Konsep dan Budaya Masyarakat I

Pengertian Budaya

Sungguhpun manusia itu dari segi biologi tidak banyak berbeza dari haiwan primat, tetapi perlakuannya amat berbeza. Manusia dapat menggunakan akal fikiran dan peralatan. Perlakuan mereka dikawal dan didorongkan oleh akal. Proses pemelajaran manusia dapat menentukan corak budayanya. Ilmu pengetahuannya bersifat akumulatif, mampu memahami lambang-lambang yang simbolis seperti bahasa. Sistem pembahagian manusia adalah lebih kompleks daripada haiwan.

Budaya yang dikonsepsikan oleh orang ramai selalunya meliputi hal-hal mengenai kesenian. Sedangkan pengertian budaya dalam pengajian anthropologi adalah suatu jalinan yang kompleks. Perlakuan manusia yang dipelajari (learned behaviour) adalah menjadi asas kepada pertumbuhan budaya. Perlakuan-perlakuan manusia yang diterima dari proses pemelajaran terjalin dalam suatu sistem yang tersusun rapi, iaitu merupakan budaya. Definisi budaya itu berbagai-bagai sebagaimana yang diberikan oleh sarjan-sarjana anthropologi budaya. A.L. Kroeber dan C. Kluckhohn pernah mengumpul sehingga 160 definisi budaya yang telah digunakan oleh sarjana-sarjana. Kemudian mereka menganalisis dan membuat kesimpulan.

Dalam bahasa Melayu “budaya” itu berasal daripada perkataan “budi”, iaitu kata Sanskrit yang bermaksud akal. Budaya itu ialah perlakuan-perlakuan manusia yang berkaitan dengan akal fikiran. Dalam intepretasi lain difahamkan bahawa budaya itu daripada rangkaian “daya” dan “budi” yang dapat dikatakan segala yang berupa cipta, rasa dan penggunaan fikiran manusia. Kebudayaan itu bermaksud segala hasil dari ciptaan itu. Budaya adalah kata singkat daripada kebudayaan.

Adakala budaya itu didapati sama ertinya dengan peradaban, tetapi peradaban itu adalah sebahagian daripada budaya.

Dalam budaya itu terdapat berbagai-bagai jalinan unsur, ada unsur yang amat besar dan ada unsur kecil. Unsur-unsur budaya itu dapat dikelasifikasikan kepada beberapa bahagian yang penting bagi memudahkan perbincangan akademik. Sebenarnya unsur-unsur itu saling berkaitan antara satu sama lain. Dan selalunya unsur-unsur itu bertindih sesama sendiri. Antara unsur-unsur budaya itu terdapat unsur-unsur besar yang dikatakan budaya universal (cultural universal) yang dapat dibahagikan kepada: budaya peralatan bagi keperluan hidup manusia, sistem ekonomi, sistem sosial, bahasa, kesenian dan mainan, ilmu pengetahuan dan agama serta magis. Dalam unsur-unsur budaya besar itu terdapat pula bahagian-bahagian yang lebih kecil. Dalam berbagai-bagai unsur budaya itu terdapat pula aktiviti-aktivitinya yang tersendiri yang dapat dikatakan aktiviti budaya (cultural activities). Segala aktiviti budaya itu terbahagi pula kepada jalinan-jalinan yang lebih kecil yang kita namakan “trait complexes” dan kemudian boleh dipecah-pecahkan kepada trait-trait yang lebih kecil. Daripada traits ini terdapat pula pecahan yang lebih kecil yang dinamakan unsur atau “items”.

Budaya itu dapat dilihat dari aspek perlakuan dan hasil perlakuan anggota-anggota masyarakat. Perlakuan manusia didorongkan oleh berbagai-bagai aspek lain, seperti norma, nilai, peraturan, adat resam, kepercayaan, undang-undang dan sebagainya. Perlakuan ini adalah hasil dari berbagai-bagai proses dan ini juga yang melahirkan berbagai-bagai peralatan budaya. Sesuatu sistem itu merupakan perlakuan individu dan gabungan dengan alat-alat yang dihasilkan.

Dalam penyelidikan anthropologi budaya memerlukan satu proses yang kompleks bagi memahami perhubungan dan interaksi individu dalam sesuatu masyarakat itu. Perlakuan itu harus mencerminkan budaya yang menjadi tumpuan kajian itu.

Perlakuan dan Kawalan Sosial

Pola-pola budaya merupakan satu prinsip atau dasar yang berulangkali berlaku dalam budaya, sehingga ia melahirkan aktiviti budaya atau kompleks budaya. Ia melahirkan suatu sistem pola. Dalam penyelidikan sesuatu unsur budaya itu, hendaklah melihat kedudukan pola itu dalam budaya seluruhnya. Tidak lengkap jika penyelidikan itu hanya ditumpukan kepada bahagiannya tanpa pertimbangkan kedudukannya yang lebih luas.

Fungsi

Dalam penyelidikan, fungsi mempunyai pengertiannya tersendiri. Fungsi dalam pengajian akademik menerangkan hubungan antara suatu hal dengan sesuatu tujuan tertentu; dan menerangkan hubungan variable antara satu dengan yang lain; dan fungsi juga menerangkan jalinan hubungan antara satu hal dengan hal yang lain dalam sistem yang bulat atau sistem yang lebih luas. Fungsi yang selalu digunakan seharian itu juga dengan mudah difahami, iaitu melihat peranan atau kepentingan sesuatu itu dengan hubungan masyarakat atau sistem yang lebih luas. Dalam pengajian akademik, konsep fungsi itu kemudian melahirkan satu pendekatan tersendiri yang dipanggil fungsionalism.

Para pengkaji anthropologi berusaha memberi pengertian yang lebih mendalam mengenai pendekatan fungsi ini, iaitu cuba menerangkan bahawa setiap unsur budaya itu mempunyai guna, fungsi dan maknanya tersendiri dalam masyarakat. Setiap unsur itu dapat dihubungkan dengan sesuatu tujuan atau peranan tertentu dalam masyarakat. Selain itu, sesuatu unsur itu mempunyai makna dan pengertian tersendiri dalam budaya. Aspek ini boleh dikaji dan dianalisis dengan lebih mendalam.

Sesuatu unsur budaya yang lahir itu, bersangkut paut pula dengan berbagai-bagai aspek dan unsur lain dalam masyarakat. Oleh itu, apabila mengkaji sesuatu unsur itu hendaklah juga dikaitkan dengan minat-minat yang lain. Ini dikatakan pendekatan minat sosial.

Anika budaya

Budaya dan masyarakat itu didapati berbagai-bagai, diversiti dalam dimensi masa dan ruang. Oleh kerana terdapat diversiti dalam budaya itu maka didapati berbagai-bagai usaha untuk mengkelasifikasikannya; misalnya pembahagian seperti “barat” dan “timur”; primitif dan moden; tradisi dan moden, berdasarkan sekitaran alam, kawasan budaya dan ke dalam kulturkreise. Pembahagian itu berasaskan pada masa atau ruang. Dalam proses mengkelasifikasikan budaya terdapat berbagai-bagai kritik, tentangan dan terdapat pula berbagai-bagai sokongan dan ulasan.

Pengertian masyarakat

Pengertian masyarakat itu luas dan boleh dilihat dari berbagai-bagai sudut. Dalam penggunaan harian, masyarakat difahamkan sebagai kelompok individu. Pengertian masyarakat banyak telah diberikan oleh para pengkaji anthropologi dan sosiologi. Segala pengeritan yang dibincangkan itu adalah benar melihat kepada sudut pandangan masing-masing. Secara umum, masyarakat itu dapat difahamkan sebagai satu kesatuan kelompok manusia yang mempunyai interaksi dalam sistem hidup yang tertentu. Adat resam juga digunakan dalam menentukan cara hidup masyarakat. Jadi, budaya adalah sebagai ikatan kepada wujudnya masyarakat. Budaya dan masyarakat adalah sesuatu hubungan yang tidak dapat dipisahkan. Dalam masyarakat itu juga, pentingnya ialah interaksi antara individu-individu yang menentukan suatu pola hidup yang tertentu. Melalui ini terdapatlah suatu sistem komunikasi yang tersendiri. Proses interaksi itu adalah luas pengertiannya, meliputi pelbagai sistem komunikasi. Perlakuan individu dalam masyarakat itu adalah ditentukan oleh pola-pola interaksi, sebagaimana yang ditentukan oleh nilai-nilai sosial.

Pengertian masyarakat adalah sangat luas yang meliputi berbagai-bagai ciri – meliputi unit-unit sosial dan institusi-institusi sosial yang lebih luas. Kelompok-kelompok interaksi sosial yang kecil itu merupakan unit sosial yang tersendiri sehinggalah kepada unit sosial yang lebih besar. Unit sosial itu wujud atas minat dan kepentingan tertentu dengan sistem interaksi yang tersendiri. Masing-masing individu itu berinteraksi bersandar atas kepentingan tersendiri.

Unit sosial ini kemudian dapat dipisahkan kepada kategori sosial yang lebih besar iaitu golongan sosial. Golongan bermaksud kelompok sosial yang lebih besar dan selalunya interaksi anggota-anggota itu tidak seerat unit sosial. Golongan sosial ini bergantung kepada asas mana yang dijadikan ukuran atau pembahagiannya. Dalam sesuatu golongan sosial itu terdapat ciri-ciri tertentu yang berasaskan kepada ciri-ciri yang digunakan untuk kategori itu.

Kolektif: Berasaskan kepada ciri-ciri tertentu berdasarkan sistem norma di kalangan anggota-anggota masyarakat.

Kelompok sosial (social group): Pembentukan kumpulan secara kolektif itu juga melahirkan kelompok seperti kumpulan ras (racial group), kumpulan budaya (cultural group) dan kumpulan ethnik (ethnic group). Setiap kelompok itu mempunyai organisasi dan sistem kepimpinan tertentu. Kumpulan kelompok mempunyai ikatan, seperti tujuan dan minat bersama. Begitu juga anggota kelompok itu terdapat sistem nilai dan norma yang tersendiri. Mereka mempunyai kesedaran bersama.

Komuniti: Berasaskan kepada hidup setempat – ikatan yang rapat dalam kelompok kecil dan unit sosial yang lebih besar.

Institusi sosial: Ini lebih khusus kepada sistem nilai dan norma, mempengaruhi aktivti individu dalam satu kesatuan kemasyarakatan tadi. Mereka mempunyai kepentingan atas minat bersama. Adakala berupa kebiasaan, adat istiadat atau adat resam anggotanya bersama dalam aktiviti, dan menurut sistem norma bersama yang bertujuan untuk memenuhi kompleks tertentu. Institusi pula bermakna badan atau organisasi khusus. Institusi bertujuan memenuhi keperluan kehidupan, seperti institusi kekerabatan, institusi yang bersifat ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya.

Struktur Sosial: Konsep struktur sosial dikemuakan oleh A.R. Radcliff-Brown (1939). Sesuatu prinsip kebudayaan itu adalah terdiri dari jalinan-jalinan tertentu yang dapat menjadikannya sebagai struktur sosial. Struktur sosial amat penting dalam memahami budaya dan masyarakat.

Masyarakat dan Budaya

Dinamiks Sosial: dalam proses ini kita perlu memahami sosialisasi, enkulturasi, evolusi, inovasi, difusi, assimilasi dan akulturasi. Dalam penyelidikan sosio-budaya persoalan ini hendaklah dilihat dalam konteks perubahannya.

Proses sosialisasi: meliputi seluruh proses penyesuaian individu dalam budayanya secara mempelajari, baik secara formal mahupun tidak formal bagi memahami masyarakat sekitarnya. Seorang itu mengalami proses sosialisasi sejak lahir sehingga seorang itu meninggal dunia. Seorang itu mempelajari norma, nilai dan peraturan-peraturan hidup dalam masyarakatnya. Proses pembudayaan yang disebut enkulturasi, ialah penyesuaian dengan kehendak-kehendak budaya sendiri. Konflik sosial selalu terdapat dalam proses sosialisasi itu, sehingga adakalanya melahirkan individu yang menyeleweng (deviants). Aspek penyelewengan dalam budaya ini adalah suatu fenomenon yang terdapat dalam semua budaya.

Proses perubahan masyarakat dan budaya

Perubahan berlaku kerana budaya itu dinamis, iaitu berlaku perubahan dari masa ke masa. Perubahan itu adakala terjadi dalam jangka masa yang lama dan adakala berbentuk reformasi atau revolusi.

Evolusi budaya ialah suatu proses perubahan masyarakat dan budaya yang mengambil masa yang lama. Perubahan yang berlaku itu lebih berupa secara bersendirian, iaitu tidak ada tekanan dari luar. Konsep perubahan budaya pula merupakan perubahan yang terjadi dalam jangka masa yang lebih pendek dan mungkin hasil dari pertembungan dengan luar atau lebih bersifat tekanan dari luar. Perubahan budaya itu terjadi secara asimilasi dan akultrasi.

Proses evolusi yang mengambil masa lama itu dalam anthropologi dikatakan “directional processes” yang dilihat dari jauh. Proses evolusi secara berulang-ulang itu dipanggil proses “recurrent”.

Inovasi ialah proses perubahan budaya yang besar tetapi terjadi dalam jangka masa yang tidak begitu lama. Penemuan baru disebarkan kepada masyarakat, dan budaya itu diterima serta dipelajari dan akhirnya menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

Penemuan (discovery dan invention) ialah penemuan unsur budaya baru. Bila penemuan itu diserap ke dalam budaya maka ia dikatakan penciptaan.

Difusi

Difusi bermakna proses penyebaran unsur-unsur budaya daripada seorang individu kepada seorang individu lain, atau dari satu masyarakat kepada satu masyarakat lain. Proses penyebaran unsur-unsur budaya dalam masyarkat yang sama disebut difusi dalam masyarakat yang sama (intra-society diffusion) dan proses difusi antara masyarakat itu ialah “inter-society diffusion”. Intra-society diffusion selalunya merupakan penyebaran dan peresapan unsur-unsur budaya baru yang ditemui dari proses inovasi dan penciptaan. Dalam anthropologi proses difusi budaya itu dimaksudkan penyebaran dan peresapan unsur-unsur budaya daripada satu masyarakat kepada satu masyarakat lain. Proses ini berlaku mungkin secara dibawa oleh orang-orang yang berpindah, iaitu proses migrasi, terutama dalam zaman pra-sejarah yang kerapkali berlaku migrasi kelompok-kelompok tertentu. Difusi budaya boleh berlaku kerana kedatangan individu-individu dari luar, seperti pengembara, pedagang, pelaut dan sebagainya. Misalnya, dalam perkembangan unsur-unsur budaya Hindu ke kawasan ini. Difusi juga boleh berlaku dengan pertembungan kelompok penduduk tempatan dengan kelompok jiran dengan berbagai-bagai cara pertemuan. Cara pertama ialah hubungan dalam bentuk daripada masing-masing budaya itu hampir tidak berubah yang disebut sebagai symbiotic.

Difusi peresapan budaya melalui pedagang-pedagang berlaku secara sukarela yang tidak disedari. Difusi budaya juga dilakukan oleh missionary atau pengembang agama, cara ini dilakukan dengan sengaja. Peresapan budaya secara tekanan (imposed) ialah melalui peperangan, penaklukan dan seumpamanya, di sini terdapat unsur paksaan.

Kini proses difusi tersangat cepat berlaku kerana terdapat berbagai-bagai kemudahan sistem komunikasi yang tersebar luas, seperti radio, tv dan filem.

Unsur-unsur budaya selalu bergerak, tersebar atau meresap dari satu budaya kepada satu budaya lain dengan berbagai-bagai cara dan jalinan difusi itu merupakan satu kompleks yang tersendiri. Perpindahan budaya itu menjadi satu gabungan atau kompleks yang agak sukar untuk dipisah-pisahkan. Sesuatu unsur budaya itu mempunyai kait mengait dengan unsur-unsur budaya lain yang menjadikannya sebagaimana satu kompleks tersendiri, misalnya jualan kereta ke negeri lain, juga melibatkan hal-hal lain berkaitan dengan kereta.

Asimilasi

Proses ini berlaku dalam kelompok-kelompok yang budaya berbeza, mereka saling bergaul antara satu sama lain, dalam masa yang lama sehingga budaya-budaya dari kelompok-kelompok itu berubah saing menyesuaikan menjadi satu. Dalam komuniti Cina dan Siam di Kelantan mengalami proses asimilasi dengan budaya orang Melayu. Proses ini berlaku apabila terdapat pergaulan secara intensif dan luas dalam jangka masa yang lama. Kelompok-kelompok itu mesti mempunyai sikap tolenrasi dan simpati antara satu sama lain. Antara penghalang dalam proses ini ialah bila terdapat perasaan superioriti pada individu dalam budaya tertentu terhadap budaya yang dihadapinya, dan sifat takut kepada kekuatan budaya lain.

Akulturasi

Proses akulturasi berlaku bila budaya tempatan bertembung dengan budaya asing, dan kemudian berlaku proses penerimaan budaya asing sesuai dengan kehendak-kehendak tempatan sehingga tidak menghilangkan identiti budaya sendiri. Proses ini berlaku kepada budaya Melayu sejak dulu kala, melampaui batas-batas tempatan. Proses ini berlaku oleh kerana adanya migrasi, pertembungan secara individu dengan budaya asing. Penerimaan unsur-unsur budaya asing itu tidak pula bertentangan dengan kehendak-kehendak budaya sendiri. Proses ini amat pesat berlaku apabila berlaku campur tangan kolonial Barat di negara-negara yang mundur. Bersama dengan penyebaran agama-agama besar di dunia ini juga bermakna penyebaran budaya melalui proses akulturasi ini berlaku secara leluasa. Pertembungan budaya-budaya Afrika, Asia, Oceania, Amerika Utara dengan Ero-Amerika menjadikan proses akulturasi itu pesat sekali berlaku dalam abad ke-20.

Dalam pengajian anthropologi budaya, tumpuan kepada penyelidikan proses akulturasi ini semakin diminati dan berkembang luas. Berbagai-bagai method dan pendekatan penyelidikan tentang ini telah dilakukan oleh sarjana-sarjana. Dalam penyelidikan ini memerlukan pengetahuan yang luas kerana ia melibatkan usaha perbandingan antara satu budaya dengan satu budaya lain.

Unsur-unsur budaya asing yang mudah diterima ialah yang bercorak atau bersifat konkrit, seperti budaya kebendaan (material culture), dan unsur-unsur budaya yang mempunyai fungsi atau gunanya yang tinggi kepada budaya yang menerima. Sesuatu unsur budaya yang diterima itu adalah yang mudah disesuaikan dengan keadaan masyarakat yang menerima. Unsur-unsur yang tidak sesuai dan dianggap sukar adalah lambat diterima.

Unsur-unsur budaya yang sukar diganti ialah unsur-unsur budaya yang sudah meluas dalam masyarakat dan diamalkan secara turun temurun, seperti sistem kekerabatan. Kedua, unsur-unsur budaya yang dialami dalam proses sosialisasi pada peringkat awal juga sukar digantikan, seperti makanan. Makanan itu adalah sukar diubah. Ketiga, unsur yang melibatkan agama dan kepercayaan juga adalah sukar diganti dan diubah. Begitu juga ritual yang berkaitan dengan hal ini.
Individu yang dikatakan “moden”, “maju” dan “progresif” lebih mudah menerima unsur-unsur budaya asing berbanding dengan individu “kolot” atau “kampungan”. Proses urbanisasi juga memainkan peranan penting dalam menentukan pesatnya proses penerimaan. Pendidikan juga menjadi ukuran dalam menentukan mudah atau tidak seorang individu itu menerima unsur-unsur budaya asing. Lagi satu faktor ialah umur, iaitu antara golongan tua dan golongan muda. Golongan muda itu mudah mengalami devian dan menerima unsur-unsur budaya asing berbanding dengan golongan tua yang lebih kuat pegangan kepada tradisi.

Konflik dan ketegangan sosial kesan dari akulturasi

Peringkat perubahan selalu dikatakan tahap krisis, iaitu transisi antara golongan yang kuat ikatan kepada tradisi dengan golongan muda yang inginkan perubahan. Konflik sosial muncul dan perdebatan atau ketegangan sosial ini kerap berlaku dalam masyarakat. Golongan-golongan itu menentukan dasar dan prinsip masing-masing. Antaranya golongan tua dengan golongan muda; golongan berpelajaran dengan golongan kurang pelajaran; nasionalisme dengan liberalisme; golongan maju, moden dengan golongan kolot; golongan urban dengan golongan kampung.

Konflik dan ketegangan sosial ini jelas sekali apabila berlaku tekanan budaya dengan pesatnya penerimaan unsur-unsur budaya asing. Dengan ini juga menyebabkan timbul golongan-golongan penentang. Golongan yang selalu terlibat ialah pertubuhan keagamaan yang berusaha mempertahankan tradisi. Adakala golongan agama ini melarikan diri daripada masyarakat yang dianggap menghadapi kacau bilau. Inilah yang menimbulkan gerakan-gerakan cults, messianic movements, nativistic movements dan sebagainya. Gerakan-gerakan ini berusaha mempertahankan indentiti sendiri.

Ethnologi

Bidang ethnologi menjadi persoalan etnografi yang memberikan huraian tentang sesuatu budaya dalam konteks masyarakatnya. Pendekatan dalam bidang ini ialah melihat kepada segala aspek yang menjadi unsur budaya universal. Ini termasuklah unsur-unsur:

(1)Budaya kebendaan (Material Culture) dan teknologi,
(2)Sistem ekonomi,
(3)Sistem sosial,
(4)Bahasa,
(5)Kesenian,
(6)Sistem pengetahuan,
(7)Sistem kepercayaan.

Dari abad ke-19 lagi penulisan ethnografi menumpukan perhatian serius kepada persoalan teknologi. Pemerhatian pada masa itu lebih merupakan secara luaran sahaja. Dalam bidang ini termasuk berbagai-bagai bahagian teknologi, seperti pakaian, rumah, alat senjata dan sebagainya. Teknologi dalam masyarakat sederhana dapat dilakukan secara terperinci, tetapi dalam masyarakat kompleks teknologi itu tersangat kompleks. Perbincangannya lebih merupakan satu deskripsi secara luaran sahaja, tidak melibatkan tentang fungsi sosialnya. Deskripsi secara terperinci itu penting dilakukan sebagai asas dalam membuat perbandingan tentang penyebaran hasil budaya itu dari satu budaya kepada satu budaya lain. Kemudian dalam tahun-tahun 20-an dan 30-an penulisan tentang teknologi seperti dulu semakin berkurang dalam hasil-hasil ethnografi. Sistem teknologi atau budaya benda itu sendiri adalah luas sekali bidangnya. Oleh itu para pengkaji membahagikan kepada kategori-kategori tertentu yang lebih kecil, seperti alat-alat pengeluaran, senjata, makanan, pakaian, perhiasan, rumah, dan sebagainya.

Sistem ekonomi

Eknomi sara diri termasuk teknik dan alat-alat yang terdapat dalam masyarakat peringkat ini, terutama dalam masyarakat primitif. Sebenarnya usaha menghubungkan sistem ekonomi secara sederhana itu telah lama dilakukan, malah dapat dikesan sejak abad ke-4 lagi.

Dalam sistem ini juga para pengkaji menghubungkan dengan teori evolusi dalam pertumbuhan usaha cari makan dari satu peringkat kepada satu peringkat perkembangan manusia yang lebih tinggi. Cara hidup pertanian meletakkan pertanian secara usaha paling atas.

Terdapat banyak kritik tentang evolusi dalam mata pencarian ini, iaitu tingkat-tingkat ekonomi. Sistem ekonomi juga tidak terlepas dari sistem-sistem lain dalam masyarakat.

Sistem sosial

Pada peringkat permulaan, usaha pengkaji menggunakan teori evolusi dalam menerangkan perubahan sistem sosial. Antara yang terkenal ialah Morgan, L.H. yang mengkaji sistem kinship dalam berbagai-bagai budaya dan menerangkan proses evolusi dalam sistem ini. Beliau tertarik dengan terminologi yang digunakan dalam sistem ini antara berbagai-bagai budaya yang menjadi tumpuannya.

One Response to “Konsep dan Budaya Masyarakat I”

  1. Anonymous Says:

    terima kasih memberi infomasi yang bernas.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,171 other followers

%d bloggers like this: