Archive for August, 2010

‘Jangan persoal kuota bumiputera’

Posted in MEDIA on 17 August 2010 by zanas

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang mempersoalkan sistem kuota untuk usahawan bumiputera dalam Model Baru Ekonomi (MBE) mendapat pelbagai reaksi daripada pertubuhan Melayu dan bumiputera.

Bagi mereka, kenyataan itu mencetuskan kemarahan di kalangan usahawan bumiputera tempatan yang menyifatkannya sebagai modal politik murahan pemimpin tersebut untuk menarik sokongan rakyat.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kenyataan Soi Lek itu langsung tidak membantu ke arah pembangunan usahawan bumiputera malah boleh membantutkan perkembangan ekonomi negara.

Sebagai seorang pemimpin berpengalaman, katanya, Soi Lek perlu menyedari hakikat bahawa peluang ekonomi sewajarnya harus diberikan kepada kaum majoriti bagi memastikan sesebuah negara berupaya mengalami pertumbuhan seimbang.

“Jadi, perkara mengenai hak atau peluang ekonomi sesebuah kaum perlu dianalisis secara holistik kerana semua negara di dunia mementingkan kesejahteraan ekonomi kaum majoriti.

“Saya lihat kenyataan yang dibuat Soi Lek tempoh hari langsung tidak membantu usaha pembangunan ekonomi Malaysia dan perpaduan di kalangan rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Khairy mengulas kenyataan Soi Lek pada Kongres Ekonomi Cina anjuran MCA di ibu negara kelmarin yang mahu kerajaan mementingkan sistem merit berbanding kuota bagi memastikan perkongsian tulen antara bumiputera dan bukan bumiputera mencapai matlamat.

Pada majlis itu juga, Soi Lek mendakwa kontraktor Kelas F bumiputera kebanyakannya terus mendapat peluang berniaga sekalipun kurang layak dan kumpulan itu juga sering mengalibabakan projek yang diterima kepada kontraktor lain.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad pula berkata, cadangan Soi Lek supaya kerajaan menggantikan sistem kuota kepada merit kononnya bagi mewujudkan perkongsian tulen di kalangan bumiputera dengan bukan bumiputera adalah salah dan mengelirukan.

“Soi Lek perlu terlebih dahulu menasihatkan para kontraktor Cina supaya ikhlas dan tulen mencari rakan kongsi bumiputera, bukannya menekan kerajaan supaya mengubah apa yang telah dipersetujui selama ini (sistem kuota).

“Apa ikhlas dan tulennya kontraktor Cina apabila melantik para pengerusi syarikat mereka di kalangan Melayu iaitu bekas pegawai tinggi kerajaan atau bekas menteri? Adakah cukup sekadar memakai nama mereka, sedarkah Soi Lek mengenai ketidakikhlasan ini?” tegasnya.

Beliau seterusnya mencabar Soi Lek supaya mengemukakan statistik kontraktor bumiputera yang mengalibabakan projek mereka serta jumlah perkongsian tulen perniagaan antara usahawan Cina dan bumiputera, tanpa mengambil kira perkongsian melibatkan permit dan lantikan ‘pengerusi tidur.’

“Kami ada 29,000 kontraktor Kelas F bumiputera di seluruh negara. Jadi setelah Soi Lek kemukakan bukti (ali baba) itu nanti, saya akan minta Pusat Khidmat Kontraktor teliti pula senarai yang ada pada Soi Lek dan mengambil tindakan sewajarnya,” tegas beliau.

MCA perlu fikir hak pelbagai kaum

Posted in MEDIA on 17 August 2010 by zanas

MUHYIDDIN menyampaikan bantuan pada pelancaran Skim Prihatin 1Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, semalam.

MUHYIDDIN menyampaikan bantuan pada pelancaran Skim Prihatin 1Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: MCA diingatkan supaya berhati-hati menyatakan pendirian mereka terutama dalam isu membabitkan kepentingan Bumiputera supaya tidak menimbulkan keresahan dan kemarahan kaum berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata walaupun pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk MCA berhak memperjuangkan kepentingan kaum Cina, pendirian yang mereka ambil seharusnya tidak menjejaskan hak dan kepentingan kaum lain.

“Walau apa pun yang hendak diperjuangkan oleh pemimpin mana-mana kaum, itu hak mereka tetapi jangan sampai ia menjejaskan kaum lain. UMNO memperjuang nasib orang Melayu tapi masih mengambil kira kepentingan kaum lain.

“Jangan kita timbulkan keresahan atau kemarahan hanya kerana hendak pertahan resolusi kita sehingga tidak ambil kira sensitiviti dan hak kaum lain,” katanya pada sidang media pada Majlis Berbuka Puasa Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Skim Prihatin 1Wilayah Persekutuan iaitu skim bantuan kewangan bagi meringankan beban keluarga yang tinggal di Wilayah Persekutuan apabila berlaku kematian.

Muhyiddin mengulas pendirian MCA dan Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang menyokong 13 deklarasi yang diluluskan dalam Kongres Ekonomi Cina Malaysia pada Sabtu lalu.

Soi Lek yang menjawab peringatan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, MCA yang kini diterajui kepimpinan baru percaya bahawa pendirian itu mempunyai asas dan wajar.

Sebelum itu, Hishammuddin mengingatkan agar MCA tidak mengambil pendirian menyimpang daripada perjuangan yang sudah disepakati sekian lama dalam BN.

Peringatan Naib Presiden UMNO itu dibuat ekoran kenyataan Soi Lek yang mendesak kerajaan supaya mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota dalam memastikan perkongsian tulen antara bumiputera dan bukan bumiputera.

Tambah Muhyiddin, soal sama ada MCA ingin bersama DAP merupakan perkara kedua kerana apa yang penting pendirian yang diambil mereka tidak sepatutnya boleh menimbulkan prasangka, buruk sangka, kemarahan dan mengguris sensitiviti kaum lain.

“Jika ia mempunyai hubung kait dengan dasar kerajaan, MCA harus tahu dan faham apakah pendirian kerajaan tentang soal hak istimewa bumiputera dan semangat menyeimbangkan pengagihan kekayaan dalam negara ini.

“Pendirian kerajaan adalah amat jelas dalam perkara ini iaitu kita tidak akan berkompromi terutama dalam soal menyentuh kepentingan kaum dan bumiputera,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menjelaskan bahawa tuntutan Melayu untuk mendapat 30 peratus kekayaan bukannya satu tuntutan melampau kerana sasaran Dasar Ekonomi Baru itu sehingga kini masih belum tercapai.

Sedangkan, katanya, kaum Cina sudah menguasai lebih daripada 40 peratus kekayaan negara dan Melayu tidak pernah sekalipun iri hati.

“Kecualilah jika kekayaan Cina berbanding dahulu semakin menurun kerana diambil oleh Melayu, itu boleh kita faham dan pertimbang.

“Jadi adakah adil jika MCA tuntut supaya apa yang diperjuangkan Melayu untuk menguasai 30 peratus itu secara adil itu sebagai sesuatu yang tidak wajar,” katanya.

Tegas Muhyiddin, desakan MCA itu tidak sepatutnya ditimbulkan kerana sejarah membuktikan bahawa kepincangan dalam masyarakat telah berlaku kerana pengagihan kekayaan tidak dilakukan secara adil dan saksama.

“Ia sebagaimana yang berlaku pada 1969. Kerajaan berharap ia tidak berlaku lagi. Oleh sebab itulah kita sasarkan ada perseimbangan penguasaan kekayaan negara secara adil dan saksama,” katanya.

PKR tawar Saifuddin ketuai kaukus siswa berpolitik

Posted in MEDIA on 15 August 2010 by zanas

Ahli parlimen PKR menawarkan kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah untuk mengetuai kaukus parlimen untuk membuka jalan bagi penyertaan mahasiswa dalam politik.

“Untuk (penyertaan) mahasiswa dalam politik, kami sedia bekerjasama dengan YB Saifuddin dalam sebuah kaukus dalam usaha menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universit9 (Auku),” kata ahli parlimen PKR bagi kawasan Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Menurutnya, walaupun Saifuddin merupakan seorang pemimpin tinggi Umno, tetapi mereka masih bersedia untuk bekerjasama dengan timbalan menteri itu bagi mencapai matlamat tersebut.

Saifuddin lantang menyatakan bahawa mahasiswa harus dibenarkan menyertai politik walaupun para pemimpin Umno yang lain berpendirian sebaliknya.

Cadangan supaya mahasiswa dibenarkan menyertai politik semakin mendapatkan perhatian selepas keputusan kerajaan menarik balik larangan dan membenarkan guru lulusan universiti menyertai politik.

Nurul Izzah menegaskan demikian dalam sidang akhbar selepas beliau dan wakil rakyat PKR menghandiri seminar perspektif muda dalam hal ehwal semasa.

Seminar tersebut, anjuran Unit Perancang Ekonomi Selangor (Upen), dihadiri oleh hampir 80 mahasiswa dan profesional muda yang membahas pandangan mereka tentang hal-hal seperti pendidikan, ekonomi dan urustadbir.

Sejarah merubah atau terubah – 2

Posted in ARTIKAL on 6 August 2010 by zanas

Tahun 750 – 1250 M adalah juga digelar zaman Kegemilangan Islam (Islamic Golden Age) kerana dizaman ini, penerokaan didalam segala bidang pengetahuan dimulai samaada dari para-para ulama, para-para ahli fikir, ahli sains, jurutera-jurutera, jurubina-jurubina, para-para seniman atau sastrawan dan lain-lain yang mana kesannya membawa perubahan seterusnya kepada seluruh alam diwaktu itu mahupun sehingga kehari ini.

Walaupun dizaman ini, terjadi juga beberapa siri peperangan seperti peperangan dengan pengikut Syiah dan juga peperangan dengan pengikut Nasrani seperti peperangan Salib yang pertama (1095-1099 M), kedua (1147-1149 M), ketiga (1189-1192 M), keempat (1202-1204) dan seterusnya, namun begitu, dizaman ini lebih ditumpukan kepada pengetahuan dan penerokaan didalam setiap bidang atau perkara-perkara yang baru. Hatta diwaktu peperangan Salib, banyaknya ilmu-ilmu dalam bidang tertentu dari daerah Islam dibawa masuk keEropa.

Contohnya dalam bidang astronomi, al-Fazari seorang astronom Islam yang pertama menyusun astrolobe, al-Farghani (diEropa dikenali sebagai Al-Faragnus), menulis ringkasan ilmu astronomi yang kemudiannya diterjemah kedalam bahasa Latin oleh Gerard Cremona dan Johannes. Dalam bidang optikal, Abu Ali al-Hassan ibn al-Haitsami (diEropa dikenali sebagai Alhazen), didalam bidang kimia, Jabir ibn Hayyan, didalam bidang matematik, Muhamad ibn Musa al-khawarizmi (yang mencipta ilmu algebra), didalam bidang sejarah dan geografi, al-Masudi yang menghasilkan karya Muuruj al-Zahab wa Ma’aadzin al-Jawahir.

Didalam bidang kedoktoran, nama ar-Razi dan Ibnu Sina (dikenali Eropa sebagai Avicenna) adalah cukup terkenal. Ar-Razi adalah tokoh pertama yang membezakan antara penyakit cacar dengan measles dan merupakan mereka yang pertama menyusun buku mengenai kedoktoran. Sesudahnya, Ibn Sina yang juga seorang ahli falsafah, berhasil menemukan sistem peredaran darah pada manusia. Diantara karyanya adalah al-Qoonuun fi al-Thibb yang merupakan ensiklopedi kedoktoran paling besar dalam sejarah.

Zaman ini juga, pengawalan keatas pencemaran alam telah dimulai seperti apa yang didapati tulisan-tulisan al-Kindi, al-Razi, Ibn al-Jazzar, al-Tamimi, Ibn Sina, Ali ibn Ridwan, Abdul Latif dan Ibn al-Nafis yang mana mereka memperkatakan tentang pencemaran air, pencemaran udara, tanah, sistem pembuangan atau perkumuhan sampah-sarap dan seterusnya. Ini kerana terutamanya diwaktu itu, telah terbina kota-kota raya lalu diperlukan suatu sistem seperti sistem pengaliran air dan serta perkumuhannya.

Sebegitu juga dengan senibina-senibina berbentuk ciri Islamik berkembang dengan pesat terutama kerana pembangunan-pembangunan kota-kota raya samaada yang dibawah kerajaan Abbasiyah mahupun diAndalusia. Yang mana pembinaan kotanya bukan sahaja disudut pembinaan bangunan-bangunan tetapi diatur secara sistematik dengan jalan-jalan raya, lampu-lampu yang menerangi kota dimalam hari, sistem pengaliran, pusat-pusat aktiviti ekonomi berserta dengan segala kemudahan-kemudahan awam termasuk masjid-masjid dan hospital-hospital.

Dalam zaman Kekerajaan Abbasiyah jugalah yang merubah sejarah kepada penguasaan bangsa Islam yang bukan berasal dari bangsa Arab berkembang contohnya bangsa Turki membina Kekerajaan Seljuk dan seterusnya kepada Kesultanan Utsmaniyah (1299–1923) yang mana merupakan salah suatu kuasa terbesar sebelum dikalahkan dalam perang dunia pertama.

Zaman Kerajaan Abbasiyah juga merupakan zaman peningkatan kepada aktiviti-aktiviti ekonomi dan kota Basrah merupakan pelabuhan utama antara Timur dan Barat. Kemuncak Kerajaan Abbasiyah adalah dizaman Khalifah Harun ar-Rasyid rah. (786-809 M) dan puteranya Khalifah al-Maimun (813-833 M). Kekayaan yang didapati, dimanfaatkan oleh Khalifah Harun al-Rasyid untuk sekelian rakyat seperti untuk keperluan sosial, pendidikan samaada dalam bidang agama dan juga duniawi, mendirikan hospital-hospital, mempertinggikan kebudayaan serta kesusasteraan dan seterusnya.

Sejarah merubah atau terubah – 1

Posted in Uncategorized on 6 August 2010 by zanas

Sejarah memainkan peranan penting dalam mengenal akan sebab-sebab kehadiran sesuatu, perubahan kepada apa yang berlaku suatu waktu dahulu, hari ini mahupun kesan dihari muka samaada untuk geografi alam, keadaan sesuatu masyarakat mahupun kepada setiap individu, penawar-penawar untuk sesuatu permasaalahan yang timbul, penghuraian akan jalur jalan hidup atau pegangan yang diikuti dan seterusnya.

Tanpa menoleh kepada sejarah adalah seperti pokok yang tumbuh tidak berakar iaitu biarpun setinggi mana pokok tersebut tumbuh, namun hakikatnya ia mudah tumbang hatta dengan hembusan angin yang lembut. Atau juga seperti rumah yang dibina tanpa tiang, sebegitu mudah runtuh.

Mungkin ada yang berpendapat, sejarah hanyalah kisah-kisah untuk mengubat kekosongan atau kebosanan hidup mahupun hanyalah merupakan mata-pelajaran yang wajib dihafal untuk menghadapi peperiksaan tetapi sebenarnya jauh dari itu, kepentingan sejarah adalah dimana darinya insan mengenal jati-dirinya, mengenal apa yang dapat membantunya, mengenal faktor-faktor akan keruntuhan yang menimpa pada diri mahupun pada masyarakat am dan seterusnya.

Perubahan-perubahan hidup sekelian insan dan alam bila hendak dikaji dari mana dan mengapa ia sebegitu adalah dari lipatan sejarah. Dan untuk mencari penawar untuk sekian-sekian soalan yang mana bukan hanya untuk soalan dikertas peperiksaan tetapi soalan buat kehidupan sebenar adalah wajar juga ditoleh akan apakah sebab asalnya atau kesan dari sesuatu.

Pertanyaannya, apakah sesuatu sejarah itu sememangnya sebagaimana yang disampaikan mahupun difaktakan atau berubah kerana sesuatu sebab? Atau apakah disebalik sebenarnya akan hakikat terjadinya sesuatu sejarah? Apakah kesan diatas sejarah merubah atau terubah? Yang pastinya, sejarah memberi jawapan dan sejarah juga memberi soalan.

Contohnya, ramai insan yang percaya Genghis Khan dengan bala-benteranya menyerbu kota Baghdad dan memusnahkan segala yang ada, melakukan masakar besar-besaran, menghapuskan segala kitab-kitab yang terselit sejuta ilmu dari pengkaji-pengkaji Islam diwaktu itu. (dalam mana ada yang menuduh penyerangan itu adalah kerana umat Islam diwaktu itu bertindak tidak adil kepada kaum lain yang dibawah taklukan mereka dan juga dengan tuduhan-tuduhan yang lain)

Sedangkan sebenarnya, yang menyerang kota Baghdad bukanlah Genghis Khan tetapi adalah cucunya iaitu Haluga Khan. Dan cerita-cerita akan ketidak-adilan yang dilakukan umat Islam adalah propaganda sahaja kerana setiap kaum yang dibawah taklukan Kerajaan Abbasiyah adalah diberi hak untuk mengamalkan kebudayaan mereka, hatta Kerajaan Abbasiyahlah yang mengembalikan kedudukan bangsa selain bangsa Arab contohnya bangsa Parsi yang mana dizaman sebelumnya iaitu zaman Hajaj Bin Yusuf, bangsa Parsi hanyalah merupakan bangsa kelas kedua.

Dan bila dikaji lebih mendalam kisah disebalik penghancuran kota Bagdad, pertamanya haruslah disedari, ibu serta isteri kepada Haluga Khan yang menghancurkan kota Baghdad, membunuh jutaan nyawa orang Islam yang tidak berdosa, menguasai dengan penuh kekejaman serta kezaliman dikawasan Islam yang ditakluk, adalah merupakan penganut agama Nasrani exstrem dan komplot yang dilakukan untuk menghancurkan kota Bagdad adalah telah dirancang sedari awal kerana dari kota ini, tamadun Islam mahupun agama Islam itu sendiri tersebar secara meluasnya. Ramai kalangan mereka yang bukan Islam datang kekota Baghdad, membawa kembali bukan sahaja ilmu yang dipelajari tetapi juga kepercayaan kepada agama Islam yang baru dianuti.

Mungkin benar, sebab-sebab lain adalah kerana umat Islam disitu sendiri tersilap arah jalan lantaran terlalu banyaknya ilmu sedang kurangnya amalan terutama amalan berpesan-pesan buat kebaikan antara mereka, kerana tanpa amalan yang sebenar, ilmu hanyalah sebagai maklumat seperti kelahiran fikiran Mutazilah dan lain-lain, namun tidak dilupai juga, dizaman itu, lahirnya sebegitu banyaknya alim-ulamak hak yang membawa umat seterusnya dijalan kebenaran. Contohnya Imam Mahzab iaitu Imam Hanafi rah., Imam Maliki rah., Imam Syafii rah. dan Imam Hambali rah., serta sebegitu juga dengan para muhadith seperti Imam Bukhari rah., Imam Muslim rah., Imam Tirmizi rah., Imam Nasai rah. dan seterusnya, semuanya adalah berada dibawah zaman Kekerajaan Abbasiyah.

Sumber: Zar-Art-Mind

Video lucah hantui Shahanim,Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia

Posted in MEDIA on 4 August 2010 by zanas

Oleh: NOOR HASILAH ISMAIL


Lumrah kehidupan, insan yang cantik, bijak dan berwawasan akan sentiasa menjadi perhatian, apatah lagi jika dia seorang pemimpin. Tetapi tidak semua semestinya positif kerana personaliti seperti ini tidak dapat lari daripada golongan PHD (perasaan hasad dengki). Ini biasa dalam dunia politik.

Orang mengenali Shahanim Mohd Yusof sebagai Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia. Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa beliau pernah bertugas dengan Maybank selama 14 tahun dan menerima anugerah “Best Financial Executive for Maybank Finance in Malaysia” pada 2001.

Setelah memenangi anugerah itu beliau dihantar ke Barcelona, Sepanyol serta Itali dan dinaikkan pangkat kepada Eksekutif Pembangunan Perniagaan sebelum letak jawatan pada 2004 untuk menjadi usahawan dengan membuka sebuah stesen minyak dan pada masa yang sama memberi lebih perhatian kepada politik.

Namun sebaik melangkah kaki ke dunia politik, kehidupan Shahanim tidaklah seindah yang dilihat pada zahirnya. Pelbagai duri dan liku terpaksa diharungi….dan yang paling menghantui nya apabila difitnah beraksi dalam VCD lucah,mempunyai skandal dengan seorang Menteri Besar serta membuat kekayaan menerusi politik. Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini beliau dikatakan tidak sebulu pula dengan ketuanya.

Dalam satu pertemuan dengan Agendadaily, Shahanim meluahkan segala yang telah terpendam di dalam hatinya mengenai isu-isu berkenaan sehingga ada ketika tertentu, beliau tidak dapat menahan sebak di dada..

Shahanim berkata beliau menyangka dengan berdiam diri selama ini, semua fitnah dan tohmahan terhadapnya akan lenyap. Harapanya nyata meleset. Kini beliau merasakan sudah sampai masanya membuka mulut.

Agendadaily: Ada desas desus kononnya Shahanim tidak sebulu dengan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Rashid Shirlin?

Shahanim: Saya dah selalu sangat dengar perkara ini. Saya nak jelaskan bahawa antara saya dan Rosnah tak ada masalah. Saya buat kerja saya dan dia buat kerja dia. Sedikit pergeseran itu adalah perkara biasa tetapi fokus sekarang ialah dalam keadaan UMNO yang macam ini… saya kena buat kerja macam mana nak jadikan gelombang wanita muda dapat bantu UMNO dan BN menang PRU ke-13. Saya anggap desas-desus ini sebagai perkara remeh.

Agendadaily: Dengar cerita puan tak puashati apabila tidak dilantik ke sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO?

Shahanim: Itu keputusan dan hak Datuk Rosnah sebagai Nombor 1. Dia tak lantik saya sebagai MT pun saya tak pernah persoal.

Agendadaily: Tetapi sayap lain seperti Wanita dan Pemuda UMNO, naib ketua masing-masing secara automatik dilantik ke MT. Mengapa Puteri tidak? Tidakkah ini memberi gambaran bahawa puan telah diketepikan dan puan mempunyai sebab kukuh untuk tidak sebulu dengannya?

Shahanim: Biar saya berterus terang. Pada tarikh perlantikan MT dibuat, saya sedang menganjurkan kenduri bersama keluarga sempena sambutan hari lahir suami saya pada 24 April. Sedang kita raikan kenduri, Datuk Rosnah menelefon dan beritahu saya dia tak lantik saya sebagai MT di atas sebab-sebab yang tertentu. Saya tidak tanya banyak dan cakap it is okay. Saya cakap pada dia, itu hak dia untuk melantik Dr Norashikin. (YB Dr. Wan Norashikin Wan Noordin). Saya kata saya akur.

Agendadaily: Timbalan Perdana Menteri telah meletakkan tiga KPI kepada Puteri, iaitu menambah ahli, daftar pengundi muda dan berbaik dengan NGO. Bukankah secara logik, tugas besar ini patut diberikan kepada Naib Ketua?

Shahanim: Saya telah diberi amanah sebagai Pengerusi Biro Antarabangsa yang saya rasakan saya tak dapat nak menyumbang lebih. Tetapi sebagai naib saya akur dan tidak pernah mempertikaikan jawatan yang diberi.

Sebenarnya dalam mesyuarat Exco Puteri bulan lalu, Datuk Rosnah ada membuat rombakan. Saya tidak dapat datang kerana terpaksa hadir di sekolah anak saya untuk menandatangani buku laporan. Ketika itu memang saya ada menaruh harapan kerana saya rasa saya mampu pegang jawatan biro keahlian dan turun ke negeri-negeri bagi mewujudkan minat dan meyakinkan golongan wanita muda mengapa kita perlu pilih UMNO. Saya tunggu tetapi keputusan tak memihak kepada saya, dan kini saya masih pegang jawatan biro antarabangsa.

Agendadaily: Rasa terkilan ke tidak ?

Shahanim: Terasa juga…sebab saya rasa saya patut pegang biro yang telah diberi KPI oleh Tan Sri Muhyiddin selaku Timbalan Presiden UMNO. Atas kapasiti saya sebagai Nombor 2, saya yakin saya boleh buat kerja itu. Tetapi apabila tidak diberi kpercayaan, memang rasa terkilan. Bagaimanapun saya akur dengan keputusan Ketua Puteri.

Agendadaily: Tetapi dengan TPM meletakkan KPI berkenaan, apa relevan tugas puan sebagai Pengerusi Biro Antarabangsa dengan persiapan menghadapi PRU?

Shahanim: Dengan keadaan empat negeri yang kalah, untuk menghadapi PRU ke-13 kita perlu dapatkan banyak sokongan wanita muda. Kalau nak tarik golongan wanita muda berusia antara 21 dan 40 tahun, biro-biro yang kurang beri faedah patut dikurangkan dan beri fokus kepada menambah ahli. Kita harus letak lebih ramai orang di situ kerana kalau letak seorang sahaja, susah nak laksana tanggungjawab itu.

Agendadaily: Adakah puan berpendapat bahawa mungkin tidak dilantik oleh Rosnah untuk memikul tanggungjawab penting seperti MT dan Biro keahlian kerana isu kononnya ada VCD lucah puan dan beberapa gosip lain ?

Shahanim: Saya rasa mungkin sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan beliau tetapi beliau kena ingat orang politik tak pernah lepas dari fitnah dan saya menjadi mangsa fitnah terbesar dan kini sudah sampai masanya saya nak clear everything .

Selepas berdiam diri ke atas fitnah yang dilemparkan terhadap saya sejak 2006, hari ini saya menemui seorang wartawan yang berani tanya soalan maut ini. Sebelum ini tak ada wartawan yang berani bertanya.

Apabila saya berhenti dari Maybank pada 2004, saya telah dilantik oleh Datuk Seri Syed Razak (mantan Menteri Besar Kedah) sebagai ketua Puteri Kedah. Saya bukan dilantik oleh Dato’ Seri Mahadzir Khalid.

Pada mulanya saya menolak tawaran itu dengan alasan saya sudah memegang jawatan Exco Pergerakan Puteri UMNO. Tetapi setiausaha sulit kepada Datuk Seri Syed Razak telefon saya dan cakap, Menteri Besar dah bagi kepercayaan dan saya harus terima amanah itu. Jadi saya pun terimalah.

Pada 2006, Datuk Seri Syed Razak sakit dan jawatan itu diambil alih oleh Datuk Seri Mahadzir Khalid. Beliau tak lantik saya sebagai Ketua Puteri kedah. Tetapi beliau lantik Ketua Puteri, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita sebagai pegawai khas untuk membantu sayap-sayap di negeri Kedah.

Berdasarkan pengalaman 14 tahun saya di Maybank, beliau telah melantik saya sebagai pegawai khas yang jaga GLC (syarikat berkaitan kerajaan) . Ahli Dewan Negeri kawasan Air Hangat yang juga Ketua Pemuda Kedah serta Ketua Wanita Kuala Kedah juga dilantik sebagai pegawai khas.

Sebagai pegawai khas, pastinya ke mana MB Kedah ada, kita kena ada…bos saya pula Pengerusi Perhubungan Negeri kedah. Maka, ke mana sahaja majlis UMNO beliau ada, saya pun pergi juga.

Rentetan itu, orang tengok di mana ada Mahadzir, di situ ada Shahanim. Ada kalanya mesyuarat GLC sampai malam. Dah lumrah sikap orang kita. Kalau saya duduk satu hotel dan kebetulan bos duduk hotel yang sama, itu dah dianggap skandal. Kalau minum dan gelak sama-sama pun disebut skandal. Kita boleh tutup mulut tempayan, tetapi kita tak boleh tutup mulut manusia daripada menyebarkan tohmahan.

Tahun lepas semasa nak pergi umrah, saya cakap kat emak saya bahawa saya doakan orang yang fitnah saya ini supaya diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah.

Agendadaily: Bagaimana menghadapi fitnah kononnya ada VCD lucah puan disebarkan tu ?

Shahanim: Sebagai orang poiltik, saya boleh hadapi semua tohmahan dan fitnah ini, tetapi apabila anak-anak menjadi mangsa, saya tak tahan. Bayangkan apabila anak saya pulang dari sekolah dan beritahu kawan-kawan sekolahnya mengatakan mereka lihat gambar saya dalam YouTube… (pada ketika ini Shahanim tidak dapat mengawal rasa sebak).

Macammana saya nak yakinkan dan suruh anak saya counter balik cerita-cerita itu kepada kawan-kawannya?. Orang sanggup fitnah saya sampai ke tahap itu. Anda perhatikan sendiri. Dah jelas gambar itu menunjukkan muka saya dicantumkan dengan badan orang lain. Saya tengok badan itu badan seorang artis sebab saya dah cek pelakon itu memakai baju yang sama dengan gaya yang sama. Fikirlah sendiri.

Perkara ini menjadi lebih sensitif apabila guru sekolah anak saya bertanyakan kepada anak saya sama ada saya dan suami sudah bercerai! Saya dan suami saya sudah 16 tahun berkahwin, tak pernah ada masalah. Sampaikan guru sekolah pun jadi macam itu. Saya terpaksa tukarkan sekolah anak saya dari Sungai Petani ke Kuala Lumpur.

Saya berpegang, macam mana pun kita buat, kebenaran akan timbul sama ada cepat atau lambat. Saya bersyukur dapat suami yang amat memahami dan mengenali diri saya. Kepercayaan yang dia bagi adalah asas kekuatan diri saya.

Agendadaily: Boleh komen mengenai dakwaan bahawa puan mendapat kekayaan semasa bekerja dengan Mahadzir Khalid, serta isu mengenai hadiah kereta kepada suami dan stesen minyak?

Shahanim: Kereta Harrier itu adalah second-hand . Saya bayar RM40ribu dan buat pinjaman RM70ribu. Sampai ke hari ini masih berhutang RM12ribu. Bulan lepas tertunggak tiga bulan. Kalau hadiah tak payah hutang.

Stesen minyak saya pula, saya pergi interbiu di Petronas sebelum saya letak jawatan di Maybank dan dapat pada 2004…sebelum saya join MB Kedah. Saya kerja dengan Datuk Seri Mahadzir Khalid pada 2006.

Saya nak cabar siapa yang dok kata saya cari kekayaan atau dapat projek supaya menamakan projek itu dan berapa jumlahnya. Apa yang saya dapat semasa jadi Ketua Puteri Kedah, yang merupakan hak saya, cuma satu…ialah sebagai salah seorang board of directors Kumpulan Ladang. Sebagai pengarah saya dapat RM2ribu sebulan dan pada hujung tahun syarikat GLC itu buat keuntungan, saya dapat RM70ribu setahun.

Agendadaly: Kenapa selama ini puan berdiam diri terhadap gosip dan fitnah ini?

Shahanim: Masa mula-mula dulu saya bercadang nak buat laporan polis di Bukit Aman, tetapi beberapa pemimpin veteran UMNO kata dalam politik ini perkara biasa dan saya tak perlu heboh. Mereka kata kalau buat report berrmakna kita melatah.

Tetapi seminggu sebelum PRU ke-12 pada 8 Mac 2008 tersebar SMS yang mengatakan VCD lucah saya akan disebarkan sekiranya nama saya naik jadi calon. Macam biasalah, dalam masa tak sampai lima minit, satu Malaysia dapat SMS itu. Maka orang sibuk mencari-cari VCD itu…termasuk saya sendiri. Sehingga hari ini mana ada?

Setakat gambar superimpose muka saya dicantum dengan badan pelakon…adalah. Saya sendiri nak tengok VCD itu kalau ada. Malah saya buat tawaran RM30ribu kepada sesiapa yang boleh buktikan dan tunjukkan VCD itu kepada saya. Sehingga hari ini tak ada pun orang datang dan tunjuk bukti fitnah itu betul atau tidak.

Selepas itu timbul gosip kononnya PKR sedang menyiarkan video Shahanim, Saya hantar orang pergi tengok tetapi tak ada pun. Ternyata cuma ceramah biasa PKR sahaja.

Mengenai stesen minyak. Jangan salah faham. Untuk mendapatkan sesebuah stesen minyak bukan mudah. Duit sahaja tak cukup kerana Petronas mendapat beribu permohonan. Kalau mereka kata saya dapat sebab politik…itu salah. Semak dengan Petronas dan tengok syarat ketat yang diletakkan. Mereka mahukan orang yang mempunyai rekod yang bagus dan saya yakin Petronas meluluskan permohonan saya kerana rekod saya di Maybank.

Kalau pasal politik, periksalah stesen minyak di Malaysia, hanya dua tiga kerat sahaja ahli politik yang dapat. Petronas tak pandang langsung ahli politik dalam bab bisnes. Semasa ditemuramah oleh Petronas, saya beritahu mereka saya dah jual saham Maybank, ada duit tapi tak ada kerja bila berhenti nanti.

Mereka tanya apa yang saya jangkakan. Saya kata gaji saya di Maybank RM6 ribu ketika itu dan saya rasa kalau ada stesen minyak boleh dapat antara RM20 ribu hingga RM30 ribu sebulan. Malah bila sampai kritikal sebagai Naib Ketua Puteri UMNO yang tidak dapat sebarang elaun atau projek untuk bantu parti…saya telah menggunakan pendapatan dari stesen minyak ini untuk menanggung program-program Puteri.

Saya pergi rasmi program Puteri sana sini dan bila nak buat tuntutan perjalanan dan sebagainya, Puteri UMNO kata tidak ada peruntukan. Jadi saya kena guna duit sendiri Saya kena berkorban kerana jika orang tak dapat Nombor 1, mereka akan cari Nombor 2 untuk datang ke program masing-masing. Saya tak mahu biarkan orang yang telah menyokong saya. Saya kena turun padang, walaupun terpaksa pakai duit sendiri.

Agendadaily: Tolong cerita bebanan menjadi Nombor 2 ?

Shahanim: Yang pertama, apabila orang Nombor 2 bertanding nombor 2, dia tahu dia akan jadi Nombor 2. Dia tahu dia akan ada bos Nombor 1. Pastinya kesetiannya pada bos Nombor 1. Cabaran lain ialah, bos biasalah ada ego dia sendiri. Jadi ada kalanya susah kita nak sampaikan pandangan dan pendapat kita. Kalau bos mahu dengar, dia dengarlah. Kalau dia tak mahu dengar, dia tak dengarlah.

Sebagai orang Nombor 2, kita tidak boleh terlebih laju atau terlajak sedikit daripada bos. Kita nak kawal diri supaya tak melepasi bos, walhal kekuatan kita, jati diri kita boleh buat banyak benda melepasi bos. Tetapi disebabkan kita Nombor 2, kita ada sifat setia pemimpin, dan lebih baik ambil sifat berdiam diri.

Agendadaily: Ramai orang kata Puteri tidak seagresif dulu jika dibandingkan ketika di bawah kepimpinan Datuk Azalina Osman Said dan Datuk Noraini Ahmad?

Shahanim: Ini adalah isu pendekatan. Azalina membawa pendekatan agresif. Masa Puteri mula ditubuhkan beliau banyak tekankan pada jati diri, input kita dan kita bersemangat dan berani lawan. Beliau pemimpin yang sangat tegas, kalau bagi arahan, beliau nak arahan itu sampai turun ke bawah.

Datuk Noraini pula guna pendekatan lemah lembut tetapi masih lagi turun ke bawah dengan satu program yang menyentuh hati dan perasaan saya sehingga hari ini, iaitu Puteri Menyusur Akar. Beliau bersma-sama turun ke kampong, lawat rumah orang miskin dan daif.

Pendekatan Datuk Rosnah pula, beliau ada cara sendiri dan saya masih tengah nak baca pendekatannya.

Agendadaily: Apakah pengalaman puan dalam Maybank dapat diterapkan atau dikongsi bersama dengan Puteri?

Shahanim : Yang pertama, di Maybank kita terapkan KPI. Keduanya kita ada sasaran, ketiga, pencapaian dan keempat, reward. Dari dulu saya, sebelum sertai Puteri, saya sudah hidup dengan KPI. Di Maybank Finance saya buat dana amanah, pinjaman peribadi, insurans dan sebagainya. Dalam mengendalikan semua produk ini saya kena capai sasaran. Kalau di bank kita mencapai sasaran, kita dapat lima bulan bonus atau lawatan ke luar negara.

Saya berhenti Maybank pada 2004. Dalam Puteri pun saya buat KPI dan pengurusan masa. Untuk tahun ini saya dah ada plan. Saya dah ada target apa nak buat dalam bulan puasa dan bulan-bulan seterusnya termasuk program yang membabitkan pelajar yang akan menduduki UPSR, PMR dan SPM.

Agendadaily: Datuk Seri Azalina ada menyuarakan kebimbangannya terhadap nasib yang menimpa bekas pemimpin Puteri yang diketepikan oleh Wanita UMNO. Puan sedia komen?

Shahanim: Ya. Saya juga sedih dengan nasib bekas pemimpin dan ahli Puteri. Apabila habis Puteri, apabila mereka mahu menyumbang kepada Wanita, mereka tak diterima. Saya memohon keterbukaan pemimpin Wanita.

Sayangilah adik-adik Puteri ini sebab kami adalah produk pemimpin pelapis UMNO. Kalau bekas pemimpin Puteri dibiarkan tanpa jawatan, setakat jadi ahli wanita biasa, bakat kepimpinan mereka akan terbiar begitu sahaja. Contohnya, saya, apabila habis tempoh Puteri nanti, kalau Wanita tak ambil saya…kena balik berniagalah.

Saya mohon Wanita pertimbang untuk serap pemimpin Puteri yang tamat tempoh ke dalam G5. Jika tidak, UMNO akan kehilangan produk pemimpin pelapis. Kesetiaan wanita muda amat tinggi. Puteri dah banyak berjuang untuk membantu Wanita dan UMNO.

Sumber : Agendadaily

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.