Pemuda bidas Singapura

bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno semalam membidas kenyataan Menteri Kanan Singapura, Balaji Sadasivan yang menuntut perairan wilayah 12 batu nautika dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di sekitar Batu Puteh.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kenyataan Balaji itu dianggap sebagai sesuatu yang membelakangkan semangat dua negara berjiran serta menafikan semangat kesatuan dalam Asean.

“Kenyataan itu juga secara terang-terangan menunjukkan Singapura tidak menghormati hasrat keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mahukan kerjasama serantau dijadikan amalan dalam usaha membangunkan rantau ini.

“Republik itu sebaliknya lebih menonjolkan keangkuhan, malah tidak langsung menghormati Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura yang diwujudkan sebelum ICJ membuat keputusan,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan Berita Harian kelmarin mengenai tindakan Singapura menuntut kawasan perairan wilayah dan ZEE di sekitar Batu Puteh, yang diberikan kepada republik itu oleh ICJ, Mei lalu.

Balaji dipetik sebagai berkata, Singapura mempunyai kawasan perairan wilayah sehingga maksimum 12 batu nautika dan ZEE yang konsisten dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (Unclos) pada 10 Disember 1982.

Sehubungan itu, Hishammuddin berkata, Pemuda Umno menggesa kerajaan menerusi Kementerian Luar bertindak tegas dalam soal hak kedaulatan negara di perairan terbabit dalam segala urusan bagi menentukan sempadan sepatutnya, tanpa memberikan ruang kepada Singapura mengambil kesempatan.

Beliau juga mahu kepentingan nelayan tempatan dan tahap keselamatan di sekitar kawasan itu turut diambil kira sebagai keutamaan dalam persiapan kerajaan untuk berdepan dengan tuntutan Singapura.

Selain itu, Ketua Pemuda Umno Johor, Razali Ibrahim, berkata Malaysia mesti mempertahankan perairan negara ini biarpun Singapura bertindak menuntut kawasan perairan wilayah dan ZEE di sekitar Batu Puteh.

“Jangan berlembut sangat, apabila nak selesaikan, kita mula berlembut pada hal Singapura tak pernah fikir pasal itu. Kita minta kerajaan melalui Wisma Putra terus menjaga kepentingan kawasan sekitar Batu Puteh demi kebaikan bersama,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, tindakan kerajaan Singapura dalam suasana hari ini langsung tidak mencerminkan bahawa kedua-dua negara itu berjiran.

“Pemuda Johor mahu kerajaan bertegas dalam segala urusan membabitkan rundingan ZEE dan wilayah perairan di sekitar Batu Puteh. Kita minta kerajaan kalau perkara ini berterusan biarlah sampai bila-bila kita berkeras, tak apa, biarlah kita tak dapat apa-apa.

“Kalau Singapura tak mahu beri kerjasama, keputusan ICJ sudah ada, kita tetap berada di Tubir Selatan,” katanya.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara berkenaan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: