Archive for May, 2010

MIC: Pimpinan UMNO bersuara…Muhyiddin anggap tuduh anak Samy Vellu biadap

Posted in MEDIA on 25 May 2010 by zanas

Oleh: ROSLAN BIAN

Sendiri gaduh…orang lain yang dituduh.Pimpinan UMNO Selasa mahu S. Vell Paari, anak Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu supaya segera berhenti mendakwa UMNO campurtangan dalam krisis parti itu dan terlibat dalam usaha menyingkir bapanya.

Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yasssin dalam komen yang tegas meminta Samy Vellu supaya menasihatkan anaknya supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan sensitiviti parti-parti komponen BN yang lain.

“UMNO ingin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan oleh anak Samy Vellu itu. Ia adalah sesuatu yang biadap,” katanya.

Beliau yang ditemui wartawan selepas satu majlis dekat Muar meminta Vell Paari supaya menghentikan tindakan tidak bertanggungjawabnya itu.

Muhyiddin diminta mengulas tuduhan yang dibuat oleh Vell Paari terhadap UMNO menerusi sebuah laman web “Free Malaysia Today.”

Dalam laman web itu, Vell Paari mendakwa UMNO menggunakan pendekatan “pembunuhan politik” untuk memecahbelahkan MIC.

Katanya Vell Paari merupakan seseorang yang mempunyai kepentingan dalam kemelut dalaman MIC kerana beliau merupakan anak kepada parti itu.

Apa pun, kata Muhyiddin, beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telahpun mengeluarkan kenyataan yang mahu melihat kemelut dalaman MIC itu diselesaikan dengan secepat mungkin.

Bagaimanapun, katanya, sebarang penyelesaian terhadap permasalahan yang berlaku dalam parti itu mestilah berdasarkan kepada dasar keadilan dan ketelusan.

“Sebagai pemimpin dalam mana-mana parti komponen BN, tidak kira mana parti sekalipun, sebarang permasalahan dalam parti mestilah diselesaikan secara adil dan saksama,” katanya.

Muhyiddin berkata sebarang usaha untuk menyelesaikan permasalahan dalam parti mestilah mengikut perlembagaan dan prosedur parti.

“Sebagaimana yang dilakukan oleh kita di dalam UMNO, jika kita terpaksa bertindak memecat seseorang daripada parti, ia mestilah berdasarkan prosedur dan peraturan yang sedia ada dalam parti,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata setiap parti komponen BN perlu menyelesaikan masalah dalaman mereka dengan segera supaya kedudukan BN yang semakin kukuh kini di bawah pentadbiran Najib dapat diteruskan.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula menegaskan UMNO sama sekali tidak pernah mencampuri sebarang urusan dalaman mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) walaupun di saat mereka sedang bergelut dengan masalah dalaman masing-masing.

Sambil melahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap tuduhan bahawa Umno melakukan pembunuhan politik untuk memecah-belahkan MIC, Shafie berkata tuduhan seumpama itu perlu diseiringkan dengan bukti jika ia benar-benar berlaku.

“Sepanjang pengetahuan saya, sebagai salah seorang Naib Presiden parti dan antara pemegang jawatan tertinggi parti, tidak pernah sama sekali UMNO mencampuri urusan dalaman parti komponen lain, termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Sejarah telah membuktikan bahawa MCA pernah menghadapi masalah dalaman yang sangat serius tetapi kami tidak pernah mencampuri urusan mereka. Sudah tentu Umno akan mengambil berat kerana apa yang berlaku akan memberikan implikasi terhadap keseluruhan jentera BN,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian bangunan tambahan Institut Kemajuan Desa (Infra) di Bangi Selasa.
.

Menurut Shafie, sebarang perbalahan dalam parti komponen BN akan memberi kesan terhadap usaha memperkukuh dan memperkasakan BN.

Justeru, katanya, adalah wajar jika mana-mana pemimpin BN melahirkan hasrat untuk melihat proses penyelesaian berlangsung pada kadar segera.

“Dengan mengambil berat tidak bererti kami mencampuri urusan dalaman mereka malah kami tidak pernah berbincang mengenai sebarang perkara termasuk berkaitan hala tuju MIC, tetapi kami mahu tahu, bila MIC boleh diperkasakan semula atau bagaimana ia boleh diperkasakan semula.

