MASYARAKAT IMIGRAN DI MALAYSIA

Masyarakat majmuk yang ada di Malaysia pada hari ini bukanlah suatu bentuk masyarakat yang sememangnya telah wujud secara asalnya di sini.Sebaliknya,masyarakat yang ada pada hari ini adalah masyarakat yang telah dicampuri pelbagai asal-usul,budaya dan sejarahnya yang berbeza-beza.
Seperti yang sedia kita maklumi,penduduk asal Tanah Melayu adalah orang Melayu dan beberapa kaum minoriti yang lebih mudah kita kenali sebagai kaum orang asli dibeberapa bahagian pendalaman di Tanah Melayu.Di Sabah dan Sarawak pula,penduduk asalnya ialah terdiri daripada kaum Kadazan,Dusun,Murut,Iban,Bajau,Melanau dan pelbagai suku minoriti yang lain.

Kaum-kaum lain yang ada di Malaysia pada hari pula seperti kaum Cina,India,Serani,Siam,Bugis,Jawa dan sebagainya ialah golongan imigran yang datang dan menetap di Tanah Melayu sama ada secara tetap ataupun hanya sekadar singgah untuk memenuhi keperluan mereka.Secara mudahnya,mereka bukanlah penduduk asal di Tanah Melayu.
Kenapa mereka berhijrah ke Tanah Melayu?Atas alasan apa?Bagaimana?Bila?Bagaimana mereka hidup di Tanah Melayu?

Perkara inilah yang akan kita kupas sekadar yang boleh didalam ruangan yang terbatas ini,Kita akan mengenalpasti cara-cara kemasukan golongan ini sekaligus mengikuti perkembangan mereka apabila menetap di Tanah Melayu dalam ruang waktu antara abad ke-15 hinggalah abad ke 19 Masehi.

Para ahli akademik,sama ada seorang sejarawan,sosiologis dan sebagainya seakan sependapat bahawa proses migrasi jelas terlihat pada abad ke-19 apabila British berusaha membawa masuk golongan imigran untuk berkerja di dalam beberapa sektor yang tidak mendapat sambutan penduduk tempatan.Bahkan bukan sedikit yang berpendapat,masyarakat majmuk di Malaysia pada hari ini ialah kerana kontruksi pihak British.

Namun,perlu kita akui migrasi yang pertama sekali sebenar-benarnya berlaku di Tanah Melayu amat sukar untuk ditentukan.Apa yang pasti ianya bukanlah hanya berlaku apabila era penjajahan itu bermula,tetapi sudah berlaku jauh ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka lagi(abad ke-15).Bahkan ada yang mengatakan bahawa orang Arab(imigran) itu sudah mula memasuki Kedah(Tanah Melayu)seawal abad ke-9 lagi dan kemasukan Cina pada abad ke 7.Walau bagaimanapun,pendapat itu tidak popular kerana tidak mempunyai bukti yang cukup kukuh.
Secara mudahnya,kita akan mengguna pakai pendapat ramai sarjana sejarah yang menyatakan,asas proses migrasi yang boleh dipertanggunjawabkan ialah bermula pada pada abad ke-15 iaitu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan ianya hanya jelas kelihatan pada era pendudukan British di Tanah Melayu.Jadi,dua pembahagian yang utama dalam kajian ini ialah kajian pekembangan masyarakat imigran pada era sebelum pendudukan British dan era selepas pendudukanya.
Sebagai awalan,kita perlu tahu garis pemisah zaman ‘bebas’ dan zaman dijajah di Tanah Melayu ialah apabila jatuhnya kerajaan Melaka ditangan Portugis pada 1511.Bermula daripada penjajahan Portugis inilah Tanah Melayu telah mula dijajah.Namun dari segi penstrukturan masyarakat,perubahan yang jelas,hanya terlihat bermula ketika bermulanya pendudukan British di Pulau Pinang pada tahun 1800.Bermula dari situlah berlaku perbagai proses tranformasi dalam masyarakat Tanah Melayu.Pada zaman sebelum pendudukan British,antara kaum yang dikenalpasti memasuki dan menetap di Tanah Melayu ialah khususnya di Melaka ialah:-
1-India
2-Cina
3-Arab
4-WargaIndonesia
Kita akan mengkaji cara kemasukan,sebab mereka bermigrasi dan kesan-kesan yang sedikit sebanyak telah mempengaruhi sosio-budaya di Tanah Melayu ketika itu.
Kemasukan India ke Tanah Melayu sudah berlaku sejak sekian lama.Candi di Lembah Bujang antara bukti kukuh kemasukan India yang menyebabkan tersebarnya pengaruh Hindu di Tanah Melayu.Begitu juga tentang teori kedatangan Islam yang turut didakwa sesetengah sarjana berasal dari India.Namun sejarah titik mula pertapakan masyarakat India di Tanah Melayu tidak akan dibincangkan disini kerana ianya telah mendahului abad ke 15 hingga abad ke 18 yang menjadi fokus tulisan ini. Apabila Melaka muncul sebagai pusat perdagangan serantau menjelang abad ke 15,masyarakat India yang terdiri daripada golongan pedagang,sami Buddha dan Hindu,tukang dan sebagainya tidak terlepas pandang untuk memasuki Tanah Melayu dengan pelbagai kepentingan. Antara faktor penolak yang membawa kepada penghijrahan mereka ialah hasrat pemuka-pemuka agama mereka untuk meluaskan ajaran Buddha dan Hindu ke seluruh dunia.Mencari pasaran baru untuk berniaga juga merupakan faktor utama penghijrahan masyarakat India ke Tanah Melayu sebelum pendudukan British di Tanah Melayu.Melaka yang pada ketika itu sangat terkenal telah menarik minat pedagang India untuk turut serta berniaga disitu.
Melaka yang menyediakan pelbagai kemudahan dan jaminan untuk pedagang juga telah memberi keyakinan kepada pedagan India.Mereka membawa barangan seperti ubat ubatan dan candu untuk diniagakan di Melaka serta membawa pulang barangan seperti ubat akar kayu dan bijih timah dari Melaka. Kemasukan India ke Tanah Melayu yang mempunyai sejarah yang panjang ini sudah tentu menghasilkan pengaruh dan kesan tertentu kepada masyarakat peribumi Tanah Melayu antaranya dari aspek agama,ekonomi,dan kebudayaan.

Dari aspek agama,kita dapat melihat tinggalan-tinggalan lampau warisan Hindu dan Buddha di Tanah Melayu seperti runtuhan Candi di Lembah Bujang seperti yang kita sebutkan tadi yang melambangkan anutan masyarakat tempatan ialah Hindu dan Buddha selepas anutan tradisi seperti Animisme dan sebagainya. Dalam ekonomi pula,kesan penghijrahan komuniti India yang paling utama dirasai di Tanah Melayu sebelum pendudukan British ialah industri perdagangan Melaka semakin berkembang.Ini kerana,Pedagang India merupakan antara pedagang luar yang pertama sampai ke Tanah Melayu.Oleh itu kita tidak dapat nafikan,perkembangan perlabuhan-perlabuhan di Tanah Melayu sedikit sebanyak ialah kerana usaha masyarakat India yand bermigrasi ke Tanah Melayu.

Melihat kesan dari segi kebudayaan pula,perlu diakui bahawa kebanyakan adat yang diamalkan oleh majoriti peribumi Tanah Melayu adalah berorientasikan kebudayaan Hindu.Sebagai contoh,adat bersanding ketika majlis perkahwinan,adat melenggang perut ketika seseorang ibu hendak bersalin dan adat memakan manisan pada hari raya.Adat-adat ini ternyata masih diamalkan walaupun selepas proses Islamisasi berlaku di Tanah Melayu.Begitu juga dengan cerita-cerita hikayat dari epik Rayamana dan Mahabrata yang cukup berpengaruh dalam masyarakat Tanah Melayu ketika itu sehingga beberapa karya lokal seperti Hikayat Merong Mahawangsa turut terlihatkan pengaruh Hindu dalam penulisanya.
Kemasukan masyarakat Cina ke Tanah Melayu mengikut pendapat para sejarawan dikatakan bermula sebelum zaman kegemilangan Melaka lagi.Namun kemasukan yang agak jelas,bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka manakala kemasukan besar-besaran dan bersistematik komuniti ini hanya berlaku selepas pendudukan British di Pulau Pinang dan Singapura pada abad ke 18.Namun,dalam bahagian ini,kita hanya akan menfokuskan perihal kemasukan dan perkembangan komuniti Cina di Tanah Melayu pada lingkungan abad ke 15 sahaja.
Seperti kemasukan orang India,dan juga kebanyakan komuniti lain ke Tanah Melayu pada zaman Melaka,Kaum Cina juga datang ke Tanah Melayu untuk berdagang.Kedudukan Melaka yang sememangnya strategik dan terletak antara laluan China dan India membolehkan setiap pedagang Cina untuk datang atau singgah ke pelabuhan Melaka ketika itu,dan jika kita hendak menceritakan kenapa Melaka begitu menarik perhatian kaum imigran secara terlalu,sudah tentu ianya akan mengalih fokus utama tulisan ini.
Mereka datang ke Tanah Melayu untuk mendapatkan bekalan buah-buahan,bijih timah,gincu,lada hitam,candu dan ubat akar kayu.Mereka juga memperniagakan barangan mereka seperti kain sutera,kain benang emas,tembikar,pinggan mangkuk dan sebagainya.Hubungan perniagaan yang luas dan ‘mewah’ ini membuatkan kehadiran kaum Cina ke Tanah Melayu ketika itu sangat konsisten dan berterusan.
Kemasukan golongan Cina juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada pelbagai aspek terhadap sosio-budaya masyarakat di Tanah Melayu.Antara yang utama ialah dari aspek politik,sosial,ekonomi dan kesenian di Tanah Melayu.

Dari aspek politik,kemasukan masyarakat Cina pada zaman Melaka telah membawa kepada hubungan baik antara Melaka dan juga kerajaan China.Perkahwinan antara Sultan Melaka iaitu Sultan Mansur Shah dengan salah seorang Puteri Maharaja China iaitu Puteri Hang Li Poh telah merapatkan lagi hubungan politik antara Melaka dan China.Bahkan,seawal tahun 1404 lagi hubungan baik ini telah berlaku melalui lawatan Laksamana Yin Ching dan diikuti oleh Laksamana Cheng Ho pada 1409 ke Melaka sebagai utusan Maharaja China.Parameswara dan bakal penggantinya pula telah mengadakan kunjungan hormat mengadap Maharaja China di Nangking pada 1411.Kesan daripada hubungan baik ini juga,Melaka telah diiktiraf oleh Maharaja China dan pihak China sudi menaungi keselamatan Melaka khususnya dari ancaman Siam ketika itu.

Kesan kemasukan masyarakat Cina kepada Tanah Melayu dari aspek sosial pula ialah berlaku perkahwinan antara masyarakat Cina dengan masyarakat tempatan khususnya dalam kalangan pelayan Cina yang mengiringi keberangkatan Puteri Hang Li Poh ke Melaka kerana mengikuti Sultan Mansur Shah.Melalui perkahwinan dan pembaharuan sosial inilah,wujud suatu golongan yang digelar baba cina yang memang mengamalkan budaya Melayu dalam kehidupan mereka.Pembaharuan sosial inilah yang dikaitkan dengan proses amalgamasi di Malaysia oleh para sarjana antropologi dan sosiologi.

Dalam aspek ekonomi pula,hubungan antara pedagang China dan Tanah Melayu dikatakan telah bermula semenjak abad ke 7 lagi.Justeru hal ini pasti dapat menunjukkan kesan utama dalam bidang ekonomi di Tanah Melayu.China sebagai kuasa besar ketika itu telah membantu mempopularkan pelabuhan Melaka kepada dunia pada abad ke 15 kerana hubungan ekonomi yang telah lama terjalin antara China dan Kepulauan Melayu.Seperti yang kita bahaskan dalam esei ini tadi,China datang dengan membawa banyak benda-benda yang dianggap asing dan baru di Tanah Melayu seperti sutera,tembikar,teh dan sebagainya.Ini membolehkan masyarakat Tanah Melayu memperluaskan perniagaan mereka dengan turut memasarkan kepada pembeli lain barangan yang mereka perolehi dari pedagang dari China ini.

Dari aspek kesenian juga,pengaruh masyarakat Cina bukanlah kecil.Jika dilihat di Melaka sahaja,Beberapa buah masjid tua di Melaka nyata mempunyai pengaruh senibina masyarakat Cina yang jelas.Sebagai contoh,menara masjid Tengkera di Melaka mencerminkan senibina Pagoda di China.Begitu juga dengan seni tempa yang dikatakan diinspirasikan dari kebudayaan Cina.Pengaruh lain ialah dalam pembuatan tembikar dan juga seni kaligrafi Cina yang sudah dipergunakan secara meluas semenjak dahulu lagi.

Kemasukan orang Arab ke Tanah Melayu dikatakan sejajar dengan kemasukan Islam ke Tanah Melayu iaitu pada abad ke 13.Seperti yang diketahui,proses perkaitan antara bangsa Arab dengan teori kedatangan Islam ke Tanah Melayu adalah amat dominan.Kemasukan Arab ke Tanah Melayu ini dikatakan telah bermula di Terengganu brikutan penemuan batu bersurat di negeri tersebut.Namun kebanyakan sarjana berpendapat pengislaman besar-besaran hanya jelas kelihatan pada zaman Melaka pada abad ke 15.Maka,berdasarkan teori kemasukan Islam ini juga dapatlah kita pertanggungjawabkan keatas kemasukan masyarakat Arab ke Tanah Melayu pada abad ke 15.

Arab pada asasnya datang ke Tanah Melayu untuk tujuan berdagang berikutan pelabuhan Melaka ketika itu merupakan perlabuhan entrepot tersohor di rantau ini.Disini berlaku pelbagai urus niaga yang merangkumi ruang lingkup antara Timur dan Barat.Faktor penarik ini juga turut menarik kemasukan masyarakat Arab ke Tanah Melayu yang kita bincangkan tadi.Disamping memasarkan barangan dagangan mereka,mereka turut membeli barangan di Tanah Melayu seperti rempah ratus,bijih timah,bunga cengkih dan sebagainya.Mereka juga dapat membeli barangan dari lain-lain negara yang turut berdagang di Tanah Melayu.

Masyarakat Arab juga turut memasuki Tanah Melayu atas tanggungjawab untuk meneruskan kesinambungan dakwah Islam yang ditinggalkan oleh Nabi S.A.W.Bahkan ada dikalangan warga Arab yang digelar guru professional,bermigrasi ke Tanah Melayu semata-mata untuk berdakwah tanpa mempunyai kepentingan lain selain dari itu.

Seperti yang kita bahaskan di awal tadi,kemasukan Orang Arab ke Tanah Melayu adalah sejajar dengan kemasukan Islam di Tanah Melayu.Justeru,Proses Islamisasi Tanah Melayu khususnya Melaka pada ketika itu adalah antara kesan yang paling jelas sekali.
Raja Melaka yang pertama iaitu Parameswara telah menerima dan memeluk Islam pada tahun 1409 M dan memakai gelaran Sultan Iskandar Zulkarnain.Ini menyebabkan proses Islamisasi penduduk Melaka samada peribumi ataupun masyarakan imigran yang lain menjadi begitu berkesan.Apabila Melaka mengambil Pahang daripada Siam pada tahun 1456,Maka proses Islamisasi ini semakin meluas dan dan Islam menjadi agama rasmi negeri Pahang.Ini juga merupakan kesan kemasukan masyarakat Arab ke Tanah Melayu.
Dari aspek politik dan perundangan,kesan yang jelas ialah penggunaan gelaran Sultan oleh kebanyakan Raja di Tanah Melayu ketika itu.Penggunaan hukum Islam sebagai asas penggubalan undang-undang di negeri-negeri Tanah Melayu seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka juga menunjukan betapa kuatnya pengaruh Islam ketika itu.Jawatan mufti juga sudah mula diwujudkan dalam pentadbiran bagi menasihati Sultan mengenai hal ehwal agama.Mufti juga berperanan sebagai guru agama di Istana.Diperingkat awal Islamisasi,golongan mufti ini kebanyakan adalah pendatang Arab,sebagai contoh,Syed Abdul Rahman al-Saggaf di Pahang.

Dari segi sosial,penggunaan nama berunsur Islam dan Arab dalam kalangan pemerintah dan rakyat juga merupakan kesan pendudukan Arab di Tanah Melayu.Penggunaan nama berunsur Islam dan Arab seperti Muhammad,Abdul dan Abdullah begitu mendapat sambutan bagi mencerminkan jiwa Islam dalam kalangan masyarakat di Tanah Melayu ketika itu.Masyarakat juga tidak lagi mengamalkan sistem kasta yang membezakan darjat seseorang individu itu dengan individu yang lain seperti yang diwarisi dari tradisi Hindu dahulu.
Begitu juga dalam bidang ekonomi,kesan utama yang dapat dilihat ialah berkenaan dengan amalan riba dalam perniagaan sudah tidak diterima pakai lagi.Penggunaan sistem ekonomi yang lebih adil telah digunakan.Melalui warga Arab yang ada ketika itu jugalah,fasal-fasal atau bahagian-bahagian dalam ekonomi Islam mula digunapakai.Contohnya melalui institusi kebajikan untuk orang Islam seperti Baitulmal dan juga amalan wajib mengeluarkan zakat daripada harta yang diperolehi seseorang.

Dari aspek pendidikan,kesan utama yang dapat dilihat ialah pendidikan Islam mula diajar oleh pedagang-pedagang Arab kepada warga tempatan bagi mengantikan pendidikan yang beorientasikan Hindu dan Buddha.Pada mulanya Islam diajar di Istana Sultan,tetapi apabila sambutan dari masyarakat tempatan makin memberangsangkan,penubuhan institusi pendidikan Islam seperti Pondok dan Madrasah-madrasah tumbuh bagai cendawan selepas hujan.Kebanyakan institusi sebegini wujud di Kedah,Kelantan dan Terengganu.Penguasaan bahasa Arab dan tulisan jawi dalam kalangan warga tempatan juga menjadi bukti penting pendudukan masyarakat Arab di Tanah Melayu

Penghijrahan warga Indonesia ke Tanah Melayu telah bermula pada abad ke 14 lagi seiiring dengan kemasukan dari India,Arab,China dan lain-lain kaum pendatang yang lain.Tujuan utama yang mendorong mereka memasuki Tanah Melayu khususnya Melaka pada abad ke 15 ialah kerana ingin meluaskan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa.
Mereka yang datang daripada pelbagai daerah di Indonesia membawa barangan yang berbeza-beza untuk diperniagakan.Sebagai contoh,masyarakat dari Sumatera membawa barangan seperti emas dan rempah,dari Pulau Jawa membawa bahan makanan,dari Maluku membawa bunga cengkih dan dari Pulau Banda membawa buah pala.

Mereka dari kalangan Minangkabau dari Sumatera Barat juga telah berhijrah ke Negeri Sembilan yang masih belum bernama ketika itu.Sehinggalah pada abad ke 17,Masyarakat tempatan di Sungai Ujung,Johol,Naning dan Jelebu menerima seorang raja dari Minangkabau yang dijemput untuk memerintah Negeri Sembilan.

Orang Bugis yang berasal dari Sulawesi juga telah datang dan menetap di Selangor,Perak dan Johor ketika itu.Pada 1766 pula,Raja Lumu yang berasal daripada keturunan Bugis telah ditabalkan sebagai Sultan Selangor yang pertama.Penghijrahan mereka yang besar ini kerana mereka menganggap kepulauan Indonesia dan Tanah Melayu adalah serumpun dan tidak bersempadan.
Kesan pendudukan masyarakat Indonesia di Tanah Melayu adalah amat jelas sekali dan tidak boleh dipertikaikan.Kesan-kesan ini dapat dilihat antaranya dari aspek politik,sosial,bahasa,kesenian dan kebudayaan.

Dari aspek politik,kita dapat melihat hubungan persahabatan yang amat baik antara Tanah Melayu dengan Kepulauan Indonesia telah berlaku.Seperti yang kita tahu,Kerajaan Melaka melalui Sultan Mansur Shah telah menjalin hubungan akrab dengan Majapahit,bahkan Baginda telah mengahwini Peteri kepada Betara Majapahit dengan hasrat untuk mengeratkan hubungan antara Melaka dan Majapahit.Penubuhan kerajaan Negeri Sembilan dan Selangor seperti yang kita sebutkan diatas tadi juga merupakan kesan besar kemasukan masyarakat Indonesia ke Tanah Melayu.Begitu juga dengan hubungan baik kerajaan-kerajaan di kepulauan Indonesia dengan kerajaan-kerajaan di Tanah Melayu seperti Kedah dan sebagainya.
Dari aspek sosial,kita melihat kehadiran masyarakat Indonesia ini telah membuka penempatan-penempatan baru di Tanah Melayu khususnya di Negeri Sembilan seperti Johol,Sungai Ujong dan Naning.Di Selangor seperti Parit Jawa dan kampong Jawa seperti yang dicatatkan oleh Tom Pires,seorang penulis berbangsa Portugis.Tidak dinafikan juga dari segi kependudukan,mengikut pandangan Pires lagi,Orang Jawa pula adalah golongan paling ramai di Melaka ketika era kejatuhanya pada 1511.Ini menunjukkan betapa meluasnya kesan pendudukan masyarakat Indonesia di Tanah Melayu.

Dari aspek bahasa,memanglah Tanah Melayu dan Kepulauan Indonesia adalah serumpun,sebahasa dan sebudaya.Tetapi sedikit sebanyak,proses peminjaman dan penciplakan bahasa dan istilah daripada bahasa Indonesia tetap berlaku.sebagai contoh,istilah ‘sihat’ dan ’makan’ merupakan bahasa Jawa yang digunapakai oleh masyarakat Tanah Melayu hingga ke hari ini.Awalan ‘tuna’ juga adalah berasal daripada dialek atau bahasa Indonesia.Sebagai contoh,tunakarya(penganggur) dan tunawisma(tidak berumah).Begitu juga dengan kata akhiran ‘wan’ yang jelas mempamerkan pengaruh bahasa Indonesia yang kental.Sebagai contoh,budayawan,sukarelawan dan sejarawan.
Pengaruh Indonesia juga dapat dilihat dari segi kesenian dalam masyarakat di Tanah Melayu.Proses mencanting batik merupakan khazanah yang berasal dari kepulauan Jawa,begitu juga dengan seni ukir dan penulisan khat,walaupun ianya merupakan kesenian Islam,tetapi ianya sampai ke Tanah Melayu melaui Indonesia.Begitu juga halnya dengan seni pembuatan senjata yang mana memang jelas senjata tradisi di Tanah Melayu seperti keris dan tombak adalah berorientasikan senjata-senjata tradisi dari Indonesia.
Begitu juga dari aspek kebudayaan,ada pendapat yang mengatakan bahawa wayang kulit yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Tanah Melayu juga berasal dar Indonesia.Begitu juga dengan Nobat yang menjadi kebanggaan Pemeritah Tanah Melayu,adalah berasal dari Kepulauan Indonesia.Sama juga halnya dengan Ulik Mayang yang cukup popular di Terengganu,adalah berasal dari Indonesia.Ini menunjukkan betapa kuasnya pengaruh Indonesia kepada kebudayaan Tanah Melayu.
Cacatan sejarah memperlihatkan hanya sebahagian kecil Tanah Melayu didiami antara abad 15 menjelang penubuhan Kerajaan Melaka hingga abad 17 selepas sekian lama kejatuhan Melaka.Pada ketika itu juga cacatan menunjukkan walaupun perkembangan masyarakat imigran telah merebak ke Kedah,Terengganu,Negeri Sembilan,Johor dan Kelantan,jumlah penduduk yang ada tidaklah sebanyak mana.Pada awal 1800 di Tanah Melayu,Orang Melayu sekadar berjumlah 250,000 dan orang asli berjumlah 9000.
Selepas pendudukan British di Pulau Pinang,Melaka dan Singapura pada abad ke 19,kepadatan penduduk Tanah Melayu adalah meningkat.Pada tahun 1826,penduduk Melaka dianggarkan berjumlah 25000 orang yang mana selain daripada kaum Melayu,16% ialah imigran Cina dan India sebanyak 9%.Di Pulau Pinang,jumlah penduduknya ialah seramai 30,000.Selain Melayu sebagai kaum utama,28% dari jumlah itu ialah kaum India dan 27% ialah kaum Cina.begitu juga situasinya di lain-lain negeri.Ini menunjukkan betapa meningkatnya kemasukan imigran ketika zaman pendudukan British.Kenapa?Sama-samalah kita mencari jawapanya.
Dalam bahagian penceritaan berkenaan sejarah proses migrasi selepas pendudukan British ini,kita akan melihat cara kemasukan,sebab mereka bermigrasi dan kesan-kesan yang sedikit sebanyak telah mempengaruhi sosio-budaya di Tanah Melayu ketika itu.Antara masyarakat imigran utama yang mampu dikaji ialah:-

1-Cina.
2-India.
Masyarakat Cina mula memasuki Tanah Melayu secara beramai-ramai apabila Britis mula bertapak di Singapura,Pulau Pinang dan Melaka.Menurut cacatan,pada 1881,seramai 89 900 orang Cina telah tiba di Pulau Pinang dan Singapura,dan jumlah ini tentulah semakin meningkat pada tahun-tahun berikutnya.

Antara sebab utama mereka berhijrah ke Tanah Melayu ketika itu ialah British kerana kekayaan hasil yang belum dikeluarkan secara komersil di Tanah Melayu ketika itu.Masyarakat Melayu hanya menggunakan kekayaan tanahnya dengan minimum melalui kegiatan ekonomi sara diri yang kurang menguntungkan,walaupun terdapat perusahaan bijih timah yang diusahakan,mereka yang terlibat amatlah sedikit dimana kebanyakan golongan ini adalah dari kalangan pembesar dan orang-orang kaya seperti Long Jaafar dan Ngah Ibrahim sahaja. Apabila British berjaya mencengkamkan ‘kukunya’ di Tanah Melayu,British telah memulakan projek melombong bijih timah secara besar-besaran yang kebanyakan berada di negeri Perak dan Terengganu.Maka orang Cina dibawa masuk untuk menjalankan kerja-kerja di lombong bijih timah tersebut.
Antara cara dan kaedah kemasukan imigran Cina ke Tanah Melayu ketika itu ialah melalui sejenis sistem kemasukan khas yang dipanggil tiket kredit. Tiket kredit dipraktikan dalam usaha membawa masuk imigran dari Cina secara sistematik dan berkesan.Usaha British ini dibantu oleh agensi-agensi kerja yang menguruskan kemasukkan imigran Cina ke Tanah Melayu.
Ejen-ejen ini kebanyakanya ialah orang tengah yang dilantik British untuk membawa buruh kasar dari China untuk berkidmat dalam sektor perlombongan dan perladangan.Pekerja yang berminat untuk mencuba nasib di Tanah Melayu akan diberikan tiket kredit yang mana,segala tambang dan kos untuk ke Tanah Melayu akan ditanggung oleh ejen yang dikenali sebagai Khek Thau.Apabila tiba di Tanah Melayu,ejen-ejen ini akan menjual buruh-buruh ini kepada majikan yang memerlukan khidmat buruh di Tanah Melayu khususnya pengusaha lombong bijih timah yang dimiliki British.Buruh yang dibeli,terpaksa berkerja untuk tempoh tertentu tanpa gaji,kerana gaji mereka dikira telah dibayar ketika majikan membeli mereka dari ejen dahulu.
Mereka ini dikenali sebagai Sin Khek atau pendatang baru.Mereka ini kebanyakan tertindas dan menjadi mangsa ‘mulut manis’ ejen yang membawa mereka ke Tanah Melayu yang mengatakan bahawa kebajikan mereka di sini akan dijaga sepenuhnya oleh majikan,hakikatnya,mereka menjadi mangsa penindasan majikan.Selepas tamat kontrak bekerja dengan majikan yang membeli mereka,barulah mereka akan dilepaskan dan dibenarkan berkerja dengan majikan lain.Apabila sudah tidak terikat,mereka dikenali sebagai Lau Khek.
Antara kesan-kesan berlakunya kemasukan imigran Cina ke Tanah Melayu ialah wujudnya sistem ekonomi moden berteraskan industri buruh.Seperti yang sedia dimaklumi,masyarakat Melayu hanya menumpukan perusahaan ekonomi sara diri terutama dalam sektor pertanian dan perikanan yang nyata tidak menyumbang banyak kepada pemangkinan ekonomi negara.Apabila British membawa masuk kaum Cina khususnya untuk berkhidmat dalam sektor ekonomi yang lebih komersial,ekonomi Tnah Melayu menjadi lebih terkehadapan dan moden.
Kemasukan buruh asing iaitu kaum Cina yang dibawa British juga perlu diakui telah mampu meningkatkan hasil mahsul Tanah Melayu yang sebelum ini lebih banyak dibiarkan didalam ‘tanah’.Pada akhir pertengahan abad ke-19 berlaku peningkatan hasil mahsul Tanah Melayu terutama dalam hasil bijih timah.Kemasukan imigran Cina juga telah menyebabkan Tanah Melayu juga telah menjadi pengeluar bijih timah yang besar di dunia sehinggakan permintaan datang bertali arus dan banyak lagi lombong bijih timah terpaksa dibuka.Ini berlaku kerana kos perkerja dapat dijimatkan berikutan gaji yang dibayar kepada buruh dari China adalah murah.
Sejarah moden penghijrahan kaum India ke Tanah Melayu bermula pada 1824 selepas termeterainya perjanjian antara British dengan Belanda.Dibawah perjanjian itu,kaum India yang menjadi banduan di Bengkahulu telah dipindahkan ke Negeri-Negeri Selat oleh British.Namun jumlah mereka ini tidaklah terlalu besar kerana mereka hanya ditugaskan untuk menyelesaikan kerja-kerja pembanggunan Tanah Melayu seperti membina jalanraya dan jalan kereta api.
Sebaliknya,penghijrahan kaum India secara besar-besaran ke Tanah Melayu hanya bermula pada tahun 1840 apabila sektor tenaga kerja yang ramai diperlukan dalam bidang pertanian khususnya tanaman getah.Maka oleh sebab itulah jumlah masyarakat India meningkat secara mendadak di Tanah Melayu.
Cara kemasukan kaum India ini juga melalui suatu sistem yang dicipta oleh British.Ianya dipaggil sebagai sistem kontrak ataupun indented labour.Sistem ini digunakan untuk menggalakkan dan untuk menarik perhatian rakyat India untuk datang ke Tanah Melayu dan berkerja sebagai buruh disini.Sistem ini mula diperkenalkan pada tahun 1820 yang mana pada asalnya digunakan untuk megambil buruh untuk bekerja di ladang-ladang tebu dan kopi.Namun apabila British memerlukan tenaga buruh yang besar untuk pembangunan sektor getah di Tanah Melayu,ejen perkerja yang kebanyakan berada di Madras dan Nagapatinam telah menggiatkan usaha untuk menambah jumlah buruh India yang hendak berkerja di Tanah Melayu.
Pekerja yang akan ke Tanah Melayu akan menandatangani satu kontrak yang mana disebutkan beberapa perkara utama seperti tempoh berkerja yang dipersetujui, dan perkara-perkara yang difikirkan perlu ada didalam kontrak tersebut.Apabila kontrak telah dimeterai,majikan akan menguruskan pemergian mereka ke Tanah Melayu dan akan dibayar gaji.Setelah kontrak pekerja-pekerja ini tamat,mereka dibenarkan pulang ke India ataupun diberi peluang untuk terus berada di Tanah Melayu dan berkerja disini.
Selain sistem kontrak,sistem kangani turut digunakan untuk menarik kemasukan masyarakat India ke Tanah Melayu.Melalui sistem kangani ini,pengusaha ladang atau majikan dikehendaki menghantar seorang kangani pulang ke India untuk menarik seramai mungkin mereka yang mahu berkerja di Tanah Melayu.Setiap kangani akan dibayar mengikut jumlah perkerja yang dapat dicari,menggunakan wang yang diberikan oleh majikan itulah,kangani membiayai tambang dan kos-kos lain untuk membawa masuk buruh dari India.Apabila tiba di Tanah Melayu,pekerja-pekerja ini akan berkerja dibawah kawalan kangani yang membawa mereka.
Untuk memudahkan urusan kemasukan,British menempatkan beberapa orang pegawainya di perlabuhan-perlabuhan India khususnya Madras dan Nagapatinam.Buruh-buruh ini akan menaiki kapal dan diturunkan di beberapa buah negeri kritikal seperti Pulau Pinang dan Perak,seterusnya akan diagihkan mengikut majikan masing-masing.
Sistem kangani ini lebih bersifat personalised dan ternyata lebih berjaya menarik kemasukan imigran berbanding dua sistem yang telah dibincangkan tadi.Ini kerana kangani akan memujuk orang yang mereka kenali dan rapat untuk ke Tanah Melayu.Secara tidak langsung,mereka akan dapat memancing keyakinan buruh untuk berkerja dengan selesa dan kegiatan penipuan serta penindasan perkerja dapat dihapuskan.
Antara kesan utama kehadiran kaum India ataupun boleh kita katakan masyarakat imigran yang menguntungkan masyarakat peribumi ialah,orang Melayu yang sebelum ini mengamalkan sistem ekonomi sederhana sudah mula sedar dan mula mengorak langkah untuk bersaing untuk sama-sama menikmati hasil bumi mereka sendiri yang ketika itu kebanyakan dinikmati oleh kaum Imidran seperti India dan Cina.
Orang Melayu menubuhkan Jabatan Ikhtisas pada 28 Julai 1946 yang bertujuan utama untuk menyelidik dan memperbaiki industri kecil di kampung seperti barang kesenian,kraf tangan,pemilihan biji benih padi,kelapa serta mengubah suai kedai runcit dan kedai kopi di kampung-kampung.Jabatan yang ditubuhkan ini juga bertujuan untuk menjaga kepentingan perniagaan orang Melayu dari diceroboh oleh bangsa lain.Dengan semangat bersaing yang semakin memuncak inilah jurang pendapatan yang pada asalnya sangat jauh menjadi semakin rapat antara orang Melayu,India dan Cina.
Hasil dari pemajmukan di Tanah Melayu juga ketika itu mewujudkan daerah-daerah petempatan dan fungsi ekonomi mengikut kaum.Dan situasi ini masih berlaku sehingga ke hari ini.Orang Melayu dilabelkan sebagai kaum petani dan tinggal di kampung-kampung tradisional sehingga ke hari ini.Kaum Cina pula dilabelkan sebagai kaum peniaga dan tinggal di bandar-bandar dan pekan-pekan sehinggakan wujud satu istilah untuk menggambarkan ramainya orang Cina di sesuatu kawasan petempatan iaitu istilah ‘pekan cina’ dan ianya diguna pakai sehingga ke hari ini.Kaum India pula kebanyakan tinggal dalam kelompok mereka di ladang-ladang ataupun estet-estet sehingga ke hari ini.Pengkelasan ini nyata sangat tidak berpatutan kerana ianya mampu memecah belahkan masyarakat yang ada.
Setelah melihat serba sedikit berkenaan dengan kemasukan dan perkembangan masyarakat imigran di Tanah Melayu dari abad ke 15 hingga abad ke 18,apa yang pasti terdapat banyak perbezaan baik dari cara kemasukan,sebab kemasukan dan kesan-kesan kemasukan seperti yang telah kita bahaskan tadi baik sebelum pendudukan British mahupun selepasnya.
Kesimpulan yang dapat dibuat terbahagi kepada dua iaitu mengenai perkembangan imigran sebelum pendudukan British dan selepasnya.Sebelum pendudukan British iaitu bermulanya kajian pada abad ke 15,Kita tidak dapat lari daripada mengaitkan kemasukan imigran dengan kemasyhuran pelabuhan Melaka yang bermula pada abad itu.Tanah yang subur dan ruang niaga terbaik di Melaka sudah cukup untuk menjadi faktor penarik kemasukan imigran asing ke Tanah Melayu.Ia juga didorong oleh faktor penolak di tempat asal imigran-imigran tersebut yang memaksa mereka untuk berhijrah dan memasuki Tanah Melayu.Hakikatnya,pada era tersebut,proses migrasi mereka secara umumnya adalah kerana ekonomi dan tidak terlalu memberi kesan kepada peribumi Tanah Melayu.
Berbeza dengan proses migrasi masyarakat imigran selepas pendudukan British,penghijrahan mereka ialah kerana dikonstruk oleh British.Hubungan baik British dengan China dan India memudahkan British membawa masuk masyarakat dari negara-negara tersebut untuk kepentingan British di Tanah Melayu.Dimasa inilah hampir kebanyakan perkara di Tanah Melayu telah berubah kerana lambakan masyarakat imigran disini.Kita juga melihat masyarakat imigran yang banyak memasuki Tanah Melayu pada ketika ini ialah masyarakat Cina dan India kerana dasar British ketika itu yang menyekat kemasukan lain-lain kaum ke Tanah Melayu demi kepentingan mereka.

BIBLIOGRAFI

Bastin.J & Robin W. Winks,1979,Malaysia:Selected Historical Readings,Netherlands.KTO Press.
Buyong Adil,1981,Sejarah Perak.K.Lumpur,DBP.
Fatimi Q.S,1963,Islam Comes To Malaysia,Singapore,Malaysian Sosiological Intitute.
Fuziah Shafie & Ruslan Zainudin.2000.Sejarah Malaysia.K.Lumpur.Penerbit
Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Hall D.G.E.,1987,Sejarah Asia Tenggara,K.Lumpur.DBP.
Jamaie Hamil,2005,UMNO dalam POLITIK dan PERNIAGAAN MELAYU.Bangi.Penerbit UKM.
John Gullick,1981,Malaysia:Economic Expansion and National
Unity,London,Westview Press.
Kamaruzaman Yusof,Oong Hak Ching & Rupawan Ahmad.2004,Mahyudin Hj. Yahaya,Sumbangan dan Ketokohan,Tulisan Prof. Mahyudin dalam Nusantara 1984 ( sejarah masyarakat Islam di Pahang).Bangi.PPSPS.FSSK.
Katiman Rostam,1984,Penduduk Malaysia,K.Lumpur.Nurin Enterprise.
Md. Salleh B. Md Gaus,1984,Politik Melayu Pulau Pinang,K.Lumpur,DBP.
Mohd Jasmin B. Jasni,2006,Kupasan Grafikal Sulalatus Salatin(Sejarah Melayu),K.Lumpur.Eastview.
Mohd Isa Othman,2002.Sejarah Malaysia(1800-1963),K.Lumpur,Utusan
Publications.
Nik Safiah Karim,Farid M. Onn,Hasyim Hj. Musa & Abdul Hamid
Mahmood,2003,Tatabahasa Dewan Edisi Baharu.K.Lumpur,DBP.
PJJ.UKMalaysia,1999,Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu,Bangi,Penerbit UKM.
Rahmah Bujang & Nor Azlin Hamidon.2004.Kesenian
Melayu.K.Lumpur.APM.U.Malaya.
Shamsul Amri Baharuddin,2007,Modul Hubungan Etnik,Shah Alam,Penerbit UiTM.
Shellabear W.G. ,1995,Sejarah Melayu,Shah Alam,Penerbit Fajar Bakti Sdn.
Bhd.
Sivamaniam.J,1986,Indian in Malaysia,K.Lumpur.Persis Sdn. Bhd.

One Response to “MASYARAKAT IMIGRAN DI MALAYSIA”

  1. artikal
    ini tarikh nye brapa..???

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,174 other followers

%d bloggers like this: