Titik penyatuan semula Melayu

TAKKAN Melayu hilang di dunia. Adakah ia sekadar kata-kata yang diperturunkan oleh penglipur-penglipur lara di zaman silam atau adakah ia suatu amaran keras dari seorang panglima Melayu yang terbilang di zaman silam kepada kita hari ini?

Yang kita nampak hari ini, terdapat orang-orang yang mengacah akan kesahihan kata-kata tersebut.

Sebenarnya jika kita merenung sejenak, bersikap berkecuali dan logik sebentar, walau seminit sahaja pun, semua orang Melayu (tidak kira perbezaan ideologi politik) pasti mengangguk setuju yang sejarah telah membuktikan bahawa UMNO telah berjasa dan berjaya bertindak sebagai tiang penyokong kepada bangsa Melayu.

Tanya sesiapa sahaja, sama ada beliau ketua kerajaan berbangsa Melayu, ketua pembangkang Melayu atau sesiapa sahaja, jika diberi peluang di antara zaman peralihan Malayan Union yang serba kekurangan dulu dengan zaman moden serba mewah sekarang ini, sudah tentu semua bangsa Melayu akan memilih zaman peralihan Malayan Union dahulu.

Bagi saya Malayan Union adalah titik tolak yang telah berjaya mendaulatkan setiap jiwa bergelar Melayu di bumi Malaysia ini, yang berjaya meletakkan perasaan survival Melayu di dalam setiap hati dan jiwa raga mereka bersama pegangan agama Islam, bersatu hati melawan anasir-anasir yang boleh meruntuhkan bangsa sendiri.

Apa yang orang Melayu dapat?

Orang Melayu telah berjaya menghadiahkan diri sendiri dengan negara yang berdaulat, merdeka dan menjadi pemerintah di bumi sendiri.

Semua ini bertitik tolak daripada satu kesimpulan yang begitu asas, bermula dari ikatan kemelayuan yang tidak pernah lerai. Semakin kuat rintangan yang dihadapi, semakin kuat pula ikatan persaudaraan orang-orang Melayu.

Pada masa itu orang Melayu begitu sensitif, jika hak dan saudara-saudara Melayu sendiri diperkecilkan atau dipermainkan, bangsa Melayu akan bersuara lantang bersatu mempertahankan diri mereka dan raja-raja Melayu ketika itu. Hingga Melayu sanggup menggadaikan nyawa demi menjaga kedaulatan bangsa sendiri.

Melayu dahulu berjaya, bukan dengan senjata-senjata pemusnah, tetapi kerana sikap kemelayuan dengan erti kata yang sebenarnya, ketajaman lidah dan kebijaksanaan orang Melayu itu sendiri.

Bangsa Melayu ketika itu sangat berkuasa kerana mereka tahu segala perkara yang timbul untuk kepentingan mereka akan mendapat sokongan padu daripada setiap orang Melayu.

Melayu bijaksana, cerdik dan semua yang sinonim dengan istilah itu. Tahun 2000 pula telah menghadirkan pelbagai orang-orang Melayu sama ada ideologis-ideologis, pemimpin-pemimpin negeri pantai barat mahupun pantai timur, ahli-ahli profesional, korporat, jutawan, petani- petani moden dan sebagainya.

Dengan adanya orang-orang Melayu yang berjaya mempunyai komputer, jawatan-jawatan tinggi dan berpelajaran tinggi, adakah orang-orang Melayu sekarang boleh melabelkan bahawa mereka di zaman ini lebih berkuasa, bijaksana, cendekia berbanding dengan zaman yang lampau?

Bagi saya kemewahan dan tinggi rendah pelajaran bukan satu-satunya pengukur sesuatu kaum tersebut. Ia terletak kepada kesatuan kaum itu sendiri dan segala kesenangan yang disebutkan tadi hanya merupakan turutan sukses hasil daripada permuafakatan tersebut. Malangnya ia telah hilang dari genggaman orang Melayu kita sendiri.

Di manakah terletaknya kelemahan orang Melayu sekarang?

Pilihan-pilihan raya yang telah lepas jelas menunjukkan kelemahan sendiri. Tidakkah anda merasa malu bila seorang Melayu menindas dan memperkecilkan seorang Melayu yang lain? Sedangkan mereka adalah bersaudara dan seagama. Yang untungnya ialah orang-orang nakal yang ketawa besar dan bertepuk tangan melihat sandiwara membuka pekung di dada.

Pertelagahan mengenai agama menunjukkan kelemahan kita juga. Ada mendakwa fahaman betul dengan ajaran Islam tetapi percakapan dan tindakan tidak selalu berlandaskan Islam. Ada yang berselindung di sebalik ajaran Islam untuk mendapat kuasa. Pelbagai fatwa yang boleh diubahsuai, kadang kala begitu mengelirukan dan menyeramkan, seolah-olah mereka tidak takut akan dosa yang akan ditanggung, semata-mata untuk membenarkan dan menegakkan pendirian mereka yang nampaknya telah terpesong.

Yang paling memalukan ialah apabila sesama Melayu bertikam lidah mengenai agama Islam, ada suara-suara sumbang yang tidak pernah langsung mengucapkan dua kalimah syahadah, turut memberikan fatwa masing-masing, malah dipersetujui oleh orang Islam sendiri.

Apabila ada pihak-pihak yang telah sedar dan cuba menyatukan kembali orang-orang Melayu, terus pula tindakan mereka dilabelkan berbau politik tanpa memikirkan kebaikannya jika lebih bersikap terbuka.

Sikap menutup hati untuk menerima sesuatu yang baik untuk memperkukuhkan martabat bangsa Melayu inilah yang menyebabkan orang Melayu terus lemah dan berpecah belah. Yang hairannya ialah jika kita boleh berkompromi dengan bangsa-bangsa lain, kenapa tidak sesama Melayu?

Malah kita sanggup bertikam-lidah atau maki-hamun semata-mata kerana ideologi berbeza yang sebenarnya tidak perlu wujud. Yang rugi ialah orang-orang Melayu yang hidup di bumi tercinta ini kerana tidak mempunyai suara dan kekuatan yang satu dan padu. Jika di zaman dahulu, kesatuan Melayu dapat menumbangkan sebuah kuasa pemerintah yang terkuat, cuba bayangkan jika Melayu bersatu hari ini pengaruh kita di bumi sendiri amat kuat, segala kekuatan tersebut kita salurkan untuk meningkatkan ilmu, ekonomi dan agama Islam sehingga tiada bangsa yang boleh memperkecilkan orang-orang Melayu dan campur-tangan di dalam agama Islam.

Dengan itu, semua orang Melayu dapat berganding bahu bersama kaum-kaum lain di Malaysia ini untuk sama-sama merealisasikan matlamat memajukan negara ini.

Justeru, Persidangan Agung UMNO Mei ini mungkin boleh dijadikan titik penyatuan kembali semua orang Melayu. Caranya ialah dengan melupakan segala perbezaan ideologi, duduk bersama dengan selesa dan bersikap terbuka dengan hanya satu objektif di minda iaitu penyatuan Melayu. Kita bermuzakarah dan memerah otak bersama untuk memajukan orang Melayu dan agama Islam.

Bukannya dengan membazirkan masa dan perasaan yang berkobar-kobar untuk menjatuhkan sesama sendiri! Yang paling penting ialah untuk meniupkan kembali semangat kesatuan Melayu dan mewujudkan hanya satu suara dan kekuatan untuk mewakili semua orang Melayu. Seterusnya melupakan segala sengketa yang sebenarnya tidak pernah menguntungkan orang Melayu sendiri bukannya mustahil tetapi boleh dan mesti diusahakan bersama.

Ia dapat dilaksanakan kerana dunia tahu pada suatu ketika dulu ada satu bangsa di Asia Tenggara telah menggegarkan kuasa penjajah sehingga mereka terpaksa berundur akibat tekanan daripada bangsa itu iaitu bangsa Melayu.

Kita mesti sedar bahawa kita sekarang mempunyai seorang Perdana Menteri yang memenuhi kriteria seorang pemimpin yang berkaliber, berwawasan dan bijak, tidak dapat disangkal lagi.

Kadang kala jelas di riak wajah beliau perasaan kesal dan kecewa kerana didepani dengan perkara-perkara yang remeh-temeh tetapi terpaksa juga ditanganinya demi merealisasi dan memperjuangkan matlamat beliau untuk memajukan bangsa Malaysia dan juga bangsa-bangsa lain yang tertindas di dunia ini. Janganlah kita sia-siakan kepintaran, kebolehan dan keberanian beliau. Biarlah beliau mentadbir dengan hati yang senang dan terbuka kerana saya pasti kesenangan yang telah dan bakal dikecapi adalah untuk kita semua juga. Percayalah.

DR. NOVANDRI HASAN BASRI, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PENAPIS AIR CUKCOO

CUCKOO - PENAPIS AIR MINERAL BERALKALI RINGAN

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.