Cina di Asia Utara dan bangsa-bangsa India di Asia Barat.

Konsep Keluarga
Bahasa yang memperlihatkan penyimpangan yang agak sedikit disebut sebagai bahasa yang sekeluarga iaitu bahasa yang tergolong dalam satu keluarga yang sama. Jadi, sesuatu keluarga bahasa itu terdiri daripada beberapa bahasa yang dipanggil subkeluarga/subkelompok.

Bermula dari ibu bahasa yang diberi nama bahasa-bahasa Austris ( satu cabang penting daripada filum bahasa dunia ), berpecahlah kepada tiga rumpun besar yang menguasai lebih separuh daripada benua Asia iaitu Bahasa-bahasa Austro-Asia, Bahasa-bahasa Tibeto-Cina dan Bahasa-bahasa Austronesia. Rumpun Bahasa Austronesia terbahagi kepada empat cabang utama iaitu Nusantara, Polinesia, Melanesia dan Mikronesia.

Dalam perbendaharaan kata, bahasa-bahasa itu sendiri banyak mempunyai persamaan yang menarik perhatian dan membutikan bahawa bahasa-bahasa ini serumpun dan berasal daripada satu, iaitu daripada bahasa Melayu Kuno dan Bahasa Melayu Proto.

Bahasa Melayu merupakan subkeluarga bagi keluarga Indonesia atau Sumatera. Subkeluarga merupakan bahasa yang berada di bawah golongan keluarga sesuatu bahasa. Keluarga bahasa pula merupakan unsur yang berada di dalam rumpun bahasa yang lebih besar. Manakala rumpun bahasa pula berada di bawah satu filum bahasa. Secara istilahnya, maksudnya adalah seperti berikut:

1. Filum : Kelompok bahasa yang lama waktunya 5,000 tahun
2. Rumpun : Sekumpulan bahasa yang mempunyai usia antara 2,500 hingga 5, 000 tahun.
3. Keluarga : Sekumpulan bahasa yang usianya kurang daripada 2,500 tahun

Profesor Nik Safiah Karim menerangkan bahawa bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China (rujuk carta alir di bawah)
Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut.

Contoh Soalan:

1. Bahasa Melayu yang termasuk dalam rumpun bahasa Austronesia adalah daripada keluarga
A. Polinesia
B. Melanesia
C. Nusantara
D. Austroasia
(Soalan 17, STPM 2000)

2. Antara yang berikut, yang manakah bahasa yang termasuk dalam kategori “keluarga” dalam kajian asal usul bahasa berdasarkan usia?
I Formosa
II Polinesia
III Melanesia
IV Austronesia
A I dan II
B I dan IV
C II dan III
D III dan IV
(Soalan STPM 2005, No. 11)

Bahasa Melayu merupakan ahli keluarga/ subkeluarga bahasa Indonesia/Sumatera, manakala keluarga bahasa Indonesia/Sumatera pula ialah keluarga bahasa di bawah rumpun bahasa Austronesia. Keluarga bahasa yang lain di bawah rumpun Austronesia ialah Melanesia, Mikronesia dan Polinesia.

Rumpun bahasa Austronesia pula ialah rumpun bahasa yang berada di bawah Filum Austris. Terdapat beberapa Filum bahasa yang lain yang melahirkan jurai rumpun, keluarga dan subkeluarga yang lain pula.

Bahasa Melayu tergolong ke dalam keluarga Nusantara dan di bawah rumpun Bahasa Austronesia. Keluarga Nusantara ini mempunyai kira-kira 200 – 300 bahasa yang menjadi subkeluarga. Bahasa Melayu pula berada dalam subkeluarga Sumatera.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: