Bila kilang babi lebih mulia dari Islam Hadhari

ImageKENYATAAN terbaru Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamad Ali dalam Sidang pertama Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) bahawa Kerajaan Negeri Selangor mengharamkan sebarang bentuk program yang ada kaitan dengan Islam Hadhari mengundang pelbagai reaksi dari rakyat marhaen.

Reaksi terbanyak tentunya tentang kesan dari larangan tersebut. Larangan mengadakan sebarang program ‘berbau’ Islam Hadhari samalah kesannya dengan mengharamkan Islam Hadhari itu sendiri walaupun tidak secara langsung. Pemahamannya tetap sama walaupun pemberitahuannya dalam bentuk yang berbeza.

Kenyataan berbau politik dan diselubungi prasangka tersebut amat mengejutkan walaupun mungkin sudah boleh dijangka. Pandangan beliau yang mewakili pandangan Kerajaan negeri adalah sesuatu yang sungguh memalukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Bayangkan bagaimana keadaannya apabila Islam yang telah diterima oleh pihak British sebelum ini sebagai agama rasmi tetapi hanya sebahagian sahaja program berbentuk keislaman yang boleh dilaksanakan sekarang dalam sebuah negeri yang bernaung di bawah payung Persekutuan. Bayangkan bagaimana pandangan rakyat marhaen yang bukan Islam tentang pertelingkahan umat Islam mengenai ‘Islam’ atau tidak sesuatu program berbentuk Islam.

Bayangkan bagaimana semakin kelirunya rakyat marhaen bukan Islam tentang mana satu Islam yang betul dan yang tidak betul. Apakah Islam Hadhari yang dipelopori oleh kepimpinan Pak Lah pernah difatwakan haram sebelum ini oleh Majlis fatwa sehingga ianya boleh diwartakan haram di Selangor? Apakah Selangor ingin mendahului negeri-negeri lain yang sealiran pemikiran politik dengannya untuk mengharamkan Islam Hadhari? B

agaimana pandangan Mufti Negeri Selangor dan Jawatankuasa Fatwa negeri? Adakah pernah Hassan Ali, seorang yang hanya tahu berceramah motivasi dan bukan dari kalangan berpendidikan agama mendahului pandangan Mufti mengharamkan Islam Hadhari tanpa dirujuk terlebih dahulu kepada pihak berkenaan? Pandangan dan kritikan rakyat marhaen terhadap keputusan tersebut mungkin sudah tidak berguna lagi.

Keputusan telah diambil dan diwartakan dalam sebuah persidangan Dewan Negeri. Namun, beberapa perkara lain yang mungkin lebih penting patut difikirkan oleh Hassan Ali daripada hanya memikirkan tentang pemikiran politik sempit yang sentiasa berada dalam ketakutan dirampas semula kerajaan negeri yang rapuh tersebut. Rakyat marhaen mencadangkan kepada Hassan Ali untuk mengharamkan kilang arak di Negeri Selangor secepat mungkin.

Mungkin pakar motivasi tersebut tidak sedar bahawa kesan arak membawa kemudaratan yang lebih besar dari Islam Hadhari yang disalahtafsirkan. Mungkin beliau tidak sedar bahawa masih banyak rakyat Negeri Selangor beragama Islam yang secara terbuka meminum arak. Arak dari kilang tempatan mungkin lebih murah dibeli dan lebih memudahkan rakyat mendapatnya. Mungkin pakar motivasi tersebut tidak sedar bahawa masih banyak rumah-rumah urut yang menawarkan pelbagai pakej keseronokan beroperasi di negeri tersebut. Dan mungkin juga beliau tidak sedar ada ‘full package’ masih ditawarkan dalam operasi rumah-rumah urut tersebut yang mengundang gejala zina dan masalah sosial lain.

Mungkin juga ramai anak-anak gadis Selangor yang ‘menawarkan perkhidmatan’ dalam bidang tersebut. Adakah mungkin pakar motivasi tersebut tidak sedar bahawa Arak dan Zina itu adalah lebih berdosa besar dari menyampaikan ceramah Islam Hadhari yang tak pasti lagi haram halalnya. Mungkin beliau memang keliru antara Islam Hadhari yang hanyalah satu pendekatan dengan pemahaman bahawa ianya satu penjelmaan agama baru. Rakyat marhaen hanya ingin bertanya pakar motivasi yang terkenal dengan pelbagai cara menyelesaikan masalah tersebut tentang bagaimana cara yang lebih baik menyelesaikan isu Islam Hadhari ini.

Menyelesaikan masalah mengikut ilmu pengurusan adalah dengan cara memahami punca masalah tersebut. Apakah punca sebenar timbul isu Islam Hadhari ini? Puncanya adalah kerana ianya disalahtafsirkan sebagai satu ajaran agama baru. Oleh itu, apakah mengharamkan terus Islam Hadhari ini lebih afdal dari menerangkan kepada rakyat tentang kesalah fahaman bahawa ianya bukan satu agama baru? Mungkin pakar motivasi tersebut tidak begitu memahami ilmu pengurusan dalam perniagaan kerana kebanyakan projek motivasi yang didapatinya adalah kerana kemurahan hati kerajaan BN yang membantu mempopularkan beliau.

Kalau tidak, mungkin beliau hanyalah konsultan motivasi di peringkat sekolah yang memberi ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM, kalau tidak pun PMR!! Persoalan besar yang perlu juga ditanya ialah apakah isu Islam Hadhari ini membawa perpecahan besar dalam negara sehingga ada yang menganut Islam dan ada yang ‘menganut Islam Hadhari’?

Belum pernah ada mereka yang dituduh ‘menganut agama Islam Hadhari’ menceraikan isteri kerana berlainan ‘agama’ sebagaimana yang dilakukan oleh ‘penganut PAS Islam’ kepada ‘orang UMNO taghut’ beberapa tahun dulu. Malah belum pernah ada lagi mereka yang dituduh ‘penganut Islam Hadhari’ bersembahyang 2 imam kerana merasakan ‘Islam’ mereka lebih baik dari Islam orang lain. Bagi rakyat marhaen, Kerajaan Negeri Selangor perlu lebih fokus dalam pentadbirannya. Selangor dari segi geografinya mencerminkan kestabilan negara secara sepintas lalu. Kalau perkara-perkara dasar tidak disokong oleh kerajaan negeri ini, bagaimana para pelabur boleh yakin bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang stabil untuk melabur?

Mungkin Kerajaan Negeri Selangor perlu lebih fokus pada keadaan semasa umat Islam di negeri tersebut dari menunjukkan keprihatinan terhadap kemegahan memiliki kilang babi terbesar dalam negara. Mungkin juga Kerajaan Negeri Selangor perlu lebih memahami bahawa menghalang program Islam Hadhari dari dilaksanakan dalam negeri tersebut memberi imej di peringkat dunia bahawa umat Islam di Malaysia telah berpecah. Adakah mungkin masyarakat Islam semakin berpecah belah kesan dari pengharaman tersebut?

Nawawi Mahmood

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

%d bloggers like this: