Guan Eng ketua pembangkang di Parlimen


Zulkifli Bakar / Utusan Malaysia

PERGOLAKAN di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyaksikan seorang demi seorang ahli Parlimennya meninggalkan parti itu memungkinkan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang tergugat.

Jika sebelum ini, Penasihat PKR itu begitu bangga kerana kembali semula ke Parlimen sebagai ketua pembangkang tetapi beliau juga perlu memahami realiti bahawa kedudukannya kini semakin goyah.

Langkah Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim meninggalkan parti itu diikuti oleh Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Teng pada Isnin lalu menyebabkan cengkaman PKR di Parlimen semakin rapuh.

Berikutan keputusan dua pemimpin tersebut ia mengakibatkan kerusi PKR di Dewan Rakyat kini berkurangan daripada 31 kerusi kepada 29 kerusi, hanya lebih satu kerusi sahaja daripada DAP yang memiliki 28 kerusi.

Pas pula tidak boleh bermimpi untuk menduduki kerusi ketua pembangkang kerana hanya menguasai 24 kerusi. Oleh itu jika pergolakan di dalam PKR berterusan ia akan menyebabkan Anwar perlu melepaskan keistimewaan sebagai Ketua Pembangkang.

Jika itu berlaku mahu tidak mahu sama ada Pas reda atau tidak, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng akan mengikut jejak bapanya, Lim Kit Siang yang pernah menjadi ketua pembangkang.

Untuk rekod, Kit Siang menduduki jawatan itu pada tahun 1990, 1995 dan 2004 manakala Pas melalui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menikmati kedudukan tersebut pada tahun 2004.

Ia bermakna jika PKR kehilangan lagi kerusi dalam Parlimen, DAP akan menjadi parti pembangkang paling berkuasa di Parlimen dan Guan Eng yang dilihat tidak begitu disenangi oleh beberapa ahli Parlimen PKR ‘ditabalkan’ sebagai ketua pembangkang.

Bagaimanapun senario yang berlaku kini ialah DAP dan Pas akan membiarkan Anwar terus menjadi Ketua Pembangkang, biarpun PKR mempunyai kerusi Parlimen yang kurang.

Ia kerana DAP dan Pas sudah tentulah tidak mahu melihat tindakan ‘menyingkirkan’ Anwar akan menggugat kedudukan pembangkang. Anwar walaupun sedang berhadapan perbicaraan kes liwat bekas pembantu peribadinya di mahkamah tetap dilihat oleh kedua-dua parti itu sebagai ‘aset’ bagi mendapatkan sokongan rakyat.

Kepimpinan DAP dan Pas tidak mempunyai keyakinan bahawa ada di antara mereka mampu menerajui pakatan pembangkang.

Walaupun sebelum ini ada ura-ura untuk melantik Abdul Hadi sebagai ketua pembangkang tetapi ia hanyalah sekadar khabar angin bagi ‘menyedapkan hati’ penyokong Pas yang semakin merasai bahawa parti itu hanya menjadi ‘pak turut’ dalam pakatan pembangkang.

Selain itu, faktor yang akan turut diambil kira oleh pemimpin pembangkang ialah sejauh manakah pelantikan Guan Eng jika terpaksa juga dilakukan akan diterima oleh keseluruhan ahli Parlimen pakatan berkenaan.

Ini kerana sebarang usaha meletakkan Guan Eng pada kedudukan itu samalah seperti memberikan pengiktirafan kepada DAP untuk menjadi tonggak utama pembangkang termasuklah dalam menentukan pembahagian kerusi untuk pilihan raya umum akan datang.

Atas sebab itulah Pas secara tergesa-gesa mengeluarkan kenyataan menyokong Anwar sebagai Ketua Pembangkang kerana tidak mahu DAP menduduki jawatan berkenaan.

Oleh itu Anwar mungkin akan dibiarkan terus menjadi Ketua Pembangkang tetapi dengan jumlah kerusi DAP yang lebih banyak daripada PKR, maka tidak mustahil beliau hanyalah menjadi ‘lambang’ sahaja manakala kuasa penentu berada di tangan DAP, manakala Pas pula tidak berupaya berkata apa-apa.

—————————————————————————————————————————————————

SATU LAGI…MP PKR Bagan Serai cabut

Oleh: ROSLAN BIN

Belum sejuk kisah Ahli Parlimen PKR Nibong Tebal, Tan Tee Beng kelmarin keluar dari parti menyertai rakan sejawatnya dari Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohamed Hashim….hari ini Ahli Parlimen Bagan Serai, Perak,Mohsin Fadzli Samsuri ikut jejak mereka.

Beliau juga umum serta merta jadi Ahli Parlimen Bebas.Beliau membuat pengumuman itu dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur pagi ini.

Katanya beliau kecewa pakatan pembangkang mengkritik institusi raja dan kehakiman dan tidak puas hati sikap PKR menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Katanya beliau tidak boleh berkompromi lagi dengan tindak tanduk ini.  Hadir sama di sidang akhbar itu ialah bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Salehuddin Hashim.

Kelmarin beliau dakwa lebih 10 orang Ahli Parlimen PKR akan keluar parti dalam masa terdekat.  Hari ini beliau tetap mempertahankan dakwaannya itu.

Mengenai pandangan mengatakan tindakan seumpama ini satu pengkhianatan kepada pengundi,beliau bertanya bagaimana dengan pelan 16 September PKR untuk menarik 30 Ahli Parlimen BN melompat.

“Bukankah itu boleh dianggap satu pengkhianatan?”ujarnya -3/3/2010

PENAPIS AIR CUKCOO

CUCKOO - PENAPIS AIR MINERAL BERALKALI RINGAN

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.