“Kalau ada suara dari dalam parti itu sendiri, takkan kita (UMNO) pula yang dipersalahkan,” katanya.

Ketua Pergerakan Puteri Datuk Rosnah bt Hj Abd RAshid Shirlin dalam satu kenyataan menegaskan tuduhan Vell Pari kononnya UMNO menggunakan pembunuhan politik (political assassin) untuk memecah-belahkan parti komponen BN merupakan kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Begitu juga dengan dakwaan beliau yang menyatakan bahawa ketidaksamarataan menyebabkan kaum Cina dan India tidak memilih BN pada pilihan raya lalu dan bukannya disebabkan oleh soal kepimpinan dalam parti MCA dan MIC seperti yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.” Katanya.

Beliau berkata Pergerakan Puteri UMNO merasakan wujud satu trend yang amat jelas di kalangan parti-parti komponen BN yang cenderung untuk menutup kelemahan serta kesalahan mereka dengan meletakkan faktor kekalahan atau kehilangan sokongan ke atas bahu kerajaan yang dipimpin oleh BN.

“Dalam hal ini pemimpin MIC langsung tidak mahu mengakui kelemahan mereka sebaliknya cuba menuding jari kepada pihak lain dengan harapan boleh terus menerajui kepimpinan parti.

“Barisan kepimpinan MIC juga tidak mahu memperbaiki kelemahan yang ada sebaliknya terus-terusan menyalahkan pihak lain terutamanya UMNO sebagai punca parti komponen itu lemah dan gagal mendapat sokongan kaum sendiri.

“Sedangkan amat nyata dalam piihan raya umum ke-12 dua tahun lalu, Datuk Seri S. Samy Vellu telah ditolak oleh rakyat termasuk masyarakat India sendiri.

“Perkembangan terbaru dalam MIC juga menunjukkan sikap ala `diktator’ pemimpin parti itu yang langsung tidak boleh ditegur dan sesiapa sahaja yang berbuat demikian akan dipecat.

“Bukankah sikap seumpama itu menunjukkan pemimpin yang lemah, tidak boleh menerima teguran dan menganggap diri mereka sahaja yang betul – di mana pemimpin yang mempunyai ciri sedemikian sepatutnya meletakkan jawatan dan berundur daripada parti secepat mungkin.

“ Ini kerana pemimpin yang mempunyai kredibiliti sepatutnya tidak cepat melatah dan bersikap profesional dalam menerima teguran atau kritikan.

Rosnah berkata Puteri UMNO juga percaya kenyataan VellaPaari `adalah sesuatu yang berbahaya jika `orang luar’ terlibat (dalam urusan parti komponen) merujuk kepada UMNO secara khusus sedangkan adalah jelas tiada campurtangan UMNO dalam kemelut dalaman MIC dan perkara itu sememangnya diketahui umum.

Beliau menegaskan Vell Paari juga sepatutnya menarik balik setiap kenyataannya yang mengaitkan UMNO sebagai sebuah parti yang mendominasi setiap keputusan termasuk yang melibatkan komponen BN terutamanya MIC dan MCA sedangkan kedua-dua parti itu sendiri tahu pergolakan yang berlaku di kalangan mereka.

“Malah Puteri UMNO juga mahu anak kepada Datuk Seri S. Samy Vellu berhenti membuat kenyataan secara semberono semata-mata untuk mewajarkan tindakan bapanya memecat anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu semata-mata kerana desakan supaya beliau melepaskan jawatan.

“Sudah tiba masanya parti-parti komponen BN bermuhasabah dan menilai prestasi masing-masing dan memperbaiki kelemahan yang ada, bukannya menyalahkan pihak lain setiap kali ada masalah yang timbul terutama melibatkan gesaan supaya pucuk kepimpinan meletakkan jawatan.

“Pemimpin parti komponen termasuk UMNO sendiri mesti tahu kedudukan masing-masing sama ada diterima atau ditolak oleh anggota parti,”katanya.-25/5/2010

Pertandingan tiga penjuru di Sibu

Posted in MEDIA on 8 May 2010 by zanas


Pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada Ahad depan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew; calon DAP, Richard Wong Ho Leng; dan calon Bebas, Narawi Haron.

Kelayakan ketiga-tiga calon itu bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Sibu, Wong See Meng, di pusat penamaan calon di Dewan Suarah di Sibu pada jam 11.25 pagi tadi.

Hamka Kassim, 40, yang sebelum ini dilaporkan akan bertanding sebagai calon Bebas, tidak hadir bagi mengemukakan borang pencalonan.

Pagi tadi, ribuan penyokong bagi semua calon, termasuk kira-kira 5,000 dari BN, berhimpun di bandar Sibu sejak awal pagi ini, menyebabkan kesesakan trafik di jalan-jalan yang menuju ke pusat penamaan calon.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai kem Barisan Nasional (BN) bergerak dari Estate Delta, kira-kira 2 kilometer dari pusat penamaan calon itu manakala pihak DAP bergerak dari Taman Rajang, di Sibu.

Muhyiddin bersama rombongan penyokong BN tiba di dewan tersebut pada jam 8.43 pagi.

Antara pemimpin-pemimpin BN yang lain yang turut serta ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta beberapa menteri Kabinet.

Sementara itu, calon DAP, Wong Ho Leng tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.30 pagi bersama kira-kira 700 orang penyokong dengan diketuai diketuai Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Hadir bersama ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Menteri Besar selangor, Tan Sri Khalid ibrahim.

Suasana di kawasan penamaan calon agak tenang tanpa sebarang insiden membabitkan penyokong BN dan DAP.
BN menamakan Robert Lau Hui Yew, 45, sebagai calonnya manakala DAP memilih ahli dewan undangan negeri Bukit Assek, Wong Ho Leng, 50, sebagai calonnya.

Selain BN dan DAP, sebelum ini ada dua lagi calon, Narawi Harun dan Hamka Kassim menyuarakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Bagaimanapun, setakat ini, hanya calon Bebas, Narawi Harun yang telah tiba.

Cuaca di pusat pencalonan dilaporkan cerah dengan penyokong calon masing-masing berhimpun seawal pukul 7 pagi di tempat yang ditetapkan, dan anggota polis sudah sulai sibuk mengawal lalulintas.

Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Robert Lau Hoi Chew, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Robert Lau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,549 undi, menewaskan pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng.

Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 52,158 pengundi biasa dan 2,537 undi pos, merangkumi 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.

Menurut senarai pemilih yang dikemas kini sehingga 9 April lalu, pengundi dari kaum Cina adalah hampir 67 peratus daripada jumlah pengundi, diikuti Melayu/Melanau (10.5 peratus) dan Bumiputera Sarawak (22 peratus).

Sebanyak 45 pusat mengundi dengan 110 saluran akan dibuka di 39 buah sekolah, dua tadika dan masing-masing satu pusat latihan, rumah panjang, perpustakaan awam dan pusat rekreasi awam bagi proses mengundi.

Sementara itu tinjauan di Dewan Suarah mendapati polis sudah mula berkawal di persekitaran Dewan itu seawal jam 5 pagi ini, dengan akses beberapa jalan menghala kearahnya sentiasa dipantau.

‘Bergaul’ dengan bukan Melayu: Umno hilang punca

Posted in MEDIA on 8 May 2010 by zanas

Selepas diarahkan ‘bergaul’ dengan masyarakat bukan Melayu, pemimpin akar umbi Umno dilihat masih tercari-cari arah dan seolah-olah hilang punca bagi melaksanakan arahan presiden mereka Datuk Seri Najib Razak itu.

Terdapat daripada kalangan mereka yang mendakwa telah cuba melakukannya – termasuk menghadari aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan golongan bukan Melayu – tetapi masih gagal menarik kembali sokongan masyarakat berkenaan kepada BN.

Manakala sebahagian pihak lagi berpendapat parti komponen bukan Melayu – seperti MCA dan MIC – tidak harus hanya bergantung kepada Umno semata-mata untuk menarik kembali sokongan Cin dan India kembali ke BN.

Ketua Umno bahagian Permatang Pauh Datuk Abdul Jalil Abdul Majid berpendapat budaya “aku jaga orang aku, kau jaga orang kau” harus berubah jika BN mahu mendapatkan kembali sokongan bukan Melayu.

“Dulu masa dalam Perikatan dulu boleh bersama-sama. Sekarang ini kelam kabut sedikit. Sekarang ini ada yang terlampau pentingkan diri sendiri,” katanya kepada Malaysiakini.

