Peluang terakhir UMNO


ImageTIDAK boleh dinafikan bahawa Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan pada tahun ini menjadi satu medan pengukur untuk rakyat dan ahli UMNO menilai sejauh mana UMNO mahukan perubahan dan sejauh mana UMNO boleh terus menjadi wadah perjuangan orang Melayu.

Kepimpinan UMNO hari ini tahu prestasi UMNO pada PRU 12 dan desakan perubahan yang dimahukan oleh ahli sekarang ini. UMNO bukan sahaja dituntut berubah oleh ahli malah Melayu yang bukan ahli UMNO juga sedang memerhati. Andai jelas mesej perubahan dan andai jelas tindakan diambil untuk memastikan relevansi UMNO berterusan maka ramai Melayu akan kembali dan menyertai UMNO. Andai tidak maka UMNO akan terus keciciran dan seakan hampir kepada penutupan tirainya.

Setakat ini bagaimana? Adakah kelihatan UMNO sedang melakukan perubahan atau reformasi dalam menyiapkan diri untuk menebus maruah kekalahan tahun PRU12? Apakah ahli setakat ini melihat ada perubahan yang dilakukan atau sehingga kini UMNO masih terkial-kial mahu tetapi takut berubah. Adakah kalau dikatakan sehingga hari ini UMNO masih bergelut dalam mendefinisikan perubahan?

Apa kalau dikatakan UMNO masih di tahap lama dan masih terbelenggu dengan budaya lampau yang tidak menunjukkan tanda-tanda perubahan. Apa yang akan terjadi pada UMNO sekiranya ia kekal seperti sebelum ini. Apakah sebenarnya definisi perubahan yang perlu UMNO lakukan? Adakah perubahan pemimpin itu salah satu kriteria perubahan?

Asas perubahan yang sepatutnya dilakukan oleh UMNO adalah memulangkan UMNO kembali kepada akar umbi. Ini asas penting dan kepimpinan UMNO perlu ada akauntabiliti kepada ahli UMNO sendiri. Setakat ini untuk memulangkan UMNO kepada ahli masih belum dapat diertikan perlaksanaannya.

Adakah dengan ketetapan Majlis Kepimpinan Tertinggi UMNO untuk tidak mempertandingkan jawatan nombor satu dan dua menunjukkan UMNO mahu berubah? Adakah dengan sistem kuota yang ada menunjukkan UMNO tidak mahu berubah? Adakah dengan semua kepimpinan Negeri sebelum tamat mesyuarat cawangan tetapi sudah ada resolusi untuk mencalonkan Pak Lah dan Najib satu arah perubahan?

Sebenarnya definisi perubahan itu masih belum jelas. Ada kepimpinan yang masih merasakan bahawa sekiranya ada perubahan dalam sistem UMNO maka ini akan mengundang krisis. UMNO masih dikritik dan UMNO masih gagal mempamerkan keterbukaan kepimpinan untuk menegur antara satu sama lain malah keupayaan menegur Presiden dan Timbalan Presiden sehingga hari ini masih kosong dan masih ada perasaan gementar. Ahli UMNO masih lagi terikat pada kepercayaan karut – tidak boleh mengkritik UMNO.

Budaya hamba masih ada di kalangan ahli UMNO. Budaya ini sebenarnya mengecilkan mereka dan mengecilkan suara mereka. UMNO masih tidak berani melakukan perubahan struktur, memastikan ada keterbukaan dan mampu dikritik secara realistik. UMNO perlu berani membuka ruangan untuk semua ahli dan tidak berpegang kepada sistem yang semakin lama semakin ditolak.

Kita mahukan UMNO yang lebih progresif dan mungkin “compulsory resignation” perlu ada supaya memastikan jawatan yang dipegang tidak dipegang terlampau lama atau dapat di pertahankan. Perubahan kepimpinan dari yang terlampau lama kepada yang baru akan menghasilkan perubahan idea dan tindakan proaktif.

Kemungkinan apa yang kita katakan sebagai “compulsory resignation” perlu ada bagi memberi peluang mereka yang berpotensi naik untuk memacu UMNO ke arah kerancakan dalam mengemudi Melayu ke arah kemajuan.

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PENAPIS AIR CUKCOO

CUCKOO - PENAPIS AIR MINERAL BERALKALI RINGAN

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.