Awal minggu ini, Najib dilaporkan mengarahkan semua pemimpin Melayu supaya juga menghadiri majlis yang dianjurkan oleh masyarakat Cina dan sebaliknya bagi menarik kembali sekurang-kurangnya 50 peratus sokongan pengundi Cina.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo (kiri) dilaporkan berkata arahan itu dibuat oleh Najib yang juga presiden BN ketika pemukiman parti berkenaan di Janda Baik, Pahang.

Bagi Ketua Umno Kampar Datuk Mohd Radzi Manan, Umno mesti mula mengagihkan tugas-tugas dan aktiviti yang dijalankannya kepada MIC dan MAC dan sekadar mengawasinya sahaja.

“Kalau dulu, kebanyakannya kita yang buat. Macam di tempat saya (Kampar) sekarang, kita buat liga bola sepak, saya minta MIC uruskan. Saya monitor sahaja.

“Larian bendera (sempena bulan kemerdekaan) Ogos ini, saya serahkan pada MCA,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo pula berkongsi pandangan yang hampir sama dengan Mohd Radzi.

Ketika dihububungi Malaysiakini walaupun menyambut baik arahan Najib itu, Ismail berharap akan wujudnya penyelarasan yang lebih baik antara Umno dan parti-parti bukan Melayu lain dalam BN.

“Memang selama ini pun kita pergi kenduri, orang meninggal (kaum lain). Kalau tak boleh makan pun, kita ambil limau sahaja.

“Tetapi kenduri contohnya, kalau orang tidak ajak, takkan kita hendak pergi. Di sinilah peranan MIC dan MCA,” katanya.

Ismail juga menjelaskan, usaha tersebut tidak begitu rancak sebelum ini kerana mereka tidak mendapat maklumat berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, bagi seorang lagi pemimpin bahagian Umno, Datuk Abdul Rahman Palil, beliau mempunyai pendapat yang sedikit berbeza.

Menurut ketua Umno bahagian Kapar itu, bagi meraih kembali sokongan bukan Melayu, khususnya kaum Cina bukan semata-mata melalui aktiviti ‘bergaul’ dengan mereka semata-mata.

“Perkara ini kita sudah buat lama sudah. Sampai tokong pun saya pergi. Masalahnya sekarang pemimpin atasan kena buat satu dasar yang disukai semua orang,” katanya.

Menurutnya lagi, melalui dasar yang menjamin kemakmuran ekonomi dalam negara, sokongan masyarakat Cina akan kembali ke pangkuan BN.

Abdul Rahman juga berkata, sokongan masyarakat Cina juga boleh diperolehi dengan mendapat kepercayaan pemimpin masyarakat mereka terlebih dahulu.

Sultan Kelantan kekal dirawat di HUSM

Posted in MEDIA on 6 May 2010 by zanas

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, kekal di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan susulan masalah jantung.

Pengelola Istana DiRaja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata setakat ini belum ada rancangan memindahkan Tuanku Ismail ke hospital lain termasuk ke Hospital Kuala Lumpur.

“Tuanku Sultan masih ditempatkan di Wad Diraja di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan masih belum ada rancangan dipindahkan ke hospital lain,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu.

Beliau berkata, sehingga petang ini tiada sebarang titah dikeluarkan oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.

Sultan Kelantan dimasukkan ke HUSM Kubang Kerian Selasa lalu untuk menjalani rawatan susulan masalah jantung.

Pada hari sama, anakanda ketiga Sultan Kelantan, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra, pada sidang akhbar di sini berkata beliau bercadang membawa ayahandanya menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Bagaimanapun, penerbangan itu tidak dibenarkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Sultan Kelantan pada 14 Mei 2009 dimasukkan ke HUSM di Kubang Kerian kerana gering dan pada 24 Mei 2009 dimasukkan ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura bagi menerima rawatan lanjutan masalah jantungnya dan hanya kembali ke Kelantan pada 3 Mac lalu setelah hampir setahun berada di hospital itu.

Semalam, Pemangku Raja Kelantan mengeluarkan titah kepada Ketua Polis Kelantan supaya segala pergerakan Sultan Kelantan perlu mendapat perkenan baginda dan menitahkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi, supaya meningkatkan tahap keselamatan Sultan Kelantan.

Abdul Halim berkata, beliau belum menerima laporan mengenai status kesihatan Sultan Kelantan daripada doktor yang merawat baginda.

– Bernama

